RENCANA

CERI MERAH TURKI SUMBER REZEKI AGENSI PELANCONGAN

29/06/2020 04:31 PM

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

PUTRAJAYA (Bernama) -- Sebahagian besar rakyat Malaysia sememangnya gemar menghabiskan cuti dengan mengembara dan meneroka negara luar.

Setiap tahun pasti ada negara baharu yang dijelajah untuk mendapatkan pengalaman baharu sambil menikmati pemandangan indah, berehat dan meninjau budaya kehidupan masyarakat tempatan.

Antara destinasi percutian luar negara yang menjadi tumpuan rakyat Malaysia ialah Turki, Australia,  Maldives, Bali, New Zealand, Eropah dan Korea Selatan.

Minat rakyat Malaysia yang sangat tinggi untuk melancong ke luar negara luar mendorong kemunculan banyak agensi pelancongan di negara ini. 

Dengan khidmat agensi pelancongan, pelanggan hanya perlu membawa bagasi  ke lapangan terbang pada hari berlepas. Semua urusan dari tempahan tiket penerbangan, insurans perjalanan, tempahan hotel, makan minum, aktiviti di luar negara, perjalanan darat bersama khidmat jurubahasa dan lokasi untuk membeli-belah siap diatur agensi pelancongan. 

Bagaimanapun, pandemik COVID-19 yang melanda dunia sejak penghujung tahun 2019 mengubah senario tersebut.

Sejak awal tahun 2020, ramai yang terpaksa membatalkan perancangan untuk bercuti ekoran ancaman wabak itu yang kini sudah menjangkiti lebih 10 juta orang dengan setengah juta kematian di seluruh dunia setakat hari ini.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa dalam pelbagai peringkat mulai 18 Mac sehingga 31 Ogos menghalang rakyat Malaysia dari ke luar negara dan warga asing dari masuk ke negara ini kecuali diplomat dan duta asing. Ini sekaligus menyekat aktiviti pelancongan antarabangsa.

 

BATAL PERJALANAN

Pengarah MyZarra Travel and Services Sdn Bhd  Zawati Talib ketika dihubungi memberitahu Bernama, beliau membatalkan 10 perjalanan sejak Mac ekoran COVID-19.

“Perjalanan yang dibatalkan ialah ke negara-negara Eropah, Vietnam, Scandinavia, Thailand dan Rusia yang dijadualkan mulai Mac hingga Julai 2020.

“Bagi perjalanan sekitar Mac pelanggan tidak mendapat refund (bayaran balik) kerana tiket penerbangan dan kos perjalanan darat  di negara terlibat sudah dibayar,” jelasnya.

Menurut Zawati, bagi  perjalanan selepas Ogos pelanggan baru membayar deposit kos perjalanan. Bergantung kepada terma dan syarat syarikat penerbangan, pelanggan boleh memilih untuk menunda perjalanan sehingga tahun 2021.

“Jadi bagi pelanggan ini (perjalanan selepas Ogos) MyZarra akan menyimpan deposit mereka untuk percutian akan datang. Duit mereka tidak hangus dan pelanggan boleh memilih tarikh baharu,” katanya lagi.

Beliau menambah, jika Oktober hingga Disember masih ada halangan untuk sebarang perjalanan ke luar negara maka perjalanan lebih 20 kumpulan terpaksa dibatalkan.

MyZarra kerap membawa pelancong Malaysia dalam kumpulan kecil  ke luar negara. Antara pakej MyZarra yang popular ialah ke Maghribi, Eropah Timur dan negara Balkan.

Penulis sendiri pernah menyertai pakej pelancongan Bangkok & Beyond MyZarra yang melibatkan lawatan ke ladang bunga matahari di Khao Yai 400 km ke utara Bangkok, menaiki kereta api yang melalui landasan keretapi maut Thailand-Burma di Kanchanaburi dan membeli-belah di Pasar Terapung Damnoen Saduak.

 

PAKEJ PELANCONGAN DOMESTIK

Ditanya sama ada MyZarra ada membuat pakej percutian domestik memandangkan aktiviti pelancongan dalam negeri dibenarkan sepanjang PKPP, Zawati berkata, pakej itu sudah mula dipromosi.

Pakej pelancongan domestik MyZarra adalah dalam bentuk pelancongan kumpulan kecil ke Langkawi dan Kundasang di Sabah untuk empat hari tiga malam.

Selain itu terdapat pakej ke Cameron Highlands dan Melaka yang melibatkan lawatan ke tempat menarik sambil mencuba makanan popular.

MyZarra, kata beliau, akan menambah destinasi pada masa akan datang bagi merancakkan lagi sektor pelancongan domestik negara.

 

MENJUAL CERI MERAH TURKI

Sejak awal Jun, MyZarra mula menjual ceri segar yang diterbangkan dari Istanbul, Turki ke Kuala Lumpur dua kali seminggu. 

Buah ceri yang dipasarkan MyZarra biasanya tiba ke tangan pelanggan kira-kira 48 jam selepas dipetik dari ladang ceri di Cappadocia, Pamukkale  dan Safranbolu di Turki. Sebelum ini pakej lawatan ke Turki MyZarra melibatkan lawatan ke ladang ceri.

Menurut Zawati, beliau memutuskan untuk beralih kepada jualan ceri kerana norma baharu untuk MyZarra ialah menjadi kreatif dan tidak hanya menunggu untuk perniagaan pelancongan dapat beroperasi semula sepenuhnya.

MyZarra mengambil kesempatan daripada kemuncak musim ceri yang dikenali sebagai buah musim panas di Turki. Musim ceri akan berlanjutan hingga September depan.

Beliau menambah, sebahagian besar daripada pelanggan buah ceri MyZarra ialah mereka yang pernah mengikuti pakej percutian MyZarra ke pelbagai destinasi di seluruh dunia sebelum ini. Buah ceri berkenaan dipasarkan melalui akaun laman sosial Facebook, Turkey Sweet Cherries.

Selain ceri, MyZarra juga menjual buah aprikot madu dan akan mula memasarkan buah pic, plum dan nectarine dari luar negara mulai bulan depan.

 

SAMBUTAN HANGAT

Ceri bulat merah menyala yang masih bertangkai, segar, manis dan rangup jualan MyZarra mendapat sambutan hangat biarpun belum sebulan dipasarkan.

Sebahagian besar daripada pembeli ceri  membuat pesanan selepas mencuba ceri yang dibeli rakan sepejabat, teman, jiran dan anggota  keluarga.

Terdapat pembeli yang berminat membeli ceri merah jualan MyZarra selepas membaca pengalaman pembeli ceri yang memuji rasanya  di media sosial. Mereka yang pertama kali membeli ceri biasanya  membuat pembelian yang seterusnya.

Tidak sampai sebulan menjual ceri, MyZarra sudah mempunyai ejen di dalam dan luar Lembah Klang ekoran permintaan yang tinggi. Pelanggan ceri boleh memilih untuk mengambil sendiri pembelian masing-masing di pejabat MyZarra atau membayar khidmat penghantaran bergantung kepada lokasi.

Biasanya MyZarra akan mengumumkan tarikh penghantaran  ceri yang seterusnya dan pelanggan boleh membuat tempahan dan pembayaran secara dalam talian.

Kata Zawati, sejak awal Jun hampir 500 kg buah ceri sudah diterbangkan dari Turki setiap minggu.

 

SURVIVAL AGENSI PELANCONGAN PASCA COVID-19

Kebimbangan mengenai COVID-19 berkemungkinan menyebabkan orang ramai mengambil masa  sebelum betul-betul yakin dan berani untuk bercuti atau mengembara ke luar negara semula selepas sempadan negara dibuka nanti.

Mungkin negara yang dikategorikan sebagai hijau bagi kes COVID-19 akan menjadi pilihan rakyat Malaysia bercuti  selepas ini. 

Namun sikap positif dan kreatif MyZarra dalam berhadapan dengan cabaran COVID-19 mengajar semua pihak untuk supaya tidak mengalah tetapi menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku demi meneruskan kelangsungan hidup.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan