RENCANA

ECO BOTANIC 2 TAWAR KEHIDUPAN PINTAR, CARA SEMULAJADI

21/10/2020 05:57 PM

Oleh Nor Baizura Basri

ISKANDAR PUTERI (Bernama) -- Eco World Development Group Bhd (EcoWorld) memperkenalkan Eco Botanic 2, projek terbaharunya di sini dengan mengetengahkan banyak ciri unik termasuk menjalani cara hidup yang pintar dan pada masa yang sama memelihara habitat semula jadi burung dan pokok.

Eco Botanic 2, yang dibangun berdasarkan momentum yang dicapai hasil daripada projek Eco Botanic sebelumnya di sini, menampilkan produk yang dapat memenuhi kehendak setiap generasi di Iskandar Puteri.

Eco Botanic, yang dilancarkan pada tahun 2013, telah terbukti menjadi usaha yang berjaya, yang membolehkan pemaju mengulangi kejayaannya dengan melancarkan Eco Botanic 2.

Dibina di atas tanah seluas lebih 200 ekar (80.9 hektar), perbandaran baru ini bersebelahan dengan Eco Botanic dan kemungkinan akan melengkapkan penawaran mewah Eco Botanic yang tersedia ada dan memperluas segmen pasaran EcoWorld di sini.

Dengan konsep DNA khas, projek ini dijangka menarik lebih ramai pembeli - pembeli sedia ada dan keluarga besar mereka yang menginginkan kualiti hidup yang baik tanpa mengorbankan keperluan semasa seperti kehidupan pintar.  

 

APA ITU KONSEP DNA?


Replika rumah kediaman Eco World Development Group Berhad (EcoWorld Malaysia). --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Konsep DNA, yang terbukti dalam Eco Botanic dan dalam banyak kediaman EcoWorld merangkumi  tawaran dari segi reka bentuk, alam dan seni.

Melalui Eco Botanic 2, konsep ini diterokai lebih jauh melalui penyelidikan yang lebih teliti dari segi permintaan semasa pemilik rumah untuk pasaran tempatan.

Pengurus Besar Bahagian EcoWorld, Phan Yan Chan menyatakan bahawa sebab itulah DNA penting kerana ia menjadi penanda aras untuk keseluruhan pembangunan.

“Melalui projek ini, kami juga menawarkan ruang dan kecekapan. Inilah sebabnya mengapa konsep DNA penting. Melalui seni, kami juga ingin mencipta lingkungan yang tenang untuk pemilik rumah,” katanya kepada Bernama dalam temubual baru-baru ini.

Contohnya, bulatan di kawasan perbandaran tidak akan menjadi sesuatu yang biasa tetapi sebaliknya akan menjadi mercu tanda di kawasan perbandaran yang menampilkan pokok-pokok tempatan besar seperti tembusu.

 

TAWAR KEHIDUPAN HIJAU, KELESTARIAN ALAM SEKITAR DAN LANDSKAP MENARIK 


Eco Botanic 2, Iskandar Puteri. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Pengurus Besar Landskap Kumpulan Bahagian EcoWorld Md Suhilmi Ismail berkata, pasukannya telah mengenal pasti spesies pokok yang sesuai untuk ditanam di Eco Botanic 2, terutama yang dapat menawarkan habitat semula jadi untuk burung dan serangga.

“Ini adalah cara kita menjaga alam sekitar. Kami mempunyai 33 pokok pulai dan lain-lain yang telah kami kumpulkan dan kenal pasti untuk tujuan penanaman semula. Kami akan melihat kawasan terbaik untuk menanam semula pokok itu,” katanya.

Phan berkata, dengan kesemua itu, Eco Botanic 2 menawarkan sebuah perbandaran dengan konsep kehidupan hijau dan kelestarian alam sekitar, serta laluan pejalan kaki yang indah dirancang untuk memenuhi jangkaan pasaran berhubung perbandaran itu.

Apa yang lebih menarik ialah orang ramai benar-benar dapat melihat reka bentuk "kupu-kupu cantik yang besar" dihasilkan oleh pihak taman awam Eco Botanic dan Eco Botanic 2, yang dapat dilihat melalui pemandangan udara.

Secara kolektif, ruang hijau yang melimpah dan taman landskap indah yang disediakan oleh kedua-dua bandar ini juga mempromosi gaya hidup sihat tanpa perlu keluar dari kawasan itu.

 

SASARAN PASARAN BAGI M40 


Pengurus Besar Landskap Kumpulan Bahagian EcoWorld Md Suhilmi Ismail (tengah) bersama Pengurus Besar Bahagian EcoWorld, Phan Yan Chan (kanan) melihat replika pelan perumahan. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Mengakui Gen Y dan Gen Z sebagai segmen pasaran yang penting, Phan berkata, perbandaran baru ini meletakkan asas yang kukuh untuk EcoWorld terus memenuhi keperluan segmen ini dan kapasiti pelaburan dari semasa ke semasa.

Eco Botanic 2 akan menawarkan rumah atas tanah dengan harga antara RM600,000 dan RM900,000, yang sangat sesuai untuk keluarga muda dalam kumpulan M40. Untuk bumiputera, rumah yang ditawarkan berharga antara RM520,200 dan RM833,000.

"Walaupun Eco Botanic menawarkan pembangunan perumahan mewah berpagar dan dikawal  pengawal keselamatan untuk pasaran golongan atas, namun Eco Botanic 2 dihasilkan untuk pasaran sasaran penting lain - pemilik rumah pertama dan kumpulan M40," tambahnya.

Untuk Eco Botanic 2, EcoWorld telah menggunakan semua elemen yang menjadikan pendahulunya istimewa dan menambahkan lagi elemen pintar.

Kawasan pertama Eco Botanic 2 akan menawarkan 600 unit rumah dua tingkat - rumah bertingkat (20 kaki x 65 kaki, 20 kaki x 70 kaki dan 22 kaki x 65 kaki) dan rumah taman (30 kaki x 60 kaki) dengan keluasan bangunan dari 1,701 hingga 2,239 kaki persegi

Sementara itu, Garden Home adalah produk eksklusif EcoWorld yang menawarkan taman peribadi seluas 8 kaki yang bersambung dengan ruang tamu.

 

CARA HIDUP PINTAR 


Bilik tidur di dalam rumah contoh Eco World Development Group Berhad (EcoWorld). --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Selain dari alam semula jadi, Eco Botanic 2 mempromosikan kehidupan pintar, menyediakan infrastruktur yang baik di dalam rumah.

"Kehidupan rumah pintar lebih dari sekadar teknologi. Dengan Eco Botanic 2, kami merangkumi semua aspek kehidupan pintar. Dalam normal baharu hari ini, orang ramai sangat menghargai fungsi rumah.


Ruang dapur di dalam rumah contoh Eco World Development Group Berhad (EcoWorld). --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

"Pembeli rumah mahukan perancangan ruang yang baik, kecekapan reka bentuk, lokasi strategik, keselamatan, landskap hijau dan akses Internet yang cepat - dan mereka dapat memiliki semua ini di Eco Botanic 2," kata Phan.

Penduduk juga dapat memanfaatkan aplikasi EcoWorld Neighbourhood iaitu alat lengkap untuk mengakses rumah, komuniti serta semua perkhidmatan dan kemudahannya.

Dengan aplikasi itu, penduduk dapat menggunakan pelbagai fungsi seperti pra-pendaftaran pengunjung, akses pas masuk bermusim dan tempahan kemudahan serta akses ke tempat perniagaan komersial di kawasan sekitar.

Dengan nilai pembangunan kasar berjumlah RM1.67 bilion, Eco Botanic 2 dijangka dilancarkan pada suku keempat 2020 dan dijadual siap pada tahun 2025.

Setakat ini, syarikat telah menerima kira-kira 15,000 orang yang berminat untuk projek berkenaan. Mereka yang berminat boleh menghubungi 07-571 5252 atau layari https://eb2.ecoworld.my atau mengunjungi pejabat jualannya EcoWorld Gallery @ Eco Botanic City untuk maklumat lebih lanjut.

 

Diterjemah oleh Cik Rashidah Abd Ghani

BERNAMA

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan