RENCANA

DETIK MENCIPTA REKOD DI PULAU PINANG

05/11/2019 12:01 PM

Oleh Goh Kok Guan

GEORGE TOWN (Bernama) -- Hanya satu perkara yang bermain di benak fikiran Kimmy Liew Mun Fung ketika beliau berkunjung ke Pulau Pinang September lepas.

Meskipun sudah mencipta nama sebagai ahli silap mata bertaraf dunia, namun  beliau tetap berkobar-kobar mahu terus mencipta kejayaan, memburu sesuatu kemasyhuran yang luar biasa.

Penghibur, anak kelahiran Cheras berusia 35 tahun itu merupakan antara peserta yang begitu bersemangat untuk menyertai edisi kedua acara memecah rekod Malaysia Book of Records (MBR) Live! yang diadakan di pusat membeli-belah utama di sini.

Lima bulan terdahulu, beliau terpaksa melalui latihan lasak semata-mata mahu menyertai acara di Pulau Mutiara ini.

"Sepanjang berlatih, saya melecur akibat terbakar dalam tekak,  lidah, hidung dan tangan. Sehinggakan pada suatu ketika, saya tidak dapat membuka mata selama dua minggu,” katanya kepada Bernama.

Namun, segala penat lelah beliau itu, tidak sia-sia kerana Liew mencipta nama dalam MBR sebagai rakyat Malaysia pertama berjaya melengkapkan cabaran makan obor api. Beliau  berjaya mencipta rekod 'memakan" sebanyak 59 obor api dalam masa 58.84 saat.

"Jika saya diberi peluang sekali lagi, saya pasti akan memecah rekod saya sendiri," katanya dengan penuh kebanggaan dan kegembiraan.

 

PROGRAM MBR LIVE!

Liew merupakan seorang daripada peserta yang mencipta sejarah dengan membuat rekod kebangsaan semasa edisi kedua jerayawara MBR Live! yang diadakan dari 20 hingga 22 Sept lepas.

Dengan tema "Malaysia Luar Biasa", pemegang rekod dan pemecah rekod dari seluruh pelusuk negara  berkumpul di sini dengan penuh semangat untuk mencipta rekod luar biasa sepanjang tiga hari jerayawara itu.

Ketua Pegawai Operasi MBR Christopher Wong berkata jerayawara berkenaan akan terus menghebahkan kejayaan cemerlang rakyat Malaysia.

"Program pertama kali MBR Live! yang diadakan di Lembah Klang tahun lepas merupakan kejayaan yang memberangsangkan dan ia menjadi platform yang ideal untuk rakyat Malaysia mempamerkan bakat mereka. Ia menggalakkan dan memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk mencabar diri dan mencapai tahap yang lebih tinggi setiap tahun," kata Wong dalam ucapan semasa majlis perasmian acara berkenaan.

Program tahun ini berjaya mencipta 45 rekod dan 39 percubaan memecah rekod secara langsung.

 

POTONG RAMBUT TANPA HENTI

Hakikatnya, jerayawara itu sudahpun bermula sehari sebelumnya dengan  acara relay memotong rambut oleh sekumpulan 17 tukang gunting rambut dan pendandan rambut dari seluruh Malaysia yang berumur antara antara 23 tahun dan 37 tahun.

Acara bermula pada pukul 1 petang 19 Sept dengan menawarkan khidmat potongan rambut percuma kepada orang ramai - termasuk wartawan Bernama.

Kumpulan itu mengakhiri acara memotong rambut percuma tepat pada jam 1 petang pada 22 Sept, sekaligus mendapat penghargaan dari MBR bagi "Relay Terpanjang Potong Rambut Tanpa Henti oleh Kumpulan selama 72 jam".

Penganjur pasukan itu, S. Kalitasan, 34, memberitahu Bernama bahawa percubaan memecah rekod secara berpasukan ini adalah hasil inspirasi daripada rekod MBR beliau sendiri yang berjaya memotong rambut paling banyak dalam tempoh 24 jam dengan sejumlah 144 potongan rambut percuma berjaya dilaksankan antara 31 April dan 1 Mei lepas.

Tukang gunting rambut berasal dari Perak itu berkata beliau memilih anggota kumpulannya daripada hampir 750 tukang gunting dan pendandan rambut. Mereka menjangka hanya akan melakukan 1,000 guntingan rambut secara percuma sepanjang acara itu.

Namun, sebaliknya mereka berjaya menamatkan cabaran dengan tambahan 425 guntingan rambut, iaitu lebih daripada jumlah yang telah disasarkan.

"Perkara yang paling mengejutkan saya ialah pelanggan tetap datang untuk potong rambut walaupun selepas tengah malam. Rakyat Malaysia mahupun warga asing sama-sama muncul di luar pusat membeli-belah pada pukul 2, 3 malah 5 pagi hanya untuk menyokong kami," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada usaha kerjasama pasukannya dan sokongan padu yang diberikan oleh pelanggan mereka.

 

MELEPASKAN DIRI DARI KURUNGAN

A. Vikneswaran, seorang penghibur dari Kuala Lumpur berjaya memecah rekod acara melepaskan diri dari kurungan sel kaca. Sebelum bermulanya acara itu, beliau dilihat duduk di atas sebuah sel kaca yang berisi air dengan tangan dan kakinya digari. Ahli silap mata itu kelihatan menarik nafas panjang dan berdoa di hadapan penonton, termasuk isteri dan anaknya.

"Saya berdoa kepada tuhan agar saya diberikan kekuatan dan tumpuan untuk melepaskan diri dari sel dan berharap segala-galanya berjalan lancar. Saya juga berdoa kepada tuhan untuk kesejahteraan kerana saya mempunyai keluarga untuk disara," kata Vikneswaran, 31, kepada Bernama.

Dengan meniru aksi ahli silap mata terkenal Hungary-Amerika, Harry Houdini, Vikneswaran diberikan tugas untuk membuka gari tangan dan kaki ketika beliau ditenggelamkan dari dalam sel kaca berukuran 3 kaki (0.91 m) panjang x 3 kaki (0.91 m) lebar x dan 8 kaki (2.44 m) tinggi yang dipenuhi air.

Beliau bukan sahaja perlu membuka gari ketika berada di dalam air -- malah perlu membuka dua lagi mangga di luar sangkar dengan hanya satu lubang kunci. Aksi berbahaya seumpama ini telah mengorbankan kira-kira 14 orang ahli silap mata dari seluruh dunia.

Pada pukul 6 petang 21 Sept lepas, Vikneswaran memecahkan rekod MBR peribadi setelah  berjaya melepaskan diri dari dalam sel tersebut dalam tempoh 2 minit 3 saat.

Semasa suatu persembahan pentas, Ogos lepas di Kuala Lumpur, beliau berjaya melepaskan diri dalam tempoh 3 minit 26 saat.

Beliau berkata walaupun telah menceburi karier sebagai ahli silap mata sejak tiga tahun lalu, beliau mengakui bahawa setiap percubaan aksi lasak berpotensi membawa maut.

Tambah beliau, walaupun terdapat pasukan kecemasan yang sentiasa bersedia untuk menyelamatkannya setiap kali beliau melakukan aksi, namun usaha menyelamat masih memakan masa.

"Bagaimanapun, saya melakukan semua ini bukan sahaja untuk mencabar diri sendiri tetapi mahu membuktikan kepada dunia bahawa di Malaysia juga ada ahli silap mata yang setanding di luar negara," katanya.

 

22 REKOD

Sebanyak 22 rekod baru berjaya dicipta sepanjang acara MBR tiga hari itu.

Daripada 22 rekod MBR itu, 13 dicipta oleh pasukan anak jati Pulau Pinang berumur antara 21 dan 45 yang mewakili sebuah gimnasium di Bukit Mertajam.

Sebanyak 10 rekod MBR berasaskan individu termasuk Tekan Tubi Terpantas Dalam Sejam (1391 senaman tekan tubi dada oleh Albert Chai), rekod Jumlah Tumbukan Terpantas Dalam Seminit  (Lelaki: 515 oleh Seah Zhang Yu, Perempuan: 215 oleh Seah Yee Lin);

Jumlah Tekan Tubi Tangan Di Sisi Terbanyak Dalam Seminit (37 kali tolakan Gooi Wen Xin),

Jumlah  tekan tubi burpees (gerakan seluruh badan) Terbanyak Dalam Seminit  (18 kali oleh Booi Chai Yee),

Jumlah '’Deadlift (angkat besi) Terbanyak Dalam Tempoh Seminit (21 angkatan dengan berat 101kg oleh Shashela Devi),

"Mengangkat Dumbbell Terberat Mengguna Jari Terlunjuk (30.3 kg dalam tempoh lima saat oleh T. Logassree),

"Jumlah paling banyak hantukan siku dengan siku lain dalam seminit  (312 serangan oleh G Omprekash),

"Jumlah Lompat Kiri Kanan Terbanyak Dalam Seminit (112 lompatan oleh Phoon Kai Yeen) dan Lompat Tali Skip Sebelah Kaki Paling Banyak Dalam Seminit (145 lompatan oleh Angel Chew).

Terdapat tiga rekod MBR tercipta bagi kumpulan, iaitu "1 jam Berjoging Secara Berundur di atas treadmill" (satu pasukan tiga peserta)" (Goh Kheng Leong, B Puvaneshwaran dan Cheong Seng Chiew) .

Rekod  untuk kategori lelaki dan wanita bagi Larian Tanpa Henti Dengan 5kg jaket berisi pasir Selama Sejam Atas Treadmill (tiga orang sepasukan, kategpori lelaki dimenenangi oleh: Danny Choo Jin Hin, Jackie Sin, Lye Yong Sheng) (rekod perempuan: Gooi Wen Xin, Goh Ying Yun, Alice Lim).

Sementara itu, satu pasukan empat pelari marathon terdiri daripada Mahendran Suriyanarayanan, 45, Mohd Azlan Abdullah, 38, Siti Rohani Shahridzuan, 34, dan Harras Kumar, 23, berjaya mencipta rekod MBR bagi Lari Berganti-ganti Tanpa Henti Di  Atas Treadmill Selama 48 jam ", dengan jarak sejauh 316.25 km.

Penjual jersi dari Sabah, Iranmal Kasan, 34, pula berjaya mencipta dua rekod MBR dalam sehari bagi  Menjugel Paling Banyak Dalam Tempoh Seminit Dalam Keadaan Duduk (210 kali) dan Paling Banyak Menjugel Dengan Lapik Kaki Dalam Tempoh Seminit (135 kali).

Sementara pengurus keselamatan dari Kajang, V Gunalan, 46, mencipta rekod MBR keduanya bagi kategori "Lompat ke Belakang Terbanyak Dengan Tali Skip Dalam 30 saat (67 lompatan).

Beliau juga berjaya mencipta rekod MBR pertamanya untuk "Lompat Tali Skip Berganti-ganti Tanpa henti selama 24 jam".

Semua rekod ini dicipta sempena sambutan Kemerdekaan Malaysia tahun ini.

 

Disunting dan diterjemah oleh Rafeáton Md. Ali 

BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan