RENCANA

COVID-19: KES HARIAN EMPAT ANGKA LONJAK KES DI MALAYSIA LEBIH 51 RIBU

20/11/2020 06:50 PM

Oleh Melati Mohd Ariff

Berikut adalah rangkuman mingguan mengenai COVID-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari  14 Nov hingga pukul 12:30 tgh 20 Nov.

Jumlah kes COVID-19 di Malaysia melepasi angka 51 ribu.  Di peringkat global, lebih 57 juta kes dilaporkan dengan lebih 1.3 juta kematian. Lebih 39 juta pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh. Pandemik COVID-19 sudah merebak ke lebih 200 buah negara dan wilayah.

KUALA LUMPUR  (Bernama) -- Bermula dengan tiga (3) kes positif yang dilaporkan pada 25 Januari 2020, jumlah kes COVID-19 di Malaysia kini mencecah paras 51 ribu dengan lebih 13 ribu kes aktif dengan kebolehjangkitan.

Jumlah kes harian empat angka semalam (Khamis 19 Nov) sebanyak 1,290 menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 51,680 sementara jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula sebanyak 13,222 kes.

Sepanjang rangkuman mingguan (14 Nov hingga 19 Nov), selain semalam, kes harian empat angka turut dilaporkan pada Sabtu 14 Nov (1,114), Ahad 15 Nov (1,208), Isnin 16 Nov (1,103) dan Selasa 17 Nov (1,210). Pada hari Rabu 18 Nov, kes harian tiga angka dilaporkan iaitu 660 kes.

Malaysia menduduki setakat ini menduduki tempat ke-84 dalams senarai negara yang dilanda pandemik COVID-19 sementara negara jiran, Singapura berada di kedudukan 83 dengan 58,139 kes dan 28 kes kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan media mengenai perkembangan pengesanan kes baharu COVID-19 di Malaysia semalam melaporkan, daripada 1,290 kes baharu, lima (5) adalah kes import.

Sabah kembali mempunyai kes harian terbanyak dengan 660 kes, diikuti Selangor dengan 407 kes.


Anggota Kementerian Kesihatan Kota Belud membuat ujian swab COVID-19 terhadap penduduk Kampung Nahaba di Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) berikutan penularan COVID-19 yang berlaku di kampung tersebut. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menurut Dr Noor Hisham, kes yang tinggi di Sabah berpunca daripada kluster berkaitan Pusat Tahanan Sementara (PTS), lokap dan penjara, sebanyak 250 kes.

Untuk rekod, Sabah sebelum ini mencatat 391 kes (14 Nov), 381 kes (15 Nov), 288 kes (16 Nov), 499 kes (17 Nov) dan 387 kes (18 Nov).

Peningkatan kes yang banyak di Selangor dikaitkan dengan Kluster Teratai, sebanyak 245 kes dan sebuah kluster baharu, iaitu Kluster Kapas BJ (55 kes). Kedua-dua kluster dilaporkan berkaitan tempat kerja yang melibatkan bukan warganegara.

Kluster Teratai pertama kali dilaporkan pada 7 Nov, melibatkan daerah Klang, Kuala Selangor, Petaling dan Hulu Langat, Selangor.


Pengunjung dan peniaga sebuah kedai makan dilihat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di pusat bandar Labuan. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sebanyak 269 kes atau 20.9 peratus yang dilaporkan semalam berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS), lokap dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Sandakan (218 kes), Kluster Matambai (15 kes), Kluster Tembok (15 kes), Kluster Penjara Kepayan (9 kes), Kluster PTS Tawau (6 kes), Kluster Benteng PK (3 kes), Kluster GK Tawau (2 kes), dan Kluster Penjara Seberang Perai (1 kes).

Sementara itu, jumlah kes pesakit COVID-19 yang dilaporkan pulih sepanjang minggu rangkuman kekal tinggi dan seramai 878 orang lagi dilaporkan sembuh, hari ini.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya seramai 38,132 orang, iaitu 73.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Untuk kes pulih pada hari yang lain adalah 630  (18 Nov), 1,018 (17 Nov), 821 (16 Nov), 1,013  (15 Nov) dan 803 (14 Nov).

 

KES KEMATIAN DAN KES-KES LAIN

Sebanyak empat kes kematian dilaporkan pada Khamis 19 November, menjadi jumlah kes kematian di Malaysia setakat ini sebanyak 326 iaitu 0.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Kes kematian yang dilaporkan semalam melibat dua (2) kes di Sabah dan masing-masing satu (1) di Johor dan Perak.

Mengikut pecahan hari, kematian yang dilaporkan sepanjang tempoh ini, adalah 4 (19 Mov), 4 (18 Nov), 5 (17 Nov), 4 (16 Nov), 3 (15 Nov) dan 2 (14 Nov).


Seorang anggota tentera membuat kawalan di sekitar kawasan Taman Meru 2C, Ipoh, Perak.--fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Jumlah kes kematian setakat tempoh 14 Nov hingga 19 Nov adalah 23 kes dengan 18 kes di Sabah, empat (4) di Perak dan satu (1), di Johor.

Rangkuman minggu lepas (7 Nov hingga 13 Nov) mencatat 25 kes kematian, iaitu 22 kes dilaporkan di Sabah sementara masing-masing satu (1) kes di Wilayah Persekutuan Labuan, Perak dan Kedah.

Sementara itu, jumlah pesakit COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi sehingga semalam, seramai 110 orang dan 37 orang memerlukan bantuan pernafasan.

 

DARURAT DI BATU SAPI, PKPB DAN RO

Sebagai mengambil iktibar daripada kenaikan mendadak kes COVID-19 selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, Sabah, yang dijadualkan berlangsung pada 5 Disember, dibatal dan ditangguhkan.

Ini berikutan pengisytiharan Proklamasi Darurat dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

PRN Sabah dikenal pasti faktor utama gelombang ketiga penularan COVID-19 di Malaysia dan Proklamasi Darurat bertujuan mengekang meletusnya gelombang keempat.


Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan). --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sementara itu, menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Ismail Sabri, PKPB boleh ditamatkan lebih awal bagi sesetengah negeri, bergantung kepada hasil penilaian risiko KKM berdasarkan negeri-negeri berkaitan

Beliau menjelaskan, meskipun tempoh PKPB yang diumumkan adalah untuk tempoh sebulan, tetapi penilaian dibuat menjelang tempoh dua minggu selepas ia dilaksanakan, iaitu pada Sabtu 21 November.

KKM, kata beliau akan membentangkan hasil penilaian termasuk jumlah kes, penilaian risiko dan keberangkalian jangkitan, pada mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Jumaat ini (20 November).

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Lembah Klang, untuk mengekang penularan koronavirus itu bemula 14 Oktober lepas, selepas berlaku Gelombang Ketiga penularan COVID-19 yang dikesan bermula 22 September. 

PKPB kemudiannya dikuatkuasakan di Semenanjung, bermula 9 November hingga 6 Disember depan, kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan. Ketiga-tiga negeri itu, masih tertakluk di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pelaksanaan PKPB untuk Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah yang sepatutnya berakhir 9 November disambung hingga 6 Disember. 


Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Dr Noor Hisham sebelum ini dipetik sebagai berkata, PKPB di kebanyakan negeri boleh ditamatkan dalam masa dua minggu sahaja sekiranya lekuk penularan COVID-19 dapat diratakan.

KKM mensasarkan R naught (Ro) atau kadar kebolehjangkitan bawah nilai 0.5 daripada nilai 1.1 dan 0.9 sekarang. 

Dr Noor Hisham berkata demikian pada 17 November sewaktu negara mencatat kes baharu harian 1,120 kes. Menurut beliau, pihaknya menjangka dapat mencapai sasaran tersebut dengan mempertingkatkan aktiviti kesihatan awam bagi mencegah dan mengawal jangkitan.

Ro pada awal Gelombang Ketiga (22 September) adalah 2.2 dan berjaya diturunkan kepada 1.5 kira-kira dua minggu kemudian dan kini 1.0.

Nilai Ro yang berjaya diturunkan itu adalah impak positif pelaksanaan PKPB.

Nilai Ro adalah kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak di dalam masyarakat. Menurunkan nilai Ro kepada kurang daripada 1 secara berterusan akan membantu memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 di Malaysia.

 

STATUS TERKINI KES COVID-19 DAN KLUSTER BAHARU

Menurut perincian kes yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada  Khamis 19 November, Sabah kembali mencatat jumlah kes yang banyak iaitu 660 kes. Sebanyak 418 kes daripada kluster sedia ada.

Ini diikuti Selangor, dengan 407 kes dengan 361 kes daripada kluster termasuk 55 kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Kapas BJ. Kes indeks kluster ini seorang pekerja kilang. 

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatat 72 kes; 60 kes daripada kluster termasuk 15 kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Prestij (melibatkan pekerja syarikat pembersihan di daerah Lembah Pantai dan Titiwangsa.

Di Perak, dilaporkan 48 kes; 37 kes daripada kluster termasuk dua (2) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Bah Bercham. Kes indeks kluster ini hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah).

Negeri Sembilan mencatat 32 kes; 26 kes daripada kluster-kluster sedia ada. Kelantan, melaporkan 17 kes; 15 kes daripada kluster sedia ada. Wilayah Persekutuan Labuan, mencatat 15 kes; Johor juga melaporkan 15 kes, di mana 11 kes daripada kluster , termasuk lapan (8) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Kiambang. Kes indeks kluster hasil saringan individu bergejala.

Pulau Pinang, terdapat lapan (8) kes; Sarawak, lapan (8) kes; Kedah, tujuh (7) kes; Melaka, satu (1) kes.  

 

STATISTIK GLOBAL COVID-19

Kes Jumlah kumulatif kes positif global COVID-19 melepasi 50 juta pada Ahad 8 Nov. Menurut perangkaan CoronaTracker (mengambil sumber pelbagai agensi termasuk WHO), jumlah kes COVID-19 di seluruh dunia setakat ini, melepasi 56 juta.

Setakat rangkuman mingguan ini, kes COVID-19 global sebanyak 57,231,635 (rangkuman minggu lalu 53,233,097) dengan 1,365,461 kematian (minggu lalu 1,301,818 kematian). Jumlah pesakit sembuh, 39,720,721 orang (minggu lalu 37,313,271). 

Amerika Syarikat masih mendahului senarai negara yang dilanda pandemik COVID-19 dengan 12,070,712 (minggu lalu 10,873,936 kes) . Angka kematian pula mencecah 258,333 (minggu lalu 248,585). Kes positif COVID-19 mula dikesan di negara itu pada 20 Jan 2020.

Ini dikuti negara India, dengan 9,004,325 kes (minggu lalu 8,729,190 kes) dengan 132,202 kematian (minggu lalu 128,722 kematian).      

Brazil mencatat 5,983,089  kes (minggu lalu 5,783,647 kes) dengan 168,141 kematian (minggu lalu 164,332 kematian).   

Perancis masih di  tangga ke-empat, dengan 2,086,288 kes (minggu lalu 1,898,710 kes) dan 47,127 kematian (minggu lalu 42,960 kematian).        

Di samping empat negara di atas, terdapat 55 buah lagi negara  mencatat lebih 100,000 kes COVID-19. 

Negara-negara yang mencatat jumlah kes antara sejuta dan di bawah dua juta adalah seperti berikut:-

Rusia 2,015,608 kes (34,850 kematian), Sepanyol 1,574,063 kes (42,291 kematian), United Kingdom 1,453,256 kes (53,775 kematian), Argentina 1,349,434 kes (36,532 kematian), Itali 1,308,528 kes (47,870 kematian), Colombia 1,225,490 kes (34,761 kematian) dan Mexico 1,019,543 kes (100,104 kematian.

Negara-negara yang merekodkan kes sejuta ke bawah sehingga 400 ribu kes adalah:-

Peru 943,917 kes (35,446 kematian), Jerman 878,209 kes (13,788 kematian), Iran 815,117 kes (43,417 kematian), Poland 796,798 kes (12,088 kematian), Afrika Selatan 759,658 kes (20,671 kematian), Ukraine 583,510 kes (10,369 kematian), Belgium 545,787 kes (15,025 kematian), Chile 536,012 kes (14,955 kematian), Iraq 529,226 kes (11,834 kematian), Indonesia 483,518 kes (15,600 kematian), Czechia 479,020 kes (6,856 kematian), Belanda 467,257 kes (8,771 kematian), Bangladesh 4341,159 kes (6,305 kematian), Turki 430,170 kes (11,943 kematian), Filipina 413,430 kes (7,998 kematian), Romania 393,851 kes (9,596 kematian), Pakistan 368,665 kes (7,248 kematian), Arab Saudi 354,527 kes (5,729 kematian), Israel 327,049 kes (2,742 kematian), Kanada 315,754 kes (11,265 kematian), Maghribi 311,554 kes (5,090 kematian), Switzerland 285,655 kes (3,879 kematian), Portugal 243,009 kes (3,701 kematian), Austria 228,683 kes (2,116 kematian), Nepal 215,020 kes (1,276 kematian) dan Sweden 201,055 kes (6,340 kematian).

Negara yang lain termasuk dalam senarai 100,000 adalah  Ecuador 183,246 kes (13,073 kematian), Jordan 169,395 kes (2,053 kematian), Hungary 161,461 kes (3,472 kematian), Emiriah Arab Bersatu 155,254 kes (544 kematian), Panama 151,089 kes (2,922 kematian), Bolivia 143,756 kes (8,889 kematian), Kuwait 138,822 kes (859 kematian), Qatar 136,649 kes (235 kematian), Republik Dominica 136,183 kes (2,301 kematian), Costa Rica 128,231 kes (1,599 kematian), Kazakhstan 123,888 kes (1,945 kematian), Jepun 122,966 kes (1,922 kematian), Armenia 121,979 kes (1,870 kematian), Oman 121,360 kes (1,365 kematian), Belarus 119,390 kes (1,074 kematian), Guatemala 117,066 kes (4,050 kematian), Bulgaria 114,435 kes (2,649 kematian), Mesir 111,955 kes (6,508 kematian), Lubnan 111,946 kes (868 kematian), Ethiopia 104,427 kes (1,607 kematian), Serbia 104,097 kes (1,110 kematian) dan Honduras 103,488 kes (2,839 kematian).

Sementara China, di mana bermulanya wabak COVID-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat ke-65 dengan 86,398 kes (minggu lalu 86,307 kes) ). Angka kematian kekal 4,634 (tidak berubah daripada minggu-minggu sebelumnya).

Dalam kalangan negara jiran Malaysia di Asia Tenggara, Indonesia dan Filipina menyertai senarai 58 buah negara yang mencatat lebih 100 ribu kes COVID-19.

Indonesia merekod 483,518 kes (minggu lalu 452,291 kes) dengan 15,600 kematian (minggu lalu 14,933 kematian). Filipina mencatat 413,430 kes (minggu lalu 402,820 kes) dengan 7,998 kematian (minggu lalu 7,721 kematian).   

Myanmar minggu ini terus mengatasi Singapura dengan 74,882 kes (minggu lalu 65,598 kes) dengan 1,676 kematian (minggu lalu 1,508 kematian). Singapura melaporkan 58,139 kes, di tempat ke-83  (minggu lalu 58,102 kes).  Angka kematian kekal 28. 

Singapura setakat ini di tempat ke-83 sementara Malaysia di tempat ke-84.

Jumlah kes positif COVID-19 di Thailand pula sebanyak 3,888 kes (minggu lalu  3,852 kes) dengan angka kematian kekal 60. Vietnam mencatat 1,304 kes (minggu lalu 1,253 kes) dan angka kematian kekal 35.

Kes COVID-19 di Kampuchea minggu ini sebanyak 304 kes (minggu lalu 301 kes) dan masih sifar kematian.

Tiada perubahan kes COVID-19 di Brunei 141 kes (2 kematian) sementara Laos menambah satu kes menjadi 25 kes dan sifar kematian.

---------------------------------------------------------------------------------------------

RUANGAN SISI

LATAR BELAKANG COVID-19

-- Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

-- Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut. 

-- Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.

-- WHO memberi nama rasmi virus "2019-nCoV" iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.

-- Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.

-- Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.

-- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit COVID-19 sebagai pandemik.

-- WHO menyifatkan wabak penyakit COVID-19 sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1atau lebih dikenali sebagai Selesema Babi (Swine Flu).

-- Wabak Selesema Babi berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian. Ia mula dikesan di Mexico dan kemudiannya di Amerika Syarikat pada Mac 2009.

-- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pandemik COVID-19 akan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression.  

-- Kes pertama 2019-nCoV di Malaysia disahkan pada 25 Jan membabitkan tiga (3) warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Jan.

-- Khamis 30 Julai genap enam bulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengisytiharkan Darurat Kesihatan Awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan 2019 novel koronavirus yang dikenali kemudian sebagai COVID-19.

-- Pengumuman yang dibuat itu adalah yang ke-enam dibuat oleh Pertubuhan itu tetapi yang terburuk. Untuk rekod, pengumuman lalu ialah bersabit H1N1 (2009), Polio dan Ebola di Afrika Barat (2014), Zika (2016) dan Ebola di Republik Congo (2019).

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan