BERITA COVID–19   Penafian berita palsu tular 15 Mei - KKMM | MRSM Pengkalan Hulu nafi isu tular berkaitan makanan pelajar | Video tular mengenai Stadium Malawati tidak benar | PKPB di Sarawak dilanjutkan sehingga 7 Jun - JPBN | Proses vaksinasi di PPV WTCKL berjalan lancar | 
RENCANA

Onkologi Malaysia Tetap Pilihan Ketika COVID-19

12/10/2020 04:32 PM

Oleh Sakini Mohd Said

Malaysia sebagai destinasi kesihatan terbaik dunia bukanlah asing lagi di mata seantero dunia. Merangkul pelbagai anugerah mahupun pengiktirafan global, negara ini menjadi pilihan kebanyakan warga luar mendapatkan rawatan perubatan sehingga turut dikenali sebagai ‘Permata Tersembunyi di Asia’.

Biarpun demikian, pandemik COVID-19 memberi impak sangat hebat kepada pelancongan kesihatan negara dan rencana pertama daripada tiga siri ini merungkai akan kemelut mahupun harapan pesakit warga luar yang tetap mahu meneruskan rawatan di sini.  

KUALA LUMPUR (Bernama) -- “Ibu selalu hubungi ejen, tunggu depan televisyen dan baca akhbar bila agaknya pintu sempadan Malaysia akan dibuka untuk ibu datang. Sekarang bulan Oktober, sudah dua kali ibu terlepas rawatan susulan. 

“Ibu sepatutnya datang ke Malaysia pada April dan Jun tahun ini tapi tidak dapat kerana pintu sempadannya masih belum dibuka. Sedih sangat tidak dapat buat rawatan tetapi hendak buat bagaimana kerana keadaan sukar sekarang ini disebabkan COVID-19”.

Demikian kata suri rumah berusia 55 tahun dari Medan, Indonesia yang hanya mahu dikenali sebagai Ibu Ida yang penulis kenali tahun lepas (2019) semasa pertemuan dengannya di sebuah pusat membeli-belah di ibu negara untuk satu tugasan. 

Sengaja penulis menghubunginya menerusi aplikasi panggilan WhatsApp baru-baru ini bagi bertanya khabar mengenai keadaan terkininya selain ingin mengetahui perkembangan semasa rawatan susulan kansernya berikutan pintu sempadan negara yang masih ditutup kepada warga luar.

Biarpun perbualan antara kami agak sukar dan banyak kali terputus selain terpaksa bercakap dalam nada agak kuat berikutan ketidaklancaran jaringan talian sama ada bagi pihak penulis mahupun Ibu Ida, namun ternyata wanita ini masih lagi menaruh harapan sangat tinggi agar dapat meneruskan kembali rawatannya di Malaysia. 

Sememangnya, Malaysia bukanlah asing bagi ibu kepada dua orang anak ini. Sentiasa berkunjung ke negara ini bagi tujuan berlibur atau melancong, namun semuanya berubah pada tahun 2018 apabila Malaysia yang diibaratkannya sebagai rumah kedua kini menjadi destinasi wanita ini untuk rawatan kanser. 

Disahkan menghidap kanser pangkal hidung tahap tiga atau nama saintifik perubatannya  nasopharyngeal carcinoma (NPC), istimewanya Ibu Ida kini sudah sembuh sepenuhnya daripada penyakit ketakutan ramai ini setelah mendapat rawatan di sebuah hospital swasta di ibu negara. 

Dia ketika ini bukan sahaja aktif dengan pelbagai aktiviti malah kehidupannya yang sudah berpindah dari Medan ke Jakarta untuk menetap bersama dua anaknya disinari dengan hari-hari penuh kegembiraan. 

“Setiap hari, ada saja aktiviti ibu terisi walaupun duduk di rumah. Boleh pergi bersenam sekitar rumah tetapi kena berhati-hati sebab COVID-19 dan ibu juga boleh masak serta buat pelbagai aktiviti rumah berbanding dulu sebab ibu sudah sihat,” katanya kepada Bernama. 

 

TETAP MALAYSIA


Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL) menjadi tumpuan bagi rawatan kanser kerana pengalaman yang melebihi tiga dekad sejak menjadi pusat perubatan swasta pertama yang menawarkan rawatan kanser di Malaysia pada 1981. -- Gambar ihsan Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL)

Biarpun Ibu Ida sudah sembuh sepenuhnya daripada kanser, tahap perkembangan kesihatannya semakin baik serta sudah tidak lagi mengalami sebarang komplikasi perubatan, namun wanita ini tetap juga perlu membuat rawatan susulan setiap enam bulan sekali di Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL).

Sememangnya, sudah menjadi lumrah kebanyakan pesakit kanser termasuklah wanita ini untuk melakukan rawatan susulan bagi memastikan penyakitnya tidak lagi kembali menyerang walaupun seseorang itu sudah didapati bebas daripada kanser. 

Bagi kondisi Ibu Ida, keberangkalian kanser pangkal hidungnya untuk datang kembali adalah sekitar 20 hingga 30 peratus dan kerana itulah amat penting bagi wanita ini tidak mengambil ringan akan keperluan rawatan susulan. 

Namun begitu, dalam keadaan pandemik COVID-19 dan pintu sempadan negara yang masih lagi belum dibuka kepada warga luar, adalah sukar rawatan susulan dilakukan. Justeru, apakah mungkin rawatan susulan itu boleh dilakukan di Jakarta memandangkan keadaan dirinya yang sudah sembuh daripada kanser? 

“Tidak mahu, ibu tetap ingin meneruskan rawatan di Malaysia. Ibu tidak mahu doktor lain yang merawat selain Dr Lam Kai Seng kerana yakin dengan kepakarannya selain teknologi perubatan di Malaysia sangat bagus. 


Perkhidmatan yang ditawarkan di Pantai Hospital Kuala Lumpur amat mesra pesakit. -- Gambar ihsan Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL)

“Ibu akan cuba bincang dengan pengurusan pesakit antarabangsa Pantai Hospital mengenai kemudahan ‘teleconsultation’ (perkhidmatan rundingan dalam talian) kerana rawatan susulan ibu tidak memerlukan makan sebarang ubat,” katanya. 

Walaupun sempadan negara untuk tujuan pelancongan kesihatan sudah dibuka kepada warganegara asing sejak 1 Julai lepas secara berfasa, namun ia hanya melibatkan pesakit kritikal yang memerlukan rawatan intensif di Unit Rawatan Rapi (ICU) atau Unit Dependensi Tinggi (HDU) serta pelancong kesihatan yang mempunyai masalah kesihatan serius seperti penyakit kanser, jantung dan memiliki surat temujanji dari hospital ahli Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC).

Biarpun begitu, kebenaran diberikan pun adalah berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat termasuklah menjalani ujian COVID-19 (PCR), kelulusan Jabatan Imigresen Malaysia selain membabitkan hanya pesawat peribadi atau pesawat sewa khas bagi mengekang penularan COVID-19 membabitkan kluster import. 

“Ibu sangat berharap COVID-19 cepat berakhir supaya dapat kembali ke Malaysia untuk rawatan. Ibu juga sangat rindu nasi lemak, mee udang, nasi daun pisang kari kepala ikan. Sini ada jual tapi rasanya tidak sama dengan di Malaysia, lagi enak,” katanya. 

 

RAWATAN KOMPREHENSIF 


Dr Lam Kai Seng, Pakar Klinikal Onkologi Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL). -- Gambar ihsan Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL)

Mengulas mengenainya, Pakar Klinikal Onkologi Pantai Hospital KL (PHKL), Dr Lam Kai Seng yang merawat Ibu Ida berkata teknik perubatan diberikan sangat berkesan biarpun kanser wanita ini sudah berada tahap tiga serta merebak di kedua-dua belah kelenjar leher. 

Tujuh rawatan kemoterapi dan 33 kali rawatan radioterapi secara serentak diberikan kepadanya  selama tiga bulan di mana teknik radioterapi itu menggunakan teknologi terbaharu iaitu ‘Volumetric Modulated Arc Therapy’ (VMAT).

Istimewanya, kecanggihan perubatan ini telah membantu mengurangkan kesan sampingan rawatan seperti mulut kering, kurang deria bau dan rasa berbanding rawatan radioterapi sebelum ini. 

Selain itu, VMAT mampu menentukan kedudukan sel kanser pada tubuh badan pesakit dengan sasaran tepat untuk radiasi diberikan kepada pesakit kanser, berbanding teknologi sebelum ini seperti rawatan 3D Conformal Radiotherapy (3DCRT). 

"Dia sekarang sudah boleh bergurau, banyak bercakap, berat badan pun sudah bertambah berbanding ketika awal rawatan. Dulu, dia sangat sedih, murung, asyik menangis disebabkan penyakit itu selain kehilangan suaminya,” kata Dr Lam. 

Sememangnya, PHKL menjadi antara tumpuan bagi rawatan kanser kerana pengalaman yang melebihi tiga dekad sejak menjadi pusat perubatan swasta pertama menawarkan rawatan kanser di Malaysia pada 1981. 


Dr Mohd Ridzuan Abdul Razak, Pegawai Perubatan Kanan Bahagian Kecemasan Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL). -- Gambar ihsan Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL)

Sejajar pengalaman itu, Pegawai Perubatan Kanan Bahagian Kecemasan PHKL, Dr Mohd Ridzuan Abdul Razak berkata Pusat Kanser PHKL dilancarkan semula pada 2018 dengan memperluaskan perkhidmatan radioterapi dan onkologi bagi menyediakan penjagaan lebih bersepadu kepada pesakit kanser di sesebuah pusat tunggal. 

Difahamkan kini, penjagaan harian kemoterapi pusat itu mampu memberi rawatan sehingga kepada 35 pesakit setiap hari dalam persekitaran lebih kondusif dan tempoh menunggu lebih singkat. 

“Kekuatan PHKL memang pada onkologi selain kardiologi, neurosugeri, ortopedik dan sebagainya. Pelancong kesihatan yang merujuk ke sini pun kebanyakannya adalah berkaitan penyakit kanser dan majoritinya dari Indonesia,” katanya. 

Maka, tidak menghairankanlah apabila diberitahu Eksekutif Kanan, Pusat Perkhidmatan Pesakit Antarabangsa (IPC) PHKL, Hemakumari Sugayindran bahawa terdapat beberapa pesakit kanser warganegara Indonesia yang sedang membuat rawatan kemoterapi di sini tidak mahu pulang ke negara asal selagi rawatan belum selesai.

Ini kerana mereka bimbang sekiranya tidak dapat meneruskan rawatan seterusnya berikutan penutupan sempadan negara. 

“Majoritinya adalah pesakit kanser yang sudah memulakan rawatan kemoterapi sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Sekiranya mereka pulang ke negara asal, berkemungkinan besar akan menghadapi kesukaran untuk kembali meneruskan rawatan selanjutnya.

“Terutamanya dalam keadaan pandemik COVID-19 yang tidak menentu. Kami di IPC akan membantu pesakit menguruskan dokumen berkaitan untuk lanjutan visa dengan mendapatkan surat sokongan doktor, MHTC, Imigresen dan sebagainya,” katanya.

 

ONKOLOGI DI MALAYSIA 


Antara peralatan yang digunakan di Pantai Hospital Kuala Lumpur. -- Gambar ihsan Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL)

Istimewanya, kecemerlangan rawatan kanser yang juga dikenali sebagai onkologi ini tidaklah sekadar melatari sektor kesihatan swasta namun ia turut meliputi beberapa buah hospital di bawah penyeliaan kerajaan. 

Ini dapat dilihat berdasarkan susur jalur sejarah perubatannya, di mana rawatan kanser yang bermula pada 1981 kini sudah jauh berubah dan berbeza berbanding sebelumnya dengan penawaran perkhidmatan perubatan kesihatan komprehensif bertaraf dunia serta kemudahan teknologi canggih dan terkini. 

Bermula dengan rawatan di sebuah hospital awam - Hospital Kuala Lumpur (HKL) - yang mempunyai kemudahan onkologi dan radioterapi, kini rawatan itu boleh didapati di lebih lima buah hospital awam dengan kemudahan serta doktor pakar yang mencukupi. 

Antaranya Hospital Sultan Ismail (Johor Bahru), Hospital Umum Sarawak, Hospital Pulau Pinang manakala hospital universiti ialah Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia, Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju Universiti Sains Malaysia.

Selain itu, penubuhan Institut Kanser Negara di Putrajaya jelas membuktikan komitmen kerajaan dalam menambah baik perkhidmatan perubatan penyakit kanser yang dikenal pasti antara punca kematian keempat tertinggi di Malaysia.


Dr Murallitharan M, Pengurus Besar dan Pengarah Perubatan Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM). -- Gambar ihsan Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM)

Di samping perkembangan rawatan kanser, hospital swasta sangat positif apabila terdapat lebih 29 pusat perubatan yang menyediakan rawatan itu berbanding 14 pusat onkologi swasta kira-kira 15 tahun lepas. 

“Dari perspektif pelancongan kesihatan, kita harus menilai pencapaian Malaysia dalam rawatan penyakit kanser khususnya di sektor swasta kerana kebanyakan pelancong kesihatan mendapat rawatan di sana. 

“Kecanggihan teknologi perubatan kanser dunia dan kepakaran onkologi di sektor swasta, awam di Malaysia adalah setanding dengan negara lain di Asia.

“Malah, standard rawatannya juga setaraf dengan tahap dunia selain mempunyai reputasi baik, harga berpatutan, adalah antara faktor mendorong Malaysia menjadi tumpuan rawatan onkologi,” kata Pengurus Besar dan Pengarah Perubatan Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) Dr Murallitharan M.

 

Disunting oleh Cik Rashidah Abd Ghani

BERNAMA

 

 

 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan