Ahad, 20 September 2020
RENCANA
15/09/2020 05:20 PM

Oleh Nina Muslim 

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Nur Amanina Aziz mendirikan rumah tangga dengan Hariz Nondrey Gomer Lara, warganegara Filipina, pada 22 Sept 2019 di sebalik ayahnya memberi amaran banyak kesulitan berkahwin dengan orang asing.

Ketika itu, sedikit pun beliau tidak memikirkan sangat kata-kata ayahnya sehinggalah sekarang. Apa yang ayah beliau bimbangkan, ternyata benar.

Hampir setahun selepas perkahwinannya, beliau dan suaminya hanya seketika sahaja hidup bersama. Pandemik COVID-19 memisahkan pasangan ini. Suami Nur Amanina kini berada di Filipina.

“Dua bulan kebelakangan ini begitu sukar untuk saya. Saya berasa amat sugul. Saya memencilkan diri, tak mahu jumpa orang, terutama saudara-mara saya. Saya kunci diri saya dalam kamar, kerana berasa terlalu sedih, “ kata Nur Amanina.

Selepas 10 bulan menunggu, nampaknya pasangan ini terpaksa menunggu lebih lama sedikit kerana Kerajaan Malaysia baru-baru ini memutuskan untuk mengharamkan kebanyakan warga dari 23 buah negara yang mencatat kes COVID-19 150,000 ke atas. Larangan ini termasuk Filipina dan India. Meskipun Kerajaan Malaysia pada 10 Sept mengumumkan pemastautin tetap serta pasangan, mungkin diberi pengecualian, kebenaran untuk mereka memasuki Malaysia bergantung kepada kelulusan Jabatan Imigresen.

Bagaimanapun, Jabatan Imigresen Malaysia mengeluarkan kenyataan semalam, peraturan ini tidak menyertakan pasangan dari negara yang diharamkan.

Menurut sebuah pertubuhan yang memberi sokongan kepada rakyat Malaysia yang berkahwin dengan warga asing, sekatan perjalanan ini memberi kesan kepada ratusan keluarga. Perangkaan JIM pada tahun 2016 menunjukkan semakin ramai rakyat Malaysia mengikat tali perkahwinan dengan warga asing. Pada tahun 2015, sebanyak 118,581 perkahwinan direkod.


Nur Amanina dan suami, Hariz sepanjang setahun perkahwinan mereka melalui banyak cabaran berbanding pasangan lain. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Belum pun sampai setahun mendirikan rumah tangga, Nur Amanina dan Hariz terpaksa melalui begitu banyak cabaran berbanding pasangan lain. 

Pertama, mereka terpaksa berpisah kerana Hariz terpaksa kembali ke Filipina pada November 2019 sebagai sebahagian daripada proses untuk memohon Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang atau Visa Pasangan. Rancangan untuk kembali ke Malaysia pada bulan Mei lepas hancur berkecai akibat pandemik COVID-19 dan banyak kerajaan termasuk Malaysia mengenakan sekaran perjalanan antarabangsa bagi mengekang penularan penyakit tersebut.

Sekarang, Hariz perlu melepasi satu lagi halangan iaitu menunggu pengharaman sementara ke atas negaranya (Filipina) ditarik balik sebelum beliau boleh membuat permohonan untuk memasuki Malaysia.

 

IMPAK MUSIM SEJUK


Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata keputusan tersebut adalah satu cara untuk menyekat berlaku lagi satu gelombang COVID-19 di Malaysia.

Malaysia baru-baru ini merekodkan kluster baharu yang dikaitkan dengan strain virus yang mengalami mutasi yang mudah merebak, dicetuskan oleh pengembara yang masuk ke Malaysia dari India dan Filipina. Ada dua lagi kluster baharu yang dikesan di Kedah yang sedang disiasat sama ada ianya ada kaitan dengan kluster yang dilaporkan sebelum ini.

Pengharaman itu juga dilaporkan sebagai persediaan kepada ketibaan musim sejuk. Pertubuhan kesihatan memberi amaran jangkaan berlaku lonjakan kes COVID-19 yang dikaitkan dengan musim sejuk kerana lebih ramai yang akan menghabiskan masa di dalam rumah. Keadaan ini dijangka memburukkan lagi penularan COVID-19.

Menurut perangkaan rasmi, setakat 9 Sept, seramai 995 orang diuji positif COVID-19 daripada 119,268 orang rakyat Malaysia serta warga asing yang memasuki negara ini sejak 3 April. Angka tertinggi adalah kes import dari India, Filipina dan Indonesia.

Pakar Kesihatan yang dihubungi Bernama berkata mereka memahami sekarang yang dikuatkuasakan tetapi pengharaman secara menyeluruh mungkin nampak tidak adil.

Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, ahli epidemiologi dan Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, memberi amaran bahawa data yang dirujuk untuk perlaksaan dasar tersebut mungkin mengelirukan.

“Ada negara tertentu mempunyai mekanisme saringan serta ujian yang mantap, jadi kita boleh bergantung kepada data itu. Bagi negara yang tidak mempunyai sistem yang seumpama itu, kita perlu berhati-hati, “ katanya.

Menurut beliau, adalah lebih baik untuk meletakkan negara-negara berkenaan dalam senarai berjaga-jaga daripada pengharaman secara menyeluruh.

Beliau juga berkata dasar pengawalan Malaysia yang dilaksanakan sekarang seperti kuarantin mandatori adalah mencukupi selagi ianya diaplikasi dengan betul dan dikuatkuasakan dengan ketat.

 

PAHIT REALITI

Bagi sesetengah rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara bersama dengan pasangan warga asing serta anak-anak, mereka berdepan dengan situasi, sama ada memilih antara mereka atau keluarga di Malaysia.

Ada yang mungkin terpisah kerana mereka sedang membuat persiapan untuk berpindah ke Malaysia apabila pandemik COVID-19 meletus dan perjalanan antarabangsa ditutup.


Christina terpaksa meninggalkan suaminya di India yang perlu menghabiskan tempoh kontrak pekerjaan sejak Januari lepas. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA/ Nina Muslim

“Saya tak lelap tidur kerana banyak perkara dalam fikiran saya. Saya asyik memikirkan, apa yang kami perlu lakukan?” kata Christina (bukan nama sebenar), yang berkahwin dengan seorang warga negara India.

Christina terpaksa meninggalkan suaminya di India yang terpaksa menghabiskan tempoh kontrak pekerjaannya. Beliau kembali ke Malaysia dengan anak perempuan mereka pada Januari lepas untuk membuat persediaan pindah ke negara ini.

Menurut Christina, beliau menggunakan wang simpanan untuk kelangsungan hidup di Malaysia tanpa suaminya dan beliau tidak dapat bekerja selagi terpaksa menjaga anak perempuan mereka.

“Saya hanya berdoa Tuhan akan tunjukkan kami jalan, “ katanya.

 

HARAPAN BERKUBUR

Semalam, Jabatan Imigresen Malaysia mengumumkan bahawa pasangan warga asing  dari negara yang diharamkan tidak akan dibenarkan masuk tanpa mengira taraf visa mereka.

Oleh yang demikian, satu-satunya cara untuk mereka menyertai pasangan mereka, rakyat Malaysia, adalah dengan menulis surat kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk memohon kelulusan untuk memasuki negara ini atas dasar belas kasihan.


Datuk Khairul Dzaimee Daud, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, dalam satu kenyataan mengumumkan sekatan perjalanan ke atas pasangan asing dari 23 buah negara yang diharamkan, dikuatkuasakan kembali.

"Bagi negara-negara yang dikenakan sekatan kebenaran masuk, permohonan kebenaran masuk tidak akan dipertimbangkan sehingga ada satu keputusan baharu menarik balik sekatan kebenaran masuk bagi negara-negara tersebut,” kata beliau. 

Beliau memberitahu Bernama, beberapa syarat masih berkuatkuasa, iaitu pasangan asing yang tidak mempunyai visa dan tidak mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysiua, masih dilarang masuk ke negara ini.

Beliau menambah pasangan asing yang memasuki Malaysia tidak akan dibenarkan keluar tanpa kelulusan Jabatan Imigresen.

Bina Ramanand, Pengasas Bersama Kumpulan Sokongan Pasangan Asing (FSSG) yang berpangkalan di Malaysia, membantu pasangan berkenaan untuk menulis surat permohonan.

Beliau menasihatkan sesiapa yang memerlukan bantuan dari kerajaan, jangan terlalu kerap menulis, kerana Jabatan Imigresen sekarang dibanjiri dengan banyak permohonan.

“Kami faham, tiada yang menjangkakan situasi ini berlaku. Kami juga faham dengan kebimbangan pihak berkuasa terhadap kesihatan awam,” katanya.

Memandang ke hadapan, beliau berharap, Malaysia akan menangani banyak peraturan serta undang-undang meliputi perkahwinan rakyat Malaysia dengan warga asing, yang dianggap “kuno” dan menukarkannya, sesuai dengan keadaan semasa.

Salah satu perkara yang beliau harap kerajaan akan tangani ialah persoalan kerakyatan: membolehkan wanita warga negara Malaysia mendapatkan status kewarganegaraan bagi anak mereka yang dilahirkan di luar negara. Pada masa ini, hak tersebut hanya untuk lelaki warga negara Malaysia.

“Jadikannya lebih mudah, kerana yang terlibat adalah rakyat Malaysia juga, “ katanya.

Bagi diri Nur Amanina, beliau semakin berputus asa dan sukar untuk kekal optimis.

“Saya tak tahu apa nak buat. Saya mahu suami saya berada dengan saya di sini. Dah hampir setahun kami berjauhan.”

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA


 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan