RENCANA

COVID-19: JUMLAH KES HARIAN BAHARU KEKAL TIGA ANGKA

30/10/2020 09:19 PM

Oleh Melati Mohd Ariff

Berikut adalah rangkuman TERKINI mingguan mengenai COVID-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari  24 Okt hingga pukul 8:00 mlm 30 Okt.

Jumlah kes COVID-19 di Malaysia melepasi angka 30 ribu. Di peringkat global, lebih 45 juta kes dilaporkan dengan sekitar sejuta kematian. Lebih 33 juta pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh. Pandemik COVID-19 sudah merebak ke lebih 200 buah negara dan wilayah.

KUALA LUMPUR  (Bernama) -- Kira-kira 10 bulan pandemik COVID-19 melanda Malaysia, jumlah kes positif kini melepasi 30 ribu, sementara kes aktif dengan kebolehjangkitan pula mencecah angka 10 ribu.

Jumlah kes pesakit COVID-19 yang dilaporkan pulih pula meningkat melebihi 20 ribu orang.

Tempoh rangkuman mingguan ini melihat dua hari yang mencemaskan apabila buat pertama kalinya, angka kes baharu di Malaysia mencatat empat angka iaitu pada Sabtu 24 Oktober dan Isnin, 26 Oktober, masing-masing, 1,228 dan 1,240. 

Pada kedua-dua hari itu, Sabah menyumbang kes terbanyak kepada jumlah keseluruhan kes baharu COVID-19 di negara ini, iaitu 889 kes (24 Oktober) dan 927 kes (26 Oktober).

Setelah angka kes baharu berlegar antara sekitar lapan ratus hingga 1,200 lebih sepanjang tempoh ini, sudah tentunya jumlah kes baharu yang diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah semalam, iaitu sebanyak 649 kes, agak melegakan. Daripada jumlah itu, 352 kes berlaku di Sabah.

Hari ini (Jumaat 30 Oktober), jumlah kes baharu sehingga pukul 12:00 tengah hari kekal tiga angka dan di bawah paras 800 iaitu 799 kes. Semua kes adalah penularan dalam negara.


Beberapa orang penduduk Kampung Saguking berlindung di bawah sepohon pokok ketika menunggu bantuan kit bekalan makanan asas yang diedarkan oleh petugas Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lokaliti Saguking, Labuan. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Daripada 799 kes itu, 466 kes dilaporkan berlaku di Sabah. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 30,889 dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula, 10,392 kes.

Sepanjang tempoh rangkuman mingguan ini juga, KKM dan pihak yang berkenaan perlu diberi pujian kerana secara konsistennya sejumlah besar pesakit yang pulih. 

Pada hari ini 30 Oktober, seramai 491 orang lagi pesakit COVID-19 pulih, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya sudah melebih 20 ribu iaitu 20,248 orang, iaitu 65.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Kes sembuh mengikut negeri, Sabah 277, Selangor 135, Negeri Sembilan 25, Perak 22, Pulau Pinang 12, Sarawak 5, Johor 4, Terengganu 3, Pahang 2, Melaka 2, Kuala Lumpur & Putrajaya 2 dan Kelantan 2.

 

KES KEMATIAN DAN KES-KES LAIN


Seorang petugas barisan hadapan kelihatan melakukan sanitasi setelah menguruskan para penghuni Plaza Hentian Kajang bagi melakukan saringan ketika tinjauan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Setelah tiada kes kematian dilaporkan semalam, 28 Oktober, hari ini KKM melaporkan tiga (3) kes kematian, menjadikan jumlah kes sebanyak 249 iaitu 0.81 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. Ketiga-tiga kes (2 warganegara dan seorang bukan warganegara) berlaku di Sabah.

Mengikut pecahan hari, kematian yang dilaporkan sepanjang tempoh ini, adalah 3 (30 Okt),  sifar (29 Okt), 8 (28 Okt), 2 (27 Okt), 7 (26 Okt), 8 (25 Okt) dan 7 (24 Okt). Daripada 32 kes kematian sepanjang tempoh itu, 30 kes dilaporkan di Sabah dan masing-masing satu (1) di Perak dan Selangor.

Jumlah pesakit COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi hari ini seramai 90 orang dan daripada jumlah itu, 20 orang memerlukan bantuan pernafasan.

Untuk rekod, catatan kes baharu adalah 799 (30 Okt), 649 (29 Okt), 801 (28 Okt), 835 (27 Okt), 1,240 (26 Okt), 823 (25 Okt) dan 1,228 (24 Okt).

Untuk kes pulih pula, iaitu 491 (30 Okt), 685 (29 Okt), 573 (28 Okt), 674 (27 Okt), 691 (26 Okt), 579 (25 Okt) dan 671 (24 Okt).

 

PENTING TURUNKAN NILAI R-NAUGHT

Sewaktu sidang media mengenai perkembangan COVID-19 di Malaysia, pada Rabu 28 Oktober, Dr Noor Hisham berkata, R-Naught atau Ro untuk kebolehjangiktan Covid-19 di Malaysia telah menurun, iaitu daripada 2.2 pada permulaan gelombang ketiga kepada 1.5 (minggu lalu) dan 1.2, semalam (28 Oktober). 

Beliau memberi contoh sekiranya ada 100 orang yang dijangkiti, dengan Ro 1.2, pada kitaran berikutnya, seramai 120 orang lagi akan dijangkiti.


Seorang penduduk melekatkan notis di hadapan rumahnya di sini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Kampung Haji Baki, Kuching bermula hari ini sehingga 11 November 2020. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Penurunan Ro itu, kata beliau, adalah impak positif pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau berkata, kes baharu COVID-19 kian meningkat dari hari ke hari dan nilai Ro itu perlu diturunkan lagi kepada kurang daripada 1 dan  kalau boleh kepada 0.3.

“Kalau dapat diturunkan kepada 0.3, kita dapat melandaikan lengkung (flattened the curve). Kita kini berada di puncak dan berikan kita tiga atau empat minggu, kita mampu mengurangkan kes, kembali kepada dua angka atau mungkin satu angka, “ jelasnya.

Dr Noor Hisham menyebut Malaysia berhadapan dengan peringkat awal gelombang ketiga penularan COVID-19 di Malaysia pada sidang medianya 2 Oktober lepas. Pada hari itu, Malaysia mencatat 287 kes baharu positif COVID-19.

Nilai Ro adalah kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak di dalam masyarakat. Menurunkan nilai Ro kepada kurang daripada 1 secara berterusan akan membantu memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 di Malaysia.

 

KLUSTER DAN STATUS TERKINI KES COVID-19

Secara keseluruhannya, terdapat 247 kluster sejak pandemik COVID-19 melanda di Malaysia dan setakat ini, 114 sudah ditamatkan. Daripada 133 kluster yang masih ada, 93 tidak menambah kes, sementara 40 masih melaporkan kes baharu, termasuk lapan (8) kluster yang diumumkan hari ini.


Seorang anggota tentera membuat kawalan di hadapan kawad duri yang dipasang di sekitar rumah teres yang terlibat dalam perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketika tinjauan di Flat Sungai Emas, Kuala Langat. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Daripada lapan (8) kluster baharu diumumkan hari ini,  tiga (3) di Sabah, dua (2) di Selangor, dan masing-masing satu (1) di Negeri Sembilan, Labuan dan Johor.

Daripada senarai pecahan kes, Sabah melaporkan 466 kes dan 70 kes daripada jumlah itu adalah daripada kluster baharu iaitu Kluster Rumah Merah, Kluster Telipok dan Kluster Sembulan.

Sebanyak 150 kes baharu dilaporkan di Selangor, termasuk 76 daripada kluster baharu iaitu Kluster Merpati dan Kluster Astaka.

Wilayah Persekutuan Labuan, 65 kes termasuk 11 daripada kluster baharu, Kluster Titian.

Pulau Pinang, 35 kes; Negeri Sembilan, 23 kes termasuk dua daripada kluster baharu, Kluster Gala; Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 19 kes; Sarawak 16 kes; Perak 10 kes; Johor sembilan (9) kes termasuk lima (5) daripada kluster baharu, Kluster Meldrum; Kedah lima (5) kes dan Wilayah Persekutuan Putrajaya satu (1) kes.

 

PKPB, PKPD & KUARANTIN WAJIB


Angkatan Pertahanan Awam Malaysia bersama petugas kesihatan melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah ketika tinjauan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di kawasan rumah teres Jalan Emas 31 dan Jalan Emas 32, Kuala Langat. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Peningkatan kes baharu COVID-19 menyebabkan kerajaan melanjutkan PKPB bagi negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail mengumumkan pada 26 Oktober lepas, PKPB itu yang dijadualkan berakhir 27 Oktober dilanjutkan sehingga 9 November depan.

PKPB untuk Wilayah Persekutuan Labuan yang dijadualkan berakhir pada 30 Oktober, juga dilanjutkan sehingga 13 November depan.

PKPB turut dilaksanakan di zon Nilai, berkuat kuasa 28 Oktober hingga 10 November ini manakala PKP Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Putra Point, Nilai.

PKPD turut diumumkan bagi tiga (3) buah kampung di Kudat, Sabah, iaitu Kampung Pengaraban, Kampung Tanjung Kapur dan Kampung Landong Ayang. Ini berkuatkuasa dari 30 Oktober 2020 hingga 12 November 2020.

Sementara itu, sejak 24 Julai sehingga 29 Oktober 2020, seramai 57,396 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa. 

Seramai 9,221 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 63 Hotel dan 17 premis termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan

 

STATISTIK GLOBAL COVID-19


Statistik terkini COVID-19 di seluruh dunia dan ringkasan kes COVID-19 di Malaysia. www.coronatracker.com

Sementara itu, menurut perangkaan CoronaTracker (mengambil sumber pelbagai agensi termasuk WHO), jumlah kes COVID-19 di seluruh dunia, setakat ini melepasi 45 juta.

Setakat rangkuman mingguan ini, kes COVID-19 global sebanyak 45,429,027 (rangkuman minggu lalu 42,048,648) dengan 1,187,582 kematian (minggu lalu 1,143,581 kematian). Jumlah pesakit sembuh, 33,035,620 orang (minggu lalu 31,208,101). 

Amerika Syarikat masih di tempat teratas dalam senarai negara yang dilanda pandemik COVID-19 dengan 9,214,994 kes (minggu lalu 8,661,722 kes). Angka kematian 234,201 (minggu lalu 228,381). Kes positif COVID-19 mula dikesan di negara itu pada 20 Jan 2020.

India, di tempat kedua dengan 8,088,851 kes (minggu lalu 7,761,312 kes) dengan 121,131 kematian (minggu lalu 117,336 kematian).      

 Ini diikuti Brazil, dengan 5,496,402 kes (minggu lalu 5,332,634 kes) dan 159,033 kematian (minggu lalu 155,962 kematian).   

Rusia merekod 1,599,976 kes (minggu lalu 1,480,646 kes) dan 27,656 kematian (minggu lalu 25,525 kematian).       

Di samping empat negara di atas, terdapat 44 (minggu lalu 43) lagi negara mencatat lebih 100,000 kes COVID-19.

Negara-negara dalam senarai tersebut adalah seperti berikut:-

Perancis 1,282,769 kes (36,020 kematian), Sepanyol 1,238,922 kes (35,639 kematian), Argentina 1,143,800 kes (30,442 kematian), Colombia 1,053,122 kes (30,926 kematian), United Kingdom 965,340 kes (45,955 kematian), Mexico 912,811 kes (90,773 kematian), Peru 897,594 kes (34,362 kematian), Afrika Selatan 721,770 kes (19,164 kematian), Itali 616,595 kes (38,122 kematian), Iran 596,941 kes (34,113 kematian), Chile 507,050 kes (14,118 kematian), Jerman 498,353 kes (10,435 kematian), Iraq 467,755 kes (10,815 kematian), Indonesia 406,945 kes (13,782 kematian), Bangladesh 404,760 kes (5,886 kematian), Belgium 392,258 kes (11,308 kematian), Filipina 378,933 kes (7,185 kematian), Ukraine 378,729 kes (7,041 kematian), Turki 370,832 kes (10,099 kematian), Arab Saudi 346,482 kes (5,363 kematian), Pakistan 332,186 kes (6,795 kematian), Belanda 330,255 kes (7,258 kematian), Poland 319,205 kes (5,149 kematian) dan Israel 313,590 kes (2,511 kematian).

Negara lain adalah Czechia 310,068 kes (2,862 kematian), Romania 229,040 kes (6,764 kematian), Kanada 228,542 kes (10,074 kematian), Maghribi 212,038 kes (3,572 kematian), Equador 166,302 kes (12,622 kematian), Nepal 164,718 kes (904 kematian), Switzerland 145,044 kes (2,200 kematian), Bolivia 141,484 kes (8,705 kematian), Portugal 132,616 kes (2,428 kematian), Qatar 132,150 kes (231 kematian), Panama 132,045 kes (2,678 kematian), Emiriah Arab Bersatu 130,336 kes (488 kematian), Republik Dominica 125,913 kes (2,234 kematian), Kuwait 124,666 kes (767 kematian), Sweden 121,167 kes (5,934 kematian), Oman 114,434 kes (1,208 kematian), Kazakhstan 111,100 kes (1,825 kematian), Costa Rica 107,570 kes (1,357 kematian), Mesir 107,209 kes (6,247 kematian), dan Guatemala 106,790 kes (3,704 kematian).

Sementara China, di mana bermulanya wabak COVID-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat ke-56, dengan 85,940 kes (minggu lalu 85,747 kes) dan angka kematian kekal 4,634 (tidak berubah daripada minggu-minggu sebelumnya).

Dalam kalangan negara jiran Malaysia di Asia Tenggara, Indonesia dan Filipina menyertai senarai 48 buah negara yang mencatat lebih 100 ribu kes COVID-19.

Sebanyak 406,945 kes direkodkan di Indonesia minggu ini (minggu lalu 377,541 kes) dan 13,782 kematian (minggu lalu 12,959 kematian). Filipina merekod 378,933 kes (minggu lalu 365,799 kes) dan 7,185 kematian (minggu lalu 6,915 kematian).  

Singapura melaporkan 58,003 kes (minggu lalu 57,951 kes)  dengan angka kematian kekal  28. Myanmar mempunyai 50,403 kes (minggu lalu 41,008 kes) dan 1,199 kematian (minggu lalu 1,005 kematian). 

 Jumlah kes positif COVID-19 di Thailand pula sebanyak 3,775 (minggu lalu 3,727 kes) dan angka kematian kekal 59. 

Vietnam mencatat 1,177 kes (minggu lalu 1,148 kes) dan angka kematian kekal 35. Kes COVID-19 di Kampuchea minggu ini sebanyak 291 kes (minggu lalu  286 kes) dan masih sifar kematian.

Tiada perubahan kes COVID-19 di Brunei 141 kes (2 kematian) sementara Laos, 24 kes dan sifar kematian.

---------------------------------------------------------------------------------------------

RUANGAN SISI

LATAR BELAKANG COVID-19

-- Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

-- Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut. 

-- Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.

-- WHO memberi nama rasmi virus "2019-nCoV" iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.

-- Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.

-- Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.

-- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit COVID-19 sebagai pandemik.

-- WHO menyifatkan wabak penyakit COVID-19 sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1atau lebih dikenali sebagai Selesema Babi (Swine Flu).

-- Wabak Selesema Babi berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian. Ia mula dikesan di Mexico dan kemudiannya di Amerika Syarikat pada Mac 2009.

-- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pandemik COVID-19 akan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression.  

-- Kes pertama 2019-nCoV di Malaysia disahkan pada 25 Jan membabitkan tiga (3) warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Jan.

-- Khamis 30 Julai genap enam bulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengisytiharkan Darurat Kesihatan Awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan 2019 novel koronavirus yang dikenali kemudian sebagai COVID-19.

-- Pengumuman yang dibuat itu adalah yang ke-enam dibuat oleh Pertubuhan itu tetapi yang terburuk. Untuk rekod, pengumuman lalu ialah bersabit H1N1 (2009), Polio dan Ebola di Afrika Barat (2014), Zika (2016) dan Ebola di Republik Congo (2019).

 

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan