RENCANA

COVID-19: KAWAL PENULARAN DI LEMBAH KLANG DAN NEGERI SEMBILAN SEBELUM PARAH

13/11/2020 05:49 PM

Oleh Melati Mohd Ariff

Berikut adalah rangkuman mingguan mengenai COVID-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari  7 Nov hingga pukul 12:30 tgh 13 Nov.

Jumlah kes COVID-19 di Malaysia melepasi angka 43 ribu.  Di peringkat global, lebih 53 juta kes dilaporkan dengan hampir 1.3 juta kematian. Lebih 37 juta pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh. Pandemik COVID-19 sudah merebak ke lebih 200 buah negara dan wilayah.

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Penularan COVID-19 yang sebelum ini mengganas di Sabah kini mula dijejak merebak di Semenanjung khususnya di Lembah Klang serta Negeri Sembilan dan perkembangan ini semakin membimbangkan.

Semalam, Khamis 12 Nov, negeri-negeri di Lembah Klang iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya masih mencatat jumlah kes tiga angka seperti hari-hari sebelumnya sepanjang rangkuman mingguan ini.

Daripada 919 kes baharu yang diumumkan semalam, sebanyak 224 kes (24.4 peratus) dilaporkan di Lembah Klang dan Selangor sahaja mencatat 174 kes. Sebanyak  dan 122 kes dikesan daripada kluster sedia ada. Sebanyak 240 kes (26.1 peratus ) lagi dilaporkan di Negeri Sembilan dengan 236 kes daripada kluster sedia ada.

Jumlah kes tiga angka juga dicatat di negeri-negeri Lembah Klang (202 kes) dan Negeri Sembilan (225 kes) pada Rabu, 11 November. Jumlah kes baharu COVID-19 pada hari berkenaan adalah 822 kes.

Jumlah kes COVID-19 di negeri-negeri Lembah Klang pada hari Selasa 10 November pula adalah 258 kes (29.7 peratus daripada 869 kes pada hari tersebut) sementara Negeri Sembilan merekod 141 kes. 

Sabah, yang pernah mencatat sehingga 1,199 kes pada 6 November daripada 1,755 kes baharu COVID-19 pada hari tersebut, semalam mencatat hanya 319 kes (34.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes). Pada Rabu 11 Nov, negeri di bawah bayu itu mencatat 259 kes, sementara 397 pada Selasa 10 Nov.


Sidang media harian jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya. (Dari kiri) Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Rohaizat Yon, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Dr Hishamshah Mohd Ibrahim. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media mengenai perkembangan COVID-19 di Malaysia semalam berkata kes COVID-19 di Sabah kini semakin stabil dan terkawal.

Mengulas mengenai kes COVID-19 yang semakin meningkat di negeri-negeri Lembah Klang dan Negeri Sembilan, beliau berkata kerajaan mengambil langkah tepat menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk mengekang penularan koronavirus itu.

Menurut beliau, COVID-19 kini sudah menular dalam komuniti termasuk di tempat kerja, kilang, hospital swasta dan hospital kerajaan.

Kerajaan, katanya, tidak boleh menunggu sehingga satu-satu tempat itu diisytihar zon merah sebelum bertindak.

PKPB dikuatkuasakan di Semenanjung, bermula 9 November hingga 6 Disember depan, kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan. Ketiga-tiga negeri itu, masih tertakluk di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pelaksanaan PKPB untuk Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah yang sepatutnya berakhir 9 November disambung hingga 6 Disember. Menurut paparan Facebook rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam, secara keseluruhan jumlah kes positif di Selangor adalah 2,350. Kuala Lumpur dan Putrajaya kini berada di zon merah.

Sementara itu, Medan 88, Salak Tinggi, Sepang, Selangor diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan diPerketatkan (PKPD) mulai 12 November hingga 25 November, apabila sebanyak 39 kes positif COVID-19 dilaporkan di kawasan tersebut.

 

JUMLAH KES TEMPATAN MELEPASI ANGKA 43 RIBU


Seorang sami menampal pengimbas kod MySejahtera ketika tinjauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19 menjelang perayaan Deepavali di Kuil Kallumal Arulmigu Subramania, Gunung Cheroh, Ipoh. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Dengan 919 kes dilaporkan pada Khamis 12 Nov, jumlah kes positif COVID-19 sehingga pukul 12:00 tengah hari adalah sebanyak 43,791. Ini menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19, sebanyak 11,419 kes.

Untuk rekod, catatan kes harian baharu sepanjang rangkuman mingguan adalah  919 (12 Nov), 822  (11 Nov), 869 (10 Nov), 972 (9 Nov), 852 (8 Nov), dan 1,168 (7 Nov).

Jumlah kes pesakit COVID-19 yang dilaporkan pulih sepanjang minggu rangkuman sudah tentunya membanggakan dengan 996 orang dilaporkan sembuh, semalam.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya sudah melebih 32 ribu iaitu 32,069, iaitu 73.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Kes sembuh mengikut negeri, iaitu Sabah (543 kes), Selangor (225 kes), Pulau Pinang (108 kes), Wilayah Persekutuan Labuan (42 kes), Negeri Sembilan (38 kes), Sarawak (20 kes), Kedah (12 kes), Perak (4 kes), Terengganu (3 kes), dan Melaka (1 kes).

Untuk kes pulih pada hari yang lain adalah 769 (11 Nov), 725  (10 Nov), 1,345  (9 Nov), 825 (8 Nov) dan 1,029 (7 Nov).

 

KES KEMATIAN DAN KES-KES LAIN

Hanya satu kes kematian dilaporkan semalam, Khamis 12 Nov, iaitu di Sabah, melibatkan seorang pesakit lelaki bukan warganegara berusia 66 tahun. Ini menjadikan jumlah kes kematian berkaitan COVID-19 di Malaysia sebanyak 303 kes.

Mengikut pecahan hari, kematian yang dilaporkan sepanjang tempoh ini, adalah 1 (12 Nov), 2 (11 Nov), 6 (10 Nov), 8 (9 Nov), 4 (8 Nov) dan 3 (7 Nov).


Sebuah keluarga di kawasan Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi yang dipasang kawat duri berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Mereka dibenarkan bergerak di dalam kawasan PKPD tersebut kerana aktiviti perniagaan masih boleh dilakukan seperti biasa. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Daripada 24 kes kematian yang dilaporkan sepanjang 7 Nov hingga 12 Nov, 23 kes berlaku di Sabah sementara masing-masing satu (1) kes di Wilayah Persekutuan Labuan, Perak dan Kedah.

Sementara itu, jumlah pesakit COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi semalam (12 Nov) adalah seramai 92 orang, dan 35 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada 919 kes baharu, tiga (3) adalah kes import iaitu dua (2) warganegara dan seorang, bukan warganegara. Masing-masing satu (1) dari Indonesia, Nigeria dan Arab Saudi.

 

KALAU BOLEH RATAKAN LEKUK


Anggota polis berkawal di pintu masuk Masjid Jamek Sultan Abdul Samad bagi menghadkan jumlah kemasukan jemaah ke masjid tersebut berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Pada Isnin 9 November, Dr Noor Hisham berkata, PKPB di kebanyakan negeri boleh ditamatkan dalam masa dua minggu sahaja sekiranya lekuk penularan COVID-19 dapat diratakan.

Beliau positif perkara ini dapat dilakukan sekiranya semua rakyat negara ini, 100 peratus, patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP).

Dr Noor Hisham turut menekankan betapa pentingnya menurunkan R-Naught (Ro) yang kini pada paras 1.0 kepada kurang daripada 0.5 untuk melandaikan lengkungan penularan COVID-19 di negara ini.

Ro pada awal Gelombang Ketiga (22 September) adalah 2.2 dan berjaya diturunkan kepada 1.5 kira-kira dua minggu kemudian dan kini 1.0.

Nilai Ro yang berjaya diturunkan itu, kata beliau, adalah juga impak positif pelaksanaan PKPB.

Penurunan Ro itu adalah hasil positif pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut Dr Noor Hisham, pihak beliau mensasarkan Ro turun kepada kurang 0.5 dan dijangka dapat dilakukan dalam tempoh dua hingga tiga minggu ini.

Nilai Ro adalah kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak di dalam masyarakat. Menurunkan nilai Ro kepada kurang daripada 1 secara berterusan akan membantu memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 di Malaysia.

 

STATUS TERKINI KES COVID-19 DAN KLUSTER BAHARU

Menurut perincian kes yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Khamis 12 Nov, Sabah dilaporkan mencatat 318 kes dan 27 daripadanya daripada kluster baharu iaitu Kluster Teluk.


-- fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Negeri Sembilan, 240 kes dan 236 kes daripada kluster yang sedia ada; Selangor, 174 kes dan 122 daripada kluster sedia ada; Pulau Pinang, 63 kes; Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 47 kes; Wilayah Persekutuan Labuan, 35 kes; Sarawak, lapanj (8) kes; Perak, sembilan (9) kes; Johor, lapan (8) kes; Melaka, lapan (8) kes; Kedah, tiga (3) kes; Kelantan, dua (2) kes dan Wilayah Persekutuan Putraja, satu (1) kes.

Hanya satu kluster baharu dilaporkan semalam, iaitu Kluster Teluk, melibatkan daerah Kota Kinabalu, Sabah.

Tiga kes indeks bagi kluster ini dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan di tempat kerja pada 9 dan 10 November 2020. Saringan kontak rapat mengesan sebanyak 27 lagi kes positif COVID-19.

Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah Bangunan Kompleks Sukan Likas.

 

STATISTIK GLOBAL COVID-19

Kes Jumlah kumulatif kes positif global COVID-19 melepasi 50 juta pada Ahad 8 Nov.

Menurut perangkaan CoronaTracker (mengambil sumber pelbagai agensi termasuk WHO), jumlah kes COVID-19 di seluruh dunia setakat ini, melepasi 52 juta.

Setakat rangkuman mingguan ini, kes COVID-19 global sebanyak 52,490,003 (rangkuman minggu lalu 49,122,214) dengan 1,290,664 kematian (minggu lalu 1,241,143 kematian). Jumlah pesakit sembuh, 36,711,643 (minggu lalu 35,038,682). 

Amerika Syarikat masih mendahului senarai negara yang dilanda pandemik COVID-19 dengan 10,873,936 kes (minggu lalu 9,926,637 kes). Angka kematian pula mencecah 248,585 (minggu lalu 241,026 kematian). Kes positif COVID-19 mula dikesan di negara itu pada 20 Jan 2020.

Ini dikuti negara India, dengan 8,727,900 kes (minggu lalu 8,411,724 kes), dan 128,686 kematian (minggu lalu 125,029 kematian).      

Brazil mencatat 5,783,647 kes (minggu lalu 5,614,258 kes) dan 164,332 kematian (minggu lalu 161,779 kematian).   

Perancis mengambil tempat Rusia di tangga ke-empat, dengan 1,898,710 kes (minggu lalu 1,733,440 kes) dan 42,960 kematian (minggu lalu 29,887 kematian).        

Di samping empat negara di atas, terdapat 52 buah lagi negara  mencatat lebih 100,000 kes COVID-19.

Negara-negara dalam senarai tersebut adalah seperti berikut:-

Rusia 1,858,568 kes (32,032 kematian), Sepanyol 1,484,868 kes (40,461 kematian), United Kingdom 1,290,195 kes (50,928 kematian), Argentina 1,284,519 kes (34,782 kematian), Colombia 1,174,012 kes (33,491 kematian), Itali 1,066,401 kes (43,589 kematian), Mexico 991,835 kes (97,056 kematian), Peru 930,237 kes (35,067 kematian), Jerman 749,638 kes (12,276 kematian), Afrika Selatan 744,732 kes (20,976 kematian), Iran 726,585 kes (40,121 kematian), Poland 641,496 kes (9,080 kematian), Chile 526,438 kes (14,699 kematian), Belgium 515,391 kes (13,758 kematian), Iraq 511,806 kes (11,532 kematian), Ukraine 500,865 kes (9,145 kematian), Indonesia 452,291 kes (14,933 kematian), Czechia 446,675 kes (5,755 kematian), Bangladesh 427,198 kes (6,140 kematian), Turki 404,894 kes (11,233 kematian), dan Filipina 402,820 kes (7,721 kematian) .

Negara-negara lain adalah, Pakistan 352,296 kes (7,092 kematian), Arab Saudi 352,160 kes (5,605 kematian), Romania 334,236 kes (8,510 kematian), Israel 322,159 kes (2,706 kematian), Kanada 282,577 kes (10,768 kematian), Maghribi 276,821 kes (4,570 kematian), Switzerland 250,396 kes (3,216 kematian), Nepal 204,242 kes (1,189 kematian), Portugal 198,011 kes (3,181 kematian), Austria 181,642 kes (1,608 kematian), Ecuador 177,513 kes (12,946 kematian) dan Sweden 171,365 kes (6,122 kematian).

Negara yang turut tersenarai ialah Emiriah Arab Bersatu 146,735 kes (523 kematian), Panama 143,352 kes (2,830 kematian), Bolivia 142,889 kes (8,825 kematian), Qatar 135,132 kes (234 kematian), Kuwait 134932 kes (830 kematian), Jordan 132,086 kes (1,547 kematian), Republik Dominica 131,636 kes (2,274 kematian), Hungary 126,790 kes (2,784 kematian), Costa Rica 120,939 kes (1,527 kematian), Oman 119,442 kes (1,326 kematian), Kazakhstan 119,129 kes (1,899 kematian), Guatemala 113,543 (3,858 kematian), Armenia 112,680 kes (1,668 kematian), Jepun 111,711 kes (1,51 kematian), Belarus 110,455 kes (1,027 kematian),  Mesir 110,095 kes (6,417 kematian) Ethiopia 101,248 kes (1,554 kematian, Honduras 101,169 kes (2,797 kematian), Ethiopia 100,727 kes (1,545 kematian) dan Lubnan 100,703 kes (775 kematian).

Sementara China, di mana bermulanya wabak COVID-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat ke-60 dengan 86,307 kes (minggu lalu 86,151 kes). Angka kematian kekal 4,634 (tidak berubah daripada minggu-minggu sebelumnya).

Dalam kalangan negara jiran Malaysia di Asia Tenggara, Indonesia dan Filipina menyertai senarai 52 buah negara yang mencatat lebih 100 ribu kes COVID-19.

Indonesia merekod 452,291 kes (minggu lalu 425,796 kes) dengan 14,933 kematian (minggu lalu 14,348 kematian). Filipina mencatat 402,820 kes (minggu lalu 391,809 kes) dengan 7,721 kematian (minggu lalu 7,461 kematian).   

Myanmar minggu ini mengatasi Singapura dengan 65,598 kes (minggu lalu 57,935 kes ) dan 1,508 kematian (minggu laly 1,352 kematian). Singapura melaporkan 58,102 kes (minggu lalu 58,047 kes). Angka kematian kekal 28. 

Jumlah kes positif COVID-19 di Thailand pula 3,852 kes (minggu lalu 3,818) dengan angka kematian kekal 60. Vietnam mencatat 1,253 kes (minggu lalu 1,207 kes) dan angka kematian kekal 35.

Kes COVID-19 di Kampuchea minggu ini sebanyak 301 kes (minggu lalu 292) dan masih sifar kematian.

Tiada perubahan kes COVID-19 di Brunei 141 kes (2 kematian) sementara Laos, 24 kes dan sifar kematian.

---------------------------------------------------------------------------------------------

RUANGAN SISI

LATAR BELAKANG COVID-19

 

-- Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

-- Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut. 

-- Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.

-- WHO memberi nama rasmi virus "2019-nCoV" iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.

-- Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.

-- Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.

-- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit COVID-19 sebagai pandemik.

-- WHO menyifatkan wabak penyakit COVID-19 sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1atau lebih dikenali sebagai Selesema Babi (Swine Flu).

-- Wabak Selesema Babi berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian. Ia mula dikesan di Mexico dan kemudiannya di Amerika Syarikat pada Mac 2009.

-- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pandemik COVID-19 akan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression.  

-- Kes pertama 2019-nCoV di Malaysia disahkan pada 25 Jan membabitkan tiga (3) warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Jan.

-- Khamis 30 Julai genap enam bulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengisytiharkan Darurat Kesihatan Awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan 2019 novel koronavirus yang dikenali kemudian sebagai COVID-19.

-- Pengumuman yang dibuat itu adalah yang ke-enam dibuat oleh Pertubuhan itu tetapi yang terburuk. Untuk rekod, pengumuman lalu ialah bersabit H1N1 (2009), Polio dan Ebola di Afrika Barat (2014), Zika (2016) dan Ebola di Republik Congo (2019).

 

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan