BERITA COVID–19   Kadar penggunaan katil hospital antara faktor Kedah, Johor tidak dapat beralih Fasa PPN | COVID: Pejabat Kerajaan Negeri Sabah dibenar beroperasi kapasiti 80 peratus | Enam PPV di Johor Bahru dibuka untuk walk-in | Kampung Garib di Kudat, Sabah dikenakan PKPD bermula Rabu - MKN | COVID: Negara terus rekod kes sembuh melebihi kes baharu | 
RENCANA

Aplikasi Mudah Alih Baru MNS Tingkatkan Kesedaran Pemeliharaan Hutan

07/10/2020 04:52 PM

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Ingin menimba lagi ilmu mengenai burung enggang, burung, tapir, gajah dan monyet? Atau sekadar ingin melihat-lihat spesies hidupan liar di halaman belakang atau kawasan perumahan anda atau pun ingin membuat aduan?

Tidak kira apa jua tujuan, kini dengan hanya satu klik menerusi aplikasi mudah alih baru dari Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), orang ramai boleh meningkatkan lagi pengetahuan mengenai  pemeliharaan hutan dan alam persekitaran atau melaporkan sebarang masalah alam sekitar kepada organisasi berkenaan.

Tersedia percuma dalam Google Play, aplikasi itu dilancarkan bersempena dengan Hari Malaysia dan ulang tahun ke-80 MNS pada 16 Sept lepas.


Prof Dr Ahmad Ismail, Presiden MNS. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Presiden MNS, Prof Dr Ahmad Ismail berkata, aktiviti pemeliharaan dan alam sekitar tidak lagi terhad kepada para profesional yang bekerja dan menafsirkan data di lapangan.

"Orang ramai kini boleh masuk melalui aplikasi mudah alih yang tidak hanya mendidik, tetapi juga mengundang mereka untuk menyumbang kepada pemuliharaan terus dari layar telefon pintar mereka.

"Kami ingin mereka tahu bahawa tindakan yang mudah seperti mengasingkan sampah, mengitar semula plastik, menjimatkan air dan elektrik, mengelakkan sampah sarap atau bahkan berkongsi video tutorial penjagaan alam sekitar sebenarnya dapat menyumbang kepada saluran air bersih," katanya.


Raja Ummi Raja Kobat dan aplikasi mudah alih Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS). --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Aplikasi mudah alih baru itu adalah hasil kerjasama masyarakat dengan App Lab Sdn Bhd dan CTC Global Sdn Bhd. Menerusi aplikasi itu, anggota dan pengikutnya dari seluruh pelosok, baik di luar bandar atau bandar kini dapat mengikuti program dan projek kami serta mengakses berita dan pengetahuan terkini dari MNS." katanya dan menambah bahawa aplikasi itu bertepatan pada masanya untuk menyebarkan maklumat kepada orang ramai.

Pengarah Urusan App Lab Sdn Bhd, Tan Kok Pin berkata syarikat itu sebagai pembangun aplikasi, dengan bangga memastikan reka bentuk dan pemuka aplikasi itu bergaya namun mudah digunakan bahkan kepada pengguna yang tidak mahir teknologi.

"Banyak berita penting dan kemas kini mengenai pendidikan hilang pada masa kini di lebuh media sosial yang penuh sesak. Oleh itu, platform khusus seperti aplikasi akan membantu MNS menyampaikan maklumat tepat pada masanya,” katanya.

 

MEMUPUK KESEDARAN


Tan Kok Pin, Pengarah Urusan App. Lab Sdn Bhd (kiri) dan Dennis Koh, Pengarah Urusan CTC Global Sdn Bhd (CTC Malaysia). --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Pengarah Urusan CTC Global Sdn Bhd (CTC Malaysia), Dennis Koh berkata, aplikasi MNS dapat membantu pengguna untuk mengakses maklumat mengenai aktiviti luar seperti mendaki dan mengetahui di mana laluan terbaik berada, serta mengetahui lebih lanjut mengenai hutan hujan negara dan taman negara.

Beliau berkata, program pengalaman berasaskan alam sekitar seperti mendaki dan aktiviti luar yang lain dapat membantu para belia untuk berhubung kembali dengan persekitaran dan komuniti mereka

Ahmad, yang juga ahli ekotoksikologi dan ekologi hidupan liar, berkata sangat penting untuk meningkatkan kesedaran dalam penjagaan alam sekitar terutama dalam pemeliharaan dan pemuliharaan hutan sedari muda lagi dan tempat yang baik untuk memulaikannya adalah dengan memasukkan pelajaran mengenai alam sekitar dalam kurikulum sekolah.

MNS telah menubuhkan Pusat Pendidikan Alam Sekitar (EEC), yang biasanya dihubungkan dengan kawasan penting di dunia seperti Tapak Warisan Dunia, Kawasan Burung Penting (IBA) dan laman Ramsar, untuk mempromosikan pendidikan alam sekitar dan pemuliharaan global dalam kalangan pelajar.


Prof Dr Ahmad Ismail (dari kiri), Tan Kok Pin dan Dennis Koh di Pelancaran aplikasi mudah alih Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS). --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

"Inisiatif Pendidikan bertujuan untuk mempromosikan pendidikan alam sekitar dan pemuliharaan global melalui EEC serta melalui Kelab Pencinta Alam (KPA), katanya dan menambah bahawa sejak 1991. kira-kira 500 sekolah di Malaysia telah menubuhkan kelab berkenaan dengan kerjasama MNS.

"Kami menjangkakan 1,000 sekolah menyertai sekolah MNS-KPA pada akhir tahun ini yang fokus  kepada program seperti kesedaran, pendidikan dan penyelidikan yang telah dibuat dalam rancangan strategi 14 tahun 2017-2030 kami," katanya.

 

PROMOSI EKO PELANCONGAN, MENINJAU BURUNG  

Ahmad berkata, MNS kini mencadangkan kepada Tourism Malaysia untuk memasukkan maklumat mengenai hutan hujan dan hutan simpanan seperti Taman Negara dan Belum-Temengor ke dalam aplikasi mudah alih untuk meningkatkan sektor Eko-Pelancongan di Malaysia.

"Selain itu, kami ingin orang ramai belajar mengenai tarikan eko-pelancongan. Contohnya, ada 10 spesies burung enggang yang telah dikategorikan sebagai 'Dilindungi Sepenuhnya' oleh Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, dan semua ini terdapat di Belum Temengor," katanya.


Pasukan Khas Perhutanan berkawal di tempat kayu balak dianggarkan berharga RM3 juta yang disita selepas berjaya menumpaskan sindiket pembalakan haram di Hutan Simpan Chini dan Chini Tambahan, Bera. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Beliau berkata, aplikasi itu juga akan memuat artikel mengenai penebangan hutan dan kesannya yang berbahaya, dan kempen untuk melarang pemburuan hidupan liar.

“Kami berharap dapat mendidik anak muda mengenai pemeliharaan hutan. Akhir-akhir ini, ada laporan berita mengenai binatang buas seperti harimau, gajah dan tapir tersasar ke penempatan manusia dan menyebabkan konflik antara manusia dan haiwan.

Penerokaan hutan yang tidak sistematik menyebabkan penyusutan hutan, katanya, sambil menambah bahawa penempatan manusia yang terletak berhampiran dengan habitat haiwan juga mempunyai kesan terhadap hidupan liar dan memaksa haiwan itu berkeliaran ke wilayah manusia.

"Contohnya, binatang kecil seperti monyet dan konflik yang timbul kerana mereka menceroboh harta benda orang untuk mencari makanan," tambahnya.


Balu Perumal, Ketua Pemuliharaan MNS. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sementara itu, Ketua Pemuliharaan MNS Balu Perumal berkata masyarakat bekerjasama dengan Bird Life International melalui projek yang dibiayai oleh Kesatuan Eropah, iaitu MY Forest Watch, selama lima tahun untuk meningkatkan penyertaan dalam pemerintahan dan advokasi hutan.

"Satu daripada cara Bird Life International dan MNS berharap untuk membendung kehilangan hutan adalah dengan membangun kemampuan staf dan sukarelawan untuk menyertai secara berkesan dalam kegiatan dan projek pemuliharaan dan memiliki akses kepada alat yang akan meningkatkan kemungkinan pelaksanaan dan advokasi yang berjaya untuk kesan pemuliharaan."

Beliau berkiata, mereka komited untuk mengukuhkan penglibatan masyarakat tempatan dalam menyokong dan melindungi ruang hijau Malaysia sebagai habitat penting bagi hidupan liarnya.

"Bagi mencapai matlamat ini, MNS berusaha untuk bekerjasama dengan cawangan negeri, komuniti setempat, NGO, dan agensi awam dan kerajaan untuk memastikan kejayaan projek (MY Forest Watch)," katanya.

 

Diterjemah dan disunting oleh Cik Rashidah Abd Ghani

BERNAMA

 

 

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan