RENCANA

C)VID 19: LAPAN KLUSTER MEMBADAI SABAH, KES BAHARU KEMBALI TIGA ANGKA

25/09/2020 09:07 PM

Oleh Melati Mohd Ariff

Berikut adalah rangkuman TERKINI mingguan mengenai COVID-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 19 Sept hingga pukul 7:30 mlm 25 Sept.

 Jumlah kes COVID-19 di Malaysia melepasi lebih 10,500 sementara di peringkat global, ia sudah mencatat lebih 32 juta dengan lebih 980,000 kematian. Seramai lebih 23  juta orang pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh. Pandemik COVID-19 sudah merebak ke lebih 200 buah negara dan wilayah.

 

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Dengan lapan (8) kluster, Sabah terus dibadai lonjakan kes positif COVID-19 dan hari ini, daripada 111 kes baharu yang diumumkan, 97 kes adalah di negeri bawah bayu itu.

Kluster paling banyak merekod kes baharu, sehingga pukul 12 tengah hari ini adalah Bangau-Bangau iaitu 74 kes, diikuti Kluster Benteng LD sebanyak 13 kes. 

Kluster paling mengganas di Sabah, Kluster Benteng LD yang pertama kali diumumkan pada 1 Sept, mencatat 730 kes baharu semalam. Dengan pertambahan kes hari ini, jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 adalah 743, iaitu Tawau (576 kes), Lahad Datu (164 kes), Kinabatangan (2 kes) dan Sandakan, satu (1) kes.

Kluster Bangau-Bangau pula yang mula dikesan di Semporna pada 22 Sept semalam mencatat 60 kes dan dengan tambahan kes baharu hari ini, jumlah keseluruhan kes adalah 134 kes.

Satu lagi kluster yang diumumkan mencatat kes baharu hari ini, Kluster Laut dengan dua (2) kes. Jumlah keseluruhan kes dalam kluster ini yang mula dikesan di Kunak pada 12 Sept ialah 24 kes. 

Selain tiga kluster yang disebut di atas, kluster lain yang di Sabah adalah Kluster Pulau (Kunak, 15 Sept), Kluster Selamat (Semporna, 17 Sept), Kluster Bakau (Semporna, 19 Sept), Kluster Kuarters (Tongod, 21 Sept) dan Kluster Udin (Tawau, 23 Sept ).

Sehingga 25 Sept, daripada lima zon merah di negara ini, empat adalah di Sabah iaitu Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna. Satu lagi di Kota Setar, Kedah.

Di Semenanjung, terdapat beberapa kluster yang masih belum tamat. Hari ini seperti semalam, cuma Kluster Sungai, yang dikesan pada 7 Sept lepas, mencatat kes baharu. Ditambah tujuh (7) kes baharu hari ini, jumlah keseluruhan adalah 98 kes, iaitu 97 kes di Kedah dan satu (1) kes di Perlis.

 

KKM BERSIAP SIAGA

Menyediakan katil tambahan di hospital serta mempersiapkan beberapa lokasi sebagai pusat kuarantin, adalah antara langkah persediaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menghadapi kemungkinan peningkatan penularan COVID-19 di Sabah.

Kebimbangan ini akibat kemunculan satu demi satu kluster baharu serta pertambahan besar kes positif COVID-19 di Sabah tatkala negeri itu sedang sibuk dengan persiapan akhir menjelang Pilihan raya Negeri (PRN) pada Sabtu ini (26 Sept).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sewaktu sidang media pada 23 Sept, untuk mengumumkan perkembangan terkini COVID-19 di negara ini berkata, pihaknya setakat ini menyediakan sebanyak 692 katil.


Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Daripada jumlah itu, 251 buah ditempatkan di Hospital Lahad Datu manakala 401 buah di Hospital Tawau dan 40 lagi, di Hospital Kunak.

Di samping itu, Institut Perguruan Tawau dijadikan pusat kuarantin dengan mempunyai 720 katil, Palm Inn Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lahad Datu (118), Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) (160) dan Felda Sahabat (76).

Selain hospital kerajaan dan beberapa kawasan disekitar Tawau yang dijadikan lokasi kuarantin, Kunak turut menyediakan 15 katil di Asrama Rumah Anak-Anak Yatim, Rumah Kerajaan Negeri (12) dan Asrama Sekolah Menengah Agama Kunak (100).

Manakala, pusat kuarantin lain di daerah Semporna adalah di Program Perumahan Rakyat (PPR) Ria yang menempatkan 180 katil bagi tujuan kuarantin sepanjang PRN Sabah berlangsung.

 

KES BAHARU SEPANJANG MINGGU RANGKUMAN

Malaysia yang pertama kalinya mencatat kes positif COVID-19 lima angka pada Rabu 16 Sept iaitu sebanyak 10,031 kes, setakat pukul 12 tengah hari Jumaat 25 Sept, merekod kes baharu tiga angka iaitu 111, menjadikan jumlah kes positif sebanyak 10,687 kes. 

Ini menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 sebanyak 858 kes.

Pada Rabu 23 Sept, kes baharu COVID-19 kembali melonjak tiga angka iaitu 147 dengan Sabah merekod kes baharu terbesar iaitu 134 kes.

Malaysia dikejutkan dengan kes positif COVID-19 tiga angka iaitu 182 pada Jumaat 11 Sept dan 100 kes pada Selasa 8 Sept.

Untuk rangkuman minggu ini, kebanyakan kes baharu masih penularan dalam negara. Jumlah kes import adalah kecil seperti pada Jumaat 25 Sept, hanya empat (4) daripada 111 kes baharu.

Ini dilihat sebagai hasil tindakan tegas kerajaan mengharamkan kemasukan pemegang Pas Lawatan (Sosial) Jangka Panjang, berkuatkuasa 7 Sept lepas, melibatkan 23 negara yang mencatatkan kes COVID-19 melebihi 150,000 kes.

Jumlah pesakit COVID-19 dalam negara yang pulih turut menunjukkan jumlah besar dan paling tinggi adalah pada Selasa 22 Sept iaitu 168 orang. 

 Seramai 30 orang lagi pulih hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih seramai 9,696 orang iaitu 90.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Tidak ada kes kematian baharu dilaporkan semalam dan angka kematian pesakit COVID-19 di Malaysia kekal 133 orang.

Tiga kes kematian dicatat pada Rabu 23 Sept, iaitu dua (2) di Sabah dan seorang di Kedah. Sebelum itu, kes kematian terakhir dicatat pada 19 Sept.

Sehingga kini, empat (4) kes positif COVID-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi, dan tiga (3) daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

 

BIMBANG RO

Kebimbangan mengenai nilai Rt atau R naught (Ro) iaitu kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak di dalam masyarakat sekali dibangkitkan Dr Noor Hisham dalam kenyataan akhbar mengenai situasi semasa jangkitan penyakit koronavirus semalam.

Menurut beliau, Malaysia mula mencatatkan nilai Rt atau R naught (R0) penularan jangkitan COVID-19 yang tinggi pada 7 Sept 2020 (nilai Rt 1.72). Berikutan situasi peningkatan kes COVID-19 di negeri Sabah dan negeri Kedah, nilai Rt di kedua-dua negeri ini memberi kesan besar terhadap nilai Rt bagi negara.

Situasi penularan COVID-19 di dalam negara dikhuatiri akan terus meningkat secara mendadak dan eksponensial sekiranya langkah kawalan tidak dijalankan secara agresif.


--fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Susulan itu, pelbagai tindakan kawalan dan pencegahan kesihatan awam diipergiatkan termasuk memperketatkan syarat kemasukan dari negara-negara berisiko tinggi di Pintu Masuk Antarabangsa. Pihak penguatkuasa turut mempertingkatkan kawalan sempadan dengan menyekat kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di laluan-laluan tikus terutamanya di Negeri Sabah.

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di beberapa kawasan juga turut membantu kawalan.

Tindakan pantas pengesanan kontak rapat kes-kes positif, perluasan saringan bersasar terhadap golongan berisiko tinggi, pelaksanaan kuarantin, dan pemberian rawatan awal kepada kes yang bergejala telah berjaya menurunkan nilai Rt sehingga kurang dari 1.0.

Bagaimanapun, kata Dr Noor Hisham, nilai Rt dilihat tidak stabil dan kembali meningkat.

Pada 23 Sept 2020,  ianya meningkat kembali kepada 1.34 iaitu melebihi 1.0 (nilai Rt di Sabah adalah 1.37 dan Kedah 1.15.

"Oleh yang demikian, lebih banyak usaha perlu dilakukan bersama bagi memutuskan penularan jangkitan COVID-19 di dalam komuniti. Sekiranya tiada urusan di luar rumah, masyarakat dinasihatkan supaya kekal berada di rumah, " kata beliau.

 

STATISTIK GLOBAL COVID-19

Sementara itu, menurut perangkaan CoronaTracker (mengambil sumber pelbagai agensi termasuk WHO), jumlah kes COVID-19 di seluruh dunia, setakat ini sudah melebihi 30 juta. Setakat rangkuman mingguan ini, kes COVID-19 global sebanyak 32,441,415 (rangkuman minggu lalu 30,367,859) dengan 988,197 kematian (minggu lalu 950,821 kematian). Jumlah pesakit sembuh ialah 23,948,020 ( minggu lalu 22,052,941).

  Amerika Syarikat kekal di tempat teratas dalam senarai negara yang dilanda pandemik COVID-19 dengan 7,185,516 kes (minggu lalu 6,874,596 kes ). Angka kematian, 207,538 (minggu lalu 202,213 ). Kes positif COVID-19 mula dikesan di negara itu pada 20 Jan 2020.

 Jumlah kes COVID-19 di India mencecah lima (5) juta pada Rabu 16 Sept dan setakat rangkuman mingguan ini, angka kes adalah 5,818,570 (minggu lalu 5,214,677 kes) dengan 92,317 kematian (minggu lalu 84,404 kematian ).    

Brazil di tempat ketiga, dengan 4,659,909 kes (minggu lalu 4,457,443 kes) dengan 139,883 kematian (minggu lalu 135,031 kematian ). 

Rusia merekod 1,136,048 kes (minggu lalu 1,091,186 kes ) dengan 20,056 kematian (minggu lalu 19,061 kematian ).   

Di samping empat negara di atas, terdapat 34 buah lagi negara mencatat lebih 100,000 kes COVID-19.

Negara-negara dalam senarai tersebut adalah seperti berikut:-

Colombia 790,823 kes (24,924 kematian), Peru 788,930 kes (31,938 kematian), Mexico 715,457 kes (75,439 kematian), Sepanyol 704,209 kes (31,118 kematian), Argentina 678,266 kes (14,766 kematian), Afrika Selatan 667,049 kes (16,283 kematian), Perancis 497,237 kes (31,511 kematian), Chile 451,634 kes (12,469 kematian), Iran 436,319 kes (25,015 kematian), United Kingdom 416,363 kes (41,902 kematian), Bangladesh 356,767 kes (5,093 kematian), Iraq 337,106 kes (8,799 kematian), Arab Saudi 331, 857 kes (4,599 kematian), Turki 309,790 kes (7,785 kematian), Pakistan 309,015 kes (6,444 kematian), Itali 304,323 kes (35,781 kematian), Filipina 299,361 kes (5,196 kematian), Jerman 281,503 kes (9,520 kematian), Indonesia 266,845 kes (10,218 kematian), Israel 215,273 kes (1,405 kematian), Ukraine 191,671 kes (3,827 kematian), Kanada 149,094 kes (9,249 kematian), Bolivia 132,618 kes (7,765 kematian), Equador 131,146 kes (11,213 kematian), Qatar 124,425 kes (212 kematian), Romania 118,054 kes (4,591 kematian), Republik Dominica 110,122 kes (2,076 kematian), Morocco 110,099 kes (1,956 kematian), Belgium 108,768 kes (9,965 kematian), Panama 108,726 kes (2,297 kematian), Kazakhstan 107,590 kes (1,699 kematian), Mesir 102,513 kes (5,835 kematian) dan Kuwait 101,851 kes (592 kematian).

Sementara China, di mana bermulanya wabak COVID-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat 43 dengan 85,322 kes (minggu lalu 85,255 kes ) dan angka kematian kekal 4,634 (tidak berubah daripada minggu-minggu sebelumnya).

Dalam kalangan negara jiran Malaysia di Asia Tenggara, Filipina dan Indonesia menyertai senarai 34 buah negara yang mencatat lebih 100 ribu kes COVID-19.

Minggu ini Filipina 299,361 kes (minggu lalu 279,526 kes) dengan 5,196 kematian  (minggu lalu 4,830 kematian), sementara Indonesia mencatat 266,845 kes (minggu lalu 236,519 kes) dengan 10,218 kematian (minggu lalu 9,336 kematian).

Singapura pula merekodkan 57,665 kes (minggu lalu 57,543 kes) dengan angka kematian kekal 27 seperti minggu sebelumnya, diikuti Myanmar dengan 8,515 kes (minggu lal 4,299 kes) dan 155 kematian (minggu lalu 61 kematian). 

Thailand merekod 3,519 kes (minggu lalu 3,497 kes) dengan angka kematian bertambah satu kes, kepada 59. Vietnam, 1,069 kes (minggu lalu 1,066 kes) dengan angka kematian kekal 35.

Kes COVID-19 di Kampuchea minggu ini kekal 275 kes dengan sifar kematian. Tiada perubahan kes COVID-19 di Brunei 141 kes (2 kematian) sementara Laos kekal 23 kes positif COVID-19 dengan sifar kematian.

---------------------------------------------------------------------------------------------

RUANGAN SISI

LATAR BELAKANG COVID-19

-- Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

-- Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut. 

-- Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.

-- WHO memberi nama rasmi virus "2019-nCoV" iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.

-- Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.

-- Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.

-- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit COVID-19 sebagai pandemik.

-- WHO menyifatkan wabak penyakit COVID-19 sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1atau lebih dikenali sebagai Selesema Babi (Swine Flu).

-- Wabak Selesema Babi berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian. Ia mula dikesan di Mexico dan kemudiannya di Amerika Syarikat pada Mac 2009.

-- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pandemik COVID-19 akan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression.  

-- Kes pertama 2019-nCoV di Malaysia disahkan pada 25 Jan membabitkan tiga (3) warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Jan.

-- Khamis 30 Julai genap enam bulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengisytiharkan Darurat Kesihatan Awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan 2019 novel koronavirus yang dikenali kemudian sebagai COVID-19.

-- Pengumuman yang dibuat itu adalah yang ke-enam dibuat oleh Pertubuhan itu tetapi yang terburuk. Untuk rekod, pengumuman lalu ialah bersabit H1N1 (2009), Polio dan Ebola di Afrika Barat (2014), Zika (2016) dan Ebola di Republik Congo (2019).

 BERNAMA


 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan