RENCANA

SEMANGAT KENTAL KASDI ATASI KEMISKINAN JULANG KEJAYAAN

01/07/2020 07:11 PM

Oleh Zaphne Philip

KUCHING (Bernama) -- Menjejak kembali liku-liku kehidupan semasa kecil yang dihimpit kemiskinan dan hari-hari yang dihabiskan menemani orang tuanya mencari rezeki di tempat pembuangan sampah, sememangnya semuanya itu memberi pengajaran besar buat Kasdi Nata Sujono.

Ayahnya, Sujono Suhanda, 65, bekerja sebagai buruh di sebuah ladang ayam sementara ibunya, Faimah Abdullah, suri rumah.

Sedar akan keperitan hidup keluarganya, Kasdi yang kini berusia 23 tahun tahu, satu-satunya cara untuk mengeluarkan keluarganya dari kepompong kemiskinan ialah untuk beliau cemerlang dalam bidang pelajaran.

“Hidup kami amat susah. Ayah dan emak akan keluar ke tempat pembuangan sampah, mencari kerusi patah dan apa sahaja yang boleh dibaiki dan dijual.

"Saya pula mencari barang-barang permainan untuk bermain kerana emak dan ayah tak mampu untuk membelikan saya barang permainan yang baharu, “ Kasdi yang mempunyai empat beradik, berkongsi kisah silamnya.

Hasil kecemerlangan dalam bidang akademik membolehkan beliau memperolehi biasasiwa di bawah Program Tajaan Pendidikan Petronas (PESP). Dengan biasiswa itu, anak kelahiran sebuah kampung di Balai Ringin, Serian yang terletak kira-kira 100 kilometer dari bandar Kuching ini melanjutkan pengajian dalam bidang geologi di Amerika Syarikat.  

Beliau yang menamatkan pengajiannya dalam bidang geologi di University of Colorado Boulder, Amerika Syarikat kira-kira tujuh bulan lalu, kini menyandang jawatan Eksekutif Model Operasi operating model executive at Unit Digital Perniagaan Petroliam Nasional Bhd (Petronas), di Kuala Lumpur.

Dengan pekerjaan yang disandang Kasdi sekarang, ditambah dengan dua orang abangnya juga sudah bekerja, kehidupan keluarganya sudah jauh berbeza berbanding semasa mereka kecil.

Namun, perjalanan kehidupan Kasdi untuk sampai kepada tahap kehidupan sekarang, bukanlah mudah.

 

PELAJAR PINTAR


Kasdi bercadang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran pada masa hadapan.

Menurut Kasdi, kepayahan hidup keluarganya mendorong beliau untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga larut malam bertemankan cahaya api lilin atau lampu suluh, kerana rumah keluarganya tidak mempunyai bekalan elektrik mahupun air bersih.

Di sebalik kehidupan yang serba-serbi kekurangan, rumah yang sempit, yang didiami bersama emak dan ayahnya serta empat beradik yang lain, dua lelaki dan dua perempuan, Kasdi cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan memperolehi A untuk semua mata pelajaran.

Kasdi kemudiannya menerima tawaran untuk persekolahan menengah di Sekolah Menengah Sains Kuching tetapi ibunya memujuk beliau supaya menolak tawaran tersebut kerana bimbang anaknya akan menjadi mangsa buli kerana tubuh badan yang kecil.

Untuk mengambil hati ibunya, Kasdi meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Balai Ringin dan mendapat biasiswa kerajaan untuk menampung perbelanjaan sekolah. Malahan, dia turut bekerja di kedai koperasi sekolah sebagai juruwang sambilan untuk mencari wang tambahan.

“Saya bekerja sambilan dengan satu matlamat untuk menyimpan wang untuk masa depan saya, kerana menjadi impian saya untuk memberi kehidupan yang lebih baik untuk keluarga saya, " kata Kasdi, juga gemar membaca, terapi dirinya untuk melupakan keperitan hidupnya.

Kasdi sekali lagi menunjukkan kecemerlangan apabila memperolehi lapan A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Pada tahun 2013, dia ditawarkan tempat dalam Kolej elit PERMATApintar di Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi, Selangor. Kolej ini sekarang dikenali sebagai Genius@Pintar Centre.

Bagaimanapun, ada kekangan kerana Kasdi tidak ditawarkan biasiswa untuk belajar di kolej itu.

“Saya pergi juga dengan menggunakan simpanan wang biasiswa yang saya dapat sebelum itu. Saya gunakan RM350 daripada simpanan untuk tiket penerbangan dari Kuching ke Kuala Lumpur.

“Saya perlu membayar RM1,000 untuk yuran sekolah. Memandangkan saya tidak mempunyai wang yang mencukupi, saya merayu kepada pihak kolej untuk menangguhkan bayaran tersebut, ” katanya.

 

KESEMPITAN KEWANGAN

Masalah kewangan Kasdi meruncing apabila ayahnya ditimpa kemalangan dan terpaksa berhenti kerja kerana kecederaan pada kaki yang menyukarkan untuk beliau berjalan.

“Emak terpaksa melakukan pelbagai kerja untuk menyara kehidupan keluarga kami. Salah seorang kakak saya terpaksa berhenti kerja untuk menjaga ayah yang sakit.

“Keluarga saya tidak mampu lagi untuk mengirimkan wang kepada saya kerana hidup mereka pun bak kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Sesekali kakak saya yang seorang lagi, masa itu guru pelatih, akan mengirim RM50 untuk saya daripada elaun bulanan yang tidaklah seberapa untuk membantu saya, “ tambah Kasdi.

Di sebalik masalah kewangan yang dihadapinya, anak muda ini tidak pernah berhasrat berhenti belajar dan pulang ke kampung halaman.

“Saya bernasib baik kerana sewaktu saya di tahun dua di Kolej PERMATAPintar, salah seorang guru saya membantu saya untuk memohon bantuan wang zakat dari UKM. Wang yang saya perolehi membantu saya membayar yuran tuisyen, " katanya.

Semasa cuti semester, Kasdi tinggal di kolej kerana tidak mampu untuk membeli tiket penerbangan pulang ke Sarawak.

“Apabila guru dan kawan-kawan saya dapat tahu akan keadaan saya ini, ada beberapa kali mereka membantu membiayai tiket penerbangan untuk saya balik ke Sarawak. Seumur hidup saya terhutang budi kepada mereka, ” tambahnya.

 

KE LUAR NEGARA 

Berkat usaha gigihnya, Kasdi sekali lagi cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dengan mendapat tujuh A dan 2 B. Tidak lama selepas itu, beliau memperolehi biasiswa PESP untuk pengajian ijazah dalam bidang geologi di University of Colorado Boulder, Amerika Syarikat.  

“Bagai mimpi menjadi kenyataan dan saya sungguh tidak menjangkakannya.

"Saya memang berminat dalam bidang geologi sejak mula belajar mata pelajaran ini dalam kelas geografi di tingkatan satu, " katanya, sambil menambah, semasa belajar di Kolej PERMATAPintar, beliau membuat penyelidikan mengenai perlombongan bijih besi dengan seorang profesor geologi.


Kasdi (kanan) bergambar kenangan bersama Profesor Geologi di University of Colorado Boulder, Amerika Syarikat.

Semasa belajar di University of Colorado Boulder, Kasdi tidak membazirkan masa dan bekerja secara sambilan mencuci pinggan, pembantu meja depan dan pengajar untuk mencari wang.

“Kerja yang saya lakukan ini menjadikan saya lebih matang dan dapat berdikari daripada segi kewangan. Ia juga membantu membangunkan kemahiran insani saya, ” katanya.

Di samping itu, Kasdi juga melakukan banyak lagi kerja sambilan termasuk penolong penyelidikan sambilan di makmal-makmal vertebrate zoology, invertebrate paleontology dan geomicrobial physiology. Pekerjaan itu menambahkan kemahiran analitik beliau.

 

DIBERI PENGHORMATAN


Kasdi ketika membuat perbentangan di Pusat Kepimpinan PETRONAS, Bangi.

Kasdi menamatkan progran ijazah empat tahun itu pada 2019 dengan memperolehi magna cum laude dalam geologi. Beliau juga mengambil bidang perniagaan dan angkasa.

Sebagai salah seorang daripada sembilan pelajar kelas geologi 2019 yang lulus dengan kepujian, Kasdi berkata beiau berasa amat bangga kerana di majlis konvokesyen, beliau ditempatkan di barisan hadapan yang dikhaskan untuk pelajar yang mendapat kepujian.

Beliau juga mendapat pengiktirafan untuk penyelidikan dalam geobiology di mana beliau membangunkan kaedah baru menghitung bakteria pada peringkat mikroskopik berdasarkan imej yang dibangunkan daripada Scanning Electron Microscopy.

Ditanya tentang rancangan masa hadapannya, Kasdi berharap dapat melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran. Beliau turut berharap dapat meneruskan karier penyelidikannya atau membangunkan kariernya dengan Petronas.

“Biasiswa yang Petronas berikan kepada saya bukan sahaja membantu saya melanjutkan pengajian tetapi juga membina kemahiran kepimpinan dan menyediakan saya memasuki dunia pekerjaan menerusi pelbagai program pembangunan, " kata Kasdi.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1975 sebagi langkah membantu pembangunan modal insan negara, biasiswa PESP telah memberi manfaat kepada ribuan pelajar cemerlang seperti Kasdi.

 

Diterjemah dan disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan