RENCANA

COVID-19: JUMLAH KES POSITIF DI MALAYSIA MELONJAK LEBIH 52 RIBU

20/11/2020 08:55 PM

Oleh Melati Mohd Ariff

Berikut adalah rangkuman TERKINI mingguan mengenai COVID-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari  14 Nov hingga pukul 8:00 mlm 20 Nov.

Jumlah kes COVID-19 di Malaysia melepasi angka 52 ribu.  Di peringkat global, lebih 57 juta kes dilaporkan dengan lebih 1.3 juta kematian. Lebih 39 juta pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh. Pandemik COVID-19 sudah merebak ke lebih 200 buah negara dan wilayah.

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Bermula dengan tiga (3) kes positif yang dilaporkan pada 25 Januari 2020, jumlah kes COVID-19 di Malaysia kini melebihi 52 ribu dan sekitar 13 ribu kes aktif dengan kebolehjangkitan.

Dengan sebanyak 958 kes baharu dilaporkan sehingga pukul 12 tengah hari Jumaat 20 November, jumlah kes positif COVID-19 di negara ini meningkat kepada 52,638, menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19, sebanyak 13,221 kes.

Terdapat lima kes import dilaporkan hari ini.


--fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sepanjang rangkuman mingguan (14 Nov hingga 20 Nov), kes harian empat angka dilaporkan pada Sabtu 14 Nov (1,114), Ahad 15 Nov (1,208), Isnin 16 Nov (1,103), Selasa 17 Nov (1,210) dan Khamis 19 Nov (1,290). Pada hari Rabu 18 Nov, kes harian tiga angka dilaporkan iaitu 660 kes

Malaysia setakat ini menduduki tempat ke-84 dalam senarai negara yang dilanda pandemik COVID-19 sementara negara jiran, Singapura berada di kedudukan 83 dengan 58,143 kes dan 28 kes kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu sidang media mengenai perkembangan pengesanan kes baharu COVID-19 di Malaysia hari ini, tiga negeri mencatatkan kes tertinggi hari ini iaitu Sabah, 512 kes (53.4 peratus), Selangor dan Negeri Sembilan, masing-masing 153 kes.

Untuk rekod, Sabah mencatat 391 kes (14 Nov), 381 kes (15 Nov), 288 kes (16 Nov), 499 kes (17 Nov), 387 kes (18 Nov) dan 660 kes (19 Nov).

Sementara itu, jumlah kes pesakit COVID-19 yang dilaporkan pulih sepanjang minggu rangkuman kekal tinggi dengan 956 orang lagi dilaporkan sembuh, hari ini.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya seramai 39,088 orang, iaitu 74.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Untuk kes pulih pada hari yang lain adalah 878 (19 Nov), 630  (18 Nov), 1,018 (17 Nov), 821 (16 Nov), 1,013  (15 Nov) dan 803 (14 Nov).

 

KES KEMATIAN DAN KES-KES LAIN


Taman Meru 2C, Ipoh, Perak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) selama 14 hari bermula 20 November 2020. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sebanyak tiga (3) lagi kes kematian dilaporkan pada Jumaat 20 November, menjadi jumlah kes kematian di Malaysia setakat ini sebanyak 329 iaitu 0.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Kesemua kes kematian yang dilaporkan hari ini berlaku di Sabah.

Mengikut pecahan hari, kematian yang dilaporkan sepanjang tempoh ini, adalah 3 (20 Nov), 4 (19 Nov), 4 (18 Nov), 6 (17 Nov), 4 (16 Nov), 3 (15 Nov) dan 2 (14 Nov).

Jumlah kes kematian setakat tempoh 14 Nov hingga 20 Nov adalah 26 kes iaitu 21 kes di Sabah, empat (4) di Perak dan satu (1) di Johor.

Sementara itu, jumlah pesakit COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi sehingga hari ini, seramai 110 orang dan 42 orang daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

 

DARURAT DI BATU SAPI, PKPB 

Sebagai mengambil iktibar daripada kenaikan mendadak kes COVID-19 selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, Sabah, yang dijadualkan berlangsung pada 5 Disember, dibatal dan ditangguhkan.

Ini berikutan pengisytiharan Proklamasi Darurat dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

PRN Sabah dikenal pasti faktor utama gelombang ketiga penularan COVID-19 di Malaysia dan Proklamasi Darurat bertujuan mengekang meletusnya gelombang keempat.


Orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka semasa berada di tempat awam di sekitar ibu kota. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sementara itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Ismail Sabri, PKPB hari ini mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan di seluruh negeri Kelantan bermula Sabtu 21 November sehingga 6 Disember.

Beliau juga mengumumkan penamatan PKPB di Negeri Kedah kecuali daerah Kulim, mulai 21 November. PKPB turut ditamatkan di seluruh Negeri Kedah juga 21 November. Bagi negeri Johor, PKPB ditamatkan di negeri tersebut kecuali daerah Kota Tinggi dan Mersing.

PKPB turut ditamatkan bagi seluruh negeri Terengganu pada 21 November 20.

PKPB mula dilaksanakan di Lembah Klang, untuk mengekang penularan koronavirus itu bemula 14 Oktober lepas, selepas berlaku Gelombang Ketiga penularan COVID-19 yang dikesan bermula 22 September. 

Ia kemudian dikuatkuasakan di Semenanjung, bermula 9 November hingga 6 Disember depan, kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan. Ketiga-tiga negeri itu, masih tertakluk di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pelaksanaan PKPB untuk Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah yang sepatutnya berakhir 9 November disambung hingga 6 Disember. 

Dr Noor Hisham sebelum ini dipetik sebagai berkata, PKPB di kebanyakan negeri boleh ditamatkan dalam masa dua minggu sahaja sekiranya lekuk penularan COVID-19 dapat diratakan.

 

SASARAN RO

KKM mensasarkan R naught (Ro) atau kadar kebolehjangkitan bawah nilai 0.5 daripada nilai 1.1 dan 0.9 sekarang dalam masa dua atau tiga minggu mendatang.

Dr Noor Hisham berkata demikian pada 17 November sewaktu negara mencatat kes baharu harian 1,120 kes. Menurut beliau, pihaknya menjangka dapat mencapai sasaran tersebut dengan mempertingkatkan aktiviti kesihatan awam bagi mencegah dan mengawal jangkitan.

Ro pada awal Gelombang Ketiga (22 September) adalah 2.2 dan berjaya diturunkan kepada 1.5 kira-kira dua minggu kemudian dan kini 1.0.

Nilai Ro yang berjaya diturunkan itu adalah impak positif pelaksanaan PKPB.

Nilai Ro adalah kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak di dalam masyarakat. Menurunkan nilai Ro kepada kurang daripada 1 secara berterusan akan membantu memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 di Malaysia.

 

STATUS TERKINI KES COVID-19 DAN KLUSTER BAHARU


Pegawai (kiri) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pulau Pinang tidak pulang ke rumah setelah bertugas dari 26 Julai 2020 kerana risau keluarganya terdedah dengan risiko wabak COVID-19. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menurut perincian kes yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada  Jumaat 20 Nov, Sabah mencatat 512 kes; 197 kes daripada kluster, termasuk lapan (8) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Kasir.

Selangor melaporkan 153 kes ( 103 kes daripada kluster termasuk 17 kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Sri Jujur).

Negeri Sembilan juga melaporkan 153 kes ( 140 kes daripada kluster termasuk satu kes daripada kluster baharu iaitu Kluster OAD).

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur - 46 kes di mana 19 kes daripada kluster sedia ada; Perak, 24 kes termasuk lapan (8) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Enggor.

Pulau Pinang mencatat 25 kes; Kedah, 19 kes; Johor, sembilan (9) kes termasuk lima (5) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Makmur.

Kelantan, tujuh (7) kes; Terengganu, empat (4) kes; Sarawak, dua (2) kes; Melaka, dua (2) kes; Wilayah Persekutuan Labuan, satu (1) kes dan Wilayah Persekutuan Putrajaya, satu (1) kes.

 

STATISTIK GLOBAL COVID-19


Statistik terkini COVID-19 di seluruh dunia dan ringkasan kes COVID-19 di Malaysia. www.coronatracker.com

Kes Jumlah kumulatif kes positif global COVID-19 melepasi 50 juta pada Ahad 8 Nov. Menurut perangkaan CoronaTracker (mengambil sumber pelbagai agensi termasuk WHO), jumlah kes COVID-19 di seluruh dunia setakat ini, melepasi 57 juta.

Setakat rangkuman mingguan ini, kes COVID-19 global sebanyak 57,324,718 (rangkuman minggu lalu 53,233,097) dengan 1,367,435 kematian (minggu lalu 1,301,818 kematian). Jumlah pesakit sembuh, 39,804,645 orang (minggu lalu 37,313,271). 

Amerika Syarikat masih mendahului senarai negara yang dilanda pandemik COVID-19 dengan 12,072,560 (minggu lalu 10,873,936 kes) . Angka kematian pula mencecah 258,354 (minggu lalu 248,585). Kes positif COVID-19 mula dikesan di negara itu pada 20 Jan 2020.

Ini dikuti negara India, dengan 9,006,079 kes (minggu lalu 8,729,190 kes) dengan 132,223 kematian (minggu lalu 128,722 kematian).    

Brazil mencatat 5,983,089  kes (minggu lalu 5,783,647 kes) dengan 168,141 kematian (minggu lalu 164,332 kematian).   

Perancis masih di  tangga ke-empat, dengan 2,086,288 kes (minggu lalu 1,898,710 kes) dan 47,127 kematian (minggu lalu 42,960 kematian). Rusia di tangga ke-lima dengan 2,039,926 kes dan 35,311 kematian. 

Di samping lima negara di atas, terdapat 54 buah lagi negara  mencatat lebih 100,000 kes COVID-19.

Negara-negara yang mencatat jumlah kes antara sejuta dan di bawah dua juta adalah seperti berikut:-

 Sepanyol 1,574,063 kes (42,291 kematian), United Kingdom 1,453,256 kes (53,775 kematian), Argentina 1,349,434 kes (36,532 kematian), Itali 1,308,528 kes (47,870 kematian), Colombia 1,225,490 kes (34,761 kematian) dan Mexico 1,019,543 kes (100,104 kematian).

Negara-negara yang merekodkan kes sejuta ke bawah sehingga 400 ribu kes adalah:-

Peru 943,917 kes (35,446 kematian), Jerman 878,209 kes (13,788 kematian), Iran 815,117 kes (43,417 kematian), Poland 796,798 kes (12,088 kematian), Afrika Selatan 759,658 kes (20,671 kematian), Ukraine 598,085 kes (10,598 kematian), Belgium 550,264 kes (15,196 kematian), Chile 536,012 kes (14,955 kematian), Iraq 529,226 kes (11,834 kematian), Indonesia 483,518 kes (15,600 kematian), Czechia 481,755 kes (6,874 kematian), Belanda 467,257 kes (8,771 kematian), Bangladesh 441,159 kes (6,305 kematian), Turki 430,170 kes (11,943 kematian), Filipina 415,067 kes (8,025 kematian), Romania 393,851 kes (9,596 kematian), Pakistan 368,665 kes (7,284 kematian), Arab Saudi 354,527 kes (5,729 kematian), Israel 327,407 kes (2,742 kematian), Kanada 315,754 kes (11,265 kematian), Maghribi 311,554 kes (5,090 kematian), Switzerland 285,655 kes (3,879 kematian), Portugal 243,009 kes (3,701 kematian), Austria 228,683 kes (2,116 kematian), Nepal 215,020 kes (1,276 kematian) dan Sweden 201,055 kes (6,340 kematian).

Negara yang lain termasuk dalam senarai 100,000 adalah Ecuador 183,246 kes (13,073 kematian), Jordan 169,395 kes (2,053 kematian), Hungary 165,901 kes (3,568 kematian), Emiriah Arab Bersatu 155,254 kes (544 kematian), Panama 151,089 kes (2,922 kematian), Bolivia 143,756 kes (8,889 kematian), Kuwait 138,822 kes (859 kematian), Qatar 136,649 kes (235 kematian), Republik Dominica 136,183 kes (2,301 kematian), Costa Rica 128,231 kes (1,599 kematian), Kazakhstan 123,888 kes (1,945 kematian), Jepun 122,966 kes (1,922 kematian), Armenia 123,646 kes (1,900 kematian), Oman 121,360 kes (1,366 kematian), Belarus 119,390 kes (1,074 kematian), Guatemala 117,066 kes (4,050 kematian), Bulgaria 114,435 kes (2,649 kematian), Mesir 111,955 kes (6,508 kematian), Lubnan 111,946 kes (868 kematian), Ethiopia 104,427 kes (1,607 kematian), Serbia 104,097 kes (1,110 kematian) dan Honduras 103,488 kes (2,839 kematian).

Sementara China, di mana bermulanya wabak COVID-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat ke-65 dengan 86,398 kes (minggu lalu 86,307 kes) ). Angka kematian kekal 4,634 (tidak berubah daripada minggu-minggu sebelumnya).

Dalam kalangan negara jiran Malaysia di Asia Tenggara, Indonesia dan Filipina menyertai senarai 59 buah negara yang mencatat lebih 100 ribu kes COVID-19.

Indonesia merekod 483,518 kes (minggu lalu 452,291 kes) dengan 15,600 kematian (minggu lalu 14,933 kematian). Filipina mencatat 415,067 kes (minggu lalu 402,820 kes) dengan 8,025 kematian (minggu lalu 7,721 kematian).   

Myanmar minggu ini terus mengatasi Singapura dengan 74,882 kes (minggu lalu 65,598 kes) dengan 1,676 kematian (minggu lalu 1,508 kematian). Singapura melaporkan 58,143 kes, di tempat ke-83  (minggu lalu 58,102 kes).  Angka kematian kekal 28. 

Singapura setakat ini di tempat ke-83 sementara Malaysia di tempat ke-84.

Jumlah kes positif COVID-19 di Thailand pula sebanyak 3,892 kes (minggu lalu  3,852 kes) dengan angka kematian kekal 60. Vietnam mencatat 1,304 kes (minggu lalu 1,253 kes) dan angka kematian kekal 35.

Kes COVID-19 di Kampuchea minggu ini sebanyak 304 kes (minggu lalu 301 kes) dan masih sifar kematian.

Tiada perubahan kes COVID-19 di Brunei 141 kes (2 kematian) sementara Laos menambah satu kes menjadi 25 kes dan sifar kematian.

---------------------------------------------------------------------------------------------

RUANGAN SISI

LATAR BELAKANG COVID-19

 

-- Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

-- Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut. 

-- Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.

-- WHO memberi nama rasmi virus "2019-nCoV" iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.

-- Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.

-- Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.

-- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit COVID-19 sebagai pandemik.

-- WHO menyifatkan wabak penyakit COVID-19 sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1atau lebih dikenali sebagai Selesema Babi (Swine Flu).

-- Wabak Selesema Babi berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian. Ia mula dikesan di Mexico dan kemudiannya di Amerika Syarikat pada Mac 2009.

-- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pandemik COVID-19 akan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression.  

-- Kes pertama 2019-nCoV di Malaysia disahkan pada 25 Jan membabitkan tiga (3) warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Jan.

-- Khamis 30 Julai genap enam bulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengisytiharkan Darurat Kesihatan Awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan 2019 novel koronavirus yang dikenali kemudian sebagai COVID-19.

-- Pengumuman yang dibuat itu adalah yang ke-enam dibuat oleh Pertubuhan itu tetapi yang terburuk. Untuk rekod, pengumuman lalu ialah bersabit H1N1 (2009), Polio dan Ebola di Afrika Barat (2014), Zika (2016) dan Ebola di Republik Congo (2019).

 

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan