RENCANA

FIKIRLAH - MUDAHNYA KITA 'LUPA'

30/07/2020 06:56 PM

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Hasrat rakan saya mengunjungi negeri yang terkenal dengan panggilan Cik Siti Wan Kembang baru-baru ini, bukanlah sekadar untuk bersiar-siar melawat destinasi menarik mahupun menikmati pelbagai menu lazat negeri itu, tetapi lebih daripada itu - ingin membeli emas!. 

Kata sahabat yang dikenali sewaktu sama-sama bersekolah di Pulau Pinang, Marni Mohd, 37, koleksi barang kemas negeri itu bukan sahaja popular dalam kalangan peminat produk itu di Kelantan tetapi juga negeri lain. 

“Orang kata tak sah kalau mengunjungi negeri 'Serambi Mekah’ ini jika tak singgah ke kedai emas. Memang produk emasnya terkenal dengan koleksi rekaan terbaharu, cantik, menepati kehendak masa kini serta berbeza dengan negeri lain.

“Sebab itulah, barangan emas negeri ini sentiasa jadi buruan penggemar barangan kemas selain kehalusan tukangannya,” ceritanya semasa kami berbual di telefon baru-baru ini. 


Suasana di dalam Pasar Besar Siti Khadijah ketika orang ramai mula membeli barang-barang keperluan. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Tumpuannya pastilah di Pasar Besar Siti Khadijah, destinasi membeli-belah popular di pusat bandar negeri itu yang menghimpunkan pelbagai jenis produk bukan sahaja makanan, pakaian bahkan deretan kedai emas. 

Malah, boleh dikatakan ada lebih lima buah kedai emas di tingkat bawah pasar berkenaan yang berdekatan antara satu sama lain, sekali gus memudahkan penggemar barangan kemas seperti rakan saya ini untuk membuat perbandingan harga serta memilih mana yang berkenan di hati. 

Biarpun demikian, hasratnya yang begitu berkobar-kobar mencari sejenis loket emas berbentuk hati berabjadkan 'S’ terus terbantut sebaik berada betul-betul berhadapan kedai emas pasar berkenaan. 

 

“Kita ini masih lagi PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) kan? Ramainya orang sedangkan hari itu adalah hari Ahad, hari bekerja dan bukannya cuti umum. Tetapi, kebanyakan kedai emas di situ penuh dengan wanita, tak kiralah tua atau muda, sampai tak menang tangan pemilik kedai melayan.


Pemakaian pelitup muka menjadi kebiasaan pada diri setiap individu dan rutin ini menunjukkan masyarakat tidak leka untuk menjalankan norma baharu sebagai langkah pencegahan penularan COVID-19 sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Dahlah unit kedai tak besar mana, semua berhimpit-himpit satu sama lain sebab nak tengok koleksi barangan kemas. 'Mask’ (pelitup separuh muka) pun tak pakai, jarak satu meter pun lagilah tiada. 

“Saya tengok pun dah takut begitu juga rakan lain. Kami semua tidak berani pergi dekat sebab orang macam dah lupa SOP sebab teruja tengok emas,” bebelnya kepada saya. 

Tidak dinafikan, kedai emas di seluruh negara ketika ini menjadi tumpuan peminat barangan itu untuk mendapatkan koleksi terbaharu setelah lebih dua bulan ditutup ekoran pelaksanaan PKP sehingga menyebabkan banyak kedai emas mengalami kekurangan stok.

Situasi ini jauh berbeza dengan kebanyakan peniaga lain yang terpaksa gulung tikar akibat COVID-19 dan menurut satu laporan akhbar, jualan emas pada bulan Mei dan Jun lepas dalam kalangan lebih 1,500 usahawan adalah dianggarkan mencecah kira-kira RM1 bilion. 

Bagaimanapun, respons positif yang mengembirakan perusahaan ini telah membuatkan ada antara mereka mula 'lupa’ akan kewajipan mematuhi SOP yang bertujuan memutuskan rantaian  penularan wabak berkenaan. 

"Semua dah lupa SOP, pemilik, pekerja kedai emas dan pelanggan. Tidak ada seorang pun pekerja jaga di depan kedai, terhadkan jumlah pelanggan kerana semua sibuk sangat layan pembeli. 'Hand sanitiser’ (cecair pembasmi kuman) dan bacaan suhu memang langsung tiadalah bila dah macam itu,” katanya.

 

Hakikatnya, isu pelanggaran atau rakyat semakin alpa untuk mematuhi SOP ditetapkan menjadi polemik hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini berikutan berlakunya trend peningkatan kes positif COVID-19 terutamanya yang membabitkan kes penularan tempatan serta kewujudan beberapa kluster baharu. 

Ini memandangkan kes positif wabak itu yang sebelum ini satu digit kembali kepada dua digit membimbangkan kerajaan malah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas mengenai perkembangan terkini PKPP Isnin lepas (20 Julai) turut menzahirkan perkara sama. 

Bagaimanapun, situasi terbaharu pada 27 Julai menunjukkan jumlah kes positif COVID-19 kembali mencatatkan satu angka, iaitu tujuh kes selepas kali terakhir mencatatkan satu angka pada 23 Julai, namun itu bukanlah tanda kita sudah boleh kembali selesa.

Apatah lagi, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media sebelum ini turut menyatakan gelombang ketiga pandemik virus itu bakal melanda Malaysia sekiranya rakyat terus alpa daripada mematuhi SOP ditetapkan kerajaan seperti pemakaian pelitup separuh muka dan jarak sosial.

Dalam polemik ini, sama ada kita mahu berdolak-dalik mahupun sebagainya, hakikatnya, peningkatan jumlah kes positif COVID-19 adalah jelas berpunca daripada sikap masyarakat sendiri yang semakin ‘selesa’ ke sana ke sini tanpa adanya kawalan kendiri seolah-olah negara sudah bebas sepenuhnya daripada wabak itu. 

Malah, bukan sukar untuk melihat senario ketidakpatuhan SOP dalam kalangan masyarakat sejurus kelonggaran diberikan kerajaan kepada hampir semua sektor sejak PKPP dilaksanakan 10 Jun lepas.

Dan ia bukan hanya sekadar berlaku di kedai emas sepertimana diceritakan rakan saya tetapi hampir kebanyakan tempat yang saya pergi. 

Paling mudah dilihat adalah kedai makan dan tidak kiralah berstatus gerai mahupun restoran, kebanyakannya hampir sama. Situasinya seolah-olah kita sudah ’terselamat’ daripada wabak itu apabila makan dengan penuh gembira, sembang berjam-jam lamanya di kedai makan dan tiadanya jarak sosial antara satu sama lain. 

 

Ya, memang ada yang ikut SOP dengan mencatatkan nama pelanggan atau memastikan mereka menggunakan aplikasi MySejahtera Check-In mahupun SELangkah untuk mendaftar masuk, ambil suhu badan dan menyediakan cecair pembasmi kuman (biasanya di restoran).

Akan tetapi, apabila meninjau di bahagian dalam, kebanyakannya boleh dikatakan menjamu selera berdekatan satu sama lain dan tidak mengendahkan tanda ‘X’ yang ditetapkan untuk adanya jarak sosial. 

Malah, ada pula yang sekadar meletakkan buku catatan nama pelanggan atau poster kod QR dan alat bacaan suhu di depan pintu premis tanpa adanya kawalan daripada pekerja, membuatkan pelanggan mengambil sendiri suhu badan dan ini antara banyak kali yang pernah saya lalui di kebanyakan premis sekitar Lembah Klang.

Apa yang kita bimbang adalah sekiranya yang memasuki restoran itu mempunyai suhu badan lebih 37.5, mempunyai gejala COVID-19 seperti demam tetapi masuk dengan selamba kerana tidak ada pemantauan daripada pihak premis sekali gus memungkinkan penularan wabak berkenaan.


Orang ramai mendengar perutusan khas yang disampaikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berhubung perkembangan terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menerusi televisyen ketika tinjauan di sebuah restoran sekitar Shah Alam. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Mungkin ada memandang remeh tetapi jangan kerana negara sebelum ini telah mencatatkan kluster ‘Restoran Kuala Lumpur’ pada 19 Julai lepas yang dikesan di sebuah restoran di Brickfield sekali gus jelas menunjukkan keselesaan dirasai ketika menjamu selera sebenarnya turut berisiko mengundang padah. 

Ini membuatkan saya teringat kepada seorang rakan yang sebelum ini seboleh-bolehnya mengelak makan di restoran kerana bimbang akan penularan wabak itu. Tetapi, yang peliknya dia kini semakin selesa melepak makan di luar setelah melihat kebanyakan restoran dipenuhi ramai orang yang menjamu selera dengan senang hati. 

Mungkin inilah dikatakan 'kealpaan’, apabila kita mula menganggap pandemik wabak itu sudah berakhir sehingga tidak mengendahkan kepentingan jarak sosial serta pemakaian pelitup separuh muka. Malah, situasi ini berlaku di mana-mana sahaja dan kesesakan dalam lif antara yang sangat ketara. 

 

Justeru, ada kewajarannya apabila kerajaan bersetuju secara dasar untuk mengetatkan semula SOP berkaitan PKP yang telah dilonggarkan di bawah pelaksanaan PKPP bagi mengingatkan kembali masyarakat bahawa mereka masih lagi tertakluk di bawah undang-undang sekiranya gagal mematuhi SOP ditetapkan.

Sudah tidak ada lagi amaran, tetapi kerajaan memutuskan mengambil tindakan tegas ke atas pemilik premis makanan serta pengunjung yang gagal mematuhi peraturan dan SOP ditetapkan sama ada kompaun, tindakan mahkamah mahupun penutupan restoran. 

Malah, kerajaan membuat keputusan mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka di dalam pengangkutan awam serta tempat awam yang sesak, berkuat kuasa 1 Ogos ini.

Selain beberapa SOP diumumkan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban pada Jumaat ini (31 Ogos) seperti mengehadkan tidak lebih 10 ekor haiwan bagi masjid, surau serta tidak boleh melebihi 20 orang pada satu-satu masa bagi jamuan di rumah.


Keadaan trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke pantai timur kelihatan sesak berikutan warga kota mula bergerak pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Hari Raya Aidiladha pada Jumaat ini. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Nampaknya, langkah tegas sebegini adalah terbaik untuk dilakukan bagi mengekang peningkatan jumlah kes positif COVID-19 memandangkan tidak mustahil ramai yang lupa mengenai SOP ketika menyambut perayaan nanti. 

Maklumlah, bila sudah seronok berjumpa saudara-mara, jarak sosial dan pelitup separuh muka, pastinya sudah hilang sebentar dalam minda kita. Justeru, langkah mengetatkan semula SOP adalah wajar bagi memastikan masyarakat terus sedar, faham, bahawa memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 tidak akan berjaya tanpa adanya penglibatan secara holistik khususnya diri kita sendiri.

Ini kerana, tanpa diri kita turut serta dalam memeranginya, sudah pasti mustahil untuk negara bebas sepenuhnya daripada belenggu wabak itu.  

Semuanya berbalik #kitajagakita!

 

(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis)

Disunting oleh Cik Rashidah Abd Ghani

BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan