RENCANA

ONKOFERTILITI BERI SINAR HARAPAN PESAKIT BARAH UNTUK BERGELAR IBU

29/09/2020 04:12 PM

Oleh Soon Li Wei & Suhaila Said

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Syamimi (bukan nama sebenarnya) didiagnosis menghidap barah payudara tahap dua pada usia muda 28 tahun setelah berkahwin kira-kira dua tahun dan kini menjalani rawatan barahnya selama empat tahun. 

Setelah menjalani beberapa ujian dan rundingan dengan pakar onkologi, akhirnya beliau dikejutkan dengan berita yang beliau telah bebas daripada barah dan ini amat melegakan perasaannya. 

Malangnya, ketika Syamimi, yang ketika itu berusia 32 tahun, dan suami merancang untuk memulakan sebuah keluarga, barulah mereka menyedari bahawa rawatan barah yang dijalani selama ini telah menjejaskan potensi kesuburannya dan simpanan ovarinya semakin berkurangan. Akhirnya, Syamimi dan suami mengambil keputusan untuk mengambil sahaja anak angkat.

Menjalani diagnosis barah boleh memilukan perasaan bagi kebanyakan pesakit tetapi mengetahui bahawa rawatan yang dapat menyelamatkan nyawa mereka itu juga boleh menggagalkan impian mereka untuk memulakan sebuah keluarga lagi memeritkan hati hingga ke tahap yang tidak dapat dijelaskan. 

Namun, semuanya itu bukan suatu yang mustahil bagi pesakit barah yang ingin mempunyai anak kerana mereka boleh sahaja memilih untuk menjalani pemeliharaan kesuburan sebelum menjalani kimoterapi. 

Pemeliharaan kesuburan adalah proses di mana telur, sperma atau tisu reproduktif (pembiakan) dapat dipelihara untuk kegunaan pada masa hadapan. Terdapat banyak pilihan pemeliharaan kesuburan dalam bidang onkofertiliti (kesuburan), yang merujuk kepada merapatkan keistimewaan onkologi dan endokrinologi  reproduktif dengan tujuan memaksimumkan potensi reproduktif bagi pesakit dan mangsa yang selamat  daripada barah.

 

KESEDARAN ONKOFERTILITI

Pakar Endokrinologi dan Kemandulan Reproduktif, Pusat Reproduktif Lanjutan (ARC), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Dr Mohd Faizal Ahmad berkata pemeliharaan kesuburan boleh membantu pesakit barah mengekalkan kesuburan atau kemampuan mereka untuk hamil.

“Ramai pesakit barah mahu mempunyai anak selepas menjalani rawatan. Malangnya, kerana  kurangnya kesedaran, mereka tidak diberi penerangan dengan secukupnya untuk menghadapi risiko kesuburan yang mungkin mengiringi semasa menjalani rawatan barah,” katanya dalam wawancara baru-baru ini dengan Bernama. 


Prof Madya Dr Abdul Kadir Abdul Karim, Ketua ARC (kiri) dan Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Kesihatan (ke tiga dari kiri). --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA/ Azzroy Azahary

ARC HCTM adalah pusat rujukan onkofertiliti pertama di negara ini dan dibuka sebulan yang lepas pada 26 Ogos.

Ketua ARC, Prof Madya Dr Abdul Kadir Abdul Karim menyatakan bahawa kesedaran mengenai pemeliharaan kesuburan masih rendah di Malaysia dan rujukan daripada jabatan onkologi mengenai perkara itu dari hospital yang lain masih kurang. 

"Malah doktor dan pakar juga tidak menyedari perkara ini,” katanya, dan menambah bahawa dengan adanya Persatuan Pemeliharaan Kesuburan Malaysia (MPFA), kesedaran itu akan dapat  dipertingkatkan. 

"Kami bekerjasama dengan ramai pakar dari pelbagai bidang perubatan di MPFA untuk membantu meningkatkan kesedaran dalam kalangan pesakit mengenai pilihan ini sebelum mereka memulakan rawatan,” katanya.

Pemeliharaan kesuburan juga disarankan kepada pesakit yang lebih muda dan mereka yang masih bujang tetapi didiagnosis menghidap barah, kerana ia akan membolehkan mereka untuk memulakan keluarga selepas mereka pulih dan berkahwin, katanya. 

Beliau berkata pesakit yang menghidap barah, setelah didiagnosis, akan dirujuk oleh doktor mereka ke ARC dan mereka akan diberi penerangan mengenai pilihan untuk menyimpan tisu reproduktif mereka. 

“Biasanya, kesan rawatan barah tidak dapat dipulihkan, jadi konsepnya bukanlah untuk menangguhkan rawatan tetapi memberi mereka pilihan untuk menyimpan tisu reproduktif jika mereka ingin memiliki keluarga, katanya. 


Prof Madya Dr Abdul Kadir Abdul Karim, Ketua ARC. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA/ Soon Li Wei

Dr Abdul Kadir berkata, ARC menawarkan perkhidmatan pemeliharaan ARC dengan kos kira-kira RM5,000 untuk setiap rawatan serta penyelenggaraan dan nitrogen cair yang digunakan untuk memelihara tisu berkenaan.

“Rawatan kesuburan di Malaysia banyak didorong oleh pesakit. Terdapat perkhidmatan dan rawatan kesuburan di sektor awam, tetapi ini terhad. 

“Sektor swasta menguasai bidang ini kerana berdasarkan pesakit dan rawatan mereka biasanya mahal, katanya.  

 

OTC

Konsep Pusat Reproduksi Lanjutan HCTM dapat ditelusuri sejak tahun 2008 ketika Dr Mohd Faizal, yang ketika itu adalah pakar obstetrik & pakar ginekologi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (sekarang dikenali sebagai HCTM) ditawarkan peluang untuk mengkhusus dalam bidang kesuburan. 

Dr Mohd Faizal berkata dua tahun lepas beliau bertemu dengan pakar onkofertiliti Prof Dr Nao Suzuki, yang juga presiden Persatuan Pemeliharaan Kesuburan Asia di Jepun, pada persidangan kesuburan antarabangsa di India yang memaklumkan kepadan beliau bahawa tidak ada wakil Malaysia dalam pemeliharaan Asia (onkofertiliti).


Cryopreservation tisu ovari (OTC). -- Gambar ihsan healthline.com

“Beliau kemudian menawarkan saya untuk melakukan penyelidikan dan latihan mengenai cryopreservation tisu ovari (OTC) di Jepun dan saya berjaya mendapat biasiswa daripada UKM untuk  melanjutkan kajian selama tiga bulan mengenai OTC pada 2019,” katanya.

OTC adalah sejenis pemeliharaan kesuburan di mana sebahagian atau seluruh ovari dikeluarkan dan tisu yang mengandungi telur belum matang dibekukan dan disimpan untuk rawatan kemandulan pada masa akan datang. 

Dr Mohd Faizal berkata walaupun OTC masih baru di Malaysia, Jepun telah menggunakan prosedur ini sejak 10 tahun lepas. 

Namun, sebelum HCTM mula menawarkan OTC pada bulan Ogos 2019, ia bukan sahaja perlu mendapatkan persetujuan Kementerian Kesihatan tetapi juga Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Menurut Majlis Fatwa Kebangsaan, pembekuan sperma dan oosit (sel telur belum matang) tidak diizinkan untuk orang bujang yang tidak sakit tetapi tidak ada garis panduan untuk pesakit barah. Setelah beberapa kali bertemu dengan mereka, kami diberi lampu hijau untuk melakukan prosedur terhadap pesakit barah," jelasnya .

 

KADAR KEJAYAAN


Seorang jururawat menyusun bayi merdeka yang dilahirkan di Wad Bersalin, Hospital Pulau Pinang pada Ogos lalu (gambar hiasan). --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Dr Mohd Faizal berkata, Malaysia mempunyai alasan yang baik untuk menawarkan perkhidmatan kesuburan berdasarkan data Institut Kanser Negara dan kadar kelangsungan hidup dalam kalangan pesakit barah. 

Kira-kira 90 peratus pesakit hematologi dan barah payudara di Malaysia mempunyai kadar remisi yang baik kerana pengesanan awal penyakit pada tahap 1 dan 2 dan mereka mempunyai kualiti hidup yang baik setelah menyelesaikan rawatan mereka. 

Bagaimanapun, pilihan pemeliharaan kesuburan tidak ditawarkan kepada mereka setelah mereka didiagnosis menghidap barah. Ini kerana apabila ia berkaitan barah, keutamaan diberikan untuk rawatan, ” katanya. 

Tetapi sebaik mereka telah selesai menjalani rawatan barah, tisu reproduktif mereka turut musnah dan tidak ada persoalan timbul bagi mereka untuk mempertimbangkan prosedur pemeliharaan kesuburan. 

Dr Mohd Faizal berkata, kadar kejayaan pesakit dan mangsa yang selamat untuk hamil melalui OTC adalah antara 30 hingga 40 peratus di seluruh dunia dan 90 peratus hormon yang hilang semasa rawatan dapat diisi semula. 

Beliau berkata ‘cryopreservation’ memerlukan prosedur pembedahan untuk membuang ovari atau sebahagian daripadanya. 

“Tisu yang mengandungi telur belum matang dibekukan dan disimpan untuk digunakan pada kemudian hari. Tisu ini boleh disimpan sehingga 10 tahun dan boleh diimplan semula dalam badan,” katanya.

Beliau juga berkata bahawa OTC biasanya hanya dipertimbangkan dalam kes-kes tertentu apabila pesakit tidak mempunyai masa untuk menjalani rangsangan ovari terkawal untuk embrio atau cryopreservation oosit. 

“Bagi mereka yang merancang pembedahan atau rawatan barah sebaik sahaja mereka didiagnosis pada tahap 1 atau 2 penyakit ini, kami mengesyorkan agar mereka melakukan OTC terlebih dahulu tetapi ini bergantung kepada sama ada mereka telah melakukan kimoterapi pusingan pertama. 

“Ini kerana lebih 40 peratus sel tisu pembiakan mengalami kerosakan (semasa kimoterapi), jadi kita harus mengkaji semula rawatannya sebelum kita dapat menawarkan OTC kepada mereka," katanya dan  menambah bahawa OTC tidak digalakkan untuk wanita berumur lebih 40 tahun dan yang mempunyai sista ovari yang besar dan berada tahap akhir barah.

 

(Diterjemah oleh Cik Rashidah Abd Ghani)

BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan