POLITIK

SEKRETARIAT PERPADUAN BINCANG PERKUKUH JENTERA PRK DUN KUALA KUBU BAHARU - SAIFUDDIN NASUTION

17/04/2024 12:05 AM

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Mesyuarat Sekretariat Perpaduan yang diadakan malam ini membincangkan persediaan memperkukuh jentera dan gerak kerja parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata hasil mesyuarat yang dipengerusikan beliau itu akan dibentang dalam Mesyuarat Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Presiden PKR.

“Perbincangan malam ini berlangsung dengan cukup baik dan harmoni, juga adalah sebahagian daripada terjemahan kepada persefahaman yang intact, compact and functioning,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Aiman Athirah Sabu dan Timbalan Setiausaha Agung DAP Liew Chin Tong.

Pada 3 April lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Kuala Kubu Baharu di Selangor itu pada 11 Mei ini.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata tarikh penamaan calon ditetapkan pada 27 April ini manakala pengundian awal pada 7 Mei.

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan