RENCANA

BEKAL BENIH UDANG KARA, LUBUK REZEKI SEMASA PKP

19/05/2020 04:52 PM

Oleh Noorazlina Jindeh

KOTA KINABALU (Bernama) – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac lalu pastinya menyebabkan sesetengah peniaga mahupun individu terjejas kerana terpaksa mengehadkan waktu operasi atau memberhentikan sementara perniagaan masing-masing.

Namun, di sebalik dugaan itu, terselit hikmah yang membawa manfaat yang tidak diduga bagi sesetengah pihak.

Itulah yang dialami pasangan suami isteri, Susanti Aziz, 45, dan suaminya Shahrul Hanif Mohd Hamid, 46, yang mengusahakan penternakan dan pembekalan pembenihan udang kara atau lobster air tawar (LAT) di kampung Kiulu, kira-kira 45km dari sini.

“Dua minggu pertama semasa PKP, memang kurang permintaan (benih udang kara) tetapi selepas itu, hampir setiap hari ada permintaan dan sentiasa bertambah, malah dalam seminggu pendapatan dianggarkan mencecah sebanyak RM2,000,” kata Susanti kepada Bernama, baru-baru ini.

Susanti anak jati Sabah dari Tawau dan suaminya dari Terengganu menjalankan perniagaan membekalkan benih udang kara air tawar cherax quadricarinatus atau redclaw crayfish dari Australia, melalui syarikat Fastharvest Aquaculture Enterprise yang ditubuhkan mereka pada 2008.

 

REZEKI BERTAMBAH

Susanti yang juga pengurus syarikat berkata, dalam tempoh PKP dan PKP Bersyarat (PKPB) perniagaan membekalkan benih udang kara dibuat melalui tempahan secara dalam talian seperti Facebook atau aplikasi Whatsapp.

Tempahan diterima setiap hari daripada pelanggan di sekitar kawasan ternakan udang termasuk dari Kota Kinabalu, Tuaran, Tamparuli dan daerah lain.

“Permintaan terhadap benih meningkat disebabkan pelanggan mahu memanfaatkan waktu berkurung semasa PKP, selain dijadikan hobi baharu dan ramai mula melihat ternakan LAT ini mampu memberikan pulangan lumayan sekiranya dilakukan bersungguh-sungguh,” kata ibu kepada enam cahaya mata ini.

Setiap hari dalam tempoh PKP ini, antara 30 hingga 100 ekor benih udang kara air tawar dalam pelbagai saiz menjadi permintaan pelanggan.


Tips untuk mengenali udang kara jantan, ia mempunyai sepit berwarna merah, bersaiz lebih besar manakala udang kara betina mempunyai sepit berwarna biru dan bersaiz agak kecil.

Bagi satu set induk yang mengandungi seekor jantan dan tiga ekor betina, beliau menjualnya pada harga RM350 satu set.

Susanti berkata, harga jualan benih udang ditetapkan berdasar saiz dan kuantiti. Bagi pembelian pukal melebihi 100 ekor harga dikenakan antara RM4 dan RM20 seekor, sementara bagi jumlah bawah 100 ekor, harga antara RM5 hingga RM25 seekor.

“Pelanggan banyak yang membeli benih udang kara bersaiz antara tujuh dan 10 sentimeter (tiga hingga empat inci) kerana dalam tempoh satu atau dua bulan diternak, udang sudah boleh bertelur," katanya menambah, biasanya suaminya sendiri akan menghantar tempahan.

Selain benih, katanya, terdapat juga pelanggan yang membeli udang kara untuk dijadikan hidangan berbuka puasa sepanjang Ramadan ini. Harga jualan LAT ialah RM120 sekilogram dan jika membeli secara borong, harga ditetapkan antara RM60 dan RM80 sekilogram.

Menurut Susanti, pendapatan hasil jualan benih udang kara itu mampu menampung kos penyelenggaraan kolam termasuk keperluan harian keluarga mereka meskipun pergerakan penghantaran dihadkan semasa tempoh PKP dan PKPB.

"Walaupun dalam tempoh PKP, proses penghantaran tetap lancar kerana kami diberikan surat pelepasan oleh pihak berkuasa,” katanya sambil berterima kasih kepada kerajaan kerana syarikatnya masih dapat beroperasi.

 

USAHAWAN TERNAKAN UDANG KARA

Berkongsi cerita penglibatan dalam sektor perikanan ikan air tawar dan perniagaan membekalkan benih udang kara air tawar, Susanti berkata, sebelum ini mereka pernah mengalami kerugian lebih RM180,000, setelah ternakan ikan tilapia dan keli yang diusahakan dalam kolam, di Kiulu, mati kesemuanya pada akhir 2008.

Namun, berbekalkan semangat jitu, pasangan suami-isteri itu tidak berputus-asa malah mula beralih menternak udang kara air tawar kerana percaya jika dilakukan secara bersungguh-sungguh ia mampu membawa pulangan yang lumayan.


Satu set induk udang kara yang mengandungi seekor jantan dan tiga ekor betina, dijual pada harga RM350 satu set.

“Perusahaan benih LAT ini mempunyai prospek yang lumayan, kurang berisiko dan mudah untuk dikendalikan,” kata Susanti yang pernah mengikuti kursus penternakan ikan air tawar dan udang kara di Jabatan Pertanian Sabah sekitar tahun 2008.

Apa yang membanggakan, Susanti yang merupakan antara usahawan Jabatan Perikanan Sabah, kini mempunyai sebanyak 100,000 ekor udang kara air tawar di empat kolam dan tangki pengasingan bagi pembenihan di Kiulu.

Mengimbau penglibatan dalam perniagaan membekalkan udang kara air tawar, Susanti berkata pada awalnya mereka membeli sebanyak 1,000 benih udang kara dari pembekal di Sarawak.

“Meskipun tidak semua benih itu hidup, namun bermula dari situlah kami membiak dan menternak udang kara dan melakukan kajian terhadap spesies udang kara spesies cherax quadricarinatus di dalam dan luar negara pada tahun 2009,” kata Shahrul Hanif sambil menambah usaha pembenihan secara skala besar hanya bermula pada 2012.

Sharul Hanif dan isterinya yang mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 hingga 3 dan layak sebagai penyelia akuakultur berkata menternak udang kara air tawar tidaklah susah sebagaimana menternak ikan air tawar kerana makanan udang kara hanyalah biji-bijian, ubi kentang, palet, tumbuh-tumbuhan dan sayur-sayuran seperti tauge.

“Bagi udang yang diternak di dalam kolam, ia boleh memakan tumbuhan kolam seperti keladi bunting atau hydrilia,” katanya sambil menambah udang kara betina mampu bertelur empat hingga enam kali setahun.

Setiap kali bertelur, udang kara betina yang berumur enam hingga tujuh bulan mampu bertelur antara 100 hingga 200 telur manakala udang yang berusia lebih setahun mampu menghasilkan antara 800 hingga 1,000 telur, katanya.

 

PENJAGAAN UDANG KARA


Setiap kali bertelur, udang kara betina yang berumur enam hingga tujuh bulan mampu bertelur antara 100 hingga 200 biji telur manakala udang yang berusia lebih kira-kira setahun mampu menghasilkan antara 800 hingga 1,000 biji telur.

Berkongsi lanjut mengenai tip mengenali udang kara jantan, Susanti berkata udang kara jantan mempunyai sepit berwarna merah, bersaiz lebih besar manakala udang kara betina mempunyai sepit berwarna biru dan bersaiz agak kecil.

Udang kara air tawar boleh membesar sehingga 50 sentimeter dengan berat antara 500 gram sehingga satu kilogram dan boleh hidup pada suhu optimal antara 23 dan 28 darjah Celsius serta boleh mencapai jangka hayat melebihi lima tahun.

Bagaimanapun, katanya hampir 30 peratus udang kara yang diternak mereka akan mati ketika melalui proses salin kulit (molting) kerana beberapa faktor antaranya ketidakseragaman kadar hormon dalam badan udang berkenaan.

“Antara tanda proses salin kulit berlaku ialah LAT akan menjadi lemah, tidak aktif selama kira-kira enam hingga 24 jam, warna cengkerang bertukar agak gelap, cengkerang kepala mula kelihatan terbuka dan bagi udang kara jantan, warna merah pada sepitnya akan lebih menyerlah (terang),” katanya.

Oleh itu, penggunaan cecair iodin diperlukan bagi membantu proses salin kulit LAT berjalan lancar, tetapi kaedah ini hanya dapat dilakukan untuk ternakan yang berada di dalam tangki sahaja, katanya.

Susanti berkata, udang kara akan mengalami proses penggantian kulit lebih 11 kali sebelum mencapai tahap matang untuk bertelur ataupun mengawan.

Meskipun penjagaan udang kara ini agak mudah kerana bersifat omnivor dan proses pembiakan tidak melalui proses larva namun ia tidak terlepas daripada haiwan pemangsa iaitu belut selain diserang jangkitan seperti patogen (agen yang menyebabkan penyakit, terutamanya organisma seni seperti bakteri dan virus).

 

KERJASAMA KERAJAAN NEGERI & AGENSI


Fastharvest Aquaculture membekalkan benih udang kara dibuat melalui tempahan secara dalam talian seperti Facebook atau aplikasi Whatsapp.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan syarikatnya, Susanti berkata Fastharvest Aquaculture diberi kepercayaan untuk menjadi konsultan selama lima tahun (2020-2025) dalam Program Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera Sabah bagi projek Freshwater Lobster Production-Green Aquaponics Parennial System bermula Februari 2020.

Projek berkenaan melibatkan kerjasama antara Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan Universiti Teknologi MARA cawangan Sabah melibatkan nilai RM3.5 juta yang  bakal memberi manfaat kepada golongan kurang berkemampuan (B40) di enam buah kampung terpilih di Sabah.

“Menerusi program ini, kami akan membantu dan melatih lima usahawan dari setiap kampung terpilih itu untuk mengusahakan aktiviti penternakan sepanjang tempoh berkenaan,” kata Susanti yang juga Setiausaha Persatuan Industri Kecil Sederhana Bumiputera Sabah (IKSNITA).

Selain menganjurkan kursus sejak 2009, syarikat Fastharvest Aquaculture turut menjadi tempat latihan industri bagi beberapa agensi kerajaan dan pelajar dari Pusat Latihan Pertanian Penampang, Kolej Vokasional Lahad Datu dan Politeknik Sandakan.

Kerjasama dalam melakukan kajian ternakan pula pernah dilaksanakan syarikat dengan Universiti Putra Malaysia cawangan Bintulu di Kuching dan Jabatan Veterina Negara Oman (2016-2019).

 

Disunting oleh Rafe ‘aton Md. Ali

BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan