Isnin, 25 Mei 2020
RENCANA
22/05/2020 12:40 PM

Oleh Melati Mohd Ariff

Berikut adalah rangkuman mingguan mengenai COVID-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 16 Mei hingga pukul 12:30 tgh 22 Mei.

Jumlah kes COVID-19 di Malaysia melepasi angka 7,000 sementara di peringkat global, kes wabak ini mengatasi 5 juta dengan angka kematian pula melepasi 300,000 orang. Pandemik COVID-19 sudah merebak ke lebih 200 buah negara dan wilayah.

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Semakin ramai pesakit COVID-19 di negara ini sembuh dan setakat ini, seramai 5,796 orang atau 82.11 peratus daripada 7,059 orang pesakit COVID-19 discaj dan tiada kematian dicatat untuk dua hari berturut-turut.

Sehingga pukul 12 tengah hari Khamis (21 Mei), 90 orang lagi pesakit COVID-19 discaj dari wad iaitu jumlah tertinggi direkod untuk minggu ini. 

Sebanyak 50 kes baharu diumumkan, menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,149 kes. Daripada 50 kes baharu itu, tiga adalah kes import sementara 47 kes penularan tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu sidang media harian COVID-19 semalam, 41 kes daripada 47 kes itu melibatkan bukan warganegara Malaysia termasuk 34 kes dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Mereka dilaporkan berada dalam tahanan sejak sebelum bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020. 

Kluster baharu DTI Bukit Jalil dilaporkan terdiri daripada warga Myanmar, India, Sri Lanka, Bangladesh dan Mesir.

Setakat ini, sebanyak 10 kes positif COVID-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tujuh daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Untuk rekod, Sabtu 16 Mei mencatat kes baharu dua angka, kedua paling rendah iaitu 17 kes, sejak pelaksanaan PKP pada 18 Mac. Catatan paling rendah untuk tempoh yang sama ialah pada Selasa 12 Mei iaitu 16 kes.

 

PATUH SOP PKPB   

Ketika umat Islam di negara ini membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri, mereka juga dingatkan supaya terus patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan 13 Mei dan dijadualkan berakhir 9 Jun depan.

Ini amat penting untuk mengekang penularan COVID-19 serta memutuskan rantaian jangkitan penyakit maut itu di tengah-tengah kebimbangan akan muncul pula kluster baharu, iaitu Kluster Hari Raya.

SOP yang dikeluarkan SOP Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menuntut setiap anggota masyarakat memastikan penjarakan sosial, sentiasa cuci tangan dengan sabun atau pembasmi kuman dan elak perhimpunan.

Di samping itu, beberapa kenyataan dan peringatan yang dikeluarkan MKN dan KKM yang perlu diambil berat :-

  •  Kunjungan Hari Raya Aidilfitri hanya dibenarkan pada hari pertama perayaan itu. Peraturan yang sama juga terpakai pada ziarah sempena sambutan Hari Gawai di Sarawak dan Hari Kaamatan di Sabah. Jumlah maksimum 20 orang sehari ini juga perlu mengambil kira saiz kediaman masing-masing bagi memastikan prosedur operasi jarak sosial dapat diamalkan.”
  • Berkuatkuasa Khamis 21 Mei, tidak ada lagi permohonan rentas negeri di balai polis. Pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan sama sekali.
  • Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertegas dalam tindakan ke atas sesiapa yang melanggar serta mematuhi SOP; tidak ada lagi kompromi untuk yang “cuba curi-curi balik kampung”; Bermula Khamis 21 Mei, kenderaan yang cuba rentas negeri bukan sahaja diarah berpatah balik tetapi juga akan dikompaun di tempat sekatan jalan raya.
  • Pada Rabu 20 Mei, sebanyak 2,412 kenderaan cuba merentas negeri dengan alasan balik kampung; Selasa 19 Mei, 3,212 kenderaan; Isnin 18 Mei, 1,633 kenderaan. 
  • Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat kenyataan, walaupun kerajaan benarkan ziarah pada hari raya pertama, patuhi SOP yang ditetapkan. Lebih bagus elakkan kunjung mengunjung, elak bergerak ke zon merah dan lebih selamat berhari raya secara tertutup. KKM menyarankan agar rakyat tidak balik ke kamoung untuk berhari raya. 
  • KKM juga ingatkan orang ramai elakkan 3C dan amalkan 3W. Elakkan 3C, iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space), dan elak bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).
  • Amalkan 3W: iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), sangat digalakkan memakai alat penutup hidung dan mulut (face mask) di tempat awam atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan termasuk elak bersalaman / bersentuhan; amalkan etika batuk dan bersin; lakukan aktiviti disinfeksi; duduk di rumah dan hanya keluar sekiranya ada urusan penting sahaja; dan dapatkan rawatan segera jika bergejala.
  • Selain daripada warga emas, kumpulan kanak-kanak dan bayi adalah juga merupakan kumpulan berisiko tinggi untuk dijangkiti COVID-19. Sehingga 16 Mei 2020, terdapat 317 kes positif COVID-19 di kalangan kanak-kanak 12 tahun ke bawah. Daripada jumlah tersebut, 112 kes (35 peratus) adalah di kalangan kanak-kanak berumur (4) tahun dan ke bawah, dan 22 kes (7 peratus) di kalangan bayi kurang daripada 1 tahun. Setakat ini. Tiada kes kematian positif COVID-19 telah dicatatkan di kalangan kanak-kanak bawah 12 tahun.

 

STATISTIK GLOBAL

Menurut perangkaan CoronaTracker (mengambil sumber pelbagai agensi termasuk WHO), jumlah kes COVID-19 di seluruh dunia, setakat rangkuman ini dibuat ialah 5,194,210 angka kematian pula, 334,621 orang. Jumlah pesakit yang sembuh seramai, 2,081,504 orang.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu 21 Mei berkata, dalam tempoh 24 jam sebelum itu, sebanyak 106,000 kes dilaporkan berlaku di seluruh dunia, iaitu jumlah kes sehari tertinggi sejak wabak mula dikesan.

Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, pihaknya juga bimbang dengan kes yang semakin meningkat di negara-negara berpendapatan rendah dan pertengahan.

Sementara itu, Amerika Syarikat terus kekal kedudukan negara paling banyak kes COVID-19 di dunia, sejak ianya mula dikesan di negara itu pada 20 Jan. Setakat ini, angka kes sudah meningkat kepada 1,620,902 dengan 96,354 orang.

Rusia mengambil alih tempat Sepanyol di tempat kedua, dengan kenaikan mendadak kepada 317,554 kes dengan 3,099 kematian (minggu lalu 242,271 kes dan 2,212 kematian). 

Ini diikuti Brazil yang kini dilaporkan sebagai pusat penularan wabak di Amerika Latin, dengan 310,921 kes dengan 20,082 kematian (minggu lalu 190,137 kes (13,240 kematian); Sepanyol 280,117 kes dengan 27,940 kematian.

Di samping empat negara di atas, ada lapan lagi negara yang merekodkan lebih 100,000 kes COVID-19, iaitu United Kingdom 250,908 kes (36,042 kematian), Itali 228,006 kes (32,486 kematian), Perancis 181,826 kes (28,215 kematian), Jerman 179,021 kes (8,309 kematian), Turki 153,548 kes (4,249 kematian), Iran 129,341 kes (7,249 kematian), India 118,226 kes (3,584 kematian) dan Peru 108,769 kes (3,148 kematian).

Sementara China di mana bermulanya wabak COVID-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat ke-13 dengan 82,971 kes dan 4,634 kematian.

Dalam kalangan negara-negara jiran Malaysia di Asia Tenggara, wabak penyakit COVID-19 adalah seperti berikut:- 

Singapura mencatat jumlah kes paling tinggi iaitu 29,812 kes dengan 23 kematian berbanding 26,098 kes dengan 21 kematian minggu lalu. Sebahagian besar daripada kes baharu yang dikesan di Republik itu melibatkan mereka yang memegang permit kerja dan tinggal di asrama pekerja.

Ini diikuti Indonesia 20,162 kes (1,278 kematian), Filipina  13,434 kes ( 846 kematian), Thailand  3,037 kes ( 56 kematian), Vietnam 324 kes ( 0 kematian), Myanmar 199 kes (6 kematian), Brunei  141 kes  ( 1 kematian), Kampuchea  123 kes ( 0 kematian ) dan Laos  19 kes ( 0 kematian).

Negara lain dunia yang mencatat jumlah kes COVID-19 yang besar berbanding minggu yang sebelumnya termasuk:-

Kanada 81,324 (6,152 kematian), Arab Saudi 65,077 kes (351 kematian), Mexico 59,567 kes (6,510 kematian), Chile 57,581 kes (589 kematian), Belgium 56,235 kes (9,186 kematian), Pakistan 48,091 kes (1,107 kematian), Belanda 44,700 kes (5,775 kematian), Qatar 38,651 kes (17 kematian), Equador 35,306 kes (2,939 kematian) dan Belarus 33,371 kes (185 kematian).

 

----------------------------------------------------------------------------------------

RUANGAN SISI

LATAR BELAKANG COVID-19

-- Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

-- Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut.  

-- Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia. 

-- WHO memberi nama rasmi virus "2019-nCoV" iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.

-- Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.

-- Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini. 

-- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit COVID-19 sebagai pandemik.

-- WHO menyifatkan wabak penyakit COVID-19 sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1atau lebih dikenali sebagai Selesema Babi (Swine Flu).

-- Wabak Selesema Babi berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian. Ia mula dikesan di Mexico dan kemudiannya di Amerika Syarikat pada Mac 2009.

-- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pandemik COVID-19 akan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression.

 

-- BERNAMA 

 

 

 

 

 

 


 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan