POLITIK > BERITA

PRK KUALA KUBU BAHARU: KOMPONEN BN BERTANGGUNGJAWAB BANTU CALON KERAJAAN PERPADUAN

22/04/2024 04:35 PM

PUTRAJAYA, 22 April (Bernama) -- Komponen Barisan Nasional (BN) mempunyai tanggungjawab membantu dan memastikan kemenangan calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, pada 11 Mei depan.

Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Menteri Luar berkata tanggungjawab itu perlu dilaksana kerana BN adalah sebahagian Kerajaan Perpaduan.

“Saya tidak rasa ada isu boikot memboikot, BN pun belum buat mesyuarat lagi, biar kami bermesyuarat dahulu dan dalam mesyuarat itu nanti kami akan berunding, bertukar fikiran dan cari apa jalan terbaik.

“Ini untuk memastikan supaya BN mantap sebagai satu pasukan untuk membantu calon Kerajaan Perpaduan bertanding pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri Wisma Putra di sini hari ini.

Jumaat lepas, Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA memutuskan untuk tidak terbabit dalam aktiviti kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu sekiranya calon dikemukakan bukan daripada BN.

Susulan itu, MIC turut mengambil keputusan sama atas alasan serupa.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata UMNO akan mendukung mana-mana calon Kerajaan Perpaduan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi PRK Kuala Kubu Baharu.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong mewakili Pakatan Harapan (PH) pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei, manakala 27 April sebagai hari penamaan calon.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan