RENCANA

BERNAMA 53 TAHUN: HALA TUJU DAN CABARAN UNTUK KEKAL RELEVAN

20/05/2020 08:51 PM

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang akan menyambut ulang tahun ke-53 esok perlu terus kekal relevan dan menjadi sumber berita yang diyakini serta pilihan utama pelbagai golongan masyarakat. 


Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Suhaimi Sulaiman ketika ditemu bual mengenai hala tuju dan cabaran Bernama sempena ulang tahun Bernama ke-53.

Pengerusi Bernama Suhaimi Sulaiman berkata, cabaran situasi semasa bukan sahaja menuntut Bernama untuk menjalankan transformasi ke arah digital bahkan memerlukan agensi berita ini menawarkan kelainan serta menepati kehendak sasaran.

“Kehendak masyarakat hari ini jauh berbeza, tidak seperti sewaktu saya menjadi wartawan 30 tahun dahulu. Jika dahulu kecenderungan mereka boleh dibezakan antara penduduk bandar dan pedalaman tetapi hari ini segmen masyarakat terdiri daripada pelbagai minat, kehendak dan keperluan. Ia bukan lagi bersifat ‘one-size-fits-all’.

“Bernama juga perlu menggunakan kemudahan pelbagai platform bagi memastikan produk dan perkhidmatan berita khususnya, sampai kepada seluruh masyarakat. Kita bukan sahaja ada wires, TV dan radio bahkan medium lain seperti Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya. 

“Bernama juga perlu memberi penekanan kepada aspek ‘story-telling’. Setiap organisasi media mempunyai ‘house-style’ namun adakalanya kita juga perlu memeriksa kembali sama ada ia memerlukan penambahbaikan agar berita menjadi lebih berkualiti dan memberi impak,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

 

PEMIKIR NOMBOR SATU NEGARA

Bernama ditubuhkan pada 1967 oleh Akta Parlimen. Bermula sebagai agensi berita, ia kini berkembang menjadi organisasi media yang mengendalikan sebuah agensi berita, sebuah stesen radio (BernamaRadio) dan saluran televisyen (BernamaTV), selain jaringan platform media sosial.

Suhaimi menekankan Bernama perlu dilihat sebagai sebuah agensi berita berkonsepkan 'thought leadership' atau peneraju pemikiran nombor satu di negara ini dengan mengajak orang ramai untuk berfikir dalam pelbagai platform. 

Menyentuh mengenai ruangan baharu dalam laman web Bernama.com iaitu Tinta Minda atau ‘Thoughts’ yang diperkenalkan pada April lepas, beliau berkata ia bertujuan menghimpunkan pendapat pakar pelbagai bidang sekali gus menjadikan Bernama sebagai ‘bank’ maklumat untuk orang ramai. 

Tinta Minda atau ‘Thoughts’ antaranya melibatkan isu belia, memperkasa golongan wanita, ekonomi digital, isu-isu kampus dan universiti termasuk penyelidikan dan kajian yang dijalankan, aspek sosial dan kesihatan serta beberapa isu lain yang berkaitan bagi memenuhi kehendak masyarakat. 

“Di samping peranan sebagai agensi berita nasional, kita juga perlu bergerak menjadi pilihan utama untuk masyarakat mendapatkan ilmu. Maklumat yang diperoleh seterusnya dapat membantu mereka membuat keputusan yang lebih baik berdasarkan fakta dan olahan berita yang menarik dan berkesan,” katanya. 


Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah (kiri) mencuba memakai topi kalis peluru ketika mengadakan lawatan kerja di Bernama hari ini. Turut kelihatan Ketua Pengarang Bernama merangkap Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Mokhtar Hussain. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Turut memetik kata-kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah yang sebelum ini menyebut mengenai pendekatan 3 ‘I’ iaitu ‘Intelligence’, ‘Interest/ Interesting’ dan ‘Internationalising’ (Kebijaksanaan, Kepentingan/ Menarik dan Pengantarabangsaan) untuk Bernama bergerak lebih maju dan berdaya saing pada masa akan datang, Suhaimi berkata Bernama juga perlu bersifat ‘relatable to the people’. 

“Jika tidak, kita hanya menjual berita atau kandungan ‘content’ yang masyarakat tidak berminat kerana mereka tak boleh ‘relate’ dengan cara kita berkomunikasi. 

“We are moving into wisdom journalism, jika sebelum ini kita menggunakan ‘katanya, beliau berkata, tambah beliau’ tetapi sekarang kita perlu lebih mengajak kepada masyarakat untuk berfikir dan membincangkan sesebuah isu.

“Di samping penggunaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, kita juga mungkin boleh mempertimbangkan penggunaan Bahasa Indonesia. Jika kita mendapat perhatian sekurang-kurangnya 10 peratus daripada 260 juta penduduk Indonesia pun, sudah dikira bagus,” katanya sambil berkata ia mungkin cabaran buat Bernama namun mengujakan untuk diterokai.

 

PELUANG KETIKA KRISIS

Turut ditanya berhubung krisis pandemik COVID-19 yang tidak terkecuali memberi kesan kepada Bernama terutama dalam aspek pengumpulan data, maklumat dan berita, Suhaimi berkata ia sebenarnya perlu dilihat sebagai peluang untuk Bernama meningkatkan kemahiran dan kepakaran terutama yang melibatkan ‘User-Generated Content’ (UGC). 

UGC bukan sahaja membantu meningkatkan keupayaan penyampaian sehingga ke peringkat global, bahkan turut menjimatkan kewangan dan sumber berikutan kandungan digital yang boleh diakses ke seluruh dunia tanpa sempadan. 

“Dengan menggunakan semua kemudahan yang ada pada hari ini, kita boleh berhubung dengan sesiapa sahaja untuk mendapatkan maklumat. Ini termasuklah persidangan dalam talian atau ‘Webinar’ yang melibatkan pakar dari seluruh dunia.

“‘Content’ yang kita perolehi boleh gunakan untuk semua platform TV, radio, wires, digital dan media sosial dan secara langsung kita juga menjadi lebih kehadapan, bijak dan ‘powerful’,” katanya sambil menambah kaedah pengumpulan maklumat dan berita secara dalam talian telah lama dilakukan oleh BBC News, Fox News Channel dan CNN. 


Datuk Mokhtar Hussain, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang juga Ketua Pengarang Bernama.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang juga Ketua Pengarang Bernama Datuk Mokhtar Hussain berkata Bernama perlu menghasilkan berita yang lebih bersifat ‘in-depth reporting’, elemen analisis serta kaedah penyampaian bersesuaian mengikut platform tertentu. 

Menurut beliau, corak penyampaian berita dalam setiap platform adalah berbeza dan memerlukan kemahiran baharu yang boleh didapati melalui sesi latihan untuk kakitangan Jabatan Pengarang khususnya.

“Kadang-kadang perkara ini tidaklah sesukar yang digambarkan namun memerlukan kita untuk bersedia mencuba. Jika kita ada kemahiran itu, sebagai contoh satu ‘content’ kita boleh olah dan sesuaikan untuk digunakan dalam semua platform Bernama. 

“Selain aspek kualiti dan diyakini, Bernama juga berperanan menyampaikan berita yang dipercayai. Ini kerana hari ni terlalu banyak lambakan maklumat dan berita palsu serta tidak tepat. Untuk itu Bernama perlu memperkukuhkan kembali elemen ‘Basic Journalism’ dan ‘fact-checking’. 

“Kita cuba mewujudkan sebuah unit khas yang melakukan ‘fact-checking’. Dengan adanya ‘fact-checking’ jika kita berjaya mencapai standard yang ditetapkan ‘The International Fact-Checking Network’ (IFCN) , ia secara langsung akan membuatkan jenama kita ada kredibiliti,” kata Mokhtar.

 

KEPERLUAN PELANGGAN

Seiring dengan transformasi Bernama, Mokhtar berkata agensi ini juga mungkin akan mempertimbangkan untuk melihat kelebihan dari aspek digital seperti memahami ‘coding’, ‘algorithm’ dan sebagainya untuk sesi pemilihan wartawan baharu.

Menurut beliau, Bernama yang bergerak ke arah ‘convergence’ sejak tahun lepas, perlu terus menguasai teknologi digital bagi memastikan kelangsungan produk dan perkhidmatan yang dihasilkan, lebih-lebih lagi yang bersifat ‘digital content’. 

“Ramai di luar sana yang bijak mengambil peluang dan menjadi kreatif dengan kemudahan teknologi walaupun dengan peralatan yang terhad.  Kita ada sistem khusus, kemudahan dan rangkaian yang meluas tetapi jika kita masih kekal dengan cara lama, maka kita tidak akan ke mana-mana. Seiring dengan pembangunan pesat teknologi, budaya kerja juga perlu berubah. 

“Itulah yang kita katakan ‘modern journalism’ yang merangkumi elemen ‘data journalism’, ‘artificial journalism’ malahan ‘robotic journalism’ di mana maklumat dapat dihasilkan dengan pantas. Aspek ‘data analytic’ juga penting untuk kita mengetahui kumpulan sasaran agar boleh memberi maklum balas dan impak yang berkesan,” katanya sambil menambah Bernama perlu memahami keperluan pelanggan secara holistik termasuk di Sabah dan Sarawak serta di dalam dan luar negara. 

Wartawan pelapis di Bernama juga percaya bahawa bergerak ke arah digital adalah langkah tepat bagi memastikan agensi ini terus relevan.


Sakina Mohamed, Ketua Meja Media Digital Bernama.

Ketua Meja Media Digital Bernama, Sakina Mohamed pula berpandangan, era digital hari ini mengubah bentuk penyampaian organisasi media dan Bernama mampu terus kekal di hadapan jika sedia menerima perubahan. 

”Bernama berpotensi menjadi agensi berita tersohor, sekiranya ia bersedia menerima serta mengamalkan perubahan termasuk pendigitalisan bilik berita serta proses kerja.

“Kesemua perubahan ini mungkin nampak sukar pada peringkat awal, tetapi harapan saya Bernama akan terus mengorak langkah ke hadapan agar ia bukan sahaja mampu bersaing dengan bilik berita digital lain di seluruh dunia tetapi berada di barisan hadapan, ” katanya. 


Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman, Wartawan.

Wartawan, Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman, pula berkata era digital bukan sahaja menjadikan maklumat dan berita lebih mudah didapati bahkan ia juga percuma.

“Keadaan ini mewujudkan persaingan sengit dalam industri untuk terus kekal relevan dan berdaya saing. Bernama perlu memahami, menerima dan menyesuaikan diri dengan perubahan ini agar terus berada di hadapan selaku agensi berita negara. Setiap warga Bernama memainkan peranan penting dan perlu berganding bahu dalam menempuhi cabaran era digital ini,” katanya.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA


 

 

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan