RENCANA

BUNGA RAYA SEKADAR 'BUNGA KAMPUNG'?

15/09/2020 04:23 PM

Oleh Sakini Mohd Said

(Artikel ini bersempena Hari Malaysia yang disambut setiap 16 Sept)

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Agak sukar sebenarnya pada masa kini untuk melihat mana-mana individu menanam pokok Bunga Raya, yakni bunga kebangsaan negara kita, sebagai perhiasan di kediaman rumah tidak kiralah sama ada rumah teres mahupun bertingkat. 

Malah, beberapa rakan penulis ketika diajukan sama ada mengenali sesiapa sahaja yang mempunyai koleksi bunga ini yang juga dikenali sebagai Ratu Bunga Tropika di sekitar kawasan perumahan mereka, turut memberi jawapan mengecewakan. 

“Bunga Raya? Jarang sangat dah orang tanam. Kalau di bandar macam Lembah Klang memang susahlah nak nampak bunga itu berbanding di kampung. 

“Anak buah saya yang hobinya suka menanam pokok bunga pun rumahnya dipenuhi dengan bunga ros. Pelbagai jenis ros tetapi tidak Bunga Raya,” kata Nurul Ain Alias, 36, melalui pesanan suara WhatsApp kepada penulis baru-baru ini. 

Tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan rakan yang juga ibu kepada empat cahaya mata ini, penulis cuba meninjau sekitar kawasan perumahan Lembah Klang dan didapati kebanyakannya lebih cenderung menanam pokok bunga kertas sebagai hiasan rumah. 


Surianie Mohd Hanif, ‘personal shopper’ pokok bunga. -- Gambar Hak Milik Surianie Mohd Hanif

Malah, seorang ‘personal shopper’ pokok bunga, Surianie Mohd Hanif, 42, memberitahu Bernama, kesukaan masyarakat ketika ini lebih terarah kepada pokok yang tular dalam media sosial khususnya jenis pokok berdaun hijau yang tidak berbunga. 

“Sekarang ini, sambutan fiddle-leaf fig, monstera deliciosa, monstera adansonii, rubber plant, calathea, snake plant, lebih digemari untuk dihiasi di rumah. Memang tidak ada permintaan Bunga Raya,

“Lagipun, tidak semua nurseri jual bunga itu kerana tidak ada permintaan. Kalau hendak nampak Bunga Raya sekitar bandar, kebanyakannya dijadikan landskap majlis perbandaran,” katanya. 

Alasannya, tiada nilai komersial berikutan sinonim dilihat di kampung sehingga digelar sesetengah pihak sebagai ‘bunga kampung’. Akan tetapi, apakah benar Bunga Raya yang bernilai tinggi kepada negara ini hanya dilihat sekadar ‘bunga kampung’?

 

BUNGA KAMPUNG?


Bunga Raya atau Hibiscus Rosa telah dipilih sebagai bunga kebangsaan Malaysia pada 28 Julai 1960 oleh Perdana Menteri ketika itu YTM Al-Marhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Walhal, popularitinya adalah begitu gah pada kedudukan mata masyarakat sekitar tahun 80-an dan 90-an berikutan apresiasi masyarakat terhadap bunga yang diisytiharkan sebagai bunga kebangsaan pada tahun 1960 ini begitu terserlah.

Boleh dikatakan, Bunga Raya atau nama saintifiknya Hibiscus Rosa-Sinensis pada masa itu secara fizikalnya mudah dilihat di mana sahaja tidak kiralah landskap pejabat kerajaan, swasta mahupun milik kediaman individu. 

Mengulas mengenainya, Pengasas dan Ketua Kelab Bunga Raya Malaysia, Ibnu Hasan Al-Amin berkata, kurangnya melihat keindahan Bunga Raya disebabkan tidak banyak penanamannya di bandar berbanding kampung antara faktor utama mengapa ia dilabelkan sebagai ‘bunga kampung’ oleh segelintir pihak.

“Berdasarkan pemerhatian saya sepanjang mengendalikan kelab ini (melalui medium Facebook), secara umumnya tanaman Bunga Raya dalam kalangan masyarakat tidaklah meluas. Mereka tidak menunjukkan minat mendalam terhadapnya.

“Misalnya, saya tubuhkan kelab ini sejak tahun 2014 tetapi sambutannya sehingga hari ini kurang hangat. Setakat 7 Sept, keahliannya hanya sekitar 693 akaun Facebook,” katanya. 

Akan tetapi, di sebalik kesenduan populariti bunga ini, berlainan pula dengan kawasan perumahan mewah Residensi Bandar Tropicana Aman, Telok Panglima Garang iaitu kira-kira 53.2 kilometer dari ibu kota yang begitu ‘meriah’ dengan tanaman jenis ini. 

Menariknya, ia tidaklah sekadar menjadi penyeri landskap oleh pihak pemaju di sepanjang jalan kawasan perumahan ini bahkan juga boleh dikatakan kebanyakan pemilik kediaman di situ turut menjadikan bunga kebangsaan sebagai hiasan rumah mereka. 

Ini secara tidak langsung memberi erti jelas bahawa Bunga Raya masih lagi ‘diminati’, mempunyai nilai komersial tersendiri penuh berprestij dan bukanlah sekadar bunga kampung sepertimana dilabel sesetengah pihak. Namun, ia ‘bunga milik semua’ tidak kiralah di mana sahaja kita berada. 

“Sebenarnya, bunga ini tidak tular. Cuba kalau ia tular seperti pokok lidah jin yang tular baru-baru ini. Mesti ramai akan cari dan ingin jadikan ia sebagai hiasan di rumah mereka.

“Kawasan perumahan ini pun boleh dikatakan saya seorang yang tanam bunga raya di rumah sebelum ini. Tetapi, lama-kelamaan minat ini turut menjangkiti jiran lain bahkan kumpulan WhatsApp perumahan di sini meriah dengan topik Bunga Raya,” kata Chamberlain Michael Abu, 39, antara pemilik kediaman di situ. 

 

BUNGA PENYATUAN


Chamberlain Michael Abu, menunjukkan bunga raya sebenarnya boleh ditanam di dalam pasu dan ini menarik perhatian ramai jirannya untuk turut sama menanam bunga tersebut di kediaman mereka. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Mula meminati bunga raya sejak dua tahun lepas, Chamberlain yang juga suku kaum Melanau dan berasal dari Sibu, Sarawak ini bolehlah dianggap sebagai 'pencetus minat’ kepada komuniti setempat di situ untuk mula mengenali dan menjadikan Bunga Raya sebagai hiasan rumah. 

Malah, minatnya terhadap bunga itu sehingga mempunyai lebih 14 koleksi pelbagai jenis Bunga Raya selain bunga kebangsaan berwarna merah, komited untuk menarik minat lebih ramai lagi masyarakat khususnya generasi muda meminati bunga itu. 

“Saya tanam Bunga Raya dalam pasu dan diletakkan di taman belakang rumah yang turut menjadi laluan jiran beriadah. Dari situlah, saya dapati kebanyakannya akan singgah sebentar untuk melihat Bunga Raya. 

"Apabila bersembang dengan mereka, kebanyakannya mengakui tidak pernah lihat Bunga Raya secara berdepan mata sebab susah didapati ketika ini. Biasanya, mereka hanya mengenalinya daripada buku atau gambar di internet, jadi tidak sangkalah bahawa ia sebenarnya sangat cantik.

“Mereka juga tidak sangka bunga ini boleh ditanam sangat cantik dalam pasu kerana ada beranggapan ia seperti pokok bersemak. Mula dari situlah, kebanyakannya mula terpikat untuk hiasi rumah dengan Bunga Raya,” katanya. 

Menariknya, minat menanam Bunga Raya turut menjangkiti komuniti perumahan di sekitarnya apabila ia menular dari mulut ke mulut sehingga rumah Jurutera Kanan Sokongan Teknikal, SAS Institute Sdn Bhd (Malaysia) ini menjadi tumpuan mereka berkongsi idea, keratan dan ilmu mengenainya. 

Masyarakatnya pelbagai bangsa dan menurut Chamberlain, yang menetap di kawasan perumahan itu  bersama isterinya sejak dua tahun lepas, hubungan yang terjalin ini membuatkan beliau merasakan kehidupan di sini seperti sebuah kekeluargaan utuh. 

“Rindu pada keluarga di kampung mesti ada. Tetapi, hendak balik Sibu selalu sukarlah tambahan pula sekarang ini COVID-19. Biarpun begitu, saya tidak pernah sedih kerana hubungan dengan masyarakat di sini yang kebanyakannya Semenanjung membuatkan saya dan isteri merasakan seperti ada keluarga di sini. 

"Semuanya kerana Bunga Raya. Kami bertegur sapa melalui Bunga Raya dan memang benarlah ia bunga penyatuan, perpaduan,” katanya. 

 

PATRIOTIK


Chamberlain mempunyai lebih 14 koleksi pelbagai jenis bunga raya selain bunga kebangsaan berwarna merah. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Istimewanya, usaha beliau untuk menarik minat masyarakat terhadap bunga kebangsaan itu turut dipanjangkan dalam kalangan rakan pejabatnya serta kelab mainan kereta Hot Wheels mahupun Kelab Jurassic World Snapsuad, yang fokus terhadap koleksi replika mini dinosaur. 

“Ramai label saya 'mat bunga’ tetapi itu tidak mematahkan semangat saya. Yang penting, saya gembira apabila gambar yang dimuat naik di Facebook seperti replika dinosaur bersama Bunga Raya dengan kapsyen menarik, berjaya menambat hati mereka. 

“Sebenarnya, ini juga cara saya pamerkan semangat patriotik kepada negara dengan mempunyai koleksi Bunga Raya tersendiri dan menarik minat masyarakat terhadapnya. Rasa bangga apabila melihat bunga kebangsaan ini mekar berkembang,” katanya.

Ketika ditanya mengenai Sibu, bandar kelahiran lelaki ini dipilih sebagai tuan rumah sambutan Hari Malaysia 2020, nyata beliau begitu teruja kerana ini kali kedua berturut-turut Sarawak dipilih sebagai tuan rumah selepas sambutannya di Kuching pada tahun 2019. 

Bertemakan Malaysia Prihatin, Chamberlain berkata mungkin ada yang tidak menyangka bahawa 'Bunga Raya’ juga sebenarnya sangat menzahirkan tema berkenaan khususnya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

“Saya aktif sertai pelbagai kelab bunga raya antaranya Kelab Peminat Bunga Raya. Saya lihat ada pertambahan ahli sejak PKP dan ramai meminta keratan percuma daripada saya untuk mereka mula belajar tanam. 

“Harga keratan mahal juga ikut populariti dan ada sehingga mencecah RM28. Mungkin sesetengah orang anggap murah tetapi ada juga tidak mampu membelinya kerana ada yang hilang pekerjaan semasa PKP dan ingin jadikan tanaman ini untuk hilangkan tekanan. 

“Biasanya, saya bagi keratan percuma sahaja dan ini hasil didikan ibu ayah yang sentiasa menekankan rezeki sepatutnya dikongsi bersama. Tidak kisahlah kamu dari Semenanjung mahupun Sabah, Sarawak dan bagi saya ini sebagai keprihatinan saya berkongsi nikmat sesama masyarakat,” katanya. 

 

RUKUN NEGARA

Gembira dengan usaha dilakukan Chamberlain, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata adalah wajar bagi setiap kita mempunyai Bunga Raya di kediaman masing-masing. 

“Chamberlain bukan sahaja membuka mata masyarakat untuk mula menghargai kembali Bunga Raya sebagai bunga kebangsaan tetapi mendorong orang lain untuk ikut menanamnya sebagai tanda patriotik kepada negara. 

“Sebaiknya, setiap daripada kita menanam bunga ini di rumah. Ini kerana, keunikannya bukan sahaja pada nilai perpaduannya tetapi juga makna di sebalik 5 kelopak bunga ini yang menzahirkan 5 Prinsip Rukun Negara,” katanya. 

Kerana itu juga, Teo mengharapkan usaha ini perlu digerakkan bersepadu oleh semua pihak termasuklah kementerian, agensi kerajaan mahupun swasta untuk menyemarakkan kembali Bunga Raya sepertimana sebelum ini. 

 

Disunting oleh Cik Rashidah Abd Ghani

-- BERNAMA 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan