RENCANA

MISTERI PUISI PURBA RUNGUS

03/06/2020 03:46 PM

Oleh Emin Madi

KOTA KINABALU (Bernama) -- Suku kaum Rungus di Sabah, subetnik Kadazan-Dusun mempunyai warisan kesusasteraan lisan atau puisi, namun tidak banyak diketahui kerana kekurangan catatan bertulis.

Pada zaman lampau, masyarakat suku kaum ini menyampaikan puisi-puisi ini, dikenali sebagai bahul dalam bahasa ibunda Rungus, untuk menyemah “roh” jahat atau sebagai alat untuk memotivasi atau mendisiplinkan orang lain.

Seni ini, bagaimanapun, tidak lagi diamalkan oleh masyarakat berkenaan.

Menurut Dr Raymond Majumah, 52, yang membuat penyelidikan terhadap kesusasteraan lisan tradisional Rungus, sebahagian besar daripada puisi Rungus adalah berbentuk sekular dan lazimnya tidak berkait dengan sebarang peristiwa atau majlis tertentu.

“Puisi ini dilafazkan kerana keadaan tertentu dan perlu dilakukan, “ kata Raymond atau nama Islamnya, Azlan Shafie Abdullah, berketurunan Rungus dan kini berkhidmat di pejabat pendidikan daerah Kudat sebagai jurulatih pakar pembaikan sekolah.

Terdapat lebih 50,000 orang Rungus di Sabah. Mereka tinggal di daerah Kota Marudu, Kudat dan Pitas  dan kebanyakannya beragama Kristian.

 

PENYELIDIKAN


Dr Raymond Majumah atau nama Islamnya, Azlan Shafie Abdullah melakukan tarian mongigol bersama sama dengan penari gadis Rungus dalam satu majlis keramaian.

Beliau yang memiliki Ijazah Kedoktoran dalam bidang Kesusasteraan (Seni Kreatif) dari Universiti Malaysia Sabah, memberitahu Bernama, beliau mengambil masa tujuh tahun untuk menyiapkan penyelidikannya mengenai Kesusasteraan Lisan Tradisional Rungus.

Untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan, beliau mengunjungi beberapa buah kampung terpencil di daerah Kota Marudu dan Pitas yang terletak di bahagian hujung utara Sabah.

Beliau mengakui kesukaran menjalankan kerja penyelidikan kerana, berbeza dengan puisi purba Melayu yang didokumenkan, kebanyakan puisi Rungus dizahirkan secara lisan sahaja dan diwarisi daripada satu generasi kepada satu generasi yang lain.

Bagaimanapun, sewaktu kunjungannya ke kampung, beliau berjaya mendapatkan maklumat mengenai sesetengah puisi yang masih segar dalam ingatan beberapa orang warga emas.

“Menterjemahkan puisi ini ke Bahasa Melayu taklah juga mudah kerana ia dilafazkan dalam bahasa klasik Rungus. Dalam kebanyakan keadaan, orang yang saya kongsikan puisi ini tidak dapat menjelaskan maksud konseptualnya, “ tambahnya.

Menurut beliau, standard bahul Rungus atau pusi mengandungi empat, enam, lapan atau 10 baris yang membentuk binaan rangkap.

Penyelidikan beliau juga mendedahkan bahawa pada zaman purba, suku kaum Rungus menggunakan kesusasteraaan lisan tradisional untuk, antaranya menyemah “roh jahat” (rogon) sewaktu sesi penyembuhan penyakit.

“Teks yang digunakan dalam majlis seperti itu merupakan bentuk pengucapan untuk berhubung dengan rogon. Ia juga melibatkan beberapa persembahan untuk memujuk “roh” agar tidak mengganggu manusia, “ katanya.

Beliau menambah, sekiranya rogon tidak menerima tawaran perdamaian, mereka akan mendapatkan bantuan Kinoringan atau Tuhan untuk menghukum “roh jahat”.

“Bagaimanapun, upacara ini jarang diamalkan pada hari ini. Jika pun ada orang melafazkan bahul pada masa ini, ia hanya untuk menunjukkan orang itu mempunyai sedikit pengetahuan tentang tradisi lisan purba ini,” katanya.

 

CARA HIDUP 

Puisi purba Rungus juga memberi gambaran kehidupan masyarakat serta tahap kearifan mereka dan ada kecenderungan untuk menggunakan cara yang kompleks untuk menjelaskan corak pemikiran mereka.

Selain digunakan untuk menyemah “roh jahat”, puisi itu juga digunakan untuk membetulkan seseorang yang berkelakuan yang tidak sewajarnya. Dalam hal ini, lafaz puisi akan berbentuk teguran secara tidak langsung atau lembut.

Beliau memberi contoh perkataan sebagai contoh bahul yang menyentuh soal kepentingan disiplin dan etika kerja.

Uva dhilho bhambangan (buah bambangan); Popiturug-turugon (putar); Ong amu umbanganan (sekiranya salah dimainkan); Abhambang korugian (akan menyebabkan kerugian besar).

Sewaktu membuat penyelidikan, beliau menemui beberapa tradisi Rungus yang jarang diketahui umum, seperti mi’irung atau makan bersama, mitangganggazung atau tanggungjawab bersama dan oo’bhingrubatan atau kesetiaan kepada kepercayaan tradisional.

Mitangganggazung juga membawa maksud dermawan, yakni membantu kawan atau penduduk sekampung yang memerlukan bantuan kewangan.

Beliau turut memberitahu Bernama, bahasa Rungus juga semakin tidak dituturkan generasi muda yang lebih memilih untuk bercakap dalam Bahasa Melayu.

“Meskipun cara bercakap bahasa Rungus mungkin sukar untuk dipelihara kerana pengaruh Bahasa Melayu, saya percaya bahasa sebagai bahasa ibunda tidak akan lenyap sepenuhnya,” katanya sambil berharap lebih ramai penyelidik akan membuat kajian mendalam ke atas kebudayaan dan tradisi lisan Rungus.

 

Diterjemah dan disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan