RENCANA

KETEPIKAN IDEOLOGI POLITIK, BERSAMA KEKANG COVID-19

30/03/2020 04:43 PM

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Seluruh masyarakat khususnya ahli politik disaran agar tidak mengambil kesempatan mempolitikkan isu penularan COVID-19, sekaligus mengganggu usaha kerajaan untuk mengekang penularan wabak berkenaan.


Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed, Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti, Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti, Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata semua pihak perlu memberi kerjasama dalam membantu meringankan usaha kerajaan mengekang masalah itu.

“Apa juga agenda politik sama ada untuk memperjuangkan kepentingan individu atau parti, perlu diketepikan agar semua pihak dapat menumpukan perhatian terhadap usaha menangani krisis ini.

“Pemimpin dan ahli politik misalnya boleh membantu menyebarkan maklumat untuk kebaikan masyarakat terutama dalam mengajak rakyat mematuhi segala arahan, perintah serta saranan pihak berkuasa.

“Dalam situasi beginilah, ahli politik tidak kira dari mana-mana parti perlu menunjukkan kematangan dengan mengetepikan ideologi politik demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya kepada Bernama.

Mengambil contoh senario kematangan pemimpin politik di luar negara, Ahmad Martadha berkata apa yang berlaku di China, Amerika Syarikat, United Kingdom, Eropah dan Iran menunjukkan bahawa pemimpin politik di negara itu bersatu hati dalam memerangi COVID-19.

 

TEGAS DAN BERHEMAH

Mengulas lanjut, Ahmad Martadha berkata pendekatan yang diambil kerajaan dalam menangani situasi yang pertama kali berlaku dalam sejarah negara ini, boleh disifatkan cukup berhemah namun tegas.

Ini sekaligus menyedarkan rakyat betapa pentingnya peranan mereka untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab. 


Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada Perutusan Khas di Bangunan Perdana Putra. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Tambahnya, beberapa siri pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin khususnya berkaitan pematuhan tempoh 14 hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP, 18 Mac hingga 31 Mac) menggambarkan betapa kerajaan bijak menyantuni dan menasihati rakyat demi kebaikan bersama. 

“Di media sosial sebagai contoh, ramai yang berkongsi dan bersetuju bahawa perutusan khas kali kedua Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen pada 18 Mac lepas, umpama seorang ayah yang sedang merayu dan menasihati anaknya agar duduk di rumah demi menjaga kesihatan dan keselamatan diri.   

“Hargailah ‘kelembutan’ dan sikap penuh berhemah pemimpin kita dalam menangani isu yang sudah menjadi masalah dunia ini. Janganlah sengaja mengundang perkara yang lebih besar hanya kerana keangkuhan diri dan asyik mahu berpolitik,“ tegas beliau.

Ahmad Martadha berpendapat, rakyat sebenarnya beruntung kerana mempunyai pemimpin berpengalaman untuk menguruskan situasi penuh mencabar ketika ini.

Kata beliau, pengalaman pemimpin negara itu pastinya akan membantu mengatur strategi terbaik terutama dalam berdepan dengan kedegilan segelintir anggota masyarakat yang ingkar dengan peraturan dan arahan yang dikeluarkan.

 

UJIAN BESAR


Dr Hairol Anuar Mak Din, Pensyarah Kanan Jabatan Kenegaraan dan Pengajian Ketamadunan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Kenegaraan dan Pengajian Ketamadunan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Dr Hairol Anuar Mak Din berkata ahli politik wajar menggunakan pengaruh mereka untuk tujuan kebaikan lebih-lebih lagi ketika negara sedang berhadapan dengan ujian besar.

Beliau berkata, tindakan segelintir ahli politk yang mengeluarkan kenyataan negatif dan sengaja membangkitkan sentimen tidak sihat, dikhuatiri boleh menjejaskan perpaduan serta menimbulkan ketidaktenteraman awam. 

“Ini termasuklah mempersoalkan keputusan kerajaan melaksanakan PKP, penggunaan khidmat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula Ahad (22 Mac) bagi membantu polis memantau pematuhan PKP dan pengumuman pengeluaran caruman dari Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkuatkuasa 1 April nanti. 

“Menangani wabak COVID-19 bukanlah isu mudah. Ia merupakan satu krisis global dan pengalaman baharu ini bukan sahaja melanda kerajaan dan rakyat Malaysia, bahkan negara lain yang telah terjejas teruk seperti China dan Itali yang terpaksa melaksanakan perintah berkurung,” katanya.

Pada masa ini, kerajaan pastinya telah dan akan melaksanakan langkah sebaik mungkin bagi menangani krisis ini dengan cepat, terkawal dan teratur di samping memastikan rakyat tidak terjejas teruk dengan memperkenalkan inisiatif-inisiatif tertentu.

“Justeru, janganlah ada pihak yang ‘menangguk di air keruh’, mengambil kesempatan daripada masalah ini demi kepentingan diri sendiri,” katanya.

 

INISIATIF KEPADA RAKYAT

Kerajaan sebelum ini meluluskan beberapa inisiatif dan bantuan bagi membantu meringankan beban rakyat ketika berhadapan wabak penyakit COVID-19.


Seorang kakitangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melintasi logo KWSP di Ibu Pejabat KWSP, Jalan Raja Laut (Gambar hiasan). --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Pada Isnin (23 Mac), Perdana Menteri mengumumkan pencarum KWSP berumur bawah 55 tahun dibenar membuat pengeluaran dari Akaun 2 masing-masing bermula 1 April depan.

Menerusi kemudahan ini, semua ahli KWSP yang berumur bawah 55 tahun boleh membuat pengeluaran  dalam Akaun 2 masing-masing tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan.

Peruntukan berjumlah RM130 juta juga akan disalurkan kepada negeri-negeri untuk membantu kerajaan negeri menangani krisis COVID-19.


Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi (kanan) beramah mesra bersama peniaga semasa meninjau stok bekalan barangan makanan dan keperluan susulan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjung, Kota Bharu, Kelantan. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Peruntukan boleh digunakan untuk membantu penjaja, peniaga kecil, pesakit COVID-19 dan ahli keluarga mereka serta menyediakan keperluan kepada petugas di peringkat kerajaan negeri yang terlibat dalam menangani krisis ini. 

Perdana Menteri juga memberi jaminan bahawa peruntukan sama rata akan diberi kepada setiap negeri, tanpa mengira parti mana yang membentuk kerajaan negeri berkenaan.

Ini berikutan krisis yang sedang melanda negara ini memberi kesan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan kecenderungan politik.

Semua pihak tanpa mengira fahaman politik mestilah bersama-sama berganding bahu dalam menangani krisis yang sedang dihadapi negara kerana tanggungjawab menjaga keselamatan, kesihatan dan nyawa rakyat adalah tanggungjawab bersama, melangkaui batas politik, tegas Perdana Menteri.

 

Disunting oleh Rafe ‘aton Md. Ali 

BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan