RENCANA

RINA HARUN: 100 HARI, INSENTIF PENJANA DAN HALA TUJU KPWKM

27/06/2020 11:59 AM

Oleh Erda Khursyiah Basir dan Shanika Abdullatib

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada Khamis, 25 Jun 2020 telah melancarkan insentif PENJANA khusus untuk golongan sasar yang terdiri daripada kanak-kanak, ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan komuniti. Insentif ini susulan pengumuman Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun lepas.

Sebanyak RM152 juta peruntukan telah diluluskan untuk kumpulan sasar yang layak di bawah KPWKM.

Ikuti temu bual wartawan Bernama, Erda Khursyiah Basir dan Shanika Abdul Latib bersama Menteri KPWKM, Datuk Seri Rina Mohd Harun  yang menghuraikan pelaksanaan insentif berkenaan, visi dan aspirasi KPWKM termasuk tempoh 100 hari beliau menerajui kementerian sejak 10 Mac lepas).

 

​​SOALAN: Bulan Jun ini genap ​100 hari Datuk Seri menerajui KPWKM. Boleh Datuk Seri kongsikan perkembangan terkini dan hala tuju kementerian?.

 

JAWAPAN: 100 hari yang penuh dengan COVID-19 (ketawa). Mungkin orang akan membuat perbandingan namun apa yang boleh saya katakan adalah, dulu tak ada COVID-1​​9, sekarang ada. Justeru, saya rasa setiap orang ada cara yang berbeza. Jadi sepanjang tempoh tiga bulan ini memang semua orang fokus kepada COVID-19.

Sepanjang tempoh ini juga, ​saya ucapkan terima kasih​ kepada warga kementerian​ terutama​ ​Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)​. ​Walaupun dicemuh, banyak tuduhan dilemparkan​ dengan​ kata-kata nista, hakikatnya ​JKM​ telah menyampaikan lebih sejuta bakul makanan kepada golongan yang memerlukan bantuan.

Ia bukannya muda​h terutama ​dengan suasana baru, norma baru​ di mana​ kita pun tak pernah hadapi​ wabak ​ini, JKM masih cuba memberi khidmat terbaik​ kepada semua lapisan masyarakat.

Menyentuh mengenai dasar kementerian pula, kita akan teruskan dasar sedia ada. Sebenarnya kita ada banyak dasar namun bagi saya, paling penting adalah pelaksanaannya. Banyak dasar nanti hanya jadi buku sahaja.

Kita juga ​kini ​sedang melihat semula beberapa dasar seperti dasar kanak-kanak dan warga emas untuk ditambah baik. Pada masa sama, kita sedang memperhalusi Rang Undang-Undang (RUU) Gangguan Seksual dan akan membentangkannya di Parlimen pada tahun ini.

Dari aspek pelaksanaan, ia memerlukan kerjasama dari semua pihak termasuk kerajaan negeri. Ini kerana ada negeri yang mempunyai undang-undang yang sedikit berbeza jadi mereka perlu memahami apa yang dibuat ini adalah untuk kebaikan bersama.

 

SOALAN: Apa perancangan kementerian dalam menghadapi kemungkinan lebih ramai rakyat akan memasuki garis kemiskinan disebabkan hilang pekerjaan ekoran krisis COVID-19. 

 

JAWAPAN: Ini sesuatu yang telah dijangkakan. Jadi kementerian telah melaksanakan program strategik dengan syarikat swasta dan ​syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk membangunkan masyarakat dan keluarga. Kita mahu ia bukan sekadar memberi bantuan secara bulanan tetapi mampu menyediakan peluang kepada golongan terjejas ini untuk keluar daripada kepompong kemiskinan. Jadi kolobrasi dengan rakan-rakan strategik ini amat penting kerana mereka mempunyai kepakaran tertentu. Dalam masa sama, kita juga bekerjasama dengan beberapa syarikat swasta untuk mewujudkan peluang pekerjaan​ dan lebih istimewa, peluang pekerjaan ini dikhususkan untuk wanita walaupun ia dibuka kepada semua orang. 

 

SOALAN: Ramai petugas barisan hadapan, malah mungkin warga kementerian ini sendiri berdepan dengan pelbagai tekanan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sebagai tonggak utama kementerian, bagaimana Datuk Seri ‘meredakan’ tekanan mereka?

 

 

JAWAPAN: Sejujurnya, bukan mudah untuk menjaga masyarakat​, termasuklah warga kerja kementerian​. Jika sebelum ini, mereka mungkin be​rtugas​ mengikut ​waktu ​pejabat, tetapi​ ketika penularan ​COVID-19, mereka bekerja dalam waktu​ dan keadaan​ yang luar biasa.​ Ada yang hingga ke​ tengah malam, ​bermula seawal ​pagi, berhujan dan berpanas bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar. Jadi, kita perlu bersiap sedia bukan saja dari segi kekuatan fizikal malah mental juga.

Paling terkesan apabila sesuatu kawasan diisytiharkan ​PKP Diperketatkan (PKPD), jadi bantuan perlu diagihkan dengan segera​. Pernah​ berlaku​, kami perlu menghantar 1,000 ​bakul makanan dalam tempoh tidak sampai tiga jam. Jadi, sudah tentu emosi, fizikal dan mental diuji ketika itu.

Sebab itulah saya suka buat program turun ke padang. Bukan saja untuk bertemu dengan penerima bantuan tetapi bertemu dengan warga kementerian. Ini kerana mereka juga perlukan motivasi. Jadi saya cuba sebaik mungkin memberikan aura positif, agar semua bermotivasi dalam menghadapi tekanan sepanjang COVID-19 ini.

 

 

SOALAN: Pelbagai peringkat masyarakat terjejas berikutan krisis COVID-19 dan PKP. PENJANA dilihat sebagai sistem sokongan untuk masyarakat terus ‘bangkit’ dan meneruskan kehidupan. Boleh Datuk Seri huraikan insentif PENJANA bagi golongan sasar KPWKM?

 

JAWAPAN: ​Apabila kerajaan mengumumkan PENJANA baru-baru ini, kita mempunyai tiga matlamat utama iaitu memperkasakan rakyat, merancakkan semula ekonomi dan merangsang ekonomi berikutan banyak premis perniagaan yang telah menghentikan sementara operasi​.

Alhamdulilah, sebanyak RM152 juta peruntukan telah diluluskan untuk kumpulan sasar KPWKM yang layak.

Insentif tersebut dilihat dapat membantu meringankan beban golongan sasar termasuk 190,000 OKU dan 2,000 sukarelawan yang membantu warga emas dan OKU bagi program khidmat bantu di rumah (house help services).

Bantuan one-off sebanyak RM300 kepada 150,000 ibu tunggal ​di bawah JKM ​turut diberikan. Kita ambil inisiatif membantu golongan ibu tunggal ini memandangkan mereka juga terjejas kerana ada dalam kalangan mereka bergaji secara harian. Ini juga dapat membantu mereka kerana sebelum ini, bantuan hanya diberi kepada anak-anak mereka.

Bantuan khas kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang bekerjasama rapat dengan kerajaan sebanyak RM5 juta turut diberikan bagi menggalakkan mereka untuk terus merancang dan melaksanakan program-program di peringkat akar umbi.

 

SOALAN: Taman asuhan kanak-kanak (Taska) telah kembali beroperasi dan perlu mematuhi Panduan Pencegahan Penularan Covid-19, Pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bagi Keselamatan Warga Taska. Bagaimana KPWKM memastikan taska yang beroperasi ini kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, termasuk di kawasan luar bandar?

 

JAWAPAN: Kita akan melakukan pemantauan berterusan dengan kerjasama dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan JKM untuk memastikan pengendali taska mengikut SOP yang ditetapkan. Taklimat juga harus diberikan kepada ibu bapa oleh pengusaha taska untuk memastikan ibu bapa memahami dan mematuhi peraturan dan norma baharu di taska demi keselamatan anak-anak mereka​. Pada masa sama, kita akan lakukan pemeriksaan mengejut dari semasa ke semasa bagi memastikan SOP sentiasa dipatuhi.

​Setakat ini, ​Alhamdulilah, sebanyak 1,460 taska di seluruh negara yang telah memulakan operasi, mematuhi SOP telah ditetapkan.​ ​Saya juga gembira apabila SOP yang diguna pakai di taska menjadi ‘panduan’ kepada ​pengendali ​tadika​ dan ​prasekolah​ ​untuk mereka kembali beroperasi.

Dengan SOP tersebut, kita dapat membantu mereka yang mahu membuka​ semula​ tadika atau prasekolah terutama berkaitan penjarakan sosial, seperti mana yang kita faham, fitrah kanak-kanak agak sukar dikawal.

Suka juga saya maklumkan, setakat 23 Jun 2020, sebanyak 1,766 taska telah mengemukakan permohonan geran khas yang melibatkan 1,475 Taska Institusi, 122 Taska Tempat Kerja dan 169 Taska di Rumah.

Dalam masa sama, pemberian geran khas kepada lebih 5,000 taska yang berdaftar dengan JKM iaitu RM5,000 bagi taska di tempat kerja dan taska Institusi serta RM1,500 bagi taska di rumah diharap dapat mengurangkan beban kos operasi taska dalam mematuhi SOP.

 

​SOALAN: Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak (KAP) dilihat sebagai antara platform kementerian membuka peluang pekerjaaan kepada golongan wanita? Apa perkembangannya setakat hari ini?

 

 

JAWAPAN: Ya, ini juga salah satu inisiatif yang dilaksanakan bagi membuka peluang pekerjaan baharu kepada pengasuh yang belum mempunyai sijil kelayakan serta kepada mereka yang berminat untuk menjadi pengasuh berdaftar. 

Ini secara tidak langsung membuka peluang kepada mereka yang berminat untuk menjadi pengasuh, terutama golongan yang kehilangan pekerjaan akibat PKP malah kementerian menganggarkan seramai 9,000 orang akan mendapat manfaat daripada peluang ini.

Dengan suasana​​​ norma baharu ini, kursus KAP dijalankan secara dalam talian dan pada ​ ​akhir kursus​,​ akan ada sedikit ujian praktikal. Tempoh kursus turut dipendekkan dari enam bulan kepada tiga bulan.​ Dari segi silibus pula, ia diubah suai supaya dapat mematuhi norma baharu dan ini dilakukan berdasarkan pengalaman sepanjang tempoh tiga bulan ini dan SOP yang diadakan.

 

​​SOALAN: Dalam situasi normal baharu ini, adakah kementerian akan mempertimbangkan untuk mewujudkan polisi atau dasar tertentu untuk membenarkan golongan wanita terutama ibu berkerjaya dapat terus bekerja dari rumah?

 

JAWAPAN: Untuk pelaksanaan perkara ini, pihak kerajaan kena berbincang. Tapi buat masa sekarang, ia telah pun dipraktikkan. Kita nampak hasilnya dan bermakna bekerja dari rumah boleh dilakukan.

Namun, untuk terus kita laksanakan sistem kerja dari rumah ini, kita perlu adakan perbincangan dengan lebih lanjut memandangkan ada pekerjaan yang boleh dilakukan dari rumah dan masih perlu turun di lapangan.

Bagaimanapun, saya mengambil pandangan bahawa apa yang dipraktikkan sepanjang PKP ini sesuatu yang positif. Mungkin boleh difikirkan pada mereka yang ada anak kecil, yang masih perlukan perhatian.

 

SOALAN: Seluruh individu dan masyarakat perlu bersedia berhadapan dengan normal baharu dalam setiap aspek kehidupan. Jadi, apa pesanan dan harapan Datuk Seri dalam kita menghadapi normal baharu ini?

 

JAWAPAN: Saya sebenarnya berbangga dan tidak sangka rakyat Malaysia begitu berdisiplin. Apabila disuruh duduk di rumah atau stay at home, mereka patuh dan sekarang meskipun perniagaan dibuka kembali, masih ramai yang belum aktif keluar. Justeru, dalam merancakkan kembali ekonomi, kita harus mengikuti norma-norma baharu sebagai langkah keselamatan.

Alhamdulilah, setakat ini saya melihat kejayaan Malaysia dalam memerangi COVID-19 adalah sesuatu yang boleh kita banggakan. Bukan saja di negara kita, tetapi ia turut diiktiraf oleh negara luar.

Sejak dari awal, kita sudah berusaha membendung penularan wabak ini dengan mengambil langkah tepat dan tegas apabila Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan PKP pada 18 Mac. Sekarang kita lihat, kes-kes baharu pun sudah single digit, berbandingkan dengan negara luar. Jadi, kita rakyat Malaysia jangan leka. Kita harus terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan, sebagai langkah berjaga-jaga agar ia tidak menular kembali.

 

Disunting oleh Rafe’aton Md. Ali

BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan