RENCANA

COVID-19: PKPB TURUNKAN JUMLAH KES BAHARU HARIAN

30/10/2020 05:25 PM

Oleh Melati Mohd Ariff

Berikut adalah rangkuman mingguan mengenai COVID-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari  24 Okt hingga pukul 12:30tgh 30 Okt.

Jumlah kes COVID-19 di Malaysia melepasi angka 30 ribu . Di peringkat global, lebih 45 juta kes dilaporkan dengan sekitar sejuta kematian. Hampir 33 juta pesakit COVID-19 dilaporkan sembuhPandemik COVID-19 sudah merebak ke lebih 200 buah negara dan wilayah.

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Kira-kira 10 bulan pandemik COVID-19 melanda Malaysia, jumlah kes positif kini melepasi 30 ribu, sementara kes aktif dengan kebolehjangkitan pula mencecah angka 10 ribu.

Tempoh rangkuman mingguan ini juga melihat dua hari yang mencemaskan apabila buat pertama kalinya, angka kes baharu di Malaysia mencatat empat angka iaitu pada Sabtu 24 Oktober dan Isnin, 26 Oktober, masing-masing, 1,228 dan 1,240. 

Pada kedua-dua hari itu, Sabah menyumbang kes terbanyak kepada jumlah keseluruhan kes baharu COVID-19 di negara ini, iaitu 889 kes (24 Oktober) dan 927 kes (26 Oktober).

Setelah angka kes baharu berlegar antara sekitar lapan ratus hingga 1,200 lebih sepanjang tempoh ini, sudah tentunya jumlah kes baharu yang diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah semalam, agak melegakan.

Menurut kenyataan media beliau, jumlah kes baharu sehingga pukul 12:00 tengah hari Khamis 29 Oktober 2020 adalah 649 dan 352 kes daripada jumlah itu dilaporkan berlaku di Sabah. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 30,090, dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula, 10,087 kes.

Daripada jumlah kes baharu itu, tujuh (7) adalah kes import, melibatkan dua (2) warganegara dan lima (5) bukan warganegara, yang tiba dari Indonesia (5), India (1) dan Filipina (1).

Sepanjang tempoh rangkuman mingguan ini juga, KKM dan pihak yang berkenaan perlu diberi pujian kerana secara konsistennya sejumlah besar pesakit yang pulih. 

Semalam 29 Oktober, seramai 685 lagi pesakit COVID-19 pulih, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya seramai 19,757 orang, iaitu 64.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.


Pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa 2 Kota Kinabalu membawa peralatan dan kelengkapan pakaian kakitangan hospital yang disumbangkan oleh Persatuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) berikutan peningkatan penularan kes COVID-19 di negeri Sabah. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sabah mendahului dengan 458 kes, dikuti Selangor (94 kes), Kedah (68 kes), Labuan (18 kes), Negeri Sembilan (15 kes), Pulau Pinang (13 kes), Melaka (9 kes), Sarawak (4 kes), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (4 kes) dan Johor (2 kes).

 

KES KEMATIAN DAN KES-KES LAIN

Setelah lima hari berturut-turut (tempoh rangkuman mingguan) berlaku kes kematian, tiada kes kematian dilaporkan semalam, 28 Oktober. Jumlah kes kematian setakat ini sebanyak 246 kes (0.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Mengikut pecahan hari, kematian yang dilaporkan sepanjang tempoh ini, adalah, sifar kes (29 Okt), 8 (28 Okt), 2 (27 Okt), 7 (26 Okt), 8 (25 Okt) dan 7 (24 Okt). Daripada 32 kes kematian sepanjang tempoh itu, 30 kes dilaporkan di Sabah dan masing-masing satu (1) di Perak dan Selangor.

Bagaimanapun, jumlah pesakit COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi semalam adalah tinggi iaitu 106 orang dan daripada jumlah itu, 23 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Untuk rekod, catatan kes baharu adalah 649 (29 Okt), 801 (28 Okt), 835 (27 Okt), 1,240 (26 Okt), 823 (25 Okt) dan 1,228 (24 Okt).

Untuk kes pulih pula, iaitu 685 (29 Okt), 573 (28 Okt), 674 (27 Okt), 691 (26 Okt), 579 (25 Okt) dan 671 (24 Okt).

 

PENTING TURUNKAN NILAI R-NAUGHT


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (tengah) menyampaikan statistik jangkitan pada sidang media perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan di Putrajaya.

Sewaktu sidang media mengenai perkembangan COVID-19 di Malaysia, pada Rabu 28 Oktober, Dr Noor Hisham berkata, R-Naught atau Ro untuk kebolehjangiktan Covid-19 di Malaysia telah menurun, iaitu daripada 2.2 pada permulaan gelombang ketiga kepada 1.5 (minggu lalu) dan 1.2, semalam (28 Oktober). 

Beliau memberi contoh sekiranya ada 100 orang yang dijangkiti, dengan Ro 1.2, pada kitaran berikutnya, seramai 120 orang lagi akan dijangkiti.

Penurunan Ro itu, kata beliau, adalah impak positif pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau berkata, kes baharu COVID-19 kian meningkat dari hari ke hari dan nilai Ro itu perlu diturunkan lagi kepada kurang daripada 1 dan  kalau boleh kepada 0.3.

“Kalau dapat diturunkan kepada 0.3, kita dapat melandaikan lengkung (flattened the curve). Kita kini berada di puncak dan berikan kita tiga atau empat minggu, kita mampu mengurangkan kes, kembali kepada dua angka atau mungkin satu angka, “ jelasnya.

Dr Noor Hisham menyebut Malaysia berhadapan dengan peringkat awal gelombang ketiga penularan COVID-19 di Malaysia pada sidang medianya 2 Oktober lepas. Pada hari itu, Malaysia mencatat 287 kes baharu positif COVID-19.

Nilai Ro adalah kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak di dalam masyarakat. Menurunkan nilai Ro kepada kurang daripada 1 secara berterusan akan membantu memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 di Malaysia.

 

KLUSTER DAN STATUS TERKINI KES COVID-19

Sebanyak lima (5) kluster baharu diumumkan semalam, iaitu dua (2) di Sabah, dua (2) di Selangor dan satu (1) di Negeri Sembilan.

Kluster-kluster baharu di Sabah iaitu Kluster Sakti di Lahad Datu yang setakat ini mencatatkan 18 kes positif, sementara Kluster Tuguson di daerah Kota Belud dilaporkan sebanyak 18 kes positif dan 128 individu menunggu keputusan.

Di Selangor, Kluster Bah Medan melibatkan daerah Sepang dan setakat semalam, 20 kes positif dilaporkan sementara, Kluster Taman Laut melibatkan daerah Petaling mencatat enam (6) kes positif sementara 99 individu masih menunggu keputusan.

Di Negeri Sembilan, Kluster Taman Bunga melibatkan daerah Seremban, Kuala Pilah dan Jelebu dan setakat semalam 23 kes dikesan positif.


--fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Di bawah senarai perincian kes baharu yang dilaporkan KKM setakat pukul 12 tengah hari Khamis 29 Oktober, Sabah masih mencatat kes baharu tertinggi iaitu 352 kes dan daripada jumlah itu, 55 kes daripada kluster termasuk 11 (Kluster Sakti dan Kluster Tuguson).

Kes baharu di Selangor sebanyak 132 kes dan 70 daripadanya adalah daripada kluster termasuk enam (6) kes daripada Kluster Taman Laut dan Kluster Bah Medan.

Negeri Sembilan merekod 43 kes; sebanyak 36 kes daripada kluster termasuk 16 kes daripada Kluster Taman Bunga. Kedah mencatat 37 kes daripada kluster sedia ada; Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, masing-masing melaporkan 21 kes dan 17 kes.

Pulau Pinang, 13 kes; Johor 10 kes; Sarawak lapan (8) kes dan Perak lima (5) kes.

Pahang, Melaka, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Putrajaya, masing-masing melaporkan satu (1) kes.

 

PKPB, PKPD & KUARANTIN WAJIB

Peningkatan kes baharu COVID-19 menyebabkan kerajaan melanjutkan PKPB bagi negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail mengumumkan pada 26 Oktober lepas, PKPB itu yang dijadualkan berakhir 27 Oktober dilanjutkan sehingga 9 November depan.

PKPB untuk Wilayah Persekutuan Labuan yang dijadualkan berakhir pada 30 Oktober, juga dilanjutkan sehingga 13 November depan.


Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat menjalankan kawalan keselamatan rutin di sekitar pagar kawat berduri yang dipasang di kawasan Putra Point Nilai berhubung peningkatan kes positif COVID-19 dalam kalangan warga asing di kawasan tersebut. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

PKPB turut dilaksanakan di zon Nilai, berkuat kuasa 28 Oktober hingga 10 November ini manakala PKP Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Putra Point, Nilai.

PKPD turut diumumkan bagi tiga (3) buah kampung di Kudat, Sabah, iaitu Kampung Pengaraban, Kampung Tanjung Kapur dan Kampung Landong Ayang. Ini berkuatkuasa dari 30 Oktober 2020 hingga 12 November 2020.

Sementara itu, sejak 24 Julai sehingga 28 Oktober 2020, seramai 56,699 individu telah pulang ke tanah air daripada 36 buah negara melalui pintu masuk sempadan antarabangsa. Antaranya dari Filipina, Thailand, Indonesia, Singapura, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Iran, Taiwan, China, Perancis, Sepanyol, New Zealand dan Amerika Syarikat.

Mereka ditempatkan di 65 hotel dan 17 premis lain untuk kuarantin wajib selama dua minggu.

 

STATISTIK GLOBAL COVID-19


Statistik terkini COVID-19 di seluruh dunia dan ringkasan kes COVID-19 di Malaysia. www.coronatracker.com

Sementara itu, menurut perangkaan CoronaTracker (mengambil sumber pelbagai agensi termasuk WHO), jumlah kes COVID-19 di seluruh dunia, setakat ini melepasi 45 juta.

Setakat rangkuman mingguan ini, kes COVID-19 global sebanyak 45,320,581 (rangkuman minggu lalu 42,048,648) dengan 1,186,223 kematian (minggu lalu 1,143,581 kematian). Jumlah pesakit sembuh ialah 32,992,305 (minggu lalu 31,208,101).   

Amerika Syarikat masih di tempat teratas dalam senarai negara yang dilanda pandemik COVID-19 dengan 9,212,767 kes  (minggu lalu 8,661,722 kes).  Angka kematian 234,177 (minggu lalu 228,381). Kes positif COVID-19 mula dikesan di negara itu pada 20 Jan 2020.

India, di tempat kedua dengan 8,088,046 kes (minggu lalu 7,761,312 kes) dengan 121,131 kematian (minggu lalu 117,336 kematian).      

 Ini diikuti Brazil, dengan 5,496,402 kes (minggu lalu 5,332,634 kes) dan 159,033 kematian (minggu lalu 155,962 kematian).   

Rusia merekod 1,581,693 kes (minggu lalu 1,480,646 kes) dan 27,301 kematian (minggu lalu 25,525 kematian).       

Di samping empat negara di atas, terdapat 44 (minggu lalu 43 ) lagi negara mencatat lebih 100,000 kes COVID-19.

Negara-negara dalam senarai tersebut adalah seperti berikut:-

Perancis 1,282,769 kes (36,020 kematian), Sepanyol 1,238,922 kes (35,639 kematian), Argentina 1,143,800 kes (30,442 kematian), Colombia 1,053,122 kes (30,926 kematian), United Kingdom 965,340 kes (45,955 kematian), Mexico 912,811 kes (90,773 kematian), Peru 897,594 kes (34,362 kematian), Afrika Selatan 721,770 kes (19,164 kematian), Itali 616,595 kes (38,122 kematian), Iran 596,941 kes (34,113 kematian), Chile 507,050 kes (14,118 kematian), Jerman 498,353 kes (10,435 kematian), Iraq 467,755 kes (10,815 kematian), Bangladesh 404,760 kes (5,886 kematian), Indonesia 404,048 kes (13,701 kematian), Filipina 376,935 kes (7,147 kematian), Turki 370,832 kes (10,099 kematian), Ukraine 370,417 kes (6,868 kematian), Belgium 368,337 kes (11,170 kematian), Arab Saudi 346,482 kes (5,363 kematian), Pakistan 331,108 kes (6,775 kematian), Belanda 330,255 kes (7,258 kematian), Poland 319,205 kes (5,149 kematian) dan Israel 313,114 kes (2,508 kematian).

Negara lain adalah Czechia 310,068 kes (2,862 kematian), Romania 229,040 kes (6,764 kematian), Kanada 228,542 kes (10,074 kematian), Maghribi 212,038 kes (3,572 kematian), Equador 166,302 kes (12,662 kematian), Nepal 164,718 kes (904 kematian), Switzerland 145,044 kes (2,200 kematian), Bolivia 141,484 kes (8,705 kematian), Portugal 132,616 kes (2,428 kematian), Qatar 132,150 kes (231 kematian), Panama 132,045 kes (2,678 kematian), Emiriah Arab Bersatu 130,336 kes (488 kematian), Republik Dominica 125,913 kes (2,234 kematian), Kuwait 124,666 kes (767 kematian), Sweden 121,167 kes (5,934 kematian), Oman 114,434 kes (1,208 kematian), Kazakhstan 111,100 kes (1,825 kematian), Costa Rica 107,570 kes (1,357 kematian), Mesir 107,209 kes (6,247 kematian), Costa Rica 106,553 kes (1,340 kematian) dan Guatemala 106,790 kes (3,704 kematian).

Sementara China, di mana bermulanya wabak COVID-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat ke-55, dengan 85,940 kes (minggu lalu 85,747 kes) dan angka kematian kekal 4,634 (tidak berubah daripada minggu-minggu sebelumnya).

Dalam kalangan negara jiran Malaysia di Asia Tenggara, Indonesia dan Filipina menyertai senarai 48 buah negara yang mencatat lebih 100 ribu kes COVID-19.

Sebanyak 404,048 kes direkodkan di Indonesia minggu ini (minggu lalu 377,541 kes) dan 13,701 kematian (minggu lalu 12,959 kematian). Filipina merekod 376,935 kes (minggu lalu 365,799 kes) dan 7,147 kematian (minggu lalu 6,915 kematian).  

Singapura melaporkan 57,994 kes (minggu lalu 57,951 kes)  dengan angka kematian kekal  28. Myanmar mempunyai 50,403 kes (minggu lalu 41,008 kes) dan 1,199 kematian (minggu lalu 1,005 kematian). 

 Jumlah kes positif COVID-19 di Thailand pula sebanyak 3,763 (minggu lalu 3,727 kes) dan angka kematian kekal 59. 

Vietnam mencatat 1,177 kes (minggu lalu 1,148 kes) dan angka kematian kekal 35. Kes COVID-19 di Kampuchea minggu ini sebanyak 291 kes (minggu lalu  286 kes) dan masih sifar kematian.

Tiada perubahan kes COVID-19 di Brunei 141 kes (2 kematian) sementara Laos, 24 kes dan sifar kematian.

---------------------------------------------------------------------------------------------

RUANGAN SISI

LATAR BELAKANG COVID-19

-- Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

-- Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut. 

-- Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.

-- WHO memberi nama rasmi virus "2019-nCoV" iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.

-- Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.

-- Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.

-- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit COVID-19 sebagai pandemik.

-- WHO menyifatkan wabak penyakit COVID-19 sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1atau lebih dikenali sebagai Selesema Babi (Swine Flu).

-- Wabak Selesema Babi berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian. Ia mula dikesan di Mexico dan kemudiannya di Amerika Syarikat pada Mac 2009.

-- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pandemik COVID-19 akan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression.  

-- Kes pertama 2019-nCoV di Malaysia disahkan pada 25 Jan membabitkan tiga (3) warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Jan.

-- Khamis 30 Julai genap enam bulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengisytiharkan Darurat Kesihatan Awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan 2019 novel koronavirus yang dikenali kemudian sebagai COVID-19.

-- Pengumuman yang dibuat itu adalah yang ke-enam dibuat oleh Pertubuhan itu tetapi yang terburuk. Untuk rekod, pengumuman lalu ialah bersabit H1N1 (2009), Polio dan Ebola di Afrika Barat (2014), Zika (2016) dan Ebola di Republik Congo (2019).

 

-- BERNAMA


 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan