RENCANA

PELAYARAN KD LEKIU OP BENTENG PENUH DEBARAN

06/07/2020 06:12 PM

Oleh Muhammad Afiff Md Adnan

 Wartawan Meja Jenayah Bernama, Muhammad Afiff  Md Adnan baru-baru ini berpeluang menyertai misi rondaan Op Benteng Kapal Diraja (KD) LEKIU di perairan Selat Melaka Utara.

Berikut adalah catatan pengalaman beliau sepanjang pelayaran dari Swettenham Pier (George Town, Pulau Pinang) melalui perairan Selat Melaka Utara ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut.

GEORGE TOWN (Bernama) -- Banyak perkara berlegar-legar dalam minda saya sepanjang perjalanan enam jam, bermula dari Wisma Bernama menuju Pier Swettenham (juga dikenali sebagai Port Swettenham) di George Town, Pulau Pinang.

Tugasan yang diberikan kepada saya adalah untuk menyertai Op Benteng Kapal DiRaja (KD) LEKIU yang akan melakukan rondaan mengawal perairan Selat Melaka Utara pada 5 Jun. Misi ini bertujuan mengekang kemasukan pendatang tanpa izin (PATI) dan mencegah unsur jenayah rentas sempadan ketika satu dunia dilanda wabak COVID-19.

Sebelum bertolak ke George Town pada 4 Jun, saya sudah membayangkan bagaimana agaknya keadaan kapal yang belayar di laut luas dan apakah kami akan menempuh laut bergelora. Hati yang sedikit cemas bagaimanapun lebih teruja memikirkan tidak semua orang dapat menaiki kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sudah tentunya serba hebat dan canggih!

Selain Bernama TV dan Bernama Wires (4 orang), dua orang dari TV3 dan 4 orang dari RTM) turut berpeluang menimba pengalaman berharga ini.

Kami menginap di pusat latihan bagi anggota-anggota Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) di KD Sri Pinang, Gelugor, Pulau Pinang. Sebelum bergerak ke pusat latihan itu, kami diberi arahan perlu bangun di awal pagi keesokannya untuk menaiki KD Lekiu yang berlabuh di Pangkalan TLDM, Lumut, Perak.

Rondaan yang dilakukan KD LEKIU ini adalah sebahagian daripada pelaksanaan Op Benteng (bermula 12 Mei 2020) yang turut digembleng bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF).

 

KEHEBATAN KD LEKIU


Anggota KD Lekiu membuat tinjauan ketika Op Benteng dilaksanakan.--fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Bagi memastikan saya tidak terlajak tidur, penggera telefon bimbit sudah siap diaktifkan untuk bangun pukul 6 pagi. Kami menaiki van untuk ke Pier Swettenham yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari KD Sri Pinang.

Sebaik tiba di lokasi, saya terpaku tatkala mata terpandang kapal frigat KD LEKIU. Saya pernah melihat gambar kapal ini dalam majalah berunsur ketenteraan “Perajurit” milik bapa saudara saya di kampung, kira-kira dua tahun lalu.

Tidaklah saya menjangka kini saya betul-betul berdiri di hadapannya. “Hebat sungguh kapal ini, “ bisik hati saya. KD LEKIU difahamkan mempunyai ketinggian 3.6 meter, lebar 12.8 meter dan panjang, 106 meter.

Berikutan wabak COVID-19, TLDM turut mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) iaitu pengambilan suhu selain mengisi butiran nama sebelum kami dibenarkan menaiki kapal frigat itu.

Melangkah menaiki kapal, kelihatan anak-anak kapal sedang menaikkan panji-panji, simbolik penghormatan memulakan tugas selain mempersiapkan KD LEKIU bagi tujuan pelayaran ke Pangkalan TLDM Lumut, Perak yang mengambil masa kira-kira enam jam.

Menjalankan tugas di atas sebuah kapal dikelilingi lautan luas terbentang untuk satu-satu tempoh yang panjang bukannya perkara mudah berbanding melaksanakan rutin berkenaan di daratan.

Adakalanya laut bergelora tidak mengira detik. Sudah tentunya keadaan serta suasana sebegini memerlukan kekuatan fizikal, mental dan emosi yang kental.  

Kami yang hanya berada beberapa jam pun sudah boleh merasakan debarannya, malah ada rakan media yang berasa mual walaupun air laut tenang.


Pegawai Memerintah Kapal Diraja (KD) Lekiu, Kapten Shaiful Nizam Abdul Manan (kanan) mengikuti OP Benteng bagi mengawasi perairan di Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) di sekitar perairan Selat Melaka Utara. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Semuanya ini sudah sebati dalam diri 169 orang kru KD LEKIU yang diketuai Pegawai Memerintah Kapal Diraja (KD) Lekiu sendiri, Kpt Shaiful Nizam Abdul Manan.

Penulis difahamkan, KD LEKIU dilengkapi dengan sistem persenjataan tiga dimensi iaitu anti-udara, permukaan dan bawah air dan mampu mencapai kelajuan 28 knot. 

Kapal frigat ini dibina di Glasgow, Scotland dan memasuki inventori TLDM pada Disember 1994.

 

PEGAWAI MEMERINTAH KD LEKIU KETUAI PELAYARAN

Satu pengalaman yang pasti terpahat di memori apabila tim media diperkenalkan dengan Kpt Shaiful Nizam yang mengetuai pelayaran ini.

Terasa aura pertemuan dengan orang kuat KD LEKIU ini. Beliau bertanggungjawab memberi arahan di mana kapal ini akan belayar, di mana pemintasan bot-bot PATI akan dibuat termasuk mengarahkan pergerakan helikopter tempur Super Lynx MK100.

Program pada pagi itu didahului dengan taklimat untuk pengamal media di Wisma Pegawai mengenai peranan KD LEKIU dalam Op Benteng sebelum kami dibenarkan masuk ke Pusat Informasi Tempur atau Combat Information Center (CIC) KD LEKIU.


Para anggota TLDM giat mengawal di dalam Pusat Operasi Tempur (CIC) KD Lekiu semasa melaksanakan Op Benteng di sekitar perairan Selat Melaka. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Tepat  pukul 10 pagi, 5 Jun, KD LEKIU mula belayar (dari Swettenham Pier, Georgetown, Pulau Pinang) ketika pengamal media di bawa ke dalam CIC. Pusat ini difahamkan berfungsi sebagai pusat taktikal di mana informasi serta proses “arahan dan kawalan” dilaksana semasa operasi atau peperangan

Keadaan dalam CIC sedikit gelap dengan dipenuhi pelbagai mesin serta komputer yang memaparkan pelbagai maklumat mengenai keadaan laut, bot di sekitar KD LEKIU yang sedang belayar dan pelbagai lagi.

 

SUPER LYNX MK100


Sebuah Helikopter Super Lynx MK100 daripada Skuadron 501 berlepas dari kapal KD LEKIU bagi melaksanakan Op Benteng melalui ruang udara di sekitar perairan Selat Melaka. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Dalam pelayaran ini, pengamal media turut diberi peluang menaiki sebuah daripada enam buah helikopter tempur Super Lynx MK100 daripada Skuadron 501 TLDM. Helikopter ini digunakan sebagai 'mata-mata' dalam meninjau atau memintas kehadiran bot-bot PATI di luar radius 70 nautika kawasan capaian KD LEKIU.

Penulis bagaimanapun tidak berpeluang menaiki helikopter itu yang dikendalikan oleh Komander Hairol Isma Ibrahim bagi memberi ruang kepada jurufoto Bernama, Muhammad Azlim Mansor merakam gambar gerak kerja Super Lynx untuk tatapan orang awam.

Sesuai dengan tugas itu, helikopter tempur Super Lynx kerap diatur gerak ke sekitar perairan Selat Melaka Utara. Ia juga menjadi kebanggaan TLDM selepas pernah cemerlang merekodkan penerbangan 10,000 jam sifar kemalangan biarpun terlibat dengan pelbagai tugas, operasi dan misi sebelum ini.

 

CB90 MEMBELOK 110 DARJAH


Sebuah Bot CB90 milik TLDM menghampiri dan memeriksa sebuah bot nelayan tempatan ketika Op Benteng di sekitar perairan Selat Melaka. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Selain Super Lynx, KD LEKIU turut mempunyai aset lain digunakan bagi tujuan pemintasan bot PATI dikenali sebagai bot tempur CB90.

Kali ini, penulis tidak mahu melepaskan peluang menaiki antara aset kerahan KD Lekiu yang mampu bergerak pada kelajuan 45 knot di atas laut. Di samping empat anggota bot tempur ini, saya disertai dua orang kru RTM dan dua orang kru Bernama TV.

Bayangkan, bot CB90 ini boleh dihentikan secara mengejut walaupun ketika sedang bergerak laju serta membuat membuat lencongan kira-kira 110 darjah yang pastinya memberi perasaan seakan mahu terhumban ke laut ketika berada di dalamnya!

Lencongan berkenaan bukanlah dibuat suka-suka kerana penulis difahamkan itulah keistimewaan yang boleh dilakukan CB90 dalam merapati serta memintas mana-mana bot disyaki dinaiki PATI.

Di tugasan lain, CB90 juga dikerah untuk mengiringi mana-mana kapal milik TLDM dalam situasi tertentu.

CB90 ini bukan seperi bot lain kerana ia difahamkan menggunakan sistem water jet yang mampu bergerak dengan pantas dan senyap. Ini menjadikan CB90 antara aset terpenting TLDM terutama dalam menjalankan pelbagai tugasan termasuk terlibat dalam Op Benteng ini.

 

OP BENTENG

Kolaborasi TLDM dan pelbagai agensi penguatkuasa memberi impak positif dalam membendung pencerobohan PATI dan mengekang jenayah rentas sempadan sepanjang Perintah Kawalan Pegerakan (PKP). 

Bagi penulis, penugasan mereka berjaya memberi tekanan kepada kumpulan PATI demi melindungi keselamatan perairan dan kedaulatan negara ini.

Op Benteng diaktifkan di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) dengan ATM diberi mandat untuk menyelaras operasi kawalan persempadan negara bersama-sama agensi penguatkuasaan dan keselamatan yang lain iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Operasi yang meliputi seluruh sempadan daratan dan perairan Malaysia ini adalah untuk mengawal ketat sempadan negara sebagai usaha kerajaan untuk mengekang jenayah rentas sempadan. Ia juga untuk menyekat penularan wabak pendamik COVID-19 yang berkemungkinan dibawa masuk oleh PATI.

 

Disunting dan ditulis semula oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan