RENCANA

COVID-19: KLUSTER DI SABAH TERUS DOMINASI KES POSITIF DI MALAYSIA

18/09/2020 08:34 PM

Oleh Melati Mohd Ariff

Berikut adalah rangkuman TERKINI mingguan mengenai COVID-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 12 Sept hingga pukul 7:30 mlm 18 Sept.

Jumlah kes COVID-19 di Malaysia melepasi angka 10,000 sementara di peringkat global, ia sudah mencatat lebih 30 juta dengan lebih 950,000 kematian. Seramai lebih 22 juta orang pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh. Pandemik COVID-19 sudah merebak ke lebih 200 buah negara dan wilayah.

 

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Tiga daripada empat kluster di Sabah termasuk Kluster Benteng LD, terus menokok kes baharu hari ini, dan dibimbangi negeri di bawah bayu ini menjadi “tapak panas” penularan kes positif di Malaysia.

Malaysia yang pertama kalinya mencatat kes positif COVID-19 lima angka pada Rabu 16 Sept, hari ini berhadapan dengan pertambahan 95 kes baharu iaitu 91 kes penularan dalam negara (90 di Sabah dan satu di Negeri Sembilan) dan empat (4) kes import.

Sehingga pukul 12 tengah hari Jumaat 18 Sept, jumlah keseluruhan kes positif adalah sebanyak 10,147 kes. Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula meningkat kepada 754 berbanding hanya 151 kes pada 1 Sept. 

Satu kematian dicatat hari ini, menjadikan jumlah kematian akibat COVID-19 di Malaysia sebanyak 129 kes (1.27 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Bermula dengan Kluster Benteng LD yang diumumkan pada 1 Sept, tiga lagi kluster di negeri di Bawah Bayu itu ialah Kluster Laut (Kunak, Sabah) pada 12 Sept, Kluster Pulau (Kunak, Sabah) pada 14 Sept dan Kluster Selamat (Semporna, Sabah) pada Khamis, 17 Sept.

Di Semenanjung, terdapat beberapa kluster yang masih mencetuskan kes baharu, antaranya Kluster Sungai (Kedah dan Perlis) yang diumumkan kemunculannya pada 7 Sept lepas. Setakat Khamis 17 Sept, jumlah kes positif kluster iuni sebanyak 65 kes, iaitu 64 di Kedah dan satu (1) di Perlis. Satu lagi ialah Kluster Tawar yang melibatkan Kedah dan Pulau Pinang. Setakat 13 Sept, jumlah kes positif, 81 (Kedah) dan 11 (Pulau Pinang).


Pemakaian pelitup muka menjadi kebiasaan bagi setiap individu. Masyarakat kini sudah mula menyesuaikan diri dengan norma baharu sebagai langkah pencegahan penularan COVID-19 sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Setelah dikejutkan dengan kes positif COVID-19 tiga digit iaitu 182 pada Jumaat 11 Sept dan 100 kes pada Selasa 8 Sept, kes harian kembali dua digit sepanjang rangkuman mingguan ini.

Sebahagian besar kes baharu adalah penularan tempatan sementara kes import di negara adalah kecil. Ini mungkin hasil tindakan kerajaan mengharamkan kemasukan pemegang Pas Lawatan (Sosial) Jangka Panjang dari 23 negara yang mencatatkan kes COVID-19 melebihi 150,000 kes, bermula 7 Sept lalu.

 Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 14 kes COVID-19 dilaporkan pulih pada Jumaat 18 Sept, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya sebanyak 9264 kes (91.30 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Sebanyak 11 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Dua pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

 

KES PENULARAN TEMPATAN MASIH TINGGI

Setakat pukul 12:00 tengah hari Jumaat 18 Sept, sebanyak 95 kes baharu dilaporkan dan daripada jumlah itu, empat (4) adalah kes import dan 91 kes lagi, penularan dalam negara.

Untuk rekod, kes baharu COVID-19 sepanjang rangkuman mingguan ini masih dua angka, seperti berikut:- Sabtu 12 Sept, 58 kes (lima kes import, 53 penularan dalam negara); Ahad 13 Sept, 47 kes (dua import, 45 penularan dalam negara); Isnin 14 Sept, 31 kes (tiga import, 28 penularan dalam negara), Selasa 15 Sept, 23 kes (10 import, 13 penularan dalam negara), Rabu 16 Sept, 62 kes (satu import, 61 penularan dalam negara) dan Khamis 17 Sept, 21 kes (lima import dan 16 penularan dalam negara). 

Kemunculan kluster baharu dan kes harian yang tinggi turut meningkatkan nilai Rt atau R naught (Ro) iaitu kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak di dalam masyarakat. Secara puratanya berapa ramai orang yang boleh dijangkiti oleh virus yang dibawa oleh kes dalam wabak tersebut.

Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, Ro adalah 3.55. 


Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam posting Facebook beliau pada 15 Sept, “Berdasarkan kes-kes harian, kadar kebolehjangkitan dalam komuniti atau nilai Rt di negara kita berada pada paras melebihi 1.0 iaitu 1.58 setakat 13 Sept lalu.

“Jika diteliti nilai Rt bagi negeri Sabah pula, pada 8 Sept 2020 ianya adalah amat tinggi, iaitu pada nilai 3.72. Ini adalah lebih tinggi berbanding nilai Rt bagi negeri Kedah pada tarikh yang sama iaitu 2.63. Hasil tindakan kesihatan awam yang giat dijalankan menurunkan sedikit nilai ini bagi kedua-dua negeri.

“Pada 13 September 2020, nilai Rt bagi negeri Sabah adalah 1.70, iaitu hampir sama dengan nilai Rt bagi negeri Kedah pada tarikh yang sama iaitu 1.58. “

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata, nilai ini tetap melebihi 1.0 bagi kedua-dua negeri, dan seterusnya memberi kesan kepada nilai Rt bagi negara. Tindakan kesihatan awam perlu diteruskan dan dipergiat agar nilai ini dapat terus dikurangkan sehingga kurang daripada 1.0; sekaligus mengurangkan transmisi dan kebolehjangkitan COVID-19 di dalam komuniti.

 

SABAH TAPAK PANAS KLUSTER

Setakat ini, sebanyak empat kluster dikesan di Sabah, dan yang terbaharu diumumkan, pada Khamis 15 Sept, iaitu Kluster Selamat.

Menurut Dr Noor Hisham Abdullah, kes indeks kluster baharu itu iaitu kes ke-9,969 merupakan seorang wanita warganegara berusia 32 tahun yang didapati positif COVID-19 pada 14 Sept ketika saringan kemasukan ke Hospital Tawau bagi kelahiran pramatang. 

Hasil saringan kontak rapat dan pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection), satu (1) lagi kes positif COVID-19 dikesan. Kes merupakan pegawai perubatan yang merawat kes indeks. Hari ini 18 Sept, kluster ini merekod tiga (3) kes baharu, menjadikan jumlah kes positif adalah lima (5). Seramai 132 individu masih menunggu keputusan.

Kluster Pulau pula diumumkan pada 14 Sept, berlaku di Kunak, Sabah. Kes indeks kluster adalah seorang wanita warganegara Malaysia, berusia 68 tahun, ditemui tidak sedarkan diri di rumah dan dibawa ke Hospital Kunak, dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Tawau bagi rawatan serangan jantung, strok dan penyakit hati.'

Saringan COVID-19 pada 13 Sept didapati positif. Beliau kini dirawat Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan. Lapan (8) kes positif dikesan kemudiannya, semua melibatkan ahli keluarga kes indeks. Pada Jumaat, 18 Sept, empat (4) lagi kes disah positif, menjadikan jumlah 14 kes. Seramai 268 individu masih menunggu keputusan.

Kluster Laut yang diumumkan pada 12 Sept melibatkan Pendatang Tanpa Izin (PATI) di Kunak. Kes indeks, orang tahanan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau, dihantar balik ke negara asal iaitu Zamboanga, Filipina pada 27 Ogos 2020. PATI ini menyusup masuk ke Sabah pada 5 Sept untuk melawat isteri kes.

Setakat ini, kluster ini melibatkan empat kes positif termasuk isteri dan anak kes indeks. Seramai 31 individu dilaporkan masih menunggu keputusan saringan,

Kluster Benteng LD yang mula dikesan pada 1 Sept adalah hasil saringan tahanan baharu di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, Sabah.

Setakat Jumaat 18 Sept, jumlah kes positif kluster ini sebanyak 550 kes. Daripada jumlah ini, sebanyak 151 kes positif COVID-19 dilaporkan di Lahad Datu. Seramai 552 individu masih menunggu keputusan.

Di Tawau, sebanyak 398 kes positif dikesan setakat 18 Sept dan seramai 1,286 individu masih menunggu keputusan. Terdapat satu (1) kes baharu, saringan dikesan positif di Sandakan.

 

STATISTIK GLOBAL COVID1-19


Statistik terkini COVID-19 di seluruh dunia dan ringkasan kes COVID-19 di Malaysia. www.coronatracker.com

Sementara itu, menurut perangkaan CoronaTracker (mengambil sumber pelbagai agensi termasuk WHO), jumlah kes COVID-19 di seluruh dunia, setakat ini sudah mencecah 30 juta. Setakat rangkuman mingguan ini, kes COVID-19 global sebanyak 30,367,859 (rangkuman minggu lalu 28,351,973), dengan 950,821 kematian (minggu lalu 914,256 kematian). Jumlah pesakit sembuh ialah 22,052,941 (minggu lalu 20,357,351).   

Amerika Syarikat kekal di tempat teratas dalam senarai negara yang dilanda pandemik COVID-19 dengan 6,874,596 kes ((minggu lalu 6,588,181). Angka kematian, 202,213 (minggu lalu 196,331 orang). Kes positif COVID-19 mula dikesan di negara itu pada 20 Jan 2020.

 Jumlah kes COVID-19 di India mencecah lima (5) juta pada Rabu 16 Sept dan setakat rangkuman mingguan ini, angka yang dicatat adalah 5,214,677 kes (minggu lalu 4,566,726 kes) dengan 84,404 kematian (minggu lalu 76,336 kematian).   

Brazil di tempat ketiga, dengan 4,457,443 kes (minggu lalu 4,239,763 kes) dengan 135,031 kematian (minggu lalu 129,575 kematian). Rusia merekod 1,091,186 kes (minggu lalu 1,051,874 kes) dengan 19,061 kematian (minggu lalu 19,195 kematian).  

Di samping empat negara di atas, terdapat 30 buah lagi negara mencatat lebih 100,000 kes COVID-19, seperti berikut:- 

Peru 750,098 kes (31,146 kematian), Colombia 743,945 kes (23,665 kematian), Mexico 684,113 kes (72,179 kematian), Afrika Selatan 655,572 kes ( 15,772 kematian ), Sepanyol 625,651 (30,405 kematian), Argentina 601,713 kes (12,460 kematian), Chile 441,150 kes (12,142 kematian), Perancis 415,481 kes (31,095 kematian), Iran 413,149 kes (23,808 kematian), United Kingdom 381,614 kes (41,705 kematian), Bangladesh 344,264 kes (4,859 kematian), Arab Saudi 328,144 kes (4,399 kematian), Iraq 307,385 kes (8,332 kematian), Pakistan 304,386 kes (6,408 kematian), Turki 298,039 kes (7,315 kematian), Itali 293,025  kes (35,658 kematian), Filipina 279,526 kes (4,830 kematian), Jerman 269,042 kes (9,457 kematian), Indonesia 236,519 kes (9,336 kematian),  Israel 176,933 kes (1,169 kematian), Ukraine 169,472 kes (3,468 kematian),  Kanada 140,867 kes (9,200 kematian), Bolivia 129,419 kes (7,511 kematian), Qatar 122,693 kes (208 kematian), Equador 122,257 kes (11,029 kematian), Romania 108,690 kes (4,312 kematian), Khazakhstan 107,134 kes (1,671 kematian), Republik Dominica 106,136 kes (2,022 kematian), Panama 104,138 kes (2,213 kematian) dan Mesir 101,641 kes (5,715 kematian).

Sementara China, di mana bermulanya wabak COVID-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat 41 dengan 85,255 kes (minggu lalu 85,168 kes ) dan angka kematian kekal 4,634 (tidak berubah daripada minggu-minggu sebelumnya).

Dalam kalangan negara jiran Malaysia di Asia Tenggara, Filipina dan Indonesia menyertai senarai 34 buah negara yang mencatat lebih 100 ribu kes COVID-19.

Minggu ini Filipina merekod 279,526 kes (minggu lalu 252,964 kes) dengan 4,830 kematian (minggu lalu 4,108 kematian), sementara Indonesia mencatat 236,519 kes (minggu lalu 210,940 kes) dengan 9,336 kematian (minggu lalu 8,544 kematian).

Singapura pula merekodkan 57,543 kes (minggu lalu 57, 316 kes) dengan angka kematian kekal 27 seperti minggu sebelumnya, diikuti Myanmar yang minggu ini mengatasi Thailand, dengan 4,299 kes dan 61 kematian (minggu lalu 2,265 kes dengan 14 kematian).

Thailand merekod 3,497 kes (minggu lalu 3,461 kes). Angka kematian kekal 58. Vietnam, 1,066 kes (minggu lalu 1,059 kes) dengan angka kematian kekal 35.

Kes COVID-19 di Kampuchea minggu ini 275 kes (minggu lalu 274 kes) dengan sifar kematian. Tiada perubahan kes COVID-19 di Brunei 141 kes (2 kematian) sementara Laos menambah satu kes, menjadikan 23 kes positif COVID-19 dengan sifar kematian.

---------------------------------------------------------------------------------------------

RUANGAN SISI

LATAR BELAKANG COVID-19

-- Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

-- Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut. 

-- Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.

-- WHO memberi nama rasmi virus "2019-nCoV" iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.

-- Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.

-- Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.

-- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit COVID-19 sebagai pandemik.

-- WHO menyifatkan wabak penyakit COVID-19 sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1atau lebih dikenali sebagai Selesema Babi (Swine Flu).

-- Wabak Selesema Babi berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian. Ia mula dikesan di Mexico dan kemudiannya di Amerika Syarikat pada Mac 2009.

-- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pandemik COVID-19 akan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression.  

-- Kes pertama 2019-nCoV di Malaysia disahkan pada 25 Jan membabitkan tiga (3) warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Jan.

-- Khamis 30 Julai genap enam bulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengisytiharkan Darurat Kesihatan Awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan 2019 novel koronavirus yang dikenali kemudian sebagai COVID-19.

-- Pengumuman yang dibuat itu adalah yang ke-enam dibuat oleh Pertubuhan itu tetapi yang terburuk. Untuk rekod, pengumuman lalu ialah bersabit H1N1 (2009), Polio dan Ebola di Afrika Barat (2014), Zika (2016) dan Ebola di Republik Congo (2019).

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan