RENCANA

TEMPATKAN PERKHIDMATAN AIR DI BAWAH MKN, KATA PENCINTA ALAM SEKITAR

17/09/2020 03:54 PM

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Kejadian pencemaran sungai yang berulang kali di negara ini dan gangguan bekalan air yang kerap memerlukan polisi yang lebih ketat untuk melindungi sumber air mentah.

Pengerusi Pusat Alam Sekitar Global (GEC), Dr K. Kalithasan berkata, sudah tiba masanya  bagi kerajaan meletakkan isu bekalan air di bawah naungan Majlis Keselamatan Nasional (MKN) kerana ia adalah sumber penting. 

(GEC adalah organisasi bukan membuat keuntungan yang mengutarakan isu-isu alam sekitar yang berkepentingan global.)

Beliau berkata, 97 peratus bekalan air negara datangnya dari sungai. 

Oleh itu, setiap kali berlakunya gangguan bekalan air akibat pencemaran di sumber air mentah, perkara itu tidak lagi boleh ditafsirkan sebagai agenda kecil yang hanya diperhatikan oleh kerajaan negeri.

"Sebenarnya, ia harus dikategorikan sebagai bencana negara," katanya. 


Dr K. Kalithasan, Pengerusi Pusat Alam Sekitar Global (GEC). -- Gambar ihsan thestar.com.my

Kalithasan berkata, pemotongan air akibat pencemaran tidak lagi boleh dipandang sebagai "isu tempatan peringkat negeri" kerana ini mempengaruhi kehidupan seharian masyarakat, perniagaan, kilang dan hospital. 

Beliau juga menjelaskan bahawa pihak berwajib tidak boleh membiarkan pihak pencemar terlepas mudah dengan hanya menerima hukuman kompaun kerana ia tidak lagi berkesan. 

"Bagi mereka, kompaun RM60,000 itu bukan menjadi masalah sama sekali.

“Hukuman kompaun dilihat tidak lagi berkesan terhadap pihak tidak bertanggungjawab itu kerana mereka didakwa sudah ada 'peruntukan khas’ bagi membayar kompaun apabila disabitkan kesalahan. Jadi, akhirnya, rakyat yang menanggung susah tiada bekalan air.

Oleh itu, beliau mencadangkan agar hukuman lebih berat dikenakan termasuk tertuduh bertanggungjawab ke atas kos membersihkan sungai yang tercemar. 

“Pada masa ini, wang pembayar cukai digunakan untuk membersihkan sungai yang tercemar oleh pesalah. Mengapa pembayar cukai harus menanggung kos yang besar itu?, " katanya.

 

PASUKAN PETUGAS

Yang terbaru dalam siri gangguan bekalan air di Lembah Klang berlaku kira-kira 10 hari yang lepas apabila Sungai Gong di Rawang dicemari oleh sisa toksik dari kilang penyelenggaraan mesin berat yang terletak di Kawasan Perindustrian Sungai Gong di Rawang, Selangor. 

Pencemaran yang dihasilkan di sumber air mentah (Sungai Gong) memaksa Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang menghentikan operasi, hingga memberi kesan kepada kira-kira lima juta pengguna. 

Secara kebetulan, kilang yang sama didenda RM60,000 kerana melakukan kesalahan sama pada Mac tahun ini. 

Tahun lepas, Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air sekurang-kurangnya sembilan kali, yang kebanyakannya disebabkan oleh pencemaran bekalan air mentah. 


Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Alam Sekitar dan Air. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Pada Isnin, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas untuk membendung jenayah alam sekitar dan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan terhadap pencemar. 

Pasukan petugas itu akan terdiri daripada pegawai dari Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Biokeselamatan dan polis.

Menteri itu juga menyatakan bahawa undang-undang alam sekitar Malaysia akan dipinda untuk memperuntukkan hukuman yang lebih berat termasuk mengenakan kompaun dan denda yang lebih tinggi, menggantung lesen perniagaan pesalah dan pesalah menanggung kos membersihkan pencemaran yang berpunca daripada mereka.

 

BAU BUSUK


Sungai Gong selepas mengalami insiden pencemaran bau di kawasan perindustrian Rawang yang mengakibatkan hampir 1.2 juta akaun pengguna sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menerusi artikel yang ditulis oleh Pengerusi Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA), Lukman Sheriff Alias ​​dalam akhbar berbahasa Melayu minggu lepas, beliau menyatakan bahawa kompaun RM60,000 ke atas pencemar adalah tidak setimpal dengan seriusnya jenayah yang dilakukan.

Katanya, Seksyen 79 Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) 1999 memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan yang berkaitan dengan pencemaran sumber air. Akta Kualiti Persekitaran 1974 juga memperuntukkan hukuman denda atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

"Persoalannya, adakah denda RM100,000 itu mencukupi? Kelihatan cukup besar tetapi tidak cukup untuk mengingatkan tindakan pelaku itu boleh menyebabkan lebih satu juta orang menderita (kerana gangguan bekalan air),” katanya. 

Kalithasan berkata, kerajaan harus mempertimbangkan untuk memobilisasi perkhidmatan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi memantau pembuangan sisa industri ke saluran air oleh kilang. 

"Anggota RELA dapat bertindak sebagai 'mata' agensi alam sekitar seperti JAS dan membantu mereka memantau sungai kita," tambahnya. 


Md Khairi Selamat, Pengarah Bahagian Pengurusan Lembagan Sungai, Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS). --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA/ Soon Li Wei

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS), Md Khairi Selamat berkata, bil bulanan untuk membersihkan sungai di seluruh negara berjumlah kira-kira RM500,000. 

Sebahagian besar kerja-kerja pembersihan melibatkan membersihkan sampah yang dibuang ke sungai oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, katanya dan menambah bahawa jabatan itu juga harus memastikan bau busuk dapat dihilangkan bagi mengelakkan rasa tidak selesa penduduk yang tinggal di sekitarnya.

"Di Sungai Klang, contohnya, komponen kumbahan agak tinggi dan kami terpaksa melalui pelbagai proses dan sistem untuk menghilangkan bau busuk itu.

"Ketika proses pembersihan sungai, kami mendapati pelbagai jenis sampah dibuang ke dalam sungai antaranya perabot rumah, peti sejuk dan plastik yang turut menyumbat pengaliran air longkang ke dalam sungai serta menyebabkan bau busuk," katanya. 

Md Khairi juga berkata, di bawah projek jabatan itu, River of Life (RoL) di Lembah Klang, aplikasi mudah alih bernama Citizen's Eye diperkenalkan dua tahun lepas untuk membolehkan warga kota menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dan menjadi sebahagian daripada projek pengurusan dan pembersihan sungai di bandar.

 Aplikasi ini membolehkan orang ramai berkongsi maklumat, gambar atau video mengenai aktiviti yang berkaitan dengan sungai. 

"Mereka yang tinggal di sekitar tebing sungai atau yang pergi ke sana untuk aktiviti rekreasi boleh menggunakan aplikasi ini untuk berkongsi maklumat, yang boleh menjadi aduan atau komen mengenai tahap kebersihan sungai," tambahnya.

 

Disunting oleh Cik Rashidah Abd Ghani

BERNAMA 


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan