RENCANA

COVID-19: KE ARAH SIFAR KES BAHARU COVID-19

26/06/2020 06:59 PM

Oleh Melati Mohd Ariff

Berikut adalah rangkuman  mingguan mengenai COVID-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 20 Jun hingga pukul 12:30 tengah hari 26 Jun.

Jumlah kes COVID-19 di Malaysia melepasi angka 8,000 sementara di peringkat global, kes wabak ini mengatasi sembilan (9) juta dengan angka kematian melebihi 450,000 orang. Sekitar 5.2 juta orang pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh. Pandemik COVID-19 sudah merebak ke lebih 200 buah negara dan wilayah.

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Unjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk negara mencapai sifar kes baharu COVID-19 sekitar pertengahan Julai bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai memandangkan penularan wabak yang semakin terkawal sejak kebelakangan ini.

Ini boleh dilihat daripada kadar kes jangkitan baharu yang semakin mengecil sehingga kepada satu angka, jumlah pesakit sembuh yang melebihi jumlah kes baharu serta kadar kematian yang kurang daripada dua peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Kes baharu COVID-19 kekal satu angka iaitu empat (4) kes pada Khamis 25 Jun iaitu rekod satu angka untuk tiga hari berturut-turut selepas  catatan Rabu 24 Jun (6 kes) dan Selasa 23 Jun (3 kes).

Kes baharu dua angka sepanjang tempoh rangkuman mingguan ini dicatat pada Sabtu 20 Jun (21 kes), Ahad 21 Jun (16 kes) dan Isnin 22 Jun (15 kes).

Dengan empat (4) kes baharu itu, jumlah kes positif COVID-19 sehingga pukul 12:00 tengah hari 25 Jun adalah 8,600 kes. Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 terus kekal tiga angka iaitu sebanyak 208 kes.

Trend tiga angka untuk kes aktif COVID-19 bermula Ahad 14 Jun iaitu  986 kes dan berterusan untuk 11 hari berikutnya sehingga Khamis 25 Jun.

Untuk 11 hari berturut-turut sejak Isnin 15 Jun, tiada kes kematian baharu diumumkan dan angka kematian kekal 121 kes iaitu 1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes di Malaysia.

Sehingga 25 Jun juga, seramai 40 orang pesakit COVID-19 dilaporkan pulih dan dibenarkan discaj. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya sebanyak 8,271 kes atau 96.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Kadar kesembuhan ini meletakkan Malaysia antara tertinggi di dunia.

Hanya dua (2) orang pesakit COVID-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi dan tiada kes memerlukan bantuan pernafasan.

Ketika menzahirkan unjuran sasaran sifar kes baharu COVID-19, Dr Noor Hisham bagaimanapun menegaskan ianya boleh dicapai sekiranya rakyat Malaysia kekal patuh dengan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk prosedur operasi standard (SOP), memandangkan "virus COVID-19 masih terdapat dalam komuniti".

Semalam,  25 Jun 2020 adalah hari ke-100 sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lepas. PKP kemudiannya dilanjutkan sebanyak empat (4) fasa, diikuti dengan PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan (10 Jun hingga 31 Ogos).

“Kejayaan meratakan lengkung graf kes COVID-19 dan juga mengurangkan penularan kes COVID-19 di dalam komuniti adalah hasil tindakan bersama semua pihak, termasuk komuniti dan masyarakat. Kini, bagi memastikan negara pulih sepenuhnya dan berjaya menjalani fasa PKP Pemulihan ini, masyarakat perlu memainkan peranan yang lebih besar iaitu dengan mematuhi sepenuhnya segala nasihat yang diberi dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, “ Dr Noor Hisham menulis dalam Facebook peribadinya pada 25 Jun.

Malaysia akan hanya mengisytiharkan bebas COVID-19 apabila mencatat sifar kes baharu jangkitan untuk 28 hari berturut-turut.

Untuk rekod, kes pertama 2019-nCoV (COVID-19) disahkan dikesan di Malaysia pada 25 Jan, membabitkan tiga (3) warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Jan.

 

COVID-19 : PERKEMBANGAN DALAM NEGERI


Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (kanan) dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Kheong pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan di Putrajaya. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

KLUSTER BAHARU: Dr Noor Hisham memberitahu taklimat media perkembangan COVID-19 pada Rabu 24 Jun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan tiga kluster baharu COVID-19 iaitu Kluster Bukit Bintang (Kuala Lumpur), Kluster Kondominium Hulu Langat (Selangor) dan Kluster Tapak Pembinaan Kuching (Sarawak).

 Setakat ini sebanyak 10 kes positif COVUD-19 dikesan untuk Kluster Bukit Bintang iaitu sembilan (9) kes warganegara Bangladesh dan satu (1) kes rakyat tempatan.

Untuk Kluster Kondominium Hulu Langat, ia berkait dengan pelajar pusat tahfiz yang dikesan positif saringan COVID-19 pada 8 Jun lepas. Setakat ini tiga (3) kes dikesan positif COVID-19.

Mengenai Kluster Tapak Pembinaan Kuching, kes pertama mula dikesan positif pada 16 Jun, melibatkan seorang ketua penyelia, hasil saringan di tempat kerja. Setakat ini 426 kontak dikenalpasti dan 62 didapati negatif. Baki 364 kontak masih menunggu keputusan saringan.

Sebelum itu, dalam kenyataan akhbar 20 Jun mengumumkan satu kluster baharu di Labu Lanjut, Sepang. Sehingga kini terdapat lima (5) kes positif COVID-19 yang dikesan. Punca jangkitan kluster ini adalah masih dalam siasatan, namun penularan COVID-19 disyaki mungkin berkaitan dengan aktiviti kunjung-mengunjung.

Pada 22 Jun, beliau menyatakan tiada keperluan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau Perintah Kawalan Pergerakan Secara Pentadbiran (SEMCO) kerana kluster baharu itu hanya melibatkan ahli keluarga pesakit.

KLUSTER TAMAT : Dua kluster diumumkan tamat pada 23 Jun. iaitu Kluster Persidangan Gereja di Kuching, Sarawak (salah satu kluster yang dikesan sejak awal COVID-19 merebak di Malaysia pada 15 Mac dan Kluster Pengawal Keselamatan Cheras.

Kluster Persidangan Gereja yang melibatkan sehingga lima (5) generasi meliputi daerah Kuching, Kota Samarahan dan Serian. Jumlah kes 191 dan jumlah kematian, 3.

Sementara Kluster Pengawal Keselamatan Cheras, Selangor, melibatkan daerah Hulu Langat, Cheras dan Titiwangsa. Jumlah kes 39.

Ini menjadikan 43 kluster ditamatkan secara keseluruhan.

PESAKIT COVID-19: Sehingga 23 Jun 2020, daripada jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Malaysia, sebanyak 1,712 kes COVID-19 adalah di kalangan mereka yang berumur 18 tahun dan ke bawah (iaitu 19.9 peratus).

Daripada jumlah ini, sebanyak 346 kes adalah dalam lingkungan 16 tahun sehingga 18 tahun.

Walaubagaimanapun, tiada kes kematian atau kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang dilaporkan melibatkan kumpulan umur ini. Ini menunjukkan bahawa kes COVID-19 dalam kumpulan umur ini mempunyai kadar penyembuhan yang lebih baik.

 

WHO DAN SITUASI GLOBAL


Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia. -- Gambar ihsan Bernd von Jutrczenka/ dpa

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam ucapan alu-aluan pada taklimat media mengenai COVID-16 pada 24 Jun berkata, pihaknya menerima laporan lebih 9.1 juta kes dan lebih daripada 470,000 kematian.

Pada bulan pertama wabak itu berlaku, WHO menerima laporan kurang daripada 10,000 kes berbanding pada bulan lepas, hampir empat (4) juta kes dilaporkan.

WHO menjangka kes COVID-19 akan meningkat kepada 10 juta dalam tempoh minggu hadapan.

Sementara itu, menurut perangkaan CoronaTracker (mengambil sumber pelbagai agensi termasuk WHO), jumlah kes COVID-19 di seluruh dunia, setakat rangkuman ini dibuat ialah  9,711,197 dengan 491,793 kematian. Jumlah pesakit COVID-19 yang sembuh seramai 5,279,633 orang.

Amerika Syarikat masih di tangga teratas senarai negara yang dilanda wabak COVID-19 dengan 2,504,588 kes dan 126,780 kematian. Kes positif COVID-19 mula dikesan di negara itu pada 20 Jan. 

Brazil, di tangga kedua dengan 1,233,147 kes dengan 55,054 kematian, diikuti Rusia dengan 613,994 kes dengan 8,605 kematian dan India 491,170 kes dengan 15,308 kematian.

Di samping empat negara di atas, 15 buah negara merekodkan lebih 100,000 kes COVID-19, iaitu United Kingdom 307,980 kes (43,230 kematian), Sepanyol 294,566 (28,330 kematian), Peru 268,602 kes (8,761 kematian), Chile 259,064 kes (4,903 kematian), Itali 239,706 kes (34,678 kematian), Iran 215,096 kes (10,130 kematian), Mexico 202,951 kes (25,060 kematian), Jerman 193,785 kes (9,012 kematian), Turki 193,115 kes (5,046 kematian), Pakistan 192,970 kes (3,903 kematian), Arab Saudi 170,639 kes (1,428 kematian), Perancis 161,348 kes (29,752 kematian), Bangladesh 126,606 kes (1,621 kematian), Afrika Selatan 118,375 kes (2,292 kematian) dan Kanada 102,622 kes (8,504 kematian).

Sementara China di mana bermulanya wabak COVID-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat ke-21 dengan 83,462 kes dan 4,634 kematian (tidak berubah dari minggu sebelumnya).

Negara lain dunia yang mencatat jumlah kes COVID-19 yang besar termasuk Qatar 91,838  kes (106 kematian), Colombia 80,599 kes (2,654 kematian) dan Sweden 63,890 kes (5,230 kematian).

Dalam kalangan negara-negara jiran Malaysia di Asia Tenggara, Indonesia kini mengatasi Singapura untuk kes COVID-19 tertinggi. Sehingga rangkuman mingguan ini dibuat, sebanyak 50,187 kes direkod di negara itu dengan 2,620 kematian sementara Singapura mencatat 42,736 kes kes dengan 26 kematian.

Sementara itu, Filipina mencatat 33,069 kes (1,212 kematian), Thailand 3,158 kes (58 kematian), Vietnam 352 kes ( 0 kematian), Myanmar 293 kes (6 kematian), Brunei 141 kes (2 kematian), Kampuchea 130 kes (0 kematian) dan Laos 19 kes (0 kematian).

 

----------------------------------------------------------------------------------------

RUANGAN SISI

LATAR BELAKANG COVID-19

 

-- Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

-- Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut. 

-- Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.

-- WHO memberi nama rasmi virus "2019-nCoV" iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.

-- Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.

-- Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.

-- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit COVID-19 sebagai pandemik.

-- WHO menyifatkan wabak penyakit COVID-19 sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1atau lebih dikenali sebagai Selesema Babi (Swine Flu).

-- Wabak Selesema Babi berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian. Ia mula dikesan di Mexico dan kemudiannya di Amerika Syarikat pada Mac 2009.

-- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pandemik COVID-19 akan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression.  

-- Kes pertama 2019-nCoV di Malaysia disahkan pada 25 Jan membabitkan tiga (3) warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Jan.

 

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan