BERITA COVID–19   Malaysia rekod kadar pengangguran terendah sejak krisis COVID-19 pada Jun 2022 | Sifar COVID-19 di Penjara Reman Pulau Pinang sejak Jun tahun lepas | Pemansuhan keperluan isi kad pengembara terpakai kepada warganegara, bukan warganegara - Dr Noor Hisham | Kes harian COVID-19 di Jepun pecah rekod | Vaksin COVID-19 Bangladesh dapat kelulusan untuk diuji pada manusia | 
RENCANA

Usaha Terus FAMA Ungguli Pemasaran Pertanian Negara

18/06/2019 12:07 PM

Oleh Kurniawati Kamarudin

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Tanggal 30 Sept depan genap 54 tahun penubuhan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan kedudukannya tetap kukuh sebagai peneraju utama pemasaran makanan dan hasil pertanian negara.

Agensi permasaran di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ini bukan sahaja memacu pemasaran domestik dan antarabangsa, tetapi turut berperanan dalam pemasaran agromakanan bagi meningkatkan pengeluaran dan memastikan produk pertanian boleh diperolehi pada harga mampu dibayar oleh pengguna.

Perlantikan Ishak Ismail sebagai pengerusi baharu FAMA pada 1 Nov 2018 menyambung usaha yang dilakukan barisan pengerusi sebelum ini bagi memastikan misi dan visi FAMA tercapai. 

Bernama berkesempatan menemubual beliau baru-baru ini untuk berkongsi hala tuju yang akan dibawa sepanjang dua tahun tempoh perlantikannya itu.

Berusia 51 tahun,  Ishak yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang  berkelulusan Sarjana Muda Pengurusan Harta, Universiti  Teknologi Malaysia dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan, Universiti Islam Antarabangsa. 

Beliau adalah Pengerusi Amalan Pengurusan  Harta, LembagaPenilai, Pentaksir, Ejen Hartanah dan Pengurus Harta Malaysia di samping menyandang jawatan Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia.

 

Berikut adalah temubual Bernama dengan Ishak Ismail:-

 

 (S): Memikul tanggungjawab baharu sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) apa prioriti En Ishak untuk FAMA?

 

 (J):Seiring dengan perkembangan IR 4.0, FAMA juga menggunakan portal dan aplikasi Agrobazaar Online untuk memendekkan rantaian pemasaran di antara pengeluar/petani dengan pengguna. Saya juga ingin melihat FAMA mengungguli pemasaran bagi semua komoditi yang berbentuk pengeluaran segar mahupun pengeluaran proses Industri Asas Tani bagi meningkatkan pendapatan petani dan pengguna juga memperolehi harga yang berpatutan.

Selain itu, FAMA akan memperkasakan aspek kecekapan penyampaian melalui sistem komunikasi bersepadu melalui media massa, online dan offline seperti FAMA Mobile Comm. Seterusnya, pembangunan modal insan akan dipertingkatkan bagi melahirkan budaya kerja yang cemerlang dikalangan warga kerja FAMA yang merupakan aset penting dalam kemajuan sesebuah organisasi.

 

(S): Apa pandangan En Ishak mengenai keadaan semasa sektor pertanian Malaysia?

 

(J): Perkembangan pesat sektor perindustrian menjadikan kepentingan relatif sektor pertanian kurang penting, yang kerapkali disalahertikan sebagai pengabaian sektor pertanian sedangkan sumbangan mutlak sektor ini menunjukkan satu perkembangan yang memberangsangkan.

Dalam perindustrian negara yang masih lagi bertumpu kepada kegiatan hiliran pertanian, sektor pertanian menyumbangkan input dengan jumlah yang besar kepada industri berasaskan pertanian. Untuk itu, penumpuan bantuan kepada penigkatan jumlah pengeluaran diperlukan bagi mengatasi atau mengurangkan import sedia ada.

Ringkasnya, apabila aspek pengeluaran diberikan penumpuan dan strategi yang sesuai dengan timbal balik prinsip ekonomi iaitu permintaan dan penawaran, pertanian mempunyai peranan yang istimewa dalam proses perindustrian di Malaysia.

Sektor pertanian juga menggariskan kepentingan negara kita untuk mempertahankan keselamatan makanan negara sebagai asas kekuatan negara. Selain kekuatan ketenteraan dan diplomatik, aspek pengeluaran makanan yang mencukupi kepada rakyat adalah menjadi keutamaan. Kita juga merangka strategi jangka panjang bagi melaksanakan pengeksportan produk juara (signature product) dan produk halal dari usahawan tempatan yang mempunyai potensi untuk menembusi pasaran luar negara. Ianya sekaligus dapat menarik minat petani, nelayan dan khususnya usahawan muda dalam menceburi bidang pertanian yang boleh diangkat menjadi industri strategik sehingga ia mampu mencipta peluang perniagaan dan sumber kekayaan baharu.

 

(S): Apakah kelemahan dalam bidang pertanian negara serta langkah untuk mengatasinya?

 

(J): Antara kelemahannya adalah operasi berskala kecil pekebun pertanian makanan , kos pengeluarannya tinggi, pulangannya rendah dan kualiti pengeluarannya pula kurang baik disebabkan kadar penggunaan teknologi dan mekanisasi yang rendah.

Dalam pada itu, pasaran tempatan adalah terlalu kecil untuk memberikan jumlah yang mencukupi yang diperlukan bagi kecekapan kos dan pulangan yang berpatutan ke atas pelaburan.

Oleh itu, masalah sektor pertanian yang difokuskan adalah berkaitan dengan 80 peratus pekebun sara diri dan pekebun kecil. Bagi pekebun komersial, fokusnya adalah untuk memudahkan mereka memperoleh pasaran eksport yang lebih meluas.

Bagi mengatasi masalah pekebun kecil, program yang dirancang perlu dilaksanakan dengan lebih meluas. Antaranya untuk menentukan dengan jelas tanaman serta jenis yang boleh diusahakan oleh mereka dan dapat dipasarkan dalam bentuk segar atau diproses. Jaminan pasaran adalah perlu untuk menyakinkan pengusaha dan dapat dibuat secara kontrak ladang. Perladangan kontrak perlu dikendalikan institusi kerajaan dan swasta dengan bantuan kerajaan.

Kerjasama antara agensi di bawah kerajaan dan swasta adalah amat penting bagi memantapkan polisi pengeluaran yang berasaskan kepada keperluan dan kehendak pasaran sama ada dalaman dan luaran dengan mengintegrasikan maklumat permintaan dan penawaran dalam pasaran.

 

(S): Sejauh mana FAMA sebagai agensi peneraju pemasaran pertanian negara, mencapai sasarannya?

 

(J): Sehingga Disember 2018, FAMA berjaya membangunkan sebanyak 2,797 outlet melibatkan 68,156 orang usahawan dengan janaan nilai jualan sebanyak RM2.89 bilion pada tahun 2018. 

FAMA juga mensasarkan nilai jualan sebanyak RM3 bilion bagi tahun 2019 daripada 2,932 outlet termasuk sasaran 177 outlet baharu. Outlet ini termasuk gerai buah-buahan segar, Pasar Tani, Pasar Tani Kekal, Agrobazaar Rakyat dan Agrobazaar K Shoppe.

 

(S): Apakah usaha atau strategi yang sedang diperkuatkan FAMA bagi memastikan  hasil pertanian ini dapat dipasarkan kepada pengguna?

 

(J):  Bagi mengukuhkan bekalan produk agromakanan untuk sayur-sayuran dan buah-buahan, Program Ladang Kontrak di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dilaksanakan dengan komitmen bersama FAMA, Jabatan Pertanian (DOA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), MARDI, dan Agrobank.

Untuk mengukuhkan bekalan terus ke pasaran khususnya Pasar Tani, FAMA melaksanakan Program Pengukuhan Bekalan ke Pasaran (KUKUH). Melalui program ini, sekurang-kurangnya lima orang petani akan dipadankan dengan seorang pemasar.

FAMA juga akan memperhebatkan lagi program Jualan Terus Dari Ladang di mana harga produk segar di sini lebih murah 5%-20% dari harga pasaran biasa.  Program JTDL ini diadakan disemua outlet FAMA termasuk Pasar Tani, My Best Buy dan Bazaar Peduli Rakyat.

Selain itu, FAMA juga akan memperkukuh dan memperkasakan outlet  pasaran sedia ada yang telah dibangunkan seperti Pasar Tani, MyFarm Outlet, Agrobazaar Kedai Rakyat, Agrobazaar Rakyat, Agrobarzaar K-shoppe dan lain-lain termasuk pemasaran secara dalam talian melalui Agrobazaar Online.

Dengan ini, ianya akan memendekkan saluran pasaran dan dapat memberi pulangan yang munasabah kepada petani serta menawarkan harga yang berpatutan kepada pengguna.

FAMA juga akan terus mengukuhkan hubungan dengan petani/pengeluar tempatan dengan mengadakan program dan kursus berkenaan komoditi yang mempunyai nilai pasaran semasa yang tinggi seperti kursus meningkatkan kemahiran penanaman durian dan sebagainya.

 

S): Apakah inovasi-inovasi yang dilakukan FAMA sendiri bagi meningkatkan pemasaran hasil pertanian di negara ini?

 

(J): Sejak penubuhan FAMA pada 30 Sept 1965 sehingga sekarang, antara inovasi yang dilaksanakan adalah jualan menggunakan van bergerak melalui projek Karavan Tani, Food Truck dan pemasaran secara dalam talian melalui Agrobazaar Online. Selain itu, FAMA juga telah membangunkan Self Regulated By Regulated Entity (SBRBE) bagi meningkatkan kecekapan penggredan produk eksport dengan pengiktirafan juruaudit.

 

(S):  Malaysia membelanjakan bilion ringgit setahun untuk mengimport bahan makanan luar dan kos tersebut terus meningkat. Apakah langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan kebergantungan itu?

 

(J): Kemasukan hasil tani dari luar negara seperti sayur-sayuran dan buah-buahan memang diakui memberi saingan kepada keluaran petani tempatan kerana kosnya yang rendah dan seterusnya boleh dijual pada harga lebih murah.

Bagi negara yang mengamalkan dasar ekonomi bebas, kemasukan produk dari luar tidak dapat dielakkan sepenuhnya. Bagaimanapun kerajaan melalui pelbagai jabatan dan agensi yang berkaitan boleh mengambil tindakan secara bersepadu dengan mengetatkan prosedur kemasukan supaya produk import tidak boleh masuk dengan sewenang-wenangnya.

Sebagai contoh, Kementerian Kesihatan Malaysia boleh mengambil sampel produk yang diimport di pintu-pintu masuk (pelabuhan, lapangan terbang, pintu masuk di sempadan) dengan lebih kerap bagi memastikan produk yang diimport mematuhi Akta Makanan 1983 seperti kandungan sisa baki racun (MRL). Sebarang kegagalan mematuhi Akta Makanan 1983 akan menyebabkan produk tersebut dihalang masuk untuk satu tempoh yang ditentukan. Pihak FAMA juga sedang menguatkuasakan pematuhan Peraturan-Peraturan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan Keluaran Pertanian) 2008 dengan lebih agresif.

Bagi petani tempatan pula, mereka juga perlu sedia untuk berubah dengan mentransformasikan kaedah pengeluaran mereka kepada lebih moden, menggunakan teknologi terkini, berskala besar yang seterusnya dapat mengeluarkan hasil bermutu tinggi pada kos yang kompetitif. Pengeluaran juga perlu dirancang dengan teliti yang berpacukan pasaran berbanding berpacukan pengeluaran. 

 

(S): Kebergantung sumber makanan daripada luar akan meningkatkan ancaman keselamatan makanan negara.  Tidak mustahil Malaysia boleh menghadapi masalah kekurangan makanan sekiranya perkara ini tidak ditangani atau mempunyai dasar yang jelas.  

Boleh En Ishak jelaskan mengenai perkara ini dan persediaan kita?

 

(J): Kementerian Pertanian dan Indrustri Asas Tani menetapkan lima hala tuju baru yang dilancarkan pada 14 Februari 2019 dalam usaha memastikan sekuriti makanan terjamin demi memelihara kesejahteraan rakyat. Pertama, memoden dan meningkatkan pengeluaran pertanian bagi menjamin kestabilan bekalan dan harga makanan negara dengan memberikan penekanan dalam subsektor padi, ruminan dan perikanan.

Keduanya, merancakkan penglibatan pelaburan swasta dalam pertanian secara komersial serta meningkatkan dagangan eksport pertanian. Seterusnya, kerajaan juga mahu menjadikan pertanian sebagai satu sumber pendapatan yang mampan dan kukuh serta menguntungkan petani, penternak, nelayan dan agropreneur muda. Selain itu kerajaan juga akan menambah baik ekosistem industri pertanian untuk menyokong pemodenan pertanian, pelaburan sektor swasta dan aktiviti pengembang untuk petani, penternak dan nelayan serta memperkukuhkan struktur organisasi jabatan dan agensi di bawah kementerian untuk menambah baik sistem penyampaian serta tadbir urus.

Dalam hal ini, FAMA akan meningkatkan bekalan melalui peluasan kontrak pemasaran, memperkasa pembangunan produk hiliran serta membangunkan lebih ramai usahawan tani muda.

 

(S): Perlu atau tidak kerajaan mengubah dasar pertanian yang sedia ada bagi meningkatkan pengeluaran hasil pertanian yang terbaik?

 

(J): Pada masa ini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mengguna pakai Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2011-2020.  Saya difahamkan pihak MOA sedang merangka DAN 2.0 dengan mengambilkira perkembangan, keperluan dan isu semasa ke arah memertabatkan lagi sektor agromakanan negara dengan lebih berdaya saing.

Salah satu isu yang perlu dilihat adalah pembaziran sumber seperti tanah terbiar yang tidak dioptimumkan khususnya untuk pertanian. Saya berharap kerajaan negeri dapat mengenal pasti inventori tanah terbiar ini. FAMA boleh membantu untuk menghubungkan pemilik tanah dengan pelabur, koperasi dan petani komersial melalui sistem pajakan tanah atau perkongsian strategik yang boleh menguntungkan kedua-dua belah pihak.

Saya berharap berkat sokongan, komitmen dan kerjasama dari semua pihak, potensi sektor agromakanan Malaysia akan terus maju jaya bagi merealisasikan harapan petani/pengeluar dalam menikmati pendapatan yang lebih lumayan dan terjamin.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 

 

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan