POLITIK > BERITA

GRS SELESA KERJASAMA DENGAN PH SABAH

06/05/2024 06:01 PM

KOTA KINABALU, 6 Mei (Bernama) -- Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan memperkukuhkan lagi kerjasama sedia ada dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah terutama dalam usaha memajukan negeri ini dan menyatupadukan rakyat.

Ketua Penerangan GRS  Datuk Joniston Bangkuai berkata GRS amat selesa bekerja dengan PH Sabah serta parti-parti lain yang menyertai kerjasama membentuk kerajaan negeri ketika ini.

Beliau berkata mengambil kira keyakinan rakyat kepada GRS dan keserasiannya dengan PH Sabah dalam mentadbir negeri pada masa ini, tidak ada sebab untuk gabungan tempatan itu menjalinkan kerjasama dengan parti lain berpangkalan di Semenanjung.

"Oleh itu GRS akan menumpukan usaha merealisasikan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam membangunkan negeri dan menyatupadukan rakyat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Parti komponen GRS terdiri daripada Gagasan Rakyat, Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP).

Joniston berkata pada awal 2022, PH Sabah memilih untuk menyokong Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri apabila ada gerakan untuk menumbangkan kerajaan negeri pada masa itu.

"Keputusan PH Sabah menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri didorong kebimbangan momentum membangunkan Sabah terganggu oleh keadaan politik tidak stabil akibat tindakan pihak tertentu yang mahu menggulingkan kerajaan sudah terbentuk,” katanya.

Beliau berkata GRS juga melihat hasrat atau minat mana-mana parti itu untuk berkerjasama sebagai tanda keyakinan terhadap keikhlasan dan kesungguhan GRS sebagai peneraju kerajaan Sabah.

“Sebagai gabungan parti tempatan, GRS akan sentiasa berpandu kepada pandangan dan sentimen rakyat Sabah dalam membuat sebarang keputusan," katanya.

Semalam, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin berkata partinya akan meneliti kemungkinan kerjasama dengan GRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17, manakala Sabtu lepas Presiden Parti  PejuangTanah Air (Pejuang) Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata partinya terbuka menjalin kerjasama dengan semua parti di Sabah termasuk parti mentadbir kerajaan negeri.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung GRS Datuk Armizan Mohd Ali berkata GRS dianggotai beberapa parti dan segala keputusan termasuk soal kerjasama antara parti memerlukan perbincangan serta persetujuan semua pihak.

"Kita gembira kerana ada parti luar berminat bekerjasama dengan kita. Ini menunjukkan parti kita dipandang tinggi dan diyakini mampu untuk mentadbir kerajaan Sabah," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan