RENCANA

KHIDMAT KEDIDI GLOBAL BANTU OKU MILIKI KAKI PALSU

27/11/2019 12:32 PM

Oleh Muhammad Basir Roslan

(Artikel ini disiarkan sempena Hari Orang Kurang Upaya Sedunia yang disambut pada 3 Disember.)

 

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Antara perkara yang paling merunsingkan hati Orang Kurang Upaya (OKU) khususnya yang baru kehilangan kaki akibat penyakit ataupun kemalangan ialah bagaimana untuk mendapatkan bantuan kaki palsu?

Ini kerana mereka perlu melalui pelbagai proses dokumentasi dan ujian yang panjang serta rumit sebelum kelulusan diperoleh daripada pihak tertentu.

Golongan OKU yang memerlukan kaki palsu bagaimanapun kini boleh menarik nafas lega kerana ada sebuah syarikat tempatan iaitu Kedidi Global Enterprise yang menawarkan khidmat bantuan kaki palsu dengan kos separuh daripada harga di pasaran .

Syarikat yang beroperasi di Seri Kembangan, Selangor ini diusahakan oleh pasangan suami isteri, Datuk Abdullah Md Yunus, 64, dan isteri, Datin Noorshan Ibrahim, 63.

Kedidi Global dimaklumkan satu-satunya syarikat pembuat kaki palsu yang 100 peratus menggunakan tangan, amat berkualiti, ringan dan tahan lasak.

"Kedidi satu-satunya syarikat di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan bantuan kaki palsu separuh harga. Harga pasaran kaki palsu bawah lutut kira-kira RM5,000, manakala kaki palsu atas lutut sekitar RM7,000 hingga RM10,000," kata Noorshan dalam wawancara dengan Bernama baru-baru ini.

Menurut beliau, syarikat yang ditubuhkan sejak November 2017 itu beroperasi dengan berkonsepkan keusahawanan sosial bagi membantu individu yang amat memerlukan sumbangan kaki palsu, terutamanya OKU yang kurang berkemampuan.

 

PAK UDIN PELANGGAN PERTAMA KAKI PALSU KEDIDI

Mengimbas kembali pelanggan pertama ketika syarikat baru dua bulan beroperasi, Noorshan berkata beliau menerima panggilan daripada seorang OKU dari Batu Pahat, Shaharudin Taib yang berhasrat mendapatkan kaki palsu.

Beliau mendapat tahu mengenai sumbangan yang ditawarkan Kedidi melalui laman Facebook 'Kedidi Kaki Palsu'.

"Kaki kiri Shaharudin atau Pak Udin terpaksa dipotong akibat kencing manis dan beliau tidak mendapat sebarang bantuan dari mana-mana pihak. Kos pembelian kaki palsu kira-kira RM5,500," kata Noorshan dengan menambah beliau dan suaminya ke Batu Pahat bagi membantu Pak Udin membuat ukuran kaki palsunya.

"Pak Udin ternyata amat gembira dengan hasil produk Kedidi dan beliau juga tidak perlu membayar satu sen pun kerana kami kasihan melihat keadaan beliau yang sudah tidak mempunyai keluarga atau saudara mara.

"Namun, hayat Pak Udin tidak panjang kerana meninggal dunia pada pertengahan 2018.  Bagaimana pun, kisah Pak Udin telah memberi inspirasi pada Kedidi untuk menjadi peneraju utama membantu mereka yang tidak mampu menanggung kos pembelian kaki palsu," katanya.

Menurut Noorshan, meskipun syarikatnya mahu membantu golongan OKU, namun keutamaan akan diberikan kepada golongan OKU yang tidak mendapat bantuan dari mana-mana pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tiada tempat bergantung akibat kehilangan pekerjaan atau terpaksa menanggung tanggungan yang ramai.

Mengulas mengenai inisiatif bantuan kaki palsu yang diusahakan Kedidi, Noorshan berkata mereka menggunakan wang simpanan sendiri bagi pembelian bahan-bahan untuk membuat kaki palsu.

Anak pasangan itu, Syafiq Abdullah, 32, juga menjadi salah seorang tenaga kerja mahir yang bertugas membuat kaki palsu di syarikat berkenaan. 

Lulusan Diploma Mekanikal Gas, IKM, Johor Baharu ini mengikuti beberapa kursus pembuatan kaki palsu termasuk di Indonesia.

 

PROSES PEMBUATAN KAKI PALSU 

Proses membuat kaki palsu (prostetik) melibatkan tiga komponen iaitu soket, pylon dan tapak.

Menurut Syafiq, proses menghasikan kaki palsu ini kadang-kala mencabar mental dan kreativiti seseorang kerana perbezaan bentuk fizikal setiap pelanggan.

"Pertama, membuat soket iaitu bahagian terpenting kerana soket adalah sarung yang menghubungkan kaki yang dipotong dengan kaki palsu dan ia juga menentukan keselesaan pengguna. Proses membuat soket dimulakan dengan mengambil ukuran tunggul atau stump menggunakan pita ukur dan juga mengambil acuan menggunakan pembalut plaster Paris (POP).

"Kedua-dua cara ini digunakan bagi mendapatkan bentuk soket yang tepat bagi setiap pelanggan. Acuan acuan dari POP ini  mengambil masa tiga hingga lima jam untuk kering dan mengeras. Kemudian kita akan betulkan (rektifikasi) berpandukan ukuran tadi. Acuan yang telah dibetulkan dan dilicinkan itu kemudian dibalut dengan gentian kaca dan diproses menggunakan damar atau resin.

"Tindakan kimia resin ke atas gentian kaca mengambil masa sekurang- kurangnya empat jam untuk menjadi keras. Selepas itu, acuan POP dipecahkan dan gentian kaca yang terhasil inilah yang menjadi soket, “ jelas Syafiq sambil menambah pihaknya menggunakan gentian kaca kerana ia kuat tetapi ringan.

Proses kedua pula, kata beliau ialah membuat pylon atau betis (penyambung soket dan tapak).

Seperti soket, pylon juga diperbuat dari gentian kaca yang dibalut di atas acuan berbentuk betis yang diperbuat dari POP.

"Pylon yang telah keras akan dicantumkan kepada soket, sekali lagi dengan lapisan gentian kaca  dan damar. Ini  menjadikan soket dan pylon buatan kami terdiri dari dua lapisan dan ia lebih kuat dan tahan.

"Kesemua proses ini boleh memakan masa seharian untuk siap sebagai satu unit," tambahnya.

 

TIGA BENTUK TAPAK

Menjelas lanjut mengenai komponen terakhir iaitu bahagian tapak, Syahir berkata Kedidi menawarkan tiga bentuk tapak berlainan mengikut keselesaan pengguna, iaitu tapak generasi 1 iaitu T1, bahagian di dalamnya kayu dan di luarnya getah, tapak generasi 2 iaitu T2 berasaskan kayu di bahagian dalam dan plastik di luar dan tapak generasi 3 iaitu T3 yang diperbuat dari gentian kaca atau dari gentian karbon. 

Tapak model T3 juga sudah ada 3 model iaitu T3L, T3U dan T3S. 

"T3S, paling canggih kerana mempunyai ciri keanjalan berteraskan ‘energy storage-energy release’ (penyimpanan tenaga dan pelepasan tenaga),” katanya.

"Di Kedidi, kita membuat inovasi sendiri terutama dari segi pertukangan kaki palsu ini kerana kita menggunakan tangan 100 peratus untuk setiap proses, jadi perlu ketekunan dan kesabaran yang tinggi,” katanya.

 

PUAS HATI  

Seorang pengguna kaki palsu Kedidi Global, Hassan Saka, 25,  yang kudung kaki kanan sejak lahir berjaya mengubah kehidupannya sejak dua tahun lalu setelah menerima sumbangan kaki palsu melalui program Mobility Is Life.

Berasal dari Tawau, Sabah, beliau kini sudah boleh berdikari dan bekerja tanpa perlu mengharapkan bantuan daripada sesiapa.

 "Saya dilahirkan tanpa kaki kanan sejak lahir dan terpaksa jalan secara mengesot sehinggalah berumur enam tahun dan menggunakan tongkat untuk membantu saya berjalan.

Berikutan ingin mengubah nasib diri dan keluarga, beliau ke Semenanjung untuk mencari pekerjaan namun tidak berjaya kerana status OKUnya.

"Syukur selepas mendapat kaki palsu melalui program Mobility is Life, kehidupan saya berubah sekelip mata. Akhirnya, saya diterima sebagai pekerja di sebuah kilang aiskrim di Shah Alam," katanya ketika ditemui di majlis penyerahan kaki palsu Mobility is Life yang diadakan di pejabat Kediri Global baru-baru ini.

Hassan berkata beliau menyedari wujudnya program Mobility Is Life itu melalui carian di laman Facebook pada 2018  dan bersyukur kerana program sebegini banyak membantu OKU yang amat memerlukan bantuan kaki palsu seperti beliau.

Seorang lagi penerima kaki palsu Umi Kalthom Ibrahim, 44, berkata sumbangan itu ternyata membuka pintu rezeki buat dirinya untuk terus membantu keluarga bagi menampung perbelanjaan seharian.

"Kaki kanan saya terpaksa dipotong pada 2017 akibat penyakit kencing manis sehingga menyebabkan saya diberi cuti rehat sebagai tukang sapu di sebuah sekolah di Teluk Intan, Perak.

"Namun, selepas mendapat bantuan ini, saya dapat kembali bekerja seperti biasa dan membantu suami seorang tukang rumah,” kata ibu tiga anak itu sambil menasihati OKU yang senasib dengan beliau agar memohon bantuan melalui program Mobility Is Life untuk kaki palsu percuma.

 

KERJASAMA DENGAN PRUDENTIAL BSN TAKAFUL 

Sementara itu, bagi memperluaskan bantuan syarikat itu kepada golongan yang kurang berkemampuan untuk memiliki kaki palsu, ​​​​​​Kedidi Global menjalin kerjasama dengan syarikat insurans Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) pada September 2018 menerusi sayap amal PruBSN Prihatin di bawah program Mobility is Life.

Menurut pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN Wan Saifulrizal Wan Ismail, melalui program kerjasama Mobility Is Life bersama Kedidi, seramai 43 penerima dibantu bagi tempoh 2018/2019 dengan rata-ratanya terdiri daripada golongan susah.

"Program Mobility Is Life bertujuan meringankan beban mereka kerana kita akan tanggung kos pembelian kaki palsu bawah lutut yang harganya kira-kira RM2,600 dan kos kaki palsu atas lutut pula sekitar RM3,600.

"Pemohon yang layak mendapatkan sumbangan kaki palsu melalui program Mobility is Life akan menerima kaki palsu secara percuma," kata Wan Saifulrizal yang juga Presiden PruBSN Prihatin kepada Bernama di majlis penyerahan kaki palsu itu.

 

Disunting oleh Rafeáton Md. Ali dan Melati Mohd Ariff

BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan