BERITA PRU15   DUN Johor ucap tahniah kepada PN, BN menang Parlimen Padang Serai, DUN Tioman | Azman mahu bawa aspirasi dan suara rakyat Padang Serai, jadi pembangkang berwibawa | PN menang kerusi Padang Serai, BN pertahankan Tioman | PRU15: Pusat pengundian Parlimen Padang Serai, DUN Tioman, tutup 6 petang | PRU15: Segelintir pengundi di Padang Serai tidak tahu calon tarik diri | 
RENCANA

Perlunya Penyelenggaraan Jalan Persekutuan

08/03/2019 03:14 PM

Oleh Kurniawati Kamarudin

 

KOTA BHARU (Bernama) – Kerja-kerja penyelenggaraan di beberapa jalan Persekutuan di negara ini terpaksa ditunda berikutan kurangnya peruntukan.

Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata kementerian itu tidak dapat menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dengan berkesan kerana hanya memperoleh peruntukan sebanyak RM100 juta untuk penyelenggaraan jalan-jalan Persekutuan di seluruh negara dalam Belanjawan 2019.

Menurutnya sejak 2015, peruntukan penyelenggaraan dikurangkan berbanding keperluan sebenar iaitu kira-kira RM2 bilion setahun.

“Sejak 2015, kementerian menerima peruntukan kira-kira RM600 juta hingga RM800 juta setahun. Namun, mulai tahun ini ia dikurangkan kepada RM100 juta,” katanya semasa ditemui pada program jelajah  FTRoadpedia Ke Zon Timur 2.0 anjuran Kementerian Kerja Raya baru-baru ini.

Dalam Belanjawan 2019, kerajaan mengurangkan peruntukan kepada kementerian-kementerian kerana perlu mengecilkan hutang negara yang berjumlah RM1 trilion dalam usaha membawa ekonomi negara kembali ke landasan yang betul secara fiskal dalam tempoh tiga tahun.

Kementerian Kerja Raya telah memohon peruntukan tambahan kepada Kementerian Kewangan sebanyak RM610 juta bagi menampung keperluan melaksanakan penyelenggaraan jalan raya, kata Baru sambil memberitahu bahawa kementerian berkenaan memberi jaminan untuk menyalurkan peruntukan tambahan itu. 

Program jelajah FTRoadpedia Ke Zon Timur 2.0 selama tiga hari itu disertai Baru dan Timbalan Menteri berkenaan Mohd Annuar Mohd Tahir serta pegawai kanan Kementerian Kerja Raya dan wakil media.

Perjalanan menaiki bas itu membawa rombongan berkenaan ke Pahang, Kelantan dan Terengganu bagi meninjau kualiti penyelengaraan jalan-jalan Persekutuan di tiga negeri berkenaan.

 

RETAK

Jalan-jalan Persekutuan, yang dilabel sebagai F atau FT, dibina dan diselenggara oleh Kementerian Kerja Raya menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR).

Baru berkata kira-kira 35 peratus daripada 17,771.42 kilometer (km) jalan Persekutuan didapati mengalami masalah ‘crocodile crack’ akibat kurangnya penyelenggaraan mengikut jadual.

‘Crocodile crack’ merujuk kepada keadaan jalan yang rosak akibat rekahan dan retakan pada permukaannya berikutan kekerapan penggunaan oleh kenderaan yang membawa muatan berat.

Antara jalan Persekutuan yang sering mengalami kerosakan serius ialah di jalan Telupid-Sandakan di Sabah dan jalan menuju ke Pelabuhan Klang di Selangor.

Kerosakan berpunca daripada volum kenderaan tinggi yang melalui jalan tersebut selain kenderaan berat seperti lori dan treler membawa muatan melebihi had ditetapkan.

Berikutan pertambahan had muatan kenderaan perdagangan yang diluluskan selain peningkatan jumlah kenderaan yang didaftarkan setiap tahun, Menteri Kerja Raya itu menyuarakan kebimbangannya berhubung keadaan jalan yang mungkin bertambah buruk jika kerja-kerja penyelenggaraan yang ditunda tidak diatasi.

“Kekerapan penggunaan jalan Persekutuan sebagai laluan utama oleh syarikat-syarikat perkhidmatan pengangkutan komersil kerana mahu mengurangkan kos operasi juga akan memburukkan lagi masalah penyelenggaraan tertunda,” kata Baru.

 

KEADAAN JALAN RAYA 

Memetik hasil satu kajian di zon selatan meliputi Johor, Negeri Sembilan dan Melaka yang dijalankan oleh JKR, Baru berkata sehingga tahun lepas, laporan menunjukkan penyelenggaraan ditunda sebanyak 35 peratus dengan keadaan jalan di dalam kategori  ‘buruk dan teruk’ dan perlu diturap semula.

“Ia boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya selain menyebabkan kos penyelengaraan jalan raya menjadi tidak lestari atau terlalu mahal pada masa hadapan,” jelasnya. 

Bagi mengenal pasti kerosakan jalan raya, JKR mengambil beberapa langkah termasuk mengadakan pemeriksaan rutin oleh syarikat konsesi, rondaan JKR serta menerima aduan orang ramai.

Dalam tempoh 2016 hingga Julai 2018, sebanyak 15,594 aduan awam diterima KKR dengan 50 peratus atau 7,987 adalah berkaitan isu penyelenggaraan jalan.

Baru berkata terdapat dua skop penyelengaraan iaitu rutin dan berkala.

Penyelenggaraan rutin melibatkan kerja seperti memotong rumput dan penampalan lubang serta kerja kecemasan kecil seperti pokok tumbang dengan tindakan itu akan diselesaikan dalam masa 24 jam selepas menerima aduan.

Penyelenggaraan turapan atau bukan turapan berkala pula tertakluk kepada kelulusan peruntukan kerajaan. 

“Selepas menerima peruntukan, pelaksanaan kerja-kerja itu akan mengambil masa dalam tempoh dua minggu hingga enam bulan bergantung kepada jenis-jenis kerja yang diluluskan,” kata beliau.

 

PUNCA KEROSAKAN JALAN

Sementara itu, Pengarah Kanan Cawangan Jalan JKR Ir Zulakmal Sufian berkata rekahan merupakan masalah yang paling kerap berlaku di jalan-jalan Persekutuan.

“Biasanya, rekahan pada jalan akan bermula sebagai keretakan awal atau ‘single crack’ sebelum ia bertambah dan bersambung antara satu sama lain hingga dikenali sebagai ‘crocodile crack’ yang menyerupai kulit buaya,” jelasnya.

Jika rekahan itu berlaku di bawah laluan tayar kenderaan sama ada di bahagian kiri atau kanan lorong, ia  menunjukkan struktur jalan berkenaan telah lemah dan akhirnya menyebabkan lopak dan lubang.

“Kategori kerosakan jalan yang lain adalah lendutan, yang berlaku di bawah laluan tayar kenderaan. Keadaan ini lazimnya lebih ketara berlaku di lokasi pendakian dimana kenderaan berat terpaksa melaluinya dengan lebih perlahan yang boleh menyebabkan lendutan,” katanya.

Lendutan juga boleh berlaku di persimpangan akibat daripada kenderaan membrek dan mula bergerak, katanya sambil menjelaskan bahawa permukaan jalan yang mengalami lendutan akan menakung air ketika hujan dan boleh membahayakan pengguna jalan raya.

Selain itu, kerosakan jalan berlaku apabila batu baur pada permukaan jalan tercabut dan menyebabkannya menjadi kasar.

Keadaan itu biasanya berlaku pada  jalan yang sudah lama diturap menyebabkan bitumen mengeras. Kerosakan seperti itu juga berlaku di lokasi jalan berselekoh. 

“Apabila bitumen mengeras, daya pengikat antara bitumen dan batu tersebut telah berkurangan dan akan menyebabkan batu tercabut kerana tolakan sendeng.

“Isipadu kenderaan yang tinggi serta kenderaan seperti lori dan treler membawa lebih muatan akan mempercepatkan lagi kerosakan berkenaan dan memendekkan jangka hayat jalan,”katanya sambil menjelaskan keadaan itu bertambah buruk sekiranya kenderaan berat yang mempunyai beban gandar melebihi had 12 tan yang dibenarkan mengikut Akta  Pengangkutan Jalan 1987.

Zulakmal berkata penyelenggaraan bagi membaik pulih jalan perlu dilakukan awal bagi mengelak kerosakan menjadi lebih teruk.

“Sesetengah penyelenggaraan melibatkan penambahbaikan aspek keselamatan pengguna seperti mengecat kembali garisan di atas jalan bagi membantu pengguna terutama yang memandu pada waktu malam.

“Ini kerana ramai pemandu merungut bahawa keadaan gelap di jalan selain garisan jalan pudar pada waktu malam,” katanya.

 

Disunting oleh Nur-ul Afida Kamaludin

BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan RM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan