RENCANA

PERKASA BELIA PENERAJU MASA DEPAN NEGARA

11/08/2020 04:29 PM

Oleh Muhammad Basir Roslan

Artikel ini sempena sambutan Hari Belia Antarabangsa 2020 yang disambut pada 12 Ogos setiap tahun.

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Sambutan Hari Belia Antarabangsa tahun ini sudah tentu perlu merungkai kegawatan yang melanda kehidupan golongan belia yang turut menanggung impak teruk akibat pandemik COVID-19 yang kian meruncing.

Sejak diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 1999, pelbagai ujian getir yang perlu dipikul oleh generasi yang bakal menjadi barisan depan kepimpinan.

Tema tahun ini, "Penglibatan Pemuda untuk Tindakan Global" memberi fokus dan menyoroti penglibatan golongan belia dalam memperkaya institusi terpenting sesebuah negara.

Di Malaysia, Sambutan Hari Belia Negara (HBN) kebiasaannya disambut pada 15 Mei setiap tahun terpaksa ditangguhkan akibat pandemik COVID-19.

 

CABARAN GOLONGAN BELIA

Dalam membicarakan perihal belia, pastinya persoalan menjurus kepada cabaran utama yang perlu mereka tempuhi serta langkah terbaik untuk terus memperkasakan golongan ini agar mampu menjadi modal insan yang berdaya saing.

Antara cabaran yang jelas ternyata dan hangat dibincangkan oleh pakar dan penganalisis tentunya melibatkan isu kadar pengangguran dengan melontarkan data statistik global yang menakutkan.


Nur Sofea Hasmira Azahar, Penganalisis Penyelidik di EMIR Research.

Penganalisis Penyelidik di EMIR Research Nur Sofea Hasmira Azahar berkongsi pandangan, di Malaysia, golongan belia antara yang paling teruk terjejas dalam untuk isu yang diperkatakan itu.

Ini kerana mereka biasanya kumpulan terakhir diupah majikan dan kelompok pertama diberhentikan kerana kekurangan pengalaman bekerja, jaringan sosial yang lemah serta ketidakpadanan kemahiran.

Menurut beliau, di Malaysia, belia yang berumur antara 15 hingga 24 tahun menyumbang seramai 2.8 juta tenaga buruh, iaitu 18 peratus tetapi  kumpulan itu mewakili 58.2 peratus jumlah penganggur.

“Sebelum COVID-19, pengangguran belia kekal tinggi dengan 35.6 peratus dan mereka berpendidikan tinggi. Pada masa sama, tenaga buruh cenderung kepada golongan pendidikan rendah (70.4 peratus), “ katanya kepada Bernama.

Menurut Nur Sofea, ramai bakat muda dalam sektor tidak formal, pekerjaan sementara atau mengambil keputusan melanjutkan pelajaran. Akhirnya, belia diberikan gaji rendah, keselamatan sosial terhad dan ditempatkan dalam persekitaran kerja tidak berapa baik.

Biarpun kerajaan mengambil langkah tepat menangani isu pengangguran dengan memperuntukkan hampir RM9 bilion dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) selain pelbagai inisiatif lain turut digerakkan, namun memadaikah semua ini?

Justeru, pendekatan bersifat holistik perlu digemblengkan dalam usaha mempertingkat daya saing dan bakat golongan belia terutama dalam pasaran kerja, selain memperkasa modal insan ini ke tahap tertinggi yang boleh dibanggakan.

 

BELIA NAKHODAI SEKTOR BERTEKNOLOGI TINGGI

Seiring perubahan zaman, cabaran dalam kerjaya juga berubah-ubah apabila segala urusan dilakukan secara atas talian dan ianya satu norma baharu ketika pandemik COVID-19 melanda.


Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri, Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK).

Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri ketika menyuarakan pandangannya berkata, saat negara beralih ke era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), banyak kerjaya yang wujud sebelum ini hilang serta-merta, dan perubahan ini memerlukan tindakan segera. 

"Golongan paling terkesan adalah pekerja di sektor perkilangan yang kebanyakannya belia. Ramai pekerja terpaksa mencari kerja lain atau menganggur kerana tugas mereka diambil alih mesin-mesin yang canggih.

"Namun di situ timbul kerjaya baru iaitu mengurus dan menyelenggara mesin-mesin ini. Di sinilah usaha semua pihak diperlukan  bagi memastikan golongan belia yang rata-ratanya celik teknologi dijadikan nakhoda mengendali mesin-mesin ini," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dalam usaha memperkasa golongan belia menjadi peneraju sektor berteknologi tinggi, beliau mencadangkan kerajaan memperbanyak dan memperhebat kursus yang fokus kepada bidang ini di universiti awam, institusi kemahiran, politeknik, kolej komuniti dan sebagainya. 

"Pihak kerajaan dan institusi pengajian tinggi boleh mengecilkan skop kursus kemahiran seperti memperkenalkan kursus penyelenggaraan mesin. Skop yang lebih kecil ini akan melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang tertentu. Pihak berkenaan juga boleh memperkenal dan memperluas kursus pengurusan teknologi," jelasnya.

 

PELBAGAIKAN SKIL KEMAHIRAN

Sering kali kita dengar keluh-kesah daripada golongan belia apabila pergi menghadiri temuduga pekerjaan, rata-rata mereka menyatakan sesetengah syarikat hanya mahukan kepakaran dan pengalaman yang spesifik dan ada pula yang mahukan kemahiran dalam bahasa tertentu.

Mengulas isu ini, Muhammad Amir Asyraf berkata, selain pihak syarikat dan korporat melonggarkan polisi penerimaan pekerja baharu terutamanya graduan universiti tempatan, graduan itu perlu turut mempertingkatkan skil kemahiran diri.

"Kita akui, antara masalah utama apabila seseorang graduan ingin memasuki dunia pekerjaan, inilah antara masalah dan cabaran yang perlu dihadapi. 

"Namun janganlah kita terlalu bergantung harap agar pihak syarikat boleh longgarkan syarat terima kerja. Kita boleh pelbagaikan kemahiran dengan menyertai ekonomi-gig ataupun berniaga atas talian," ujarnya.

Ekonomi gig ialah pasaran buruh kontrak jangka pendek atau kerja bebas yang dilakukan oleh individu yang dipacu teknologi digital.

Menurut beliau, amat penting bagi golongan belia mempelbagaikan kemahiran mereka terutama di era pendigitalan ini kerana ianya dapat menjamin survival diri individu itu sekiranya kemahirannya yang sedia ada tidak lagi diperlukan di peringkat industri. 

Kepelbagaian kemahiran juga membolehkan seseorang itu untuk membantu dalam meningkatkan produktiviti sesebuah organisasi dan ianya akan memberi manfaat kepada semua pihak.  

Dengan menambahbaik isu ini, diharapkan tidaklah berlaku lagi pembaziran bakat muda negara kerana mereka ini aset terpenting negara dan perlu dijaga sebaik-baiknya.

 

MEMPERELOK AKHLAK BELIA


Soekarno, Mantan Presiden Indonesia. -- Gambar ihsan wikipedia.org

“Jika diberikan aku seratus orang tua, nescaya aku mampu menterbalikkan perahu yang tertangkup tetapi, jika aku diberikan sepuluh orang muda, nescaya aku dapat menggegarkan dunia”.

Bait-bait susunan retorik yang penuh puitis daripada mantan Presiden Indonesia, Soekarno ini seharusnya dijadikan satu manifestasi dalam usaha membangunkan golongan belia dan generasi muda ke arah yang lebih baik.

Namun, dengan pelbagai cabaran wujud ketika negara mendepani zaman modenisasi, di samping kewujudan pelbagai platform media sosial, pastinya ia tugasan getir buat ibu bapa dan pendidik untuk menangani isu keruntuhan akhlak belia.

Timbalan Presiden Persatuan Belia Harmoni Malaysia Ammar Hasbullah mengakui golongan belia mudah terjebak ke dalam lembah gejala sosial tidak bermoral.

Menurut beliau, budaya barat yang merosakkan juga tidak berhenti-henti meluru masuk sehingga merosakkan pemikiran dan pegangan hidup belia.

"Biarlah orang kata usaha memperelok akhlak belia ini perkara klise, namun itu tugas hakiki kita semua kerana ia masalah asas yang sentiasa perlu diperbaiki.

“Jika isu keruntuhan akhlak belia tidak kita tangani, maka dibimbangi ia akan melarat kepada kemudharatan yang lebih besar kepada negara.  Usaha padu semua pihak diperlukan bagi memperbetulkan apa yang biasa, dan membiasakan perkara yang betul," katanya.

 

TARIK BELIA SERTAI NGO, PERSATUAN


Ammar Hasbullah, Timbalan Presiden Persatuan Belia Harmoni Malaysia.

Menurut Ammar, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan persatuan belia perlu menggunakan sebijak-bijaknya media sosial untuk menarik golongan belia menyertai mereka, selain menawarkan pelbagai program pengukuhan akhlak dan bersifat kesukarelawanan.

"Belia sekarang tidak boleh lepas dari menggunakan media sosial. Sebaik sahaja bangun tidur itulah perkara pertama yang mereka guna, jadi ia ruang terbaik untuk tarik lebih ramai belia sertai persatuan yang mereka minat dan selesa.

"Saya sendiri melihat trend kesukarelawanan mendapat sambutan dalam kalangan mahasiswa khususnya. Ini petanda positif kerana dengan melibatkan diri, ia memberi banyak manfaat antaranya mengurangkan tekanan serta masalah mental kerana mereka banyak terlibat dengan aktiviti kemanusiaan dan berjumpa ramai orang, selain dapat berbakti kepada masyarakat,” kata Ammar.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan