Selasa, 11 Ogos 2020
RENCANA
31/07/2020 07:32 PM

Oleh Melati Mohd Ariff

Berikut adalah rangkuman TERKINI mingguan mengenai COVID-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 25 Julai hingga pukul 7:30 mlm 31 Julai .

 Jumlah kes COVID-19 di Malaysia melepasi angka 8,800 sementara di peringkat global, kes wabak ini mengatasi 17 juta dengan lebih 670,000 kematian. Sekitar 10.9 juta  juta orang pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh. Pandemik COVID-19 sudah merebak ke lebih 200 buah negara dan wilayah.

 KUALA LUMPUR (Bernama) -- Kes baharu dua angka dicatat pada hari ini dengan tujuh (7) daripada 12 kes yang dilaporkan adalah penularan dalam negara dan terdapat satu kes kematian baharu, menjadikan angka kematian pesakit COVID-19 di Malaysia kepada 125 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan media hari ini memaklumkan, daripada tujuh kes tersebut, lima (5) adalah warganegara Malaysia dan dua (2) bukan warganegara.

Dua daripada lima kes warganegara melibatkan Kluster PUI (Pesakit Di Bawah Pemantauan) Sivagangga yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pada 28 Julai. Kes indeks kluster ini pemastautin tetap yang kembali dari India dan beliau (pemilik kedai makan) di Kedah, pernah tular dalam media sosial kerana melanggar peraturan kuarantin.

Sehingga 28 Julai, lima (5) kontak rapat beliau disaring dan dikesan positif. Empat (4) daripadanya adalah pekerja kedai dan bukan warganegara dan seorang lagi adalah ahli keluarganya.

Lima (5) daripada kes baharu adalah kes import, melibatkan dua (2) warganegara Malaysia dan tiga (3) bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke negara ini. 

Lima kes import adalah dari Indonesia (3 kes: 1 kes di WP Kuala Lumpur, 1 kes di Johor dan 1 kes di Sarawak); Qatar (1 kes di WP Kuala Lumpur); dan United Kingdom (1 kes di WP Kuala Lumpur).

Dengan 12 kes baharu, jumlah kes  positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,976 kes, dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 207 kes. 

Sementara itu,  27 kes COVID-19 dilaporkan pulih dan discaj, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya sebanyak 8,644 kes (96.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Sehingga pukul 12 tengah hari Jumaat 31 Julai, tiga (3) kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi  dan seorang pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Mengenai satu kes kematian baharu, Dr Noor Hisham berkata pesakit (kes ke-8974) adalah lelaki bukan warganegara Malaysia (warganegara Filipina) berumur 64 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung.

Beliau mempunyai gejala demam, batuk dan sesak nafas pada 25 Julai 2020 namun tidak mendapatkan rawatan. Pada 29 Julai 2020, beliau ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kemudiannya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth, Sabah di mana beliau disahkan meninggal dunia. Ujian saringan menunjukkan beliau adalah positif COVID-19.

 

BIMBANG KLUSTER BAHARU

Meskipun sepanjang rangkuman minggu ini ada hari yang merekodkan kes satu angka, namun kes penularan tempatan dua angka masih berlaku dengan kemunculan kluster baharu yang diibaratkan sebagai "bara yang sedang membakar."

Dr Noor Hisham pada Isnin 27 Julai itu melahirkan kebimbangan kemungkinan berlaku gelombang ketiga COVID-19 di negara ini sekiranya rakyat terus alpa daripada mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

Kes penularan tertinggi, 28 kes direkod pada Selasa 28 Julai daripada keseluruhan 39 kes pada hari yang sama.

Kes penularan tempatan kedua teringgi direkodkan pada Sabtu 25 Julai iaitu 17 kes daripada jumlah 23 kes sementara Ahad, 26 Julai, 10 kes daripada 13 kes. Kes penularan tempatan satu angka dicatat untuk Isnin 27 Julai, tiga (3) daripada tujuh (7) kes, lima (5 kes) daripada 13 kes pada Rabu 29 Julai. Sebanyak lapan (8) kes baharu direkod pada Khamis 30 Julai dengan lima (5) adalah kes penularan dalam negara yang kesemuanya melibatkan warganegara Malaysia.

Tiga lagi adalah kes import (mendapat jangkitan di luar negara), melibatkan dua warganegara Malaysia dan satu (1) bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke negara ini.

Kes-kes import itu adalah dari Kazakhstan (1 kes di Selangor), Indonesia (1 kes di Kedah) dan Filipina (1 kes di Sabah).

"Kluster baharu ibarat sebagai bara yang sedang membakar, dan kalau kita tidak patuh SOP ibaratnya kita ini sebagai bahan api.

"Jadi jika bara berjumpa dengan bahan api maka merebak menjadi satu kebakaran yang besar iaitu kes akan meningkat secara mendadak," demikian tegas Dr Noor Hisham, yang diharap dapat membuka mata rakyat di negara ini supaya patuh kepada SOP yang diumumkan kerajaan termasuk menjaga penjarakan sosial, memakai pelitup muka.

Peningkatan kes penularan tempatan membuatkan kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di dalam pengangkutan awam serta tempat awam yang sesak, berkuatkuasa 1 Ogos depan.

Kerajaan juga mewajibkan prosedur Kuarantin Wajib 14 hari kepada mana-mana warga asing atau rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara di Stesen Kuarantin yang ditetapkan oleh Kerajaan, berkuatkuasa 24 Julai 2020. 

Peningkatan kes baharu COVID-19 sejak kebelakangan ini turut membuatkan Dr Noor Hisham pada sidang media Khamis 23 Julai, mengingatkan tentang kedudukan "R-naught" semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Jun dengan keadaan semasa.

 R0 (R naught) adalah merujuk kepada kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak di dalam masyarakat. Ia merujuk kepada keberjangkitan, iaitu secara puratanya berapa ramai orang yang boleh dijangkiti oleh virus yang dibawa oleh kes dalam wabak tersebut.

COVID-19 “R-naught” kini meningkat dari 0.3 semasa PKP (Jun) kepada 1.36.  Dr Noor Hisham menegaskan, jika R-naught meningkat, ini bermakna lebih ramai orang akan dijangkiti dan sekiranya ia meningkat kepada 1.6 daripada 1.36 sekarang, Malaysia akan berdepan dengan peningkatan kes yang mendadak.

 

WHO DAN SITUASI GLOBAL

Khamis 30 Julai genap enam bulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengisytiharkan Darurat Kesihatan Awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan 2019 novel koronavirus yang dikenali kemudian sebagai COVID-19.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam ucapan alu-aluan pada taklimat media dari Geneva, Switzerland mengenai COVID-16 pada 27 Julai lepas berkata pengumuman yang dibuat itu adalah yang ke-enam dibuat oleh Pertubuhan itu tetapi yang terburuk.

Untuk rekod, pengumuman lalu ialah bersabit H1N1 (2009), Polio dan Ebola di Afrika Barat (2014), Zika (2016) dan Ebola di Republik Congo (2019).

Menurut Dr Tedros, hampir 16 juta kes sudah dilaporkan kepada WHO setakat ini dengan lebih daripada 640,000 kematian dicatat dan pandemik COVID-19 terus merebak. 

"Sewaktu saya mengisytiharkan Darurat Kesihatan Awam itu pada 30 Januari 2020 - peringkat darurat tertinggi di bawah undang-undang antarabangsa, hanya terdapat kurang daripada 100 kes di luar China dan tiada kematian. Sejak enam minggu lalu, jumlah kes sudah bertambah dua kali ganda. 

"Berdasarkan keperluan Peraturan Kesihatan Antarabangsa, saya akan memanggil mesyuarat Jawatakuasa Darurat penghujung minggu untuk menilai kembali pandemik. COVID-19 telah merubah dunia kita. Bukan sahaja pandemik ini menyatukan negara bahkan juga membuatkan negara tersisih.

"Selepas enam bulan pengisytiharan Darurat Kesihatan Awam, pandemik COVID-19 menunjukkan kesihatan bukan ganjaran pembangunan, tetapi ia adalah asas kestabilan sosial, ekonomi dan politik, " kata beliau.

 

STATISTIK GLOBAL COVID1-19

Sementara itu, menurut perangkaan CoronaTracker (mengambil sumber pelbagai agensi termasuk WHO), jumlah kes COVID-19 di seluruh dunia, setakat ini sudah mencecah 17,499,767 kes  (15,673,511  kes rangkuman minggu lalu) dan 677,185 kematian  (minggu lepas 636,848 kematian) . Jumlah pesakit sembuh ialah 10,956,538 orang.

Amerika Syarikat terus mengekalkan tempat teratas dalam senarai negara yang dilanda wabak COVID-19 dengan 4,634,985 kes berbanding 4,169,991 kes pada minggu lepas dan 155,285 kematian berbanding 147,333 minggu lepas. Kes positif COVID-19 mula dikesan di negara itu pada 20 Jan.

Jumlah kes COVID-19 turut meningkat di Brazil yang di tangga kedua minggu ini iaitu 2,613,789 kes (minggu lalu 2,289,951 kes) dengan 91,377 kematian (minggu lalu 84,207 kematian). India di tempat ketiga dengan 1,643,543 kes (minggu lalu 1,290,284 kes) dengan 35,817 kematian (minggu lalu 30,657 kematian), sementara Rusia merekod 839,981 kes ( minggu lalu 800,849 kes) dengan 13,963 kematian ( minggu lalu 13,046 kematian ).

Di samping empat negara di atas, terdapat 20 buah negara yang mencatat lebih 100,000 kes COVID-19, seperti berikut:-

Afrika Selatan 482,169 kes (7,812 kematian), Mexico 416,179 kes (46,000 kematian), Peru 407,492 kes (19,021 kematian), Chile 353,536 kes (9,377 kematian), Sepanyol 332,510 kes (28,443 kematian), United Kingdom 302,301 kes (45,999 kematian), Iran 301,530 kes (16,569 kematian), Colombia 286,020 kes (9,810 kematian), Pakistan 278,305 kes (5,951 kematian), Arab Saudi 274,219 kes (2,842 kematian), Itali 247,158 kes (35,132 kematian), Bangladesh 237,661 kes (3,111 kematian), Turki 229,891 kes (5,674 kematian), Jerman 209,653 kes (9,221 kematian), Perancis 186,573 kes (30,254 kematian), Argentina 185,373 kes (3,441 kematian), Iraq 121,263 kes (4,671 kematian ), Kanada 115,799 kes (8,929 kematian), Qatar 110,460 kes (171 kematian) dan Indonesia 108,376 kes (5,131 kematian).

Sementara China di mana bermulanya wabak COVID-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat ke-29 dengan 84,292 kes ( minggu lalu 83,750 kes ) dan 4,634 kematian (tidak berubah daripada minggu-minggu sebelumnya).

Dalam kalangan negara-negara jiran Malaysia di Asia Tenggara, Indonesia sudah menyertai senarai 24 buah negara yang mencatat lebih 100,000 kes COVID-19, dengan 108,376 kes dengan 5,131 kematian. 

Filipina di tempat kedua dengan 93,354 kes (minggu lalu 76,444 kes) dengan 2,023 kematian. Singapura pula merekodkan 52,205 kes berbanding 49,373 kes minggu lalu. Angka kematian kekal 27.

Ini diikuti oleh Thailand dengan 3,310 kes (minggu lalu 3,279 kes) dan angka kematian masih 58.

Sementara itu, kes COVID-19 di Vietnam meningkat kepada 509 kes berbanding 412 kes minggu lalu. Bagaimanapun, kekal sifar kematian. Myanmar turut merekod kenaikan kepada 353 kes berbanding 343 kes minggu lalu dengan angka kematian kekal enam (6).

Sementara itu, tiada perubahan kes COVID-19 di Brunei 141 kes (2 kematian) dan Laos mencatat satu kes baharu kepada 20 kes dan sifar kematian.

---------------------------------------------------------------------------------------------

RUANGAN SISI

LATAR BELAKANG COVID-19

-- Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

-- Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut. 

-- Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.

-- WHO memberi nama rasmi virus "2019-nCoV" iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.

-- Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.

-- Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.

-- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit COVID-19 sebagai pandemik.

-- WHO menyifatkan wabak penyakit COVID-19 sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1atau lebih dikenali sebagai Selesema Babi (Swine Flu).

-- Wabak Selesema Babi berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian. Ia mula dikesan di Mexico dan kemudiannya di Amerika Syarikat pada Mac 2009.

-- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pandemik COVID-19 akan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression.  

-- Kes pertama 2019-nCoV di Malaysia disahkan pada 25 Jan membabitkan tiga (3) warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Jan.

-- BERNAMA


 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan