RENCANA

AIDILADHA: IBADAH QURBAN, PATUH SOP ELAK JANGKITAN COVID-19  

30/07/2020 05:41 PM

Oleh Muhammad Basir bin Roslan

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Sambut Hari Raya Aidiladha dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), antaranya memakai pelitup muka dan amalkan penjarakan sosial.

Inilah antara semangat pengorbanan yang perlu ditunjukkan oleh masyarakat Islam negara ini dalam meraikan Hari Raya Haji yang juga dikenali sebagai Hari Raya Qurban esok, 31 Julai bersamaan 10 Zulhijjah.


Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Perdana Putra. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Meskipun Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob petang Isnin lalu mengumumkan tidak ada sekatan untuk “Balik Kampung”, namun buatlah keputusan bijak dan pastikan SOP dipatuhi untuk mengelakkan jangkitan COVID-19 yang masih belum dapat diputuskan rantaian penularannya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu sidang media mengenai perkembangan COVID-19 semalam (27 Julai), Malaysia akan menghadapi gelombang ketiga wabak COVID-19 sekiranya orang ramai gagal mematuhi SOP.

Justeru, dalam kegembiraan berkumpul dengan ahli keluarga, saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai, pastikan kita semua mengamalkan SOP yang sudah banyak kali diulang oleh Dr Noor Hisham.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob  petang semalam berkata meskipun kerajaan memberi kelonggaran untuk perayaan Aidiladha, orang ramai masih tertakluk kepada SOP yang ditetapkan.

Antaranya, bagi jamuan di rumah, bilangan tetamu dihadkan maksimum 20 orang. Individu yang dikuarantin dilarang keluar dari kediaman masing-masing.

Untuk ibadah qurban pula, jumlah haiwan qurban tidak melebihi 10 ekor bagi masjid dan surau sementara jumlah petugas dihadkan 20 orang untuk setiap ekor haiwan qurban.

Ibadah qurban boleh dilakukan selama  hanya empat hari iaitu pada hari Raya pertama selepas solat Aidiladha dan tiga hari tasyrik.

 

SEJARAH KORBAN


Keadaan trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke pantai timur semalam kelihatan sesak berikutan warga kota mula bergerak pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Hari Raya Aidiladha pada Jumaat ini. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sudah tentunya bukan semua termasuk yang bertugas di pejabat dapat "Balik Kampung" untuk meraikan Hari Raya Qurban, sama-sama menunaikan solat hari raya sehinggalah kepada meraikan tetamu di rumah atau berkunjung ke rumah jiran, saudara-mara dan rakan taulan.

Inilah masanya untuk mereka yang diperlukan bertugas benar-benar menghayati hikmah Hari Raya Qurban itu sendiri yang jelasnya bukan semata-mata merujuk kepada ibadah Qurban.

"Qurban" turut melibatkan amalan harian umat Islam, amalan bekerja termasuk di pejabat, mematuhi prosedur tugas serta etika perkhidmatan termasuk penjawat awam.

Galilah kembali kisah sejarah ibadah korban untuk kita mengambil iktibar, daripada  ibadah yang disifatkan amat mulia di sisi Allah S.W.T.  Bagaimana taatnya Nabi Ibrahim A.S yang menuruti perintah Allah S.W.T untuk menyembelih putera kesayangannya, Ismail, yang dengan kuasa Allah S.W.T. kemudiannya digantikan dengan seekor kibas.

Dalil ayat Quran yang merujuk kepada peristiwa qurban Nabi Ibrahim iaitu Firman Allah S.W.T dalam surah As-Shaffat:102 yang bermaksud, “Ibrahim berkata, ‘Hai anakku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!”

Firman Allah S.W.T berikutnya menyebut Ismail berkata, “Hai bapakku! Kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya-Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar. (surah al-Soffat ayat 102).

Di dalam surah al-Soffat ayat 107 pula, Allah S.W.T berfirman, maksudnya : “Dan Kami tebus anaknya itu (Ismail) dengan seekor binatang sembelihan (kibash) yang besar”. 

Urutan sejarah menunjukkan ibadah korban disyariatkan pada tahun ke-2 Hijrah dan haiwan yang disembelih sama ada unta, lembu atau kambing dengan niat beribadah kepada Yang Maha Kuasa. Ia juga untuk memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim A.S. dan kemudiannya disyariatkan kepada Nabi Muhammad S.A.W

Kalau diikutkan,  peristiwa korban telah wujud pada zaman Nabi Adam di mana Allah S.W.T memerintah kedua-dua putera baginda iaitu Habil dan Qabil membuat persembahan korban. Allah S.W.T menerima qurban Habil dan menolak qurban Qabil.

 

10 HARI PERTAMA ZULHIJJAH

Jika beribadah pada 10 hari terakhir dikatakan kelebihan bulan Ramadan, bagi bulan Zulhijjah, 10 hari terawal dianjurkan umat Islam membanyakkan ibadah sunat termasuk berpuasa sehingga 9 Zulhijjah yang dikenali sebagai Hari Arafah.


Dr Mohd Shahid Mohd Noh, pensyarah kanan, Akademi Pengajian Islam, Jabatan Syariah dan Ekonomi, Universiti Malaya. -- Gambar ihsan umexpert.um.edu.my

Mengulas kelebihan perkara ini, Dr Mohd Shahid Mohd Noh, pensyarah kanan, Akademi Pengajian Islam, Jabatan Syariah dan Ekonomi, Universiti Malaya memberitahu Bernama, mereka yang benar-benar menghayati 10 hari pertama Zulhijjah akan mendapat ganjaran pahala besar daripada Allah S.W.T.

Beliau merujuk kepada sabda Nabi Muhammad S.A.W : "Tidak ada satu hari pun yang amalan soleh pada hari itu lebih dicintai Allah daripada 10 hari ini (10 hari pertama Zulhijjah).” - Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari).

Justeru, Dr Shahid mengesyorkan mereka yang perlu bekerja pada bulan Zulhijjah untuk menunaikan ibadah puasa terutama untuk 10 hari pertama tetapi ia mestilah bergantung kepada kemampuan mereka.

"Bukan semua mampu berpuasa penuh 10 hari dan mungkin juga ada yang berpuasa sekiranya rakan mereka berpuasa juga.

"Rebutlah juga pahala berpuasa pada hari ke-9 Zulhijjah yang juga dipanggi Puasa Hari Arafah. Kemudian sama-sama berbuka puasa, menjadikan suasana di pejabat lebih meriah, " katanya.

 

KORBAN AND ETIKA KERJA

Bercakap tentang ibrah yang boleh diperolehi daripada ibadah Qurban dan bagaimana ia boleh memperbaiki etika kerja seseorang, Dr Shahid menjawab dengan memberi tiga perkara utama.

Pertama, 'istiqomah' yakni ketaatan menjalankan sesuatu suruhan terhadap amalan penggajian. Para pekerja dinasihatkan agar kekal teguh dengan sikap mereka ketika menjalankan tugas.

"Nabi Ibrahim tetap teguh menuruti perintah Allah S.W.T untuk menyembelih puteranya sendiri.

"Untuk itu, pekerja perlu teladani kisah ini dengan konsisten dalam setiap amalan pekerjaan mereka di pejabat. Diharapkan sikap demikian akan menjadikan pekerja lebih cekap, " jelasnya.

Kedua, pekerja perlu menghargai dan mencontohi semangat Nabi Ibrahim dan puteranya, Ismail yang patuh kepada perintah Allah S.W.T. Sikap sedemikian mampu meningkatkan etika kerja dengan mematuhi arahan majikan.

"Bagaimanapun, dalam mematuhi arahan majikan, ia mestilah tidak bercanggah dengan hukum Allah S.W.T. Sekiranya majikan memberitahu anda untuk melakukan sesuatu yang tidak betul, tentunya akan timbul konflik. Ini perlu dibawa berbincang, “  jelasnya.

Perkara terakhir ialah bagaimana ibadah Qurban boleh memperkukuhkan semangat kerjasama dalam kalangan pekerja.

"Dalam sebuah organisasi, sama ada anda mahu berusaha meningkatkan prestasi atau diberhentikan. Organisasi juga boleh hancur jika tidak ada kerjasama kukuh antara setiap pekerja.

 "Kita lihat Nabi Ibrahim dan Ismail ketika hendaku berlaku penyembelihan. Katakan jika ada seorang yang tidak akur dengan perintah Allah S.W.T, tidak adalah ibadah Korban untuk orang Islam, “katanya.

Oleh yang demikian, bersempena dengan Hari Raya Aidiladha, marilah kita menghargai ibadah Qurban dan mengambil iktibar daripadanya.

Untuk menjadi pekerja yang disegani, kita perlu terus menyemai semangat memberikan yang terbaik untuk organisasi di mana kita bekerja dan turut sama menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

 

BULAN ZULHIJJAH BULAN HAJI


Jemaah haji menunaikan Tawaf al-Qudum (Tawaf Selamat Datang) di bawah SOP langkah kesihatan ketat pada hari pertama Haji tahun ini. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Bulan Zulhijjah yang juga bulan terakhir dalam takwim Hijrah sinonim dengan ibadah haji, iaitu Rukun Islam ke-lima.

Kali ini sudah tentunya ramai yang berasa hiba kerana sudah dapat giliran untuk menunaikan ibadah haji tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana pandemik COVID-19 yang turut melanda Arab Saudi.

Akibatnya, kerajaan Arab Saudi mengehadkan hanya 1,000 orang dibenarkan menunaikan ibadah haji pada musim haji 2020, berbanding berbanding 2.5 juta jemaah yang menunaikan ibadat haji pada tahun 2019.

Menurut Kerajaan Arab Saudi, ibadat haji tahun ini dibuka kepada jemaah pelbagai warganegara yang sudah berada di negara berkenaan.

Menurut laporan, lapan orang rakyat Malaysia dibei peluang untuk menunaikan ibadah haji pada musim haji tahun ini. Mereka adalah pelajar dan pekerja yang tinggal di Jeddah, Madinah dan Riyadh.

Ibadah haji tahun ini dilaporkan hanya terhad kepada jemaah berumur bawah 65 tahun dan tiada menghidap sebarang penyakit kronik. Mereka akan melalui ujian saringan COVID-19 sebelum tiba di Tanah Suci Makkah dan dikehendaki menjalani kuarantin di rumah selepas menunaikan ibadat haji.

 

Diterjemah dan susun semula oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan