RENCANA

PERJUANGAN PERANGI DADAH MENERUSI MUZIK

19/03/2020 01:06 PM

Oleh Kurniawati Kamarudin

KUALA LUMPUR  (Bernama) -- Menyaksikan penderitaan keluarga yang sering dipandang serong kerana abang sulungnya seorang penagih dadah, menjadi luka yang cukup mendalam dalam hidup Mohammad Khairuddin Aziz.

Lebih menyayat hati apabila abangnya yang menjadi harapan keluarga meninggal dunia pada 2015 pada usia 43 tahun, akibat pelbagai komplikasi kesan pengambilan bahan terlarang itu sejak usia belasan tahun .

Sebagai adik, keadaan ini membuatkan Khairuddin, 42 , begitu benci dengan najis dadah yang banyak membawa penderitaan kepada keluarganya.   

Untuk itu, beliau yang mesra dipanggil Khai Aziz, nekad untuk berjuang dengan caranya sendiri bagi mengajak anak-anak muda untuk bersama-sama membenci dadah dan mengamalkan cara hidup yang lebih positif.

 

MUZIK PUNK ROCK UNTUK SAMPAIKAN MESEJ DADAH


Mohammad Khairuddin Aziz berkongsi pengalaman hidupnya. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menurut Khairuddin, beliau memilih muzik punk rock sebagai medan untuk memperjuangkan gerakan bebas dadah terutama dalam kalangan anak-anak muda sejak lebih 20 tahun lalu.

Meskipun sering dipandang negatif oleh kebanyakan masyarakat yang tidak memahami falsafah perjuangan aliran muzik yang dibawa, namun beliau membuktikan tidak semua pengemar muzik yang ganas dan keras seperti punk rock terlibat dengan pengambilan dadah.

“Muzik dan dadah dikatakan seiring terutama ketika membuat persembahan tetapi itu hanya satu persepsi. Memang ada yang percaya kononnya dengan bantuan bahan terlarang ini boleh menyanyi dengan lebih sedap, bertenaga dan mudah mendapat ilham dan sebagainya.

“Sebenarnya muzik boleh dihayati tanpa dadah. Jika kami tidak menentang penggunaan dadah, bagaimana kami hendak menyampaikan mesej positif ini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Tidak hanya melalui muzik, Khairuddin juga turun padang ke sekolah-sekolah untuk menyampaikan mesej anti dadah melalui Persatuan Bebas Dadah Malaysia yang ditubuhkan sejak 10 tahun lalu. 

Sepanjang tempoh tersebut, beliau mengadakan perjumpaan dengan lebih 14,000 orang pelajar daripada 126 buah sekolah di seluruh negara.

Persatuan ini merupakan badan bukan kerajaan  (NGO) di bawah naungan  Drug Free World yang memberi pendidikan tentang dadah di seluruh dunia.

 

PENGIKTIRAFAN ANTARABANGSA

Khairuddin yang turut meminati bidang penulisan banyak menghasilkan lirik untuk lagu ciptaannya sendiri dan sehingga kini menghasilkan lebih 100 buah lagu.

Apa yang lebih membanggakan, perjuangan anak jati kelahiran Kampung Jawa, Klang, Selangor  ini bukan sahaja semakin diterima di tanah air sendiri tetapi turut mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Lagu ciptaannya yang bertajuk Drug Free Anthem dipilih untuk menjadi lagu rasmi sempena Hari Anti Dadah Sedunia anjuran Drug Free World Amerika yang dijadual diadakan pada Mei nanti di New York, Amerika Syarikat.

Menurut Khairuddin, beliau bersama kumpulannya Drug Free Malaysia (DFM)  akan mempersembahkan lagu tema ciptaannya itu  di tiga lokasi yang diaturkan di New York.

"Lokasi persembahan pertama pada pertandingan bola keranjang sempena hari anti dadah pada 27 Mei, kemudian  persembahan pada malam gala  majlis penganugerahan "The Drug Free Hero" pada 28 Mei dan persembahan terakhir pada 29 Mei  di Ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada persidangan tahunan yang menghimpunkan para pemimpin yang memperjuangkan kesedaran dan pendidikan tentang dadah," katanya.


Lagu ciptaannya yang bertajuk Drug Free Anthem dipilih untuk menjadi lagu rasmi sempena Hari Anti Dadah Sedunia. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Lebih membanggakan, beliau juga bakal menaiki pentas bersama lima orang wakil  negara lain untuk menjadi penerima bagi anugerah Drug Free Hero pada malam anugerah gala yang memberi pengiktiraffan kepada mereka yang banyak menyumbang kepada kempen pendidikan bahaya dadah di bawah Drug Free World .

“Lagu ini dicipta sejak 2013. Sebahagian liriknya saya ambil daripada ikrar  Drug Free World yang banyak membantu usaha dan perjuangan saya dalam gerakan bebas dadah di Malaysia terutama dari segi material seperti risalah dan  modul yang digunakan,” kata Khairuddin.

Bapa kepada seorang cahaya mata ini berkata, perjuangan untuk sampai ke peringkat ini bukan satu perjalanan yang mudah dan  ia penuh dengan onak dan duri.

“Inilah peluang untuk saya dan band untuk  menyampaikan mesej dalam ruang yang lebih besar iaitu di peringkat antarabangsa tentang bahaya penggunaan najis dadah.

“Ia sesuatu yang tidak pernah saya jangkakan dalam hidup saya,” katanya.

 

MINAT MUZIK SEJAK REMAJA

Permulaan penglibatan anak ketiga daripada empat beradik ini dalam bidang muzik bermula pada usia 15 tahun apabila diperkenalkan oleh abang sulungnya, Azhar Aziz yang berkebolehan bermain alat muzik  gitar.

Ketika itu, beliau menjadikan abangnya itu sebagai idola dalam mengembangkan minat terutama muzik  punk rock yang  berkembang sekitar tahun 90an.

Namun keadaan berubah ketika usianya 17 tahun apabila beliau melihat sendiri abangnya terlibat dengan pengambilan dadah jenis heroin dengan ketagihan yang amat teruk.

“Ketika itu abang saya keluar masuk pusat pemulihan sehingga menyebabkan kerjaya muzik beliau semakin suram .

“Kebencian saya pada najis dadah semakin memuncak masa usia 19 tahun ketika bekerja sebagai pelayan di sebuah kelab malam apabila saya melihat dengan mata saya sendiri  bagaimana dadah ini dijual,” katanya yang reda menerima pemergiannya abang sulungnya.

Ketika perasaan penuh kemarahan pada dadah, beliau nekad  memulakan langkah menubuhkan satu gerakan bebas dadah pada tahun 1997 melalui kelab skate board dan muzik di Klang.

Ia mengambil  inspirasi daripada usaha komuniti punk di barat yang dinamakan ‘Straight Edge’, satu komuniti yang menentang perlakuan negatif seperti minum arak, merokok, jenayah dan sebagainya.

Gerakan yang dilakukan beliau itu kemudian berkembang apabila kumpulan muzik yang ditubuhkannya ‘Second Combat’ mendapat perhatian dalam kalangan peminat muzik punk rock di Malaysia.

“Saya gunakan platform ini untuk menyampaikan mesej positif melalui lagu dan lirik yang dihasilkan, untuk tidak mengambil dadah dan jalani hidup lebih positif.

“Mana–mana persembahan underground yang kami disertai,  saya akan sampaikan mesej ini khususnya kepada peminat-peminat muzik punk rock di Malaysia ketika itu,” katanya yang merupakan penyanyi utama kumpulan tersebut.

 

INGIN KEMBANGKAN SAYAP

Walaupun sudah tidak lagi aktif bersama ‘Second Combat’, namun minat dan cinta Khairuddin kepada muzik tidak pernah pudar.

Menurut beliau, dengan usia yang semakin meningkat, sudah tiba masa untuk membawa muzik yang boleh diterima ramai dan bukan hanya pada kumpulan tertentu sahaja.

“Saya ingin bawakan muzik yang lebih dekat dengan golongan muda yang lebih segar agar ramai yang boleh menerima muzik dan mesej yang dibawakan.

“Saya harap apabila kembali dari New York nanti, kumpulan kami  akan lebih dikenali dan dapat menarik lebih ramai lagi anak muda untuk terlibat dalam gerakan bebas dadah ini ,” katanya yang turut meminta bantuan orang ramai bagi menghulurkan sumbangan  bagi menampung kos DFM menghadiri Persidangan Anti Dadah peringkat antarabangsa itu.

Sejumlah RM50,000 masih diperlukan yang akan disertai lima ahli DFM serta dua wakil PEMADAM ke Amerika Syarikat selama dua minggu.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan