Selasa, 07 April 2020
RENCANA
26/03/2020 09:50 AM

Oleh Ali Imran Mohd Noordin

KUALA LUMPUR  (Bernama) -- Kalau boleh, wartawan pun nak #stayathome juga. Namun atas tuntutan kerja, kami TIDAK BOLEH berbuat demikian.

Perutusan khas mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Mac menyatakan dalam perkara keenam tentang penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara.

Antara yang tersenarai dalam perkhidmatan penting negara adalah air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

Memandangkan sektor penyiaran ada disebut dalam dalam senarai itu, makanya seluruh tenaga yang terlibat dalam bidang ini termasuklah para wartawan, jurugambar dan juruvideo perlu terus bertugas.

Jika tidak, rakyat mungkin akan terpinga-pinga dan tercari-cari berita serta perkembangan wabak penyakit COVID-19 yang sedang melanda negara kita dan juga seluruh dunia.

Lebih bahaya lagi, tanpa sumber maklumat yang sah, ditakuti “Coronapalatau” akan berleluasa dan menyebarkan berita palsu yang mungkin dipercayai ramai.


Majlis Keselamatan Negara memberi peringatan kepada orang ramai agar tidak menyebarkan berita palsu mengenai penularan COVID-19 menerusi kesemua talian telefon bimbit pengguna. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Semua petugas di Bernama turut berganding bahu untuk memastikan perjalanan operasi termasuk Jabatan Pengarang terus lancar. Ada juga yang bertugas dari rumah. Meskipun apa yang kami lakukan ini adalah tugas, namun rasa terharu apabila membaca nota terima kasih daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah untuk kepada semua di Bernama yang menjadi “frontliners” dalam komunikasi.

Sememangnya sejak Disember 2019 hingga ke hari ini, kami para wartawan mengikuti rapat perkembangan isu COVID-19 . Dalam kesibukan tugas, kami juga tidak lupa untuk sama-sama mendoakan agar mereka yang dijangkiti penyakit ini supaya tabah dan pulih segera. Terima kasih tidak terhingga kepada semua anggota “barisan hadapan” yang bertungkus-lumus melaksanakan tugas yang mungkin boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan sendiri.

Pada awal Februari ketika bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly bin Ahmad mengumumkan kes pertama COVID-19 yang melibatkan warganegara Malaysia, semua wartawan yang hadir sudah boleh mengagak bahawa perkara ini akan jadi besar di Malaysia.

Tidak lama selepas itu, berlaku pula tsunami politik negara. Yang menjadi persoalan dalam kalangan kami adalah tidakkah mereka ini sedar akan bahaya wabak yang sudah mula melanda negara? Bolehkah berkumpul beramai-ramai semata-mata demi perjuangan politik?


Bersama keluarga di rumah.. Perintah Kawalan Pergerakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 mulai 18 Mac hingga 31 Mac sebagai langkah pencegahan penularan COVID-19. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Hakikatnya, pada waktu itu tiada sebarang halangan untuk mengadakan aktiviti yang melibatkan kumpulan orang ramai. Perlawanan bola sepak Liga Super pun masih berjalan seperti biasa.

Pada waktu itu, kes COVID-19 melibatkan jangkitan tempatan masih terkawal. Boleh jadi atas sebab itu tidak timbul keresahan besar dalam kalangan masyarakat.

Kebimbangan kami hampir menjadi kenyataan apabila terdapat ahli politik yang disyaki mempunyai kontak rapat dengan salah seorang pesakit yang disahkan positif COVID-19.

 

Dalam grup ‘Whatsapp’ bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), para wartawan mula bertanya, “patutkah kami semua kuarantin kendiri?” dan “bagaimana dengan peralatan kami terutamanya mikrofon, perlukah disanitasi? Begitu juga telefon bimbit?”

Ada beberapa rumah berita terus keluarkan arahan kepada kakitangan mereka untuk mengsanitasikan semua peralatan yang digunakan, dan staf terlibat dengan liputan terkait ahli politik itu untuk pergi membuat pemeriksaan kesihatan.

Selepas itu, operasi berita berjalan seperti biasa. Masing-masing sudah tahu tindakan yang perlu dibuat sekiranya keadaan memerlukan.

Dipendekkan cerita, selari dengan pengumuman PKP oleh Perdana Menteri, semua rumah berita perlu menyusun semula antaranya, guna tenaga kerja, penggunaan pejabat dan sebagainya.

Wartawan pun mula berfikir panjang apabila ada jemputan ke sidang media. Bila ada jemputan ke sesi sidang akhbar sahaja, soalan pertama "dalam keadaan macam ini pun nak buat sidang akhbar? ", "kenapa tak guna FB Live?", dan "tak bolehkah keluarkan kenyataan media sahaja?"

Iya. Kami wartawan pun risau juga akan keselamatan diri, lebih-lebih lagi yang sudah berkeluarga, bimbang nasib anak dan isteri, tak tinggal juga fikirkan emak dan ayah.

Bagaimanapun, ada sesetengah perkara memang tidak boleh dilapor hanya dengan menggunakan teknologi. Dalam hal ini, pengamal media perlu berada di lapangan untuk menjadi mata dan telinga masyarakat dan melaporkan apa yang sebenarnya berlaku.


Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat tetap mengadakan sekatan jalan raya walaupun dalam keadaan hujan lebat bagi memastikan rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah penularan COVID-19 hari ini. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Jurugambar perlu hadir di pos-pos kawalan polis dan tentera untuk mendapatkan gambar sebenar keadaan di jalanan. 

Wartawan pula tetap perlu berada di kawasan awam dan menemu bual orang-orang yang berkaitan untuk mendapatkan bahan berita yang benar, tepat dan menyeluruh.

Apa yang kami syukuri, penganjur sidang media sudah mengambil langkah perlu seperti mengehadkan jumlah wartawan yang dibenarkan hadir, pemeriksaan suhu badan, penyediaan hand sanitizer serta menyusun kerusi mematuhi arahan penjarakkan sosial.

Tidak cukup dengan berita yang disiarkan, rumah-rumah berita turut menghasilkan antaranya video, infografik dan poster untuk memudahkan masyarakat faham dengan apa yang berlaku.

"Panjang sangat nak baca, lukis boleh?" Itulah jenaka yang biasa kita dengar.


Sesetengah petugas di sektor penting perlu hadir ke pejabat disebabkan peralatan sesuai atau perisian yang digunakan tidak dimiliki di rumah. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Proses penghasilan berita dalam format berbeza memerlukan kepakaran individu yang berbeza. Kita perlukan pasukan editorial grafik yang kerjanya fokus kepada menyiapkan bahan-bahan ini.

Ini memandangkan proses tersebut memerlukan arahan dan saringan maklumat yang ketat, maka adalah lebih cekap untuk mereka melakukan tugas di pejabat. Lagipun, tidak semua pereka grafik memiliki peralatan yang sesuai di rumah masing-masing.

Selain yang disebutkan di atas, ramai lagi tenaga kerja diperlukan untuk melahirkan sesuatu berita. Para pengarang, penyunting, perkhidmatan teknikal, pengawal keselamatan sehinggalah kepada pencuci tandas, semuanya mempunyai peranan untuk sama-sama membantu kelancaran operasi rumah berita.


Seorang petugas BERNAMA melakukan tugasan semasa wartawan secara online dari rumah. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kami usahakan untuk meminimumkan tenaga kerja, tetapi hakikatnya, berita tidak ada di dalam pejabat, kami masih perlu bergerak keluar dan melakukan tugas kami.

Jauh di lubuk hati sesetengah kami, teringin nak #dudukrumah juga.

Oleh itu, kepada warga masyarakat di luar sana, tolonglah....biarlah kami yang jadi mata dan telinga anda.

Duduklah di rumah. Berita akan datang kepada anda.

Tidak perlu jadi hero keluar ke sana-sini dengan alasan hendak tengok jalan raya kosong ke tidak, pusat membeli-belah kosong ke tidak, dan ada juga mahu tambah content pos dalam Facebook, dan berselfie.

Sekali lagi, biar kami yang bergerak untuk anda. Anda duduklah di rumah sahaja. Seperti kata Perdana Menteri, “Duduk di rumah dan lindungi diri anda dan keluarga”.

 

(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis)

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA 


 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Lain-lain

Laman Korporat
Hubungi Kami
Sebutharga / Tender

Ikut Kami

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan