RENCANA

GAJAH BORNEO: KHAZANAH BERHARGA SABAH SEMAKIN TERANCAM

06/11/2019 05:50 PM

Oleh Rohana Nasrah

Wartawan Bernama di Kota Kinabalu, Sabah, Rohana Nasrah menyingkap kehidupan gajah di bumi Sabah serta kebimbangan ia akan pupus sekiranya tiada langkah tegas menangani perbuatan pemburu haram membunuh haiwan ini sesuka hati mereka.

Bahagian satu daripada lima bahagian ini antaranya pentingnya menjaga ekosistem serta habitat gajah Borneo.

KOTA KINABALU (Bernama) --  "Gajah pygmy dibunuh kejam, 70 peluru dalam badan"! Membaca tajuk berita ini sahaja sudah cukup menghiris perasaan Jibius Dausip, 55, apatah lagi beliau amat maklum nasib gajah Borneo yang sudah dianggapnya seperti ‘keluarga’ sendiri, semakin hari semakin pupus.

Sedih, bimbang, kecewa serta marah semuanya berkecamuk di dalam hatinya mengenangkan masih ada manusia di bumi yang sering digelar "Negeri di Bawah Bayu" ini sanggup menjadi pembunuh kejam.

Jibius dan gajah seakan "irama dan lagu" yang tidak boleh dipisahkan. Selama hampir 30 tahun beliau menggalas tanggungjawab menjaga, merawat dan menyelamatkan gajah Borneo di seluruh pelusuk negeri itu.

Beliau mula bertugas di Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah sejak 1982 sebagai kakitangan biasa. Namun beliau kemudiannya dilantik sebagai Ketua Unit Gajah, JHL pada 1991 minatnya terhadap gajah. Jibius turut menggalas jawatan Pembantu Hidupan Liar  JHL. 

Berulang-ulang kali beliau menyaksikan pelbagai peristiwa menyedihkan yang meragut nyawa haiwan yang sekali gus memaparkan tindakan buas manusia yang tidak berperikemanusiaan.

Sehinggakan, ada ketikanya, Jibius yang kini menyandang jawatan Penolong Pengurus Unit Penyelamat Hidupan Liar Sabah hanya mampu menangis di dalam hati tatkala melihat kesengsaraan hidupan liar itu yang hanya tinggal menunggu mati akibat dijerat, ditembak, dicederakan atau diracun oleh pihak tidak bertanggungjawab yang rakus mengejar keuntungan.

Pengalaman menjaga dan menyelamatkan gajah Borneo sejak hampir tiga dekad membuatkan Jibius dari suku kaum Dusun dan berasal dari Tambunan ini terus rungsing mengapa masih ada pihak yang sanggup membunuh hidupan liar itu yang juga khazanah bumi Sabah. 

 

GAJAH BORNEO PUNYA KEUNIKAN, KEISTIMEWAAN TERSENDIRI

Jibius yang bertugas sebagai Penolong Pengurus Unit Penyelamat Hidupan Liar Sabah sejak 2010 berkata masyarakat setempat seharusnya sedar bahawa gajah Borneo adalah antara harta paling berharga dimiliki Sabah yang perlu dilindungi dan bukannya dibunuh sehingga menyebabkan jumlah spesies mamalia berbadan besar itu semakin berkurangan.

Dianggarkan terdapat antara 1,000 hingga 2,000 ekor gajah Borneo sahaja direkodkan di Sabah pada ketika ini, dan daripada jumlah itu, kira-kira 250 hingga 300 ekor berada di Hutan Hujan Sukau, di Hilir Kinabatangan.

Beliau menegaskan gajah Borneo adalah harta Sabah paling unik dan menjadi tarikan ramai pelancong luar datang berkunjung ke sini semata-mata untuk melihat hidupan liar tersebut.

"Sepatutnya, kita jaga spesies ini dan sekiranya boleh, tempatkan haiwan ini di kawasan paling selamat supaya tidak ada orang boleh bunuh atau mencederakannya. Jika ada satu kawasan besar untuk mewujudkan ekosistem habitat gajah lebih efisien di Sabah dan menempatkan gajah Borneo ini, maka, hidupan liar ini boleh dikawal dengan baik dan tidak akan terancam. Spesies ini juga tidak akan pupus dan boleh dilihat oleh anak cucu kita nanti.

“Tetapi, jika kita tidak ambil kisah atau tidak ada orang ambil berat mengenai hal ini, tidak mustahil spesies gajah Borneo akan pupus sama seperti badak,” katanya ketika ditemui Bernama di Pusat Penempatan Latihan dan Rawatan Gajah sementara di Sepilok, Sandakan, kira-kira 330 kilometer dari Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Jibius berkata ciri-ciri gajah Borneo seperti mempunyai ekor panjang, belalai pendek dan badan bersaiz lebih kecil adalah antara keisitimewaan spesies itu di Sabah yang berbeza dengan spesies gajah lain di seluruh dunia.

“Ukuran ketinggian gajah Borneo jantan hanya dianggarkan sembilan kaki,” katanya, dan menambah, bunyi gajah Borneo juga ada kelainan tersendiri yang unik berbanding gajah lain di seluruh Asia.

 

GELAGAT GAJAH MENCUIT HATI

Berkongsi lanjut pengalamannya, Jibius berkata, gajah mempunyai sifat menyenangkan dan gelagatnya mencuit hati kerana hidupan liar itu mempunyai keupayaan untuk berinteraksi sesama kelompok gajah dan manusia, selain boleh melakukan aksi manja dan lucu meskipun berbadan besar.

Kecerdasan otak gajah juga membolehkan spesies itu mempunyai ingatan kuat untuk mengadaptasi setiap latihan diberikan selain memiliki kemampuan untuk memahami dan mengeksperikan perasaan.

“Itu sebab kita boleh melatih gajah, boleh bermesra dengan gajah kerana haiwan ini boleh memahami cara kita terhadapnya. Gajah boleh mengadaptasi (latihan) dan ada tindak balas, malah gelagatnya mencuit hati sehingga orang tidak akan menyangka gajah boleh melakukannya kerana ia haiwan berbadan besar,” jelasnya.

Ketika ditanya adakah gajah seekor haiwan ganas, Jibius berkata, gajah tidak ganas, namun, gajah akan bertukar daripada tenang kepada lebih agresif apabila ada tekanan dan keadaan persekitarannya memaksa ia bertindak luar kawalan bagi memastikan diri serta kelompoknya berada dalam keadaan selamat.

Justeru, Jibius menasihatkan penduduk kampung dan pekerja ladang kelapa sawit supaya tidak mengganggu serta memberi tekanan kepada gajah dengan menggunakan alat yang boleh mengejutkan atau mencederakan spesies itu ketika berada di kawasan mereka.

Menurut beliau, haiwan itu hanya memasuki perkampungan dan kebun kelapa sawit untuk mencari makanan dan bukannya ingin sengaja merosakkan kawasan berkenaan termasuk tanaman pertanian.

 

MASA DEPAN KONSERVASI GAJAH DI BES KINABATANGAN

Mengulas Penempatan Latihan dan Rawatan Gajah sementara di Sepilok, Jibius berkata, terdapat enam gajah jantan diselamatkan dari seluruh Sabah ditempatkan di situ untuk diberikan rawatan khusus sebelum dipindahkan ke Santuari Gajah Borneo (BES) di Kampung Sentosa Jaya, Kinabatangan.

Jibius, yang juga Pegawai Penguasa BES berkata, santuari itu kini sedang dalam fasa pembinaan berperingkat dan dijangka akan beroperasi sepenuhnyadalam tempoh dua tahun lagi.

Terletak di Lot 8 Santuari Hidupan Liar Kinabatangan, BES yang meliputi kawasan seluas 25 hektar itu dibangunkan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah dengan kerjasama Majlis Minyak Sawit Malaysia dan Borneo Conservation Trust serta rakan-rakan kongsi (Zoo Asahiyama, Saraya, Hunting World, Tokio Marine, NTT Data Kirin, Taiseh and Yusen Logistics).

Ia adalah sebagai sebahagian daripada tindakan susulan untuk menyokong pelaksanaan Pelan Tindakan Gajah.

Pada masa ini, BES yang dilengkapi empat bahagian kuarantin, klinik rawatan gajah, bangunan pentadbiran serta rumah kakitangan itu hanya beroperasi untuk menempatkan gajah yang diselamatkan.

Bagaimanapun, ia akan dibuka untuk kunjungan pelancong apabila ia siap sepenuhnya.

Jibius berkata BES pada dasarnya dibina bagi menangani aspek pemuliharaan gajah Borneo dan sekali gus berperanan penting untuk menjadi pusat pemuliharaan gajah Borneo merangkumi penyelamatan, rawatan gajah cedera dan yatim piatu.

Menurut beliau, BES juga akan berfungsi sebagai kawasan perlindungan untuk gajah liar yang akan ditempatkan daripada habitat kecil dan berpecah kepada jurang gajah utama lebih besar dan mampan.

Berkongsi objektif utama penubuhannya, Jibius berkata, santuari itu antara lain berperanan dalam penyelidikan, membangun kapasiti dalam pemuliharaan gajah, meningkatkan kesedaran awam serta merangsang ekopelancongan selain turut menggariskan matlamat jangka panjang untuk beroperasi sebagai sumber kelas dunia dan pusat latihan bagi isu pemuliharaan hidupan liar tersebut.

“Memandangkan BES akan dibuka untuk kunjungan pelawat tempatan dan asing, ia dijangka memberi kesedaran kepada orang awam terhadap kelangsungan hidupan gajah Borneo,” katanya, dan menambah, penubuhan BES juga adalah satu daripada langkah berterusan dalam menguruskan konflik manusia dan gajah di Sabah.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan