RENCANA

COVID-19: KES AKTIF TINGGAL DUA PERATUS, SIFAR PENULARAN TEMPATAN

10/07/2020 05:56 PM

Oleh Melati Mohd Ariff

Berikut adalah rangkuman  mingguan mengenai COVID-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 4 Julai hingga pukul 12:30 tgh 10 Julai.

Jumlah kes COVID-19 di Malaysia melepasi angka 8,000 sementara di peringkat global, kes wabak ini sudah mencecah angka 12 juta dengan lebih 550,000  kematian. Sekitar tujuh juta orang pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh. Pandemik COVID-19 sudah merebak ke lebih 200 buah negara dan wilayah.

KUALA LUMPUR  (Bernama) -- Sejak tiga kes pertama COVID-19 dikesan di negara ini lebih enam bulan lalu, kini tinggal cuma dua peratus atau 67 kes yang aktif dengan kebolehjangkitan.

Daripada 8,683 kes positif yang dilaporkan setakat ini, sebanyak 8,499 kes sudah pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj.

Ini berikutan 13 orang lagi pesakit COVID-19 sembuh dan dibenar discaj sehingga pukul 12 tengah hari Khamis 9 Julai.


Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan media pada hari yang sama mengumumkan sifar penularan kes dalam negara iaitu kali ke-tiga serta tiada kematian baharu pesakit COVID-19.

Meskipun ada enam (6) kes baharu dilaporkan pada hari tersebut, kesemua kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, melibatkan lima warganegara Malaysia dan seorang pemastautin tetap. 

Perkembangan ini boleh dikatakan petunjuk positif rakyat Malaysia sedar akan tanggungjawab kawalan kendiri serta amalan normal baharu di bawah Prosedur Operasi Standard (SOP) KKM untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19.

Ini dicapai di sebalik banyak kelonggaran diumumkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula pada 10 Jun, untuk menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) . PKPP dijadualkan berakhir pada 31 Ogos depan.

Hari Khamis 9 Julai adalah hari ke-25 tiada kematian baharu pesakit berkaitan COVID-19 dan angka kematiian kekal 121 iaitu 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Jumlah kes positif COVID-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi masih dua dan seorang daripada pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

 

PERKEMBANGAN DALAM NEGERI


Petugas Jabatan Kesihatan lengkap memakai sut peralatan perlindungan diri sebelum memulakan tugas ujian saringan COVID-19 ke atas penduduk setempat di Kuala Langat. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Dua perkembangan positif diumum pada Rabu 8 Julai dan menjadi tular di media sosial tempatan. Rata-rata netizen mengucapkan tahniah kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pasukan barisan hadapan Frontliners.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam taklimat media pada hari tersebut mengumumkan, tiada penularan kes COVID-19 dalam kalangan rakyat Malaysia dan tiga (3) kes baharu yang direkodkan pada hari berkenaan melibatkan kes import.

Dengan paparan imej "telor" yang bermaksud sifar (zero), ini adalah kali kedua Malaysia merekodkan sifar jangkitan kes dalam negara, selepas kali pertama ia diumumkan pada 1 Julai iaitu satu (1) kes import

Dr Noor Hisham dengan nada sebak mengumumkan kluster COVID-19 terbesar di Malaysia iaitu Kluster Perhimpunan Seri Petaling diisytihar tamat pada Rabu 7 Julai.

Kluster ini dikesan susulan perhimpunan keagamaan yang berlangsung selama empat (4) hari dari 27 Feb hingga 3 Mac 2020, di sebuah masjid di Seri Petaling, Kuala Lumpur. Dianggarkan 16,000 iaitu 14,500 warganegara Malaysia dan 1,500 bukan warganegara dari pelbagai negara lain hadir di perhimpunan itu.

Kes positif COVID-19 pertama kluster ini dilaporkan di dalam negara pada 11 Mac 2020. Sehingga 8 Julai 2020, sejumlah 42,023 individu disaring dan daripada jumlah ini, 3,375 kes positif iaitu 38.9 peratus daripada jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia).

Kes bagi kluster dan sub-kluster di bawahnya dikesan di tujuh (7)  buah negeri, melibatkan 2,550 warganegara Malaysia dan 825 bukan warganegara dari 28 buah negara.

Kebanyakan kes positif kluster ini adalah tidak bergejala iaitu, 2,187 kes atau 64.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif kluster ini.  Seramai 34 orang pesakit meninggal dunia iaitu 28.1 peratus daripada kes kematian COVID-19 di Malaysia.

Satu lagi kluster yang diisytiharkan tamat pada Rabu 8 Julai ialah Kluster Kg Sg Lui, Selangor.  Jumlah kes 211. Tiada kes kematian.

Sementara itu, KKM dalam kenyataan media pada Khamis 9 Julai mengumumkan 11 daripada 15 kluster yang disenaraikan di bawah kluster tempat kerja diisytihar tamat. Ini termasuk Kluster Syarikat Pembersihan Kuala Lumpur (kluster tempat kerja pertama dikesan).

Empat kluster tempat kerja yang masih aktif iaitu Kluster Tapak Pembinaan Kuala Lumpur (73 kes positif) , Kluster Pedas (326 kes positif), Kluster Syarikat Pembersihan (34 kes positif) dan Kluster Tapak Pembinaan Kuching (3 kes positif).

 

WHO DAN SITUASI GLOBAL


Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia. -- Gambar ihsan Bernd von Jutrczenka/dpa

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam ucapan alu-aluan pada taklimat media dari Geneva, Switzerland mengenai COVID-16 pada 7 Julai berkata, pandemik ini semakin menular dan ia belum mencapai tahap puncak pandemik.

Beliau berkata demikian ketika jumlah kes COVID-19 di peringkat global (pada hari kenyataan dibuat) sebanyak 11.4 juta dengan lebih daripada 535,000 orang maut.

Untuk rekod, dunia pernah dilanda pandemik influenza (biasa disebut Selesema Sepanyol) paling teruk dalam sejarah sekitar tahun 1918, yang dilaporkan berpunca daripada virus H1N1 dengan gen asal unggas (avian).  Kira-kira 500 juta dijangkiti virus ini dan sekurang-kurangnya 50 juta orang di seluruh dunia maut.

Dr Tedros juga memberitahu wakil media, sejak berapa bulan lepas, banyak perbincangan dibuat untuk mengenal pasti asal usul COVID-19.

Semua persiapan sudah dimuktamadkan dan pakar WHO dijadualkan ke China pada penghujung minggu ini untuk menyediakan pelan saintifik dengan rakan sejawat di China untuk mengenal pasti sumber zoonotic penyakit tersebut.

 Matlamat misi ini untuk memahami dengan lebih mendalam "penaja haiwan COVID-19" dan menentukan bagaimana penyakit ini "berpindah" antara haiwan dan manusia.

WHO pada hari yang sama turut menyatakan pihaknya akan mengkaji bukti baru mengaitkan penyebaran virus novel corona yang menyebabkan COVID-19 melalui udara. 

Kenyataan ini dibuat selepas sekumpulan ahli sains antarabangsa membuat rumusan virus itu boleh tersebar sejauh dua meter.

Badan dunia itu juga akan membuat pengumuman dalam masa beberapa hari, selepas mengumpulkan maklumat yang diperlukan serta mengeluarkan garis panduan selaras dengan bukti yang diumumkan itu.

 

STATISTIK GLOBAL COVID1-19

Sementara itu, menurut perangkaan CoronaTracker (mengambil sumber pelbagai agensi termasuk WHO), jumlah kes COVID-19 di seluruh dunia, setakat ini sudah mencecah 12,389,554 (rangkuman minggu lepas 11,010,562) dan 557,405 kematian. Jumlah pesakit ialah 7,187,447 orang.

Amerika Syarikat terus mengekalkan tempat teratas dalam senarai negara yang dilanda wabak COVID-19 dengan 3,219,999 berbanding 2,837,189 kes pada rangkuman minggu lepas dan 135,822 kematian. Kes positif COVID-19 mula dikesan di negara itu pada 20 Jan.

Jumlah kes COVID-19 turut meningkat di Brazil yang menduduki tangga kedua iaitu 1,759,103 dengan 69,254  kematian. India di tempat ketiga yang sebelum ini diduduki Rusia. India mencatat 794,842 kes dengan 21,623 kematian, sementara Rusia merekod 707,301 kes dengan 10,843 kematian.

Di samping empat negara di atas, terdapat 17 buah negara yang mencatat lebih 100,000 kes COVID-19, seperti berikut:- Peru 316,448 kes (11,314 kematian), Chile 306,216 kes (6,682 kematian), Sepanyol  300,136 kes (28,401 kematian), United Kingdom 287,621 kes (44,602 kematian), Mexico 282,283 kes (33,526 kematian), Iran 250,458 kes (12,305 kematian), Itali 242,363 kes (34,926 kematian), Pakistan 240,848 kes (4,983 kematian ), Afrika Selatan 238,339 kes (3,720 kematian), Arab Saudi  223,327 kes (2,100 kematian), Turki 209,962 kes (5,300 kematian), Jerman 199,198 kes (9,125 kematian), Bangladesh  175,494 kes (2,238 kematian), Perancis 170,094 kes (29,979 kematian), Colombia 133,973 kes (4,714 kematian), Kanada 106,805 kes (8,749 kematian) dan Qatar 102,110 kes  (142 kematian).

Sementara China di mana bermulanya wabak COVID-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat ke-22 dengan 83,585 kes dan 4,634 kematian (tidak berubah dari minggu-minggu sebelumnya).

Dalam kalangan negara-negara jiran Malaysia di Asia Tenggara, Indonesia masih menduduki tempat teratas dengan 70,736 kes dengan 3,417 kematian sementara Filipina menggantikan Singapura di tempat kedua dengan 51,754 kes dengan 1,314 kematian. 

Singapura pula merekodkan sebanyak 45,423 kes dengan 26 kematian (tidak berubah daripada minggu sebelumnya), Thailand 3,202 kes (58 kematian), Vietnam 369 kes (0 kematian) dan Myanmar 321 kes (6 kematian).

Semjentara itu, tiada perubahan kes COVID-19 di Brunei 141 kes (2 kematian), Kampuchea 141 kes (0 kematian) dan Laos 19 kes (0 kematian).

----------------------------------------------------------------------------------------

RUANGAN SISI

LATAR BELAKANG COVID-19

-- Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

-- Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut. 

-- Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.

-- WHO memberi nama rasmi virus "2019-nCoV" iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.

-- Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.

-- Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.

-- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit COVID-19 sebagai pandemik.

-- WHO menyifatkan wabak penyakit COVID-19 sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1 atau lebih dikenali sebagai Selesema Babi (Swine Flu).

-- Wabak Selesema Babi berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian. Ia mula dikesan di Mexico dan kemudiannya di Amerika Syarikat pada Mac 2009.

-- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pandemik COVID-19 akan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression.  

-- Kes pertama 2019-nCoV di Malaysia disahkan pada 25 Jan membabitkan tiga (3) warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Jan.

 

BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan