KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Tarikh pelaksanaan Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2024/2025, termasuk Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Kongres Wanita diselaraskan semula pada 21 hingga 24 Mei ini.
Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh berkata penyelarasan semula tarikh itu berikutan presiden yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menunaikan urusan rasmi negara bagi menyambut ketua negara ASEAN yang dijangka tiba di Malaysia pada 25 Mei nanti.
“PKR menzahirkan penghargaan atas kefahaman dan sokongan semua pihak terhadap penyelarasan ini demi kelancaran penganjuran kongres parti yang amat penting,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, pada 21 Mei (Rabu) akan diadakan perasmian bersama AMK dan Kongres Wanita manakala Kongres Nasional AMK dan Kongres Nasional Wanita pula akan diadakan pada Khamis, 22 Mei.
Pengundian Pemilihan Peringkat Pusat dan Perasmian Kongres Nasional PKR 2024/2025 pula akan diadakan pada 23 Mei (Jumaat) manakala Kongres Nasional PKR 2024/2025 pada 24 Mei (Sabtu).
Beliau turut memaklumkan bahawa segala persiapan yang melibatkan perwakilan, logistik dan pelaksanaan akan diselaraskan semula mengikut ketetapan tarikh yang terkini dan semua pihak terlibat diminta mengambil maklum dengan perubahan itu serta melakukan penyesuaian sewajarnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial