RENCANA

COVID-19: KES AKTIF MELEPASI ENAM RIBU DENGAN ENAM KES KEMATIAN

16/10/2020 09:14 PM

Oleh Melati Mohd Ariff

Berikut adalah rangkuman TERKINI mingguan mengenai COVID-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 10 Okt hingga pukul 8:00 mlm,16 Okt.

Jumlah kes COVID-19 di Malaysia melepasi lebih 18 ribu . Di peringkat global, lebih 39 juta kes dilaporkan dengan sekitar sejuta kematian. Lebih 29 juta orang pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh. Pandemik COVID-19 sudah merebak ke lebih 200 buah negara dan wilayah.

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Sabah terus mencatat jumlah tinggi kes baharu COVID-19 tujuh hari berturut-turut, dengan kemungkinan mutasi virus jenis D614G, dan lima kes kematian daripada enam yang diumumkan hari ini.

Sehingga pukul 12 tengah hari Jumaat 16 Oktober, Sabah mencatat 489 kes baharu atau 77.7 peratus daripada 629 kes baharu yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, angka yang tinggi itu kerana lebih banyak keputusan makmal diperolehi.

Semalam, beliau memberitahu sidang media yang dibuat secara maya, virus dengan mutasi berkenaan kemungkinan berasal dari Filipina atau Indonesia, yang menyebabkan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

Dengan 629 kes baharu itu, jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia melepasi angka 18 ribu kepada 18,758, menjadikan kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini melepasi angka enam ribu, iaitu 6,323 kes. Daripada 629 itu, hanya dua kes import (kembali dari New Zealand dan Singapura).

Sementara itu, negeri-negeri di Lembah Klang iaitu Selangor 50 kes, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 10 dan Wilayah Persekutuan Putrajaya, satu (2) kes. Seluruh Lembah Klang kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Jumlah pesakit yang pulih hari ini adalah seramai 245 orang, menjadikan jumlah kes sembuh, 12,259 atau 65.35 peratus daripada keseluruhan kes,

Semalam (Khamis 15 Okt), sebanyak 409 kes COVID-19 telah pulih iaitu jumlah kes pulih tertinggi direkodkan di negara ini.

Pecahan kes yang pulih semalam adalah seperti berikut:- Sabah 106 kes, Selangor 59 kes, Kedah 53 kes, Wilayah Persekutuan Labuan 8 kes, Sarawak 6, Melaka 5, Terengganu 3, Kelantan 3, Pahang 1 dan Perlis 1.

 

KES KEMATIAN DAN KES-KES LAIN


Anggota Polis Daerah Putrajaya melaksanakan sekatan jalan raya mulai 12.01 tengah malam di Lebuh Sentosa menghala ke Lebuhraya Mex susulan PKPB mulai 14 sehingga 27 Oktober. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Enam (6) kes kematian yang dilaporkan pada Jumaat 16 Oktober, iaitu lima di Sabah dan satu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Ini menjadikan jumlah kematian akibat COVID-19 di Malaysia sebanyak 176 kes (0.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Kes kematian melibatkan lima lelaki dan seorang perempuan.

Mengikut pecahan hari, kematian yang dilaporkan adalah seperti berikut:-- 6 kes (16 Okt), 3 kes (15 Okt), 4 kes (14 Okt), 4 kes (13  Okt), 2 kes (12 Okt), 2 kes (11 Okt) dan 3 kes (10 Okt).

Seramai 99 orang pesakit COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan 31 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Untuk rekod, kes baharu COVID-19 sepanjang rangkuman ini adalah seperti berikut:- 629 kes (16 Okt), 589 kes (15  Okt), 660 kes (14 Okt), 660 kes (13 Okt), 563 kes (12 Okt), 561 kes (11 Okt) dan 374 kes (10 Okt).

Untuk kes pulih pula yang dilapor adalah 245 kes (16 Okt), 409 kes 15 Okt, 233 kes (14 Ok)t, 350 kes (13 Okt), 109 kes (12 Okt), 133 kes (11 Okt) dan 73 kes (10 Ok).

Sementara itu, jumlah kes yang dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 22 Sept sehingga 13 Okt adalah 394. Setakat ini, KKM melaporkan terdapat 23 kluster di seluruh Malaysia yang disebabkan oleh kes indeks iaitu pengunjung dengan sejarah perjalanan dari Sabah.

 

KLUSTER DAN STATUS TERKINI KES COVID-19


Anggota Polis Bantuan Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) melakukan rondaan di dalam tren menggunakan topi keledar pintar bagi mengesan suhu badan pengguna yang menggunakan perkhidmatan awam Kereta Api Tanah Melayu (KTM). --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Pada Khamis 15 Okt, Dr Noor Hisham mengumumkan keseluruhannya terdapat 181 kluster yang direkod sepanjang berlakunya wabak COVID-19 di negara ini dan 104 sudah ditamatkan.

Setakat 16 Okt 2020, masih terdapat 77 kluster dan yang aktif adalah sebanyak 21.

Perincian kes baharu yang dilaporkan KKM setakat pukul 12 tengah hari 16 Okt, iaitu Sabah yang merekod 489 kes dan 260 daripadanya adalah saringan kontak rapat.

Di Selangor, daripada 50 kes baharu, lapan (8) adalah daripada kluster baharu, Kluster Merbok.

Pulang Pinang mencatat 33 kes dan 32 daripadanya adalah dari kluster sedia ada.

Wilayah Persekutuan Labuan mencatat 19 kes dan sembilan (9) daripadanya dari Kluster Bundle. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mempunyai 10 kes termasuk dua kes import.

Terdapat sembilan (9) kes di Perak termasuk lima (5) kes dari kluster baharu, Kluster Buntar. Kedah merekod tujuh (7) kes; Johor lima (5) kes; Melaka tiga (3) kes; Putrajaya dua (2) kes termasuk satu dari kluster baharu, Kluster Buntar; Negeri Sembilan satu (1) kes dan Pahang, satu (1) kes.

Akibat peningkatan jumlah kes dan kluster yang aktif sejak kebelakangan ini, KKM melaporkan terdapat beberapa daerah di Semenanjung Malaysia yang berubah menjadi zon kuning dan merah. Sehingga 14 Oktober 2020, sebanyak 52 daerah yang dilaporkan menjadi zon kuning dan sebanyak 19 daerah telah menjadi zon merah di seluruh Malaysia.

 

BANTUAN UNTUK SABAH


Pengarah Hospital Duchess of Kent Dr Francis Paul kelihatan memeriksa kemudahan yang disediakan di Kompleks Sukan Sandakan yang akan dijadikan wad tambahan bagi pesakit COVID-19 yang stabil. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

"Medan perang" COVID-19 di Malaysia ternyata berpusat di negeri di bawah bayu, Sabah yang merekodkan kes harian baharu tertinggi sepanjang rangkuman mingguan ini.

Untuk menampung keperluan, kerajaan terpaksa mewujudkan sebuah hospital lapangan, Hospital Medan Tawau bagi menempatkan pesakit bukan COVID-19 dari Hospital Tawau. Ia dibangunkan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dengan adanya hospital lapangan itu, ia memberi lebih banyak ruang kepada Hospital Tawau merawat kes yang memerlukan penjagaan rapi iaitu kategori tiga hingga lima termasuk yang dirujuk dari daerah berdekatan khususnya Semporna.

Hospital Tawau adalah antara sembilan hospital khusus merawat pesakit COVID-19 di Sabah.

Di samping itu, KKM dilapor akan menghantar 140 pegawai perubatan dan  225 Penolong Pegawai Perubatan (PPP) untuk ditempatkan di Jabatan kesihatan Negeri Sabah mulai Oktober ini.

Sementara itu, kumpulan pertama petugas perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilaporkan sudah tiba semalam untuk bertugas di hospital sementara, Hospital Medan di Tawau, Sabah..

Pasukan tersebut terdiri daripada empat pegawai dan 32 anggota dari Batalion Pertama Perubatan yang berpangkalan di Kuching dan Kota Kinabalu bersama elemen sokongan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) A400.

 

LANGKAH KEKANG COVID-19


#kitajagakita... Seorang penghibur jalanan dengan kostum spiderman di Bazar Johor Bahru akur dengan arahan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk penutupan operasi bazar itu buat sementara waktu mulai 16 Oktober bagi mengekang penularan COVID-19. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Terkini, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Wilayah Persekutuan Labuan mulai 17 Okt hingga 30 Okt kerana kes positif COVID-19 yang semakin meningkat.

Pelaksanaan PKPB sebelum ini dikuatkuasakan bagi seluruh Sabah bermula tengah malam ini 12 Okt sehingga 26 Oktober nanti, kerana peningkatan kes positif di negeri itu.

PKPB turut dilaksanakan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 14 Oktober hingga 27 Oktober.

Langkah tersebut adalah untuk mengekang penularan COVID-19 di samping membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan sepanjang tempoh PKPB.

Memandangkan kes baharu COVID-19 yang melibatkan pesakit yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabh semakin meningkat dengan kemunculan juga kluster baharu, semua pengembara yang tiba dari Sabah wajib menjalani saringan kesihatan COVID-19 di Pintu Masuk Antarabangsa dan Domestik, diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) selama 14 hari dari tarikh ketibaan, dipakaikan gelang (wristband).

Mereka juga perlu memantau kesihatan kendiri menggunakan Home Assessment Tool (HAT) dalam aplikasi MySejahtera. Langkah ini bermula 11 Oktober 2020 sehingga suatu tarikh yang akan diberitahu kelak.

 

STATISTIK GLOBAL COVID-19


Statistik terkini COVID-19 di seluruh dunia dan ringkasan kes COVID-19 di Malaysia. www.coronatracker.com

Sementara itu, menurut perangkaan CoronaTracker (mengambil sumber pelbagai agensi termasuk WHO), jumlah kes COVID-19 di seluruh dunia, setakat ini sudah melebihi 39 juta. Setakat rangkuman mingguan ini, kes COVID-19 global sebanyak 39,230,164 (rangkuman minggu lalu 36,790,846) dengan 1,103,724 kematian  (minggu lalu 1,067,424 kematian). Jumlah pesakit sembuh ialah 29,410,149 (minggu lalu 27,664,655).  

Amerika Syarikat masih di tempat teratas dalam senarai negara yang dilanda pandemik COVID-19 dengan 8,219,088 kes (minggu lalu 7,833,763 kes). Angka kematian 222,754 (minggu lalu 217,738). Kes positif COVID-19 mula dikesan di negara itu pada 20 Jan 2020.

India, di tempat kedua dengan 7,372,394 kes (minggu lalu 6,906,151 kes) dengan 112,214 kes kematian (minggu lalu 106,521 kematian).     

Ini diikuti Brazil, dengan 5,170,996 kes (minggu lalu 5,029,539 kes) dan 152,513 kematian (minggu lalu 149,034 kematian). 

Rusia merekod 1,369,313 kes (minggu lalu 1,272,238 kes) dan 23,723 kematian (minggu lalu 22,257 kematian).     

Di samping empat negara di atas, terdapat 40 buah (minggu lalu 38) lagi negara mencatat lebih 100,000 kes COVID-19.

Negara-negara dalam senarai tersebut adalah seperti berikut:-

Sepanyol 972,958 kes (33,553 kematian), Argentina 949,063 kes (25,342 kematian), Colombia 936,982 kes (28,457 kematian), Peru 859,740 kes (33,577 kematian), Mexico 834,910 kes (85,285 kematian), Perancis 809,684 kes (33,125 kematian), Afrika Selatan 698,184 kes (18,309 kematian), United Kingdom 673,622 kes (43,293 kematian), Iran 517,835 kes (29,605 kematian), Chile 486,496 kes (13,434 kematian), Iraq 416,802 kes (10,086 kematian), Bangladesh 386,086 kes (5,623 kematian), Itali 381,602 kes (36,372 kematian), Indonesia 353,461 kes (12,347 kematian), Filipina 351,750 kes (6,531 kematian), Jerman 349,639 kes (9,816 kematian), Turki 342,143 kes (9,080 kematian), Arab Saudi 341,062 kes (5,127 kematian), Pakistan 321,877 kes (6,621 kematian), Israel 301,289 kes (2,128 kematian), Ukraine 287,231 kes (5,408 kematian), Belanda 203,954 kes (6,692 kematian), Belgium 191,959 kes (10,327 kematian) dan Kanada 191,732 kes (9,699 kematian).

Negara lain: Romania 168,490 kes (5,674 kematian), Maghribi 163,650 kes (2,772 kematian), Equador 150,360 kes (12,306 kematian), Poland 157,608 kes (3,440 kematian), Czechia 149,010 kes (1,230 kematian), Bolivia 139,319 kes (8,407 kematian), Qatar 128,803 kes (222 kematian), Panama 122,883 kes (2,529 kematian), Nepal 121,745 kes (694 kematian), Republik Dominica 120,066 kes (2,189 kematian), Kuwait 114,015 (684 kematian), Emiriah Arab Bersatu 111,437 kes (452 kematian), Kazakhstan 109,202 kes (1,768 kematian), Oman 108,296 kes (1,071 kematian), Mesir 105,033 kes (6,088 kematian) dan Sweden 102,407 kes (5,910 kematian)

Sementara China, di mana bermulanya wabak COVID-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat ke-52 dengan 85,646 kes (minggu lalu 85,521 kes) dan angka kematian kekal 4,634 (tidak berubah daripada minggu-minggu sebelumnya).

Dalam kalangan negara jiran Malaysia di Asia Tenggara, Indonesia dan Filipina menyertai senarai 41 negara buah negara yang mencatat lebih 100 ribu kes COVID-19.

Minggu ini Indonesia mengatasi Filipina dengan 353,461 kes (minggu lalu 324,658 kes) dan 12,347 kematian (minggu lalu 12,156 kematian). Filipina merekod 351,750 kes (minggu lalu 334,770 kes) dan 6,531 kematian (minggu lalu 6,152 kematian).

Singapura pula merekodkan 57,901 kes (minggu lalu 57,859 kes) dengan angka kematian bertambah satu, kepada 28. Myanmar mempunyai 32,351 kes (minggu lalu 22,445 kes) dan 765 kematian (minggu lalu 535 kematian). 

Jumlah kes positif COVID-19 di Thailand pula sebanyak 3,669 kes (minggu lalu 3,628 kes) dan angka kematian kekal 59. Vietnam mencatat 1,124 kes (minggu lalu 1,100 kes) dan angka kematian kekal 35.

Kes COVID-19 di Kampuchea minggu ini sebanyak 283 kes (minggu lalu 281 kes) dan masih sifar kematian.

Tiada perubahan kes COVID-19 di Brunei 141 kes (2 kematian) sementara Laos kekal 23 kes dan sifar kematian.

---------------------------------------------------------------------------------------------

RUANGAN SISI

LATAR BELAKANG COVID-19

-- Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

-- Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut. 

-- Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.

-- WHO memberi nama rasmi virus "2019-nCoV" iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.

-- Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.

-- Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.

-- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit COVID-19 sebagai pandemik.

-- WHO menyifatkan wabak penyakit COVID-19 sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1atau lebih dikenali sebagai Selesema Babi (Swine Flu).

-- Wabak Selesema Babi berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian. Ia mula dikesan di Mexico dan kemudiannya di Amerika Syarikat pada Mac 2009.

-- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pandemik COVID-19 akan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression.  

-- Kes pertama 2019-nCoV di Malaysia disahkan pada 25 Jan membabitkan tiga (3) warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Jan.

-- Khamis 30 Julai genap enam bulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengisytiharkan Darurat Kesihatan Awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan 2019 novel koronavirus yang dikenali kemudian sebagai COVID-19.

-- Pengumuman yang dibuat itu adalah yang ke-enam dibuat oleh Pertubuhan itu tetapi yang terburuk. Untuk rekod, pengumuman lalu ialah bersabit H1N1 (2009), Polio dan Ebola di Afrika Barat (2014), Zika (2016) dan Ebola di Republik Congo (2019).

 

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan