RENCANA

COVID-19: PESAKIT PULIH SEMAKIN MENINGKAT, KES BAHARU MASIH TIGA ANGKA

03/04/2020 10:15 PM

Oleh Melati Mohd Ariff

Berikut adalah rangkuman TERKINI mengenai COVID-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 30 Mac hingga pukul 7:00 malam 3 April.

Jumlah kes di Malaysia terus melonjak akibat tambahan kes baharu tiga angka sementara senario global menunjukkan jumlah kes COVID-19 melepasi angka sejuta dengan kematian melebihi 50,000 setakat ini. Jumlah negara yang terlibat lebih 200 buah negara dan wilayah.

Kuala Lumpur (Bernama ) -- Sepanjang minggu ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, bilangan pesakit COVID-19 yang pulih turut meningkat di sebalik bilangan kes baharu COVID-19 yang mencatat kenaikan tiga angka.

Berdasarkan angka Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga pukul 5 petang Jumaat 3 April , 217 kes baharu direkod, menjadikan jumlah pesakit di seluruh negara seramai 3,333 orang.

Statistik pesakit COVID-19 yang pulih semakin meningkat sejak seminggu lepas. Hari ini seramai 60 orang lagi telah pulih, menjadikan jumlah pesakit COVID-19 yang pulih, 827 orang.

Peningkatan jumlah pesakit yang pulih dikesan bermula 27 Mac iaitu 44 kes, 28 Mac, 61 kes, 29 Mac, 68 kes dan 30 Mac, 91 kes.


Sistem Pengurusan Bencana, Wabak, Krisis dan Kecemasan, (MyCPRC) di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC). --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Jumlah pesakit yang pulih menurun sedikit pada 31 Mac iaitu 58 kes kemudian meningkat semula kepada 108 orang pada 1 April dan 122 orang pada 2 April.

Angka kematian setakat rangkuman dibuat, bertambah tiga orang lagi, menjadikan jumlah kematian pesakit COVID-19 di Malaysia kepada 53 orang. Dua kematian pertama akibat COVID-19 dicatat pada Selasa 17 Mac

Bilangan pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi ialah 108 orang yang mana 54 orang memerlukan bantuan alat pernafasan.

 

KES BAHARU TIGA ANGKA

Malaysia mula mencatat kes baharu tiga angka COVID-19 sejak 15 Mac (190 kes). Negara terus mencatat kenaikan kes baharu tiga angka berikutnya:-

Isnin 16 Mac 125 kes, Selasa 17 Mac 120 kes, Rabu 18 Mac 117 kes, Khamis 19 Mac 110 kes, Jumaat 20 Mac 130, Sabtu 21 Mac 153 kes, Ahad 22 Mac 123 kes, Isnin 23 Mac 212 kes, Selasa 24 Mac 106 kes, Rabu 25 Mac 172 kes, Khamis 26 Mac 235 kes, Jumaat 27 Mac 130 kes, Sabtu 28 Mac 159 kes, Ahad 29 Mac 153 kes, Isnin 30 Mac 156 kes, Selasa 31 Mac 140 kes, Rabu 1 April 142 kes , Khamis 2 April 208 kes .

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan jumlah kes Covid-19 di Malaysia mencapai kemuncaknya pada pertengahan April.


Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang adalah sebahagian daripada langkah kesiapsiagaan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menghadapi kemungkinan peningkatan jumlah pesakit COVID-19. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

 

Ini berdasarkan perkembangan jangkitan wabak di negara ini.

Terdapat juga tanda-tanda lekuk penularan akan merata. Pandangan itu disuarakan oleh Ketua Misi WHO ke Malaysia, Brunei dan Singapura, Ying-Ru Lo kepada agensi berita Reuters yang disiarkan akhbar tempatan pada 2 April.

 

TEMPOH KRITIKAL

KKM sebelum itu sudah pun memberi peringatan bahawa PKP yang memasuki fasa kedua bermula 1 April hingga 14 April dianggap tempoh kritikal untuk menentukan sama ada Malaysia berjaya atau tidak memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.

Dua minggu yang seterusnya adalah mustahak di mana akan menentukan sama ada tindakan yang diambil kerajaan setakat ini memberi impak yang diharapkan.

Perkara ini ditekankan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang akhbar pada 1 April.

Beliau turut mengulangi peringatan Kementerian Kesihatan untuk orang ramai agar duduk di rumah serta mengamalkan etika kebersihan diri seperti kerap membasuh tangan dan menjarakkan diri antara satu sama lain.

Di samping menyambung tempoh PKP yang berakhir pada 31 Mac selama dua minggu lagi sehingga 14 April, beberapa peraturan ketat turut dilaksanakan untuk mengekang wabak penyakit COVID-19 daripada merebak.


Sekatan jalan raya yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekitar kawasan Simpang Renggam. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Antaranya, semua kenderaan persendirian hanya dibenarkan seorang sahaja, iaitu pemandu kecuali waktu kecemasan, aktiviti riadah dan sosial tidak dibenarkan di kawasan awam dan persendirian.

Kelonggaran bagaimanapun diberikan kepada golongan autisme, OKU untuk mendapatkan terapi seperti dinasihatkan pakar, dan ini tidak dibenarkan secara berkumpulan

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membuat kenyataan itu berkata sekatan di 23 plaza tol sebelum ini akan ditingkatkan kepada 65 dan ditambah kepada 114 plaza tol di seluruh negara pada 1 April.

Bagi mengawal penularan wabak COVID-19, bermula 3 April, rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara sama ada melalui penerbangan sewa khas mahupun komersial akan terus dibawa ke pusat kuarantin yang dikhaskan untuk selama 14 hari.

Tindakan itu diambil berikutan laporan negara lain berhubung pertambahan bilangan kes positif COVID-19 akibat kepulangan rakyat negara terbabit dari luar negara.

 

PKPD DAN ZON MERAH

Kerajaan juga mengisytiharkan beberapa kawasan sebagai lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Dua kawasan pertama dikenakan perintah PKPD iaitu di Simpang Renggam, Johor dan kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor.


Gambar hiasan --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sebuah kondominium, Menara City One di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur turut dikenakan perintah PKPD bermula 31 Mac hingga 13 April.

PKPD dilaksanakan berikutan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan pengesahan 17 kes positif Covid-19 di kondominium yang mempunyai 3,200 penghuni dan premis perniagaan.

Sementara itu, sehingga 29 Mac lepas, KKM menyenaraikan 14 lokasi di seluruh negara sebagai Zon Merah COVID-19.

Kawasan-kawasan itu ialah Lembah Pantai, Petaling, Hulu Langat, Seremban, Kluang, Johor Bahru, Kuching, Kota Bharu, Kinta, Gombak, Tawau, Hilir Perak, Titiwangsa dan Klang

 

SITUASI GLOBAL COVID-19

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan wabak penyakit COVID-19 sebagai “Ujian paling hebat sejak meletusnyua Perang Dunia Kedua.” 


Antonio Guterres, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). -- Gambar ihsan Luiz Rampelotto/ZUMA Wire/dpa

Setiausaha Agungnya, António Guterres ketika melancarkan Laporan PBB mengenai potensi impak sosioekonomi wabak itu di ibu pejabat PBB di New York pada 1 April, memberi amaran ia boleh mengakibatkan kemelesetan ekonomi yang tidak pernah berlaku seperti sebelum ini.

Menurut beliau, penyakit coronavirus yang baharu itu menjejaskan kehidupan masyarakat, meragut nyawa serta menyebabkan ramai orang hilang mata pencarian.

“COVID-19 adalah ujian paling hebat yang kami hadapi sejak pembentukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, “ katanya sambil menambah, sehingga 25 juta orang mungkin kehilangan pekerjaan.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam sidang media secara langsung dari Geneva, Switzerland pada 1 April, melahirkan rasa bimbang tentang penularan begitu cepat wabak COVID-19 ke seluruh dunia, sejak ia mula dikesan sekitar empat bulan lepas.

Beliau turut menjangkakan angka kes penyakit itu akan mencapai sejuta dalam tempoh beberapa hari ini dengan angka kematian melebihi 50 ribu.

WHO, kata beliau sedang bekerja erat dengan penyelidik di seluruh dunia untuk mencari rawatan paling berkesan untuk pesakit COVID-19.

Setakat ini, kata beliau, sebanyak 74 buah negara menyatakan persetujuan untuk kerjasama itu.

 

TIGA NEGARA TERATAS

 

Menurut perangkaan CoronaTracker (mengambil sumber pelbagai agensi termasuk WHO), jumlah kes COVID-19 di seluruh dunia, setakat rangkuman TERKINI ini dibuat ialah 1,029,467 dan angka kematian, 54,190.

Amerika Syarikat masih berada di tempat teratas negara yang mempunyai paling banyak kes COVID-19, mendahului Sepanyol, Itali dan Jerman. China di tangga kelima.

Sejak penyakit ini dikesan di Amerika Syarikat pada 20 Jan, ia sudah merebak ke semua 50 buah negeri.  Setakat rangkuman ini dibuat, terdapat sebanyak 245,380 kes COVID-19 di Amerika Syarikat dengan 6,095 kematian.

Kongres Amerika awal Mac membuat unjuran antara 70 hingga 150 juta orang di Amerika Syarikat boleh dijangkiti penyakit tersebut.

Sepanyol: Kes COVID-19 sudah mencecah 117,710 dengan 10,935 kematian. Hampir seluruh Sepanyol diletakkan di bawah perintah berkurung sejak 14 Mac.

Itali : Angka terkini jumlah kes  COVID-19 di negara itu ialah 115,242  sementara angka kematian 13,915. Dilaporkan, lebih 85 peratus yang meninggal dunia di Itali akibat penyakit ini berusia lebih 70 tahun.

Jerman: Jerman menduduki tangga keempat, dengan 85,063 kes dan angka kematian, 1,111, mengatasi China.

China: Negara di mana bermulanya penularan penyakit COVID-19 merekodkan sebanyak 81,620 kes dengan 3,322 kematian setakat ini.

Negara lain yang mencatat jumlah kes COVID-19 yang besar termasuk:-

Perancis 59,105 (5,387 kematian), Iran 53,183 (3,294 kematian), United Kingdom 33,718 (2,921 ), Switzerland 19,106 (565 kematian), Turki 18,135 (356 kematian), Belgium 16,770 (1,143 kematian) , Belanda 14,697 (1,339), Kanada 11,283 (173 kematian), Austria 11,251 (168 kematian), Korea Selatan 10,062 (174 kematian), Portugal 9,034 (209 kematian), Brazil 8,066 (327 kematian), Israel 7,030 (36 kematian), Sweden 5,568 (308 kematian), Australia 5,350 (28 kematian), Norway 5,255 (51 kematian) dan Rusia 4,149 (34 kematian).

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

RUANGAN SISI

LATAR BELAKANG COVID-19

-- Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

-- Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut.  

-- Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia. 

-- WHO memberi nama rasmi virus "2019-nCoV" iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.

-- Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.

-- Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini. 

-- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit COVID-19 sebagai pandemik.

 

BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan