RENCANA

'NORMAL BAHARU' USAHAWAN KRAF SEPANJANG RAMADAN

13/05/2020 06:24 PM

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Bagi tukang acuan tembaga, Mohd Yusof Abas, 78, Ramadan adalah bulan pembuka rezeki dan jualan boleh meningkat sehingga dua kali ganda. 

Bengkel kecil berukuran kira-kira 15 meter persegi yang terletak di Kampung Pinang, Kamunting, Perak itu akan menjadi sibuk sehinggakan bapa kepada 10 orang anak ini tidak menang tangan melayan pelanggan di samping menyiapkan pelbagai jenis acuan yang ditempah. 


Berkecimpung lebih 50 tahun dalam industri kraf, Mohd Yusof Abas telah menghasilkan lebih kurang 100 jenis acuan tembaga. Acuan biskut samperit serta pemotong agar-agar merupakan antara acuan paling popular sepanjang Ramadan. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Mohd Yusof sudah lebih 50 tahun berkecimpung dalam dunia kraf. Beliau adalah penerima Anugerah Tukang Ulung Hari Kraf Kebangsaan 2015.

Biarpun semakin berusia, beliau yang mesra disapa Tok Wan masih sihat, malah lebih bersemangat sebaik sahaja tangannya yang jelas menampakkan urat berselirat, memegang gunting, playar serta kepingan tembaga iaitu tiga peralatan penting dalam pembuatan kraf berkenaan. 

Boleh dikatakan hampir setiap hari sepanjang Ramadan tahun-tahun sebelumnya, beliau banyak menerima tempahan dan jualan boleh mencecah antara 500 sehingga 600 unit, berbanding hari biasa yang tidak sampai 100 unit.

Pelbagai jenis acuan dihasilkan termasuk acuan tradisional dan juga untuk biskut raya moden seperti mazola, kek, puding mahupun ising yang digunakan untuk perhiasan. 

Terdapat lebih kurang 100 jenis acuan, antaranya bermotifkan tumbuh-tumbuhan, segi empat dan heksagon dihasilkan di bawah perusahaan keluarga, Syarikat Mohd Yusof.

Acuan paling popular setiap Ramadan adalah untuk biskut samperit dan pemotong agar-agar. Kesemuanya dihasilkan secara tradisional, tanpa menggunakan mesin.

“Orang sanggup datang ke mari dan beli acuan tembaga berbanding plastik kerana ia tahan lebih lama, menyerap haba pembakaran dan paling penting tidak melekat pada acuan.

“Ini menjadikan bentuk biskut yang dihasilkan dengan acuan tembaga lebih cantik, senang dibentuk berbanding plastik yang mana bentuknya agak lari sikit dan melambatkan penghasilan kerana adunan kuih melekat pada acuan,” kata beliau kepada Bernama menerusi perbualan telefon baru-baru ini.

 

TERJEJAS AKIBAT WABAK

Namun Ramadan tahun ini, hasil perniagaan Mohd Yusof jelas merosot.  Akibat wabak COVID-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac lepas, suasana di bengkelnya tidaklah semeriah Ramadan tahun-tahun sebelumnya.


Mohd Yusof Abas menghasilkan pelbagai jenis acuan biskut raya menggunakan kaedah pembuatan tradisional tanpa menggunakan mesin. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Seperti perusahaan industri kecil dan sederhana lain yang turut terjejas, begitu juga dengan permintaan acuan tembaga pengusaha ini.

Menurut beliau, lazimnya semasa Ramadan, yang ramai datang adalah suri rumah dan mereka yang ingin mencuba buat kuih sendiri. Peniaga pula biasanya sudah menbuat tempahan tiga bulan lebih awal dan kebanyakannya sudah disiapkan sebelum Ramadan. 

“Ramadan memang lubuk rezeki tetapi tahun ini jualan dan permintaan menurun berbanding sebelumnya dalam anggaran 50 peratus. Memang ada buat jualan dalam talian tahun sebelumnya tetapi tidak berapa menjadi sebab pelanggan lebih suka datang ke bengkel. 

“Mereka rasa puas apabila dapat melihat dan pilih sendiri acuan tersebut. Ada juga yang datang semata-mata untuk tempah bentuk acuan ikut keinginan masing-masing. Boleh siap sekejap bergantung kepada bentuk pilihan, 10 minit untuk acuan mudah.

“Tetapi, kerana PKP dan walaupun PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) yang membolehkan hampir sebahagian besar industri ekonomi berfungsi, namun pergerakan orang ramai tidak bebas seperti dahulu dan ini menyukarkan mereka datang ke sini, " katanya.

Biarpun agak sedih kerana jualan tidak seperti sebelumnya, namun beliau akur akan keperluan kerajaan menguatkuasakan  PKP dan PKPB.

Lagi pun, usia yang sudah lanjut meletakkan beliau dalam kategori berisiko tinggi untuk dijangkiti COVID-19.

 

NORMAL BAHARU

Untuk menyantuni normal baharu, Mohd Yusof dan ahli keluarganya berusaha untuk mengaktifkan kembali jualan dalam talian sejurus selepas dihubungi Kraftangan Malaysia untuk menyertai E-Kraf Bazar.

Platform jualan talian E-Kraf Bazar menerusi medium Facebook yang bermula sejak 8 April lepas adalah inisiatif Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Kraftangan Malaysia bagi membantu usahawan kraf yang terkesan akibat wabak COVID-19.

Ia dilihat antara platfrom yang dapat membantu mempromosikan pelbagai barangan kraf usahawan menerusi talian bagi menggantikan Festival Kraf Aidilfitri yang lazimnya dianjurkan agensi berkenaan setiap kali menjelang Ramadan.

Festival yang kebiasaannya diadakan di pusat membeli-belah di seluruh Malaysia setiap Ramadan, sangat dinantikan pengusaha kraf termasuklah Mohd Yusof untuk memasarkan produk mereka kerana jualan sangat memberangsangkan.  

“Memang jualan dalam talian yang kami buat sebelumnya tak menjadi. Tetapi, dalam keadaan sekarang, perlu ubah juga cara perniagaan. Kata orang ikut normal baharu, aktifkan kembali teknologi dengan menyertai E-Kraf Bazar. 

“Tok Wan memang tak faham sangat tentang IT, tentang Internet. Tok Wan serahkan semuanya pada cucu dan anak-anak. Merekalah yang aktif promosikan semua acuan di Internet, ” katanya. 

Semua hasil keluaran dipasarkan di Facebook sendiri di bawah nama Syarikat Mohd Yusof sejak awal Ramadan lagi selain turut sama dipasarkan di E-Kraf Bazar.

“Permintaan tidak sama seperti dahulu tetapi sambutannya menggalakkan,” tambah beliau. 

Sekiranya sebelum ini kebanyakan pelanggan Mohd Yusof tidak gemar membeli di laman maya disebabkan faktor ‘tidak puas’ kerana tidak dapat melihatnya di depan mata tetapi dalam keadaan sebegini mereka akhirnya akur.

Bagi menarik minat pembeli sedia ada serta pelanggan baharu untuk berubah ke arah pembelian dalam talian, Norazliza Mohd Yusof, 37, anak ketujuh Mohd Yusof daripada 10 beradik ini berkata, mereka menggunakan teknik padanan gambar acuan dengan biskut yang dihasilkan menggunakan acuan tersebut.

“Dari situ, kami mendapat pertanyaan mengenai acuan. Misalnya, biskut samperit ada lebih 40 jenis acuan dan kami nasihatkan pelanggan yang mana jadi idaman raya kali ini. 

“Kraftangan Malaysia cawangan Perak juga sangat membantu kami yang tak berapa mahir IT, sekarang sudah celik. 

“Sepanjang PKP, kebanyakan pembeli adalah kalangan yang tak pernah membuat biskut. Disebabkan PKP tak boleh keluar, ramai berminat membuat biskut dan kuih tradisional. Acuan paling popular sepanjang PKP adalah donut bunga,” katanya.

 

E-KRAF BAZAR


Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Ibrahim Ismail (kanan, berbaju batik warna kuning) bersama keluarga melayari laman jualan talian E-Kraf Bazar yang diwujudkan khusus bagi membantu usahawan kraf yang terkesan akibat wabak COVID-19. --GAMBAR HAKMILIK KRAFTANGAN MALAYSIA

Mengulas lebih lanjut mengenai E-Kraf Bazar, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Ibrahim Ismail berkata ia diwujudkan khas atas keperihatinan kerajaan untuk membantu usahawan kraftangan daripada pelbagai cabang kraf di seluruh negara untuk memasarkan produk mereka secara dalam talian. 

Langkah itu juga memudahkan peminat kraf untuk mendapatkan barangan kraf yang mereka ingini. 

Beliau yang dihubungi melalui telefon memberitahu Bernama, sambutan terhadap inisiatif ini sangat memberangsangkan apabila sehingga Khamis 7 Mei, E-Kraf Bazar mempunyai lebih 8,000 orang ahli sejak ia diperkenalkan pada 8 April lepas.

Daripada jumlah tersebut, kira-kira 700 orang adalah usahawan kraf manakala selebihnya adalah peminat kraf yang juga pembeli serius. 

Antara produk kraf yang mendapat sambutan adalah produk fesyen, kelengkapan rumah seperti baju batik, anyaman, seramik, songkok, capal, selendang dan rehal.

Malah, sempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai, E-Kraf Bazar turut mengadakan promosi sambutan perayaan termasuk produk kelengkapan diri seperti manik dan pakaian etnik.

“Kraftangan Malaysia tidak akan membiarkan usahawan begitu saja. E-Kraf Bazar memberi mereka peluang memasarkan produk  walaupun berada di rumah saja,” katanya. 


E-Kraf Bazar.

Kelebihan E-Kraf Bazar juga terletak kepada penggunaan logo Kraftangan Malaysia yang membuatkan peminat kraf lebih yakin untuk membeli-belah di platform tersebut kerana ia sudah dikenali selain produk yang dijual adalah 100 peratus hasil karya usahawan kraf tempatan. 

Menyedari kebanyakan pengusaha adalah warga emas, Ibrahim berkata Kraftangan Malaysia sentiasa membantu memberi panduan serta tunjuk ajar bagi memastikan mereka tidak ketinggalan turut serta. 

Misalnya, warga emas yang tidak mempunyai Facebook dan langsung tidak tahu menggunakan teknologi, kakitangan cawangan Kraftangan Malaysia akan membantu mengambil gambar produk usahawan kraf ini dan memasarkannya di laman sosial Kraftangan Malaysia dan E-Kraf Bazar.

"Ini boleh dikatakan sebagai normal baharu yang perlu dibiasakan oleh usahawan dan peminat kraftangan. Situasi yang berlaku ini akan membantu kita bergerak lebih jauh selepas ini.

"Insya-Allah, pada tahun ini, kita akan bangunkan 'e-Marketplace' untuk memberi ruang lebih besar kepada usahawan kraftangan negara," katanya.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan