RENCANA

PRIHATIN: OKU, B40 RAIH MANFAAT, TINGKAT KUASA BELI RAKYAT

02/04/2020 05:22 PM

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) turut menikmati manfaat daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini. 

Ianya melalui peruntukan RM25 juta bantuan dalam bentuk makanan, barangan penjagaan kesihatan dan tempat perlindungan kepada golongan mudah terjejas seperti OKU, warga emas dan kanak-kanak di rumah perlindungan, gelandangan dan orang asal.


Silatul Rahim Dahman, Ketua Pegawai Eksekutif yang juga pengasas bersama Yayasan Orang Buta Malaysia (MFB).--fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif yang juga pengasas bersama Yayasan Orang Buta Malaysia (MFB), Silatul Rahim Dahman, selain daripada bantuan tersebut, golongan OKU turut mendapat faedah daripada Bantuan Prihatin Nasional, Bantuan Sara Hidup, pengecualian bayaran sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam selama enam bulan dan penjimatan bil elektrik juga untuk tempoh yang sama. 

“Ramai dalam kalangan OKU berada dalam kategori B40 termasuklah mereka yang tinggal dan menyewa di PPR. Golongan OKU turut terjejas berikutan krisis wabak COVID-19 ditambah pula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac sehingga 14 April nanti.

“Sebagai contoh, ramai OKU masalah penglihatan mencari rezeki dengan kemahiran mengurut, menjual tisu dan menghiburkan masyarakat di sekitar Kuala Lumpur. Namun apabila krisis ini berlaku, pendapatan mereka jadi terjejas ditambah beberapa kesukaran lain yang dihadapi,” katanya kepada Bernama.

 

MESRA OKU


Seorang peniaga Orang Kelainan Upaya (OKU) menjalankan perniagaan menjual keropok keping di Pasar Besar Kedai Payang, Terengganu (Gambar hiasan). --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Mengulas lanjut, Silatul Rahim berkata kesemua insentif dalam pakej PRIHATIN diharap dapat diterjemah dalam bentuk tindakan dan paling utama ia perlu ‘mesra OKU’ bagi memastikan golongan itu dapat memohon. 

Ini kerana kebanyakan permohonan perlu dibuat secara dalam talian dan rata-rata OKU khususnya yang menghadapi masalah penglihatan tidak dapat menguasai teknologi maklumat.

Keadaan ini sudah tentu menjadi penghalang untuk mereka mengisi borang dengan lengkap ditambah pula apabila memerlukan dokumen sokongan yang banyak.  

“Jadi apabila adanya kekangan sebegini, faedah yang sepatutnya sampai kepada golongan selayaknya tidak jadi begitu (tidak sampai) kerana daripada awal sudah ada masalah untuk mengakses kepada maklumat dan mungkin juga kerenah birokrasi.

“Perkara ini perlu ditangani dengan teliti agar tidak ada yang tercicir daripada menerima insentif. Mungkin kerajaan boleh mempertimbang untuk mengadakan perkhidmatan talian bantuan yang dikendalikan sukarelawan bagi membantu golongan OKU yang menghadapi kesulitan untuk mengisi borang,” katanya yang turut mencadangkan agar peruntukan elaun bagi golongan OKU ditingkatkan semasa menghadapi krisis COVID-19.

 

BANTU B40


Seorang peniaga nasi lemak menunjukkan hidangan istimewa Nasi Lemak 'Empire' (Gambar hiasan). --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sementara itu, peniaga nasi lemak, laksa dan burger, Riduan Abd Rahman, 39, berkata insentif pakej PRIHATIN dapat membantu meringankan beban peniaga kecil kumpulan B40 sepertinya yang turut terjejas. 

“Ia sekurang-kurangnya memberi kelegaan kepada kami dalam melalui situasi mencabar ini dan dapat menampung perbelanjaan harian keluarga,"  katanya merujuk kepada Bantuan Prihatin Nasional, Bantuan Sara Hidup dan beberapa inisiatif berkaitan dalam pakej itu.

Beliau berkata, sebagai peniaga trak makanan, arahan PKP memberi kesan besar berikutan sumber pendapatan utamanya sejak tujuh tahun lepas adalah daripada hasil berniaga. 

“Dulu saya berniaga dari pukul 5 petang hingga lewat malam tetapi dengan situasi sekarang saya cuma ambil tempahan, buat di rumah dan penghantaran. Waktu berniaga pun hanya dari pukul 5 petang hingga 8 malam kerana perlu mematuhi peraturan PKP,” katanya. 

Kongsi bapa kepada tiga orang cahaya mata itu lagi, anak bongsunya yang berusia dua tahun tujuh bulan menghidap penyakit tulang belakang (Spina bifida) dan mendapat rawatan susulan di Hospital Seremban dan Hospital Kuala Lumpur. 

Keadaan anaknya itu menambah kerisauannya jika wabak penyakit COVID-19 berlanjutan dan PKP diteruskan yang sudah tentu menjejaskan kedudukan ekonomi keluarganya.

“Saya perlu bekerja keras dan simpan duit untuk rawatan anak. Doktor ada memaklumkan anggaran kos kasar untuk pembedahan nanti tetapi kami juga perlu bersedia jika ada sebarang kos tambahan yang lain.

“Kita tak tahu sampai bila krisis COVID-19 ini. Kita berdoalah agar ia segera berakhir.  Jika berlarutan ditambah pula arahan PKP yang lebih lama, sukar bagi saya untuk mencari pendapatan di samping banyak perkara perlu diselesaikan,” katanya.

 

KEKAL KUASA BELI


Muhammad Ridhuan Bos Abdullah, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM). --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Berkongsi pandangan, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata inisiatif pakej PRIHATIN dapat membantu kuasa beli rakyat seterusnya membawa kepada perkembangan positif ekonomi domestik.  

Beliau berkata, pakej itu yang bersifat menyeluruh termasuk melibatkan kumpulan M40, sedikit sebanyak mampu membaik pulih ekonomi mereka yang terjejas. 

“Kuasa beli kebanyakan rakyat terjejas sekaligus memberi kesan kepada banyak sektor seperti industri peruncitan, perusahaan kecil dan sederhana, pelaburan, pelancongan, penerbangan dan pelbagai lagi.

“Bagi memastikan ekonomi domestik kekal berkembang walaupun mungkin dalam yang keadaan perlahan, amat penting untuk rakyat sebagai pengguna mendapat ‘suntikan’ agar mereka terus ada kuasa membeli, “ katanya. 

Menurut Muhammad Ridhuan lagi, corak perbelanjaan kumpulan B40 dan M40 lazimnya akan terarah kepada barangan-barang keperluan asas dan keluaran tempatan yang sekaligus menyokong kepada perkembangan industri borong dan peruncitan serta menyokong kempen beli produk buatan Malaysia. 

“Kuasa beli pengguna yang berterusan juga dijangka boleh membawa kepada kesan limpahan ekonomi kepada sektor yang sebelum ini mungkin terjejas untuk kembali beroperasi terutamanya industri makanan,” katanya. 

 

RUANGAN SISI

PAKEJ PRIHATIN


Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada Perutusan Khas di Bangunan Perdana Putra. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Pada 27 Mac, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) berjumlah RM250 bilion yang akan memberi manfaat kepada semua rakyat.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa pakej ‘peduli rakyat’ itu akan menyediakan bantuan segera bagi meringankan beban semua dengan tiada golongan yang akan tercicir. 

Bagi menangani impak COVID-19 dan membantu rakyat dan sektor yang terkesan dengan penularan wabak itu, hampir RM128 bilion disalur untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara.

Sebanyak RM20 bilion diumumkan dalam pakej rangsangan sebelum ini.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan