BERITA TERGEMPAR   Former inspector general of police (IGP) Tun Mohammed Hanif Omar died at 2.15 am today - Son | Bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tun Mohammed Hanif Omar meninggal dunia pada 2.15 pagi tadi - Anak | 
RENCANA

KEMISKINAN TIDAK HALANG PETER MAJID JADI AHLI GEOLOGI

16/07/2020 04:58 PM

Artikel Sumbangan Petronas

BINTULU (Bernama) -- Di sekolah Peter Majid Tandom adalah seorang pelajar cemerlang dan sering mendapat pujian rakan dan guru. 

Anak kedua bongsu daripada 10 beradik ini tidak sedikit pun membiarkan kemiskinan hidup keluarganya menjadi batu penghalang untuk berjaya dalam bidang akademik.

Boleh dikatakan kehidupan keluarganya bagaikan "kais pagi makan pagi, kais petang makan petang".  Ayahnya bekerja sebagai seorang konstabel polis dan pendapatannya ketika itu tidak cukup untuk menampung kehidupan keluarganya yang besar.

"Pada masa saya kecil, hanya ayah yang bekerja untuk menyara 10 orang anaknya," kata Peter, 56, yang kini menyandang jawatan Ketua Petronas Carigali Sdn Bhd – Sarawak Gas (SK Gas) yang beribu pejabat di Bintulu. 

Sudah semestinya beliau terpaksa bekerja keras untuk mencapai kedudukan yang diperolehi sekarang.

Semasa bersekolah dahulu, Peter terpaksa bekerja ketika usia masih muda, untuk membantu menambah pendapatan keluarganya. 

Tanpa rasa malu, beliau menjaja sayur-sayuran dari rumah ke rumah pada hujung minggu. Beliau juga bekerja sebagai buruh di tapak pembinaan dan pernah juga bekerja di sebuah kilang membuat selipar di Kuching, semasa cuti sekolah untuk mencari wang saku.

Semasa bersekolah, Peter terpaksa bergantung kepada bantuan kerajaan untuk buku teks dan sering menghabiskan masa di perpustakaan selepas habis waktu persekolahan kerana ibu bapanya tidak mampu menghantarnya ke kelas tuisyen.

"Memang sukar untuk belajar kerana saya tak mampu beli buku. Saya terpaksa bergantung kepada buku teks dari kerajaan. Saya belajar sendiri kerana tak mampu nak bayar yuran tuisyen.

“Ibu bapa saya tak boleh membaca, menulis atau bertutur bahasa Inggeris kerana itu mereka tak boleh bantu saya untuk mohon buku pinjaman dan bantuan kewangan. Saya terpaksa lakukannya sendiri, “ kata Peter yang juga bekas pelajar Sekolah Rendah St Joseph dan Sekolah Menengah St Joseph di Kuching, Sarawak sekitar tahun 70an dan 80an.

 

BIASISWA PETRONAS


Peter Majid Tandom, Ketua Petronas Carigali Sdn Bhd – Sarawak Gas (SK Gas). --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Di sebalik kesempitan hidup, Peter cemerlang dalam bidang akademiknya dan sewaktu di tingkatan dua, beban kewangannya menjadi ringan sedikit apabila menerima biasiswa kecil daripada syarikat minyak dan gas negara iaitu Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

Pada masa itu, Peter satu-satunya pelajar di sekolahnya memperolehi biasiswa kecil Petronas. Biasiswa kecil itu juga membawa makna besar dalam kehidupannya kemudian.

Sewaktu Peter di tingkatan lima, sekumpulan pegawai Petronas melakukan kunjungan ke sekolahnya dan memberi ceramah mengenai karier dalam industri gas dan minyak dan "bermulalah impiannya untuk menjadi ahli geologi Petronas dan mengenakan pakaian seragam mereka yang berwarna kuning."

Selepas memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan Malaysian Certificate of Education (MCE), kini dikenali sebagai Sijil Pelajaran Malaysia atau SPM, beliau menerima tawaran tiga biasiswa untuk melanjutkan pengajian di luar negara.

“Saya memilih biasiswa Petronas kerana bagi saya, itu cara terbaik untuk saya melanjutkan pelajaran dalam bidang geologi, " katanya.

 

PERUBAHAN KEHIDUPAN

Untuk program pra-universiti, Peter memasuki sebuah kolej swasta di Kanada.

“Sebelum ini, saya memang tidak pernah melakukan perjalanan di luar Sarawak, jadi sudah tentu saya mengalami kejutan budaya apabila saya tiba di Kanada. Saya juga perlu menyesuaikan diri dengan cuaca dan makanan. Bagaimanapun, bahasa bukan masalah untuk saya kerana saya diajar dalam bahasa Inggeris sejak sekolah rendah, " katanya.

Selepas tamat pra-universiti, beliau ke Laurentian University di Ontario, Kanada untuk mengikuti bidang Geologi. Selepas empat tahun iaitu pada 1988, beliau menamatkan pengajian dengan memperolehi Sarjana Muda Sains dalam bidang Geologi.

Beliau kemudiannya kembali ke Malaysia dan bekerja dengan Petronas sebagai pelatih, di Petronas Carigali Sdn Bhd, Operasi Baram Delta di Miri.

“Latihan amali saya sepatutnya untuk tempoh setahun tetapi selepas tiga bulan, saya diserapkan ke dalam syarikat sebagai jurutera pelatih di Jabatan Kejuruteraan Petroleum, " katanya.

Beliau kemudiannya dipinjamkan ke Sarawak Shell Bhd sebagai jurutera petroleum tapak galian selama dua tahun, bekerja di pelantar gerudi di luar pantai Sarawak. Pada tahun 1989, beliau ditugaskan ke Operasi Baram Delta sebagai ahli geologi pembangunan. 

Karier Peter terus berkembang dan pada tahun 1995, beliau dihantar ke Vietnam untuk berkhidmat sebagai ahli geologi pengeluaran di Petronas Carigali (Vietnam) Sdn Bhd. Beliau adalah salah seorang daripada pasukan Petronas yang menghantar minyak pertama dari Lapangan Ruby di Vietnam.

“Kami berjaya melakukannya dengan bajet yang diberikan dan 10 hari lebih awal daripada yang dijadualkan. Itu kali pertama Petronas menghasilkan minyak daripada ruang bawah tanah granit, " katanya.

 

LATIHAN TURKMENISTAN

Pada tahun 2007, Peter ditugaskan untuk mengetuai operasi cari gali untuk Petronas Carigali (Turkmenistan) Sdn Bhd dan berhasil dengan salah satu penemuan minyak dan gas terbesar untuk Petronas di Blok 1, Laut Caspian.

Peter kemudiannya ditukarkan kembali ke Malaysia pada tahun 2010 sebagai ketua Geosains di Jabatan Kejuruteraan Petroleum Petronas Carigali (PED), di Kuala Lumpur.

Empat tahun kemudian, beliau menjadi ketua Pengurusan di PED, bertanggungjawab untuk pembangunan minyak dan gas luar pesisir Sarawak.

Beliau kembali ke Sarawak pada Julai 2019 untuk mengetuai SK Gas, jawatan yang disandang sehingga ke hari ini.

Syarikat ini menguruskan operasi gas luar pesisir Petronas di Sarawak serta bekalan gas ke pelanggan tempatan seperti Sarawak Energy, Shell Middle Distillate Synthesis, Asean Bintulu Fertilizer dan pengguna industri kecil.

“SK Gas adalah aset terbesar di Malaysa dalam tempoh lima tahun akan datang, " katanya, sambil menambah beliau tidak menduga akan dilantik sebagai sebagai ketua SK Gas.

“Saya dilatih sebagai ahli geologi dan tugas utama saya di Petronas adalah di bawah permukaan. Saya mempunyai pengalaman terhad dalam bidang pengeluaran dan operasi. Tugas baru yang diberikan kepada saya memang mencabar tetapi saya terima dengan minda yang terbuka.

Misi beliau adalah untuk menjadikan SK Gas sebagai pengeluar gas terkemuka di Malaysia dan syarikat yang paling menarik untuk seseorang itu berkhidmat dengannya.

Peter juga berharap kisah hidup serta perjalanan kariernya dengan Petronas akan memberi inspirasi kepada generasi muda terutamanya dari latar belakang yang kurang bernasib baik untuk muncul cemerlang dalam bidang akademik.

 “Saya tahu bukan mudah tetapi mereka perlu belajar bersungguh-sungguh dan tidak menjadikan kesukaran hidup membantutkan impian mereka untuk mendapat pendidikan yang baik dan berjaya dalam kehidupan mereka.

“Sentiasa merendah diri dan jangan lupa asal usul kita. Bila berjaya, balas budi emak ayah, keluarga serta masyarakat,” tambahnya.

 

Diterjemah dan tulis semula oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan