BERITA COVID–19   Pesakit COVID-19 larikan diri ditemukan bersembunyi di dalam kebun | PKRC Olive B Hospital Permai khusus untuk wanita, ibu mengandung dan kanak-kanak | Majikan perlu bawa pekerja guna pengangkutan bersesuaian - KSM | Kawan Food gantung sementara operasi susulan kes positif COVID-19 | Tempat kerja terus sumbang kepada peningkatan kluster baharu - Dr Noor Hisham | 
RENCANA

Keistimewaan Pembedahan 'Lubang Kunci' Malaysia

13/10/2020 05:27 PM

Oleh Sakini Mohd Said

Malaysia sebagai destinasi kesihatan terbaik dunia bukanlah asing lagi di mata seantero dunia. Merangkul pelbagai anugerah mahupun pengiktirafan global, negara ini menjadi pilihan kebanyakan warga luar mendapatkan rawatan perubatan sehingga turut dikenali sebagai 'Permata Tersembunyi di Asia'.

Biarpun demikian, pandemik COVID-19 memberi impak sangat hebat kepada pelancongan kesihatan negara dan rencana kedua daripada tiga siri ini menyusuri usaha seorang ibu yang sempat mendapatkan rawatan buat anaknya di Malaysia beberapa hari sebelum pintu sempadan negara ditutup kepada warga luar bermula 18 Mac lepas.

KUALA LUMPUR (Bernama) -- “Saya tahu kewangan keluarga tidak mampu bawa Elvan ke Malaysia untuk rawatan. Tetapi, saya tetap mahu bawa anak ke sana kerana yakin dengan teknologi perubatan dan kepakarannya memang terbaik.

“Saya juga sering kali dengar ramai dari Medan (Indonesia) mendapatkan rawatan di Malaysia. Dan sebagai seorang ibu, pastinya saya mahu yang terbaik buat Elvan. Ini membuatkan saya datang ke Kuala Lumpur awal Februari (2020) untuk berbincang rawatannya di Pantai Hospital.

“Tetapi, bila diberitahu kos perubatan Elvan agak mahal sekitar RM60,000, saya agak sedih dan berterus-terang tidak mampu membiayainya lantas terus balik ke Medan selepas perjumpaan itu".


Lista Hariyanti Siregar bersama anak lelakinya, Elvan Keano Manurung. -- Gambar ihsan Lista Hariyanti Siregar

Begitu luhurnya kisah Lista Hariyanti Siregar, 33, dari Medan, Indonesia ketika penulis menghubunginya baru-baru ini untuk mengetahui apakah yang menyebabkan wanita ini tetap mahu memilih Malaysia sebagai destinasi rawatan buat anak bongsunya, Elvan Keano Manurung berumur satu tahun.

Temu ramah ini yang dilakukan menerusi panggilan video aplikasi WhatsApp dengan kerjasama Pusat Perkhidmatan Pesakit Antarabangsa (IPC) Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL) sekali gus membantu penulis menyelami betapa besarnya pengorbanan seorang ibu yang tidak berputus asa mendapatkan dana bagi membolehkan anaknya menjalani rawatan di Malaysia.

Semuanya bermula sekitar Oktober 2019, apabila Elvan Keano yang ketika itu berusia lima bulan sering kali diserang demam panas, batuk tanpa henti selain sukar bernafas sekali gus merencatkan kegembiraan mereka sekeluarga.

Menurut ibu kepada tiga orang anak ini, Elvan Keano sudah dibawa berjumpa doktor dari pelbagai rumah sakit di Medan namun mereka hanya mengesahkan dia demam biasa dan sekadar diberikan antibiotik, ubat batuk mahupun demam.

Bagaimanapun, keadaannya semakin teruk dan tidak sembuh selepas sebulan berjumpa doktor sehinggalah anaknya itu disuruh menjalani pengimbasan tomografi berkomputer (CT Scan). Hasil pemeriksaan itu didapati adanya kelainan pada tisu paru-paru Elvan Keano di bahagian kanan berikutan terdapatnya pembentukan sista agak banyak di kawasan itu yang memerlukan pembedahan segera.

 

SUMBANGAN DANA


Keadaan Elvan Keano Manurung, ketika berumur 10 bulan berada dalam keadaan tidak bermaya berikutan menghidap penyakit penyakit Congenital Pulmonary Airway Malformation (CPAM). -- Gambar ihsan Lista Hariyanti Siregar

“Doktor di Medan mengesahkan anak saya menghidap CPAM (Congenital Pulmonary Airway Malformation) dan rawatannya hanyalah pembedahan. Tetapi, ia berhadapan 10 peratus risiko kematian kerana ini melibatkan pembedahan terbuka (thoracotomy adalah surgeri yang memerlukan insisi atau torehan besar antara 6-12 sentimeter panjang),”.

“Majikan saya syorkan Elvan dapatkan rawatan di Malaysia kerana mungkin ada alternatif lain. Tetapi, dengan saya hanya bekerja sebagai pegawai kontrak di syarikat insurans dan pekerjaan suami sebagai pemandu, pendapatan kami hanyalah sekitar 4 juta rupiah (kira-kira RM1,124.34).

“Memang agak sukar untuk membiayai rawatan Elvan di Malaysia apatah lagi saya ke sana pada Februari lepas pun ditanggung majikan,” kata Lista Hariyanti kepada Bernama.

Keadaan semakin genting apabila kesihatan cahaya matanya itu bertambah teruk selain berat badannya turun mendadak kepada hanya 6.4 kilogram (kg) ketika usianya 11 bulan berbanding bayi lain yang sebaya umurnya antara 9-10 kg.

Terkesan dengan perkembangan pekerjanya, majikan Lista Hariyanti mencadangkan supaya mereka mengambil inisiatif untuk mendapatkan pertolongan orang ramai di negaranya dengan memohon sumbangan dana menerusi media sosial, Facebook, Instagram dan Kitabisa.com bagi membolehkan anaknya mendapatkan rawatan di Malaysia.

Bagi merealisasikannya, segala dokumen berkaitan kesihatan Elvan Keano seperti kesahihan penyakit yang ditandatangani oleh Pakar Bedah Kanak-Kanak Am dan Urologi (pengkhususan pembedahan lubang kunci) PHKL, Dr Nada Sudhakaran, gambar terkini anaknya dimuat naikkan di platform berkenaan bagi membuktikan permohonan dana berkenaan.


Bagi membolehkan Elvan Keano Manurung, 1, mendapatkan rawatan di Malaysia, keluarganya telah mengambil inisiatif mendapatkan pertolongan orang ramai di Indonesia dengan memohon sumbangan dana menerusi media sosial, Facebook, Instagram dan Kitabisa.com bagi membolehkan anaknya mendapatkan rawatan di Malaysia. -- Gambar ihsan Lista Hariyanti Siregar

“Kami berjaya dapatkan RM60,000 dalam masa sebulan dan saya bersama suami serta Elvan terus ke Kuala Lumpur pada 15 Mac untuk rawatannya. Saya sangat bersyukur kerana kami sampai awal beberapa hari sebelum pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

“Bayangkan, kalau kami terlambat sedikit mesti saya tidak dapat bawa Elvan berubat di Malaysia. Dan saya tidak tahu apa akan berlaku padanya nanti,” kata Lista Hariyanti.

Walaupun sempadan negara untuk tujuan pelancongan kesihatan sudah dibuka kepada warganegara luar sejak 1 Julai lepas secara berfasa, namun ia hanya melibatkan pesakit kritikal yang memerlukan rawatan intensif di Unit Rawatan Rapi (ICU) atau Unit Dependensi Tinggi (HDU) serta pelancong kesihatan yang mempunyai masalah kesihatan serius seperti penyakit barah, jantung dan memiliki surat temujanji dari hospital ahli Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC).

Biarpun begitu, kebenaran diberikan pun berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat termasuklah menjalani ujian COVID-19 (PCR), kelulusan Jabatan Imigresen Malaysia selain membabitkan hanya pesawat peribadi atau pesawat sewa khas bagi mengekang penularan COVID-19 melibatkan kluster import.

 

SIHAT, CERGAS

“Saya difahamkan caj pesawat peribadi atau pesawat khas bukannya murah dan ia pastinya sukar bagi orang berpendapatan rendah seperti kami untuk membiayainya. Tambahan lagi, Dr Nada sudah mengingatkan rawatan Elvan tidak lagi boleh ditangguh.

“Saya amat berterima kasih dengan sumbangan orang ramai di Indonesia yang sangat prihatin dan kerana itu Elvan berjaya menjalani rawatan di Malaysia. Sekiranya sebelum ini dia hanya terbaring, sukar bernafas, sangat kurus, tidak boleh berjalan dan berdiri, tetapi kini jauh berbeza.

“Dia sudah boleh berjalan, sangat cergas, berat badannya pun sudah bertambah dan boleh duduk seperti kanak-kanak lain. Sebab itu, saya minta kamu guna panggilan video supaya boleh lihat sendiri keadaan Elvan,” kata wanita ini penuh gembira.

Memang benar kata ibu Elvan Keano. Berdasarkan video itu, dapat dilihat dengan jelas betapa sihat dan aktifnya dia sebaik mendengar ibunya memanggilnya untuk bercakap dengan penulis. Malah, keletahnya yang ceria dan comel itu pastinya tiada siapa menyangka bahawa anak kecil ini sebelum ini sangat menderita kesihatannya.

Mengulas lebih lanjut mengenai keadaan Elvan Keano, Dr Nada yang merawatnya berkata terdapat beberapa risiko yang boleh memudaratkannya sekira lambat diberikan rawatan dan ini termasuklah kematian.

“Berdasarkan keputusan CT Scan didapati Elvan menghidap CPAM di paru-paru bahagian kanannya yang di bawah dengan mempunyai banyak sista dan saiznya dalam anggaran 3 sentimeter.

“Sista itu merupakan takungan lendir/mukus yang mendedahkan seseorang itu senang mendapat pelbagai jangkitan. Kalau kita tengok pada keadaannya, dia asyik terkena jangkitan disebabkan sista yang tidak dibuang.

"Banyak risikonya apabila sista tidak dibuang antaranya berpotensi menjadi kanser iaitu lima peratus kerana sista itu bukannya sel biasa.

“Selain itu, ia boleh mengakibatkan pneumothorax iaitu pengumpulan udara atau gas di bahagian rongga di antara paru-paru dan dinding dada disebabkan terdapatnya kebocoran di antara rangka dada dan paru-paru (ruang pleura) atau paru-paru itu sendiri. Ini akan menyebabkan paru-paru menjadi kecut dan berisiko kematian,” katanya.

Keseriusan penyakit Elvan Keano semakin bertambah apabila didapati anak kecil ini turut diserang penyakit tibi berikutan sistem imunisasinya yang rendah.

 

LUBANG KUNCI

Justeru, rawatan pembedahan perlu dilakukan bagi mengeluarkan sista daripada paru-paru Elvan Keano, kata Dr Nada. Memandangkan ibunya tidak mahu anaknya dibedah menggunakan kaedah pembedahan terbuka maka pilihan terbaik untuk rawatan Elvan Keano adalah pembedahan lubang kunci.


Dr Nada Sudhakaran, Pakar Bedah Kanak-Kanak Am dan Urologi (Pengkhususan Pembedahan Lubang Kunci) Pantai Hospital Kuala Lumpur. -- Gambar ihsan Pantai Hospital Kuala Lumpur

Berpengalaman lebih 17 tahun dalam surgeri lubang kunci atau juga dikenali sebagai pembedahan invasif minimum, Dr Nada bukanlah calang-calang individu dalam kaedah rawatan itu. Malah, kepakarannya turut diburu kalangan doktor bedah sektor awam, swasta untuk mempelajari kemahiran berkenaan.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai pembedahan lubang kunci, beliau menjelaskan ia adalah jauh berbeza dengan pembedahan terbuka malah prosedur itu lebih selamat dan kurang risiko.

Sebelum prosedur lubang kunci ini, seorang pakar bedah yang sedang menjalankan pembedahan, contohnya, di perut pesakitnya, perlu membuat potongan yang panjangnya antara 5-7 sentimeter berbanding pembedahan lubang kunci hanya perlu membuat beberapa insisi/torehan kecil dalam lingkungan 3 milimeter sahaja untuk mengakses organ dalaman yang bermasalah.

“Surgeri lubang kunci juga dikenali sebagai laparoskopi (surgeri di perut) atau thoracoscopic (surgeri bahagian dada) iaitu pembedahan yang dilakukan di kawasan dikenal pasti menggunakan instrumen sangat kecil. 

“Instrumen itu berdiameter 3 milimeter akan digunakan pada dada semasa surgeri. Insisi/bukaan kecil dibuat untuk memasukkan teleskop, kemudian (low pressure) gas akan dimasukkan supaya ia dapat dikembangkan agar ada lebih banyak ruang semasa surgeri.

“Dua insisi turut dilakukan bagi memasukkan instrumen ke dalam dada untuk prosedur dijalankan. Video yang dirakam melalui teleskop kecil diunjurkan ke skrin untuk dilihat oleh pakar surgeri dan pembantunya.

“Dengan adanya visual ini yang diperbesarkan menggunakan sistem pengimejan tinggi, membolehkan saya melihat lebih jelas kawasan paru-paru Elvan yang bermasalah. Untuk pembedahan Elvan, bahagian paru-parunya yang dibuang berikutan terkesan dengan CPAM adalah sekitar 25 sehingga 30 peratus,” katanya.

 

KEPAKARAN TINGGI


Pakar Bedah Kanak-Kanak Am dan Urologi (pengkhususan pembedahan lubang kunci) Pantai Hospital Kuala Lumpur, Dr Nada Sudhakaran (kanan) ketika melakukan pembedahan lubang kunci. -- Gambar ihsan Pakar Bedah Kanak-Kanak Am dan Urologi (Pengkhususan Pembedahan Lubang Kunci) Pantai Hospital Kuala Lumpur/ Dr Nada

Biarpun pembedahan ini mengambil masa 10 sehingga 20 peratus lebih lama khususnya kalau ia membabitkan operasi paru-paru berbanding pembedahan terbuka namun ia mempunyai pelbagai kelebihan. 

Antaranya proses pemulihan sangat cepat, tidak sakit, parut pembedahan tidak begitu ketara, kurang risiko jangkitan kerana tempoh penghospitalan lebih singkat berikutan pembedahan hanyalah membabitkan insisi kecil selain prosedur ini terkenal dengan kadar kejayaan yang tinggi.

Keistimewaan inilah yang membuatkan Lista Hariyanti komited dan berusaha sedaya mungkin mendapatkan dana bagi memastikan Elvan Keano mendapat rawatan pembedahan lubang kunci di Malaysia.

“Mana-mana pembedahan tidak kiralah surgeri terbuka ataupun lubang kunci mempunyai risiko tersendiri. Cuma, untuk pembedahan lubang kunci risikonya adalah minimum kerana prosedurnya tidak memerlukan otot kanak-kanak dipotong, justeru kesakitan yang dialaminya adalah minimum berbanding pembedahan terbuka.

“Manakala, surgeri terbuka melibatkan semua bahagian lapisan termasuklah otot dan ia memerlukan pakar bedah memasukkan tangan mereka ke dalam kawasan bermasalah untuk operasi. Pembedahan cara ini adalah lebih sakit dan memerlukan masa lebih lama untuk pulih,” jelas Dr Nada.


Kenangan manis.. Elvan Keano Manurung, 1, bersama doktor yang merawatnya, Dr Nada Sudhakaran. -- Gambar ihsan Lista Hariyanti Siregar

Mengenai penawaran pembedahan lubang kunci di Malaysia, beliau berkata terdapat perkembangan memberangsangkan rawatan itu di negara ini sehingga kepakaran dan teknologi perubatannya menjadi tumpuan pelancong kesihatan.

“Pembedahan lubang kunci memerlukan pakar bedah mengendalikan peralatan dengan handal kerana ia menggunakan instrumen kecil dan kerana itu tidak semua pakar bedah akan menawarkan pembedahan ini.

"Tetapi, di Malaysia tenaga kepakarannya agak memberangsangkan dan inilah keistimewaannya,” katanya yang turut memberitahu mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai rawatan lubang kunci boleh mengakses laman sesawangnya di https://www.drnadachildsurgeon.com/dr-nada-sudhakaran-paediatric-surgeon-urologist/.

 

Disunting oleh Cik Rashidah Abd Ghani

BERNAMA

 

 

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamatadio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan