RENCANA

FIKIRLAH: C0VID-19: JADILAH WARGANEGARA YANG BERTANGGUNGJAWAB

25/03/2020 09:22 PM

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR  (Bernama) -- Daripada bersesak-sesak di pasar raya, rakan saya, Eirdyna, sanggup masak apa sahaja ramuan yang di rumah, meskipun banyak bekalan barangan dapur termasuk bahan mentah semakin menyusut.

Penjawat awam berusia 37 tahun ini percaya bekalan makanan di pasaran adalah mencukupi seperti mana jaminan yang diberikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Di samping tidak mahu terjebak melakukan  pembelian panik, rakan saya juga tidak mahu mendedahkan dirinya kepada risiko dijangkiti penyakit COVID-19 kerana berada di tempat yang sesak.

“Saya memang suka masak, jadi barang dapur adalah sikit, telur, rempah-ratus, santan kotak, spageti, masih ada, bolehlah bertahan sementara waktu. 

“Masaklah apa yang ada daripada berlaga bahu dan tangan. Saya ada baca keadaan sesak macam tu tinggi risiko untuk jangkitan virus penyakit COVID-19,” katanya sambil berbalas-balas mesej Whatsapp dengan saya. 


Tunai tanggungjawab.. Biarpun hujan lebat anggota polis yang dibantu anggota tentera tetap menjalankan sekatan jalan raya susulan Perintah Kawalan Pergerakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Bagi rakan saya yang masih bujang ini, biarpun pasar raya adalah antara premis yang dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa mulai 18 Mac sehingga 31 Mac ini, namun penting bagi setiap individu mengelakkan berada di tempat yang sesak yang memerlukan langkah penjarakkan sosial atau yang disebut sebagai social distancing.  

Eirdyna mengamalkan pendekatan menjarakkan diri satu meter daripada orang lain sekiranya terpaksa juga meninggalkan rumah. 

“PM dah beritahu awal-awal elak tempat yang dikerumuni orang ramai sebab jangkitan ini boleh merebak melalui sentuhan. Kita ada pilihan dan ada masa untuk mencari mana-mana kedai atau pasar raya yang tidak sesak, lagi pun ini bukanlah perintah berkurung,” katanya lagi.

PKP yang berkuat kuasa selama 14 hari itu antara lain melibatkan penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara, selain penutupan semua rumah ibadat dan premis perniagaan kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

 

Memanglah benar apa yang rakan saya ini katakan. Rabu lepas (18 Mac) iaitu hari pertama PKP dikuatkuasakan, saya sengaja membuat tinjauan di sebuah pasar raya terkenal sekitar Ulu Kelang yang sehari sebelum itu penuh sesak, akibat pembelian panik.


Kerajaan memberi jaminan kepada orang ramai bahawa tiada keperluan untuk melakukan pembelian panik kerana bekalan makanan adalah mencukupi dan boleh didapati pada setiap masa. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

 Tidak sesak, dan kelihatan beberapa orang pekerja sibuk menyusun stok baharu. Ada rak yang kosong. 

Saya kemudian meninjau pula sebuah kedai runcit yang berdekatan dengan rumah saya. Saya dapati stok barangan runcit seperti sardin, bawang merah dan pelbagai lagi keperluan makanan begitu banyak di atas rak.

Jadi, apa masalahnya? Mengapa orang sanggup merisikokan diri mereka dengan berpusu-pusu membeli barangan pada hari sebelum perintah itu berkuat kuasa, sehingga ke hari ini, sedangkan bekalan makanan sebenarnya banyak?

Bukankah, tindakan tersebut sebenarnya berpotensi untuk meningkatkan lagi jumlah kes penularan COVID-19?  PKP ini bukanlah perintah berkurung di mana langsung tidak boleh keluar seperti apa yang berlaku di Itali dan beberapa buah negara lain.

Seperti mana kata Perdana Menteri, sepanjang perintah berkuat kuasa selama 14 hari itu, orang ramai masih boleh ke pasar awam dan kedai makan yang dibuka untuk mendapatkan keperluan harian. Mereka hanya perlu mengamalkan penjagaan kesihatan rapi dan mengelak bersentuhan dengan menjarakkan diri daripada orang lain.

Jadi, tidak perlulah membahayakan diri untuk berada di kawasan yang dikerumuni orang ramai dan mencetuskan pembelian panik biarpun pasar raya merupakan premis yang dibenarkan untuk beroperasi sepanjang tempoh perintah tersebut.


Orang ramai memenuhi Terminal Bersepadu Selatan (TBS) untuk mendapatkan tiket supaya dapat pulang ke kampung masing-masing berikutan Perintah Kawalan Pergerakan pada 17 Mac lalu. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Warga kota juga nampaknya tidak faham dengan arahan PKP ini sehingga ramai yang berpusu-pusu ke stesen bas dan lebuh raya juga dilaporkan sesak kerana ramai yang ingat mereka boleh ambil kesempatan untuk balik kampung.

Keadaan ini sekali gus membimbangkan Perdana Menteri memandangkan beliau mempunyai tanggungjawab besar untuk menangani krisis yang sedang melanda negara ketika ini sehinggakan terpaksa membuat rayuan kali kedua dalam perutusan khas menerusi siaran langsung ke seluruh negara pada 18 Mac lepas. 

 

Just stay at home. Duduklah diam-diam di rumah”, adalah antara dua ayat yang banyak kali disebut Perdana Menteri  dalam peruntusan khas COVID-19 kali kedua itu. Bahasanya mudah, tidak menggunakan bahasa tinggi untuk memahami maksud jelas Perdana Menteri. 


Seorang warganegara bersama ibunya menuai kacang tanah yang ditanam sendiri di kebun sayuran belakang rumah mereka pada hari kelima Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Just stay at home. Luangkan masa bersama anak, isteri dan ahli keluarga. Tidak perlu ke mana-mana. Dengan cara ini saudara saudari terhindar daripada jangkitan COVID-19 dan penularan wabak ini insya-Allah dapat dibendung. Inilah tujuan sebenar Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan oleh kerajaan.

“Tujuannya bukan untuk membolehkan saudara saudari balik ke kampung, memenuhi jemputan kenduri, membeli belah di pasar raya, bersiar-siar di taman atau bercuti di tempat peranginan. Bukan. Tujuannya ialah supaya saudara-saudari duduk di rumah. Stay at home and protect yourself and your family (Duduklah di rumah, lindungilah diri sendiri dan keluarga),” kata Perdana Menteri dalam perutusannya itu.

Ada sebab mengapa beliau berasa bimbang. Ini memandangkan perkembangan status terkini wabak tersebut tidak menggembirakan di mana ketika perutusan itu dibuat, berlaku dua kematian selain sebanyak 110 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan setakat 12 tengah hari ((Khamis, 19 Mac), menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 900 kes.

Untuk rekod, setakat 24 Mac pukul 5:00 petang, Kementerian Kesihatan Malaysia mengumumkan jumlah kes positif COVID-19 adalah sebanyak 1,654 dan 15 kematian.  

Keadaan ini semestinya menakutkan dan sewajarnya setiap daripada kita perlu ada perasaan bimbang. Saya menyangkakan peruntusan khas beliau yang menggunakan bahasa sangat mudah itu dengan rayuannya, boleh menyedarkan masyarakat. 

Namun sangkaan saya silap. Masih ada lagi segelintir yang tidak kisah berada di tempat ramai orang untuk membeli barangan keperluan harian mereka. Sengaja saya meninjau (daripada dalam kereta) keadaan sebuah pasar raya yang beroperasi 24 jam,  sekitar pukul 10 malam selepas dua jam perutusan tersebut ke udara. 

“Kak, ramai ke orang di dalam?” tanya saya kepada seorang wanita yang sedang menyusun barang pembeliannya di dalam kereta memandangkan saya tidak berani untuk memasuki pasar raya berkenaan.

Dia yang membeli pelbagai jenis barangan dapur berkata pasar raya itu dipenuhi dengan ramai orang tetapi tidak nampak pula adanya pembelian panik. Ketika saya cuba memandu keluar daripada kawasan tersebut, saya dapati beberapa kelibat orang baharu sampai sekali gus pastinya menambahkan lagi kesesakan di pasar raya berkenaan. 

 

 Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipetik pada Rabu, 18 Mac, tahap pematuhan rakyat pada perintah itu adalah sekitar 60 peratus. 

“Kita berbincang kemungkinan besar jika keadaan masih lagi tidak dapat dikawal sepenuhnya… kemungkinan tentera… kemungkinan akan digunakan."

Kerajaan membuat keputusan tepat dengan mengarahkan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula Ahad lepas (22 Mac) membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan rakyat mematuhi PKP bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Justeru, semua pihak perlu memainkan peranan. Kerajaan dan warga Kementerian Kesihatan tidak dapat menangani penularan COVID-19 sekiranya masih ada yang masih berdegil bersikap pentingkan diri atau mempunyai mentaliti ‘tidak kisah’.

Kasihanilah warga pasukan kesihatan kita yang bertungkus-lumus bekerja demi merawat mereka yang dijangkiti COVID-19. Di saat orang ramai berlindung di rumah, mereka dengan pakaian keselamatan khas, mempertaruhkan nyawa sendiri untuk menyelamatkan nyawa orang lain. 

Sedikit pun tidak mengeluh walhal risiko mereka dijangkiti termasuklah membawa pulang jangkitan pada ahli keluarga adalah tinggi.

Untuk itu, setiap individu perlu memainkan peranan menjaga keselamatan diri masing-masing.

Kita mungkin menghadapi gelombang ketiga virus ini, yang seterusnya akan menjadi lebih besar seperti tsunami, lebih-lebih lagi jika kita mempunyai sikap tidak kisah, seperti mana kata Ketua Pengarah Kesihatan. Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Sudah tentu kita tidak mahu ia berlaku bukan?

 

(Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis)

BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan