BERITA COVID–19   Kit Ujian Pantas Antigen COVID-19 diwarta sebagai barang kawalan mulai hari ini | Omicron: Warga emas, individu komorbid disaran elak perjalanan ke luar negara | Agong gusar penularan varian Omicron, nasihat rakyat ambil vaksin, berdisiplin, patuhi SOP - Istana Negara | Tiada keperluan tutup Parlimen, KKM ada kerangka tangani COVID-19 - Khairy | Urusan perolehan vaksin dilaksana secara teratur - PAC | 
POLITIK

Mohamaddin Ketapi sah jadi ahli Bersatu

26/11/2021 12:50 AM

KUALA LUMPUR, 25 Nov -- Ahli Parlimen Lahad Datu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Segama Datuk Mohamaddin Ketapi hari ini secara rasmi menjadi ahli Bersatu yang baharu.

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata permohonan keahlian Mohamaddin diperaku dan diterima dalam Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu malam ini yang dipengerusikan  presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Bersatu menyambut baik keahlian beliau kerana ia bukan sahaja bakal mengukuhkan lagi kedudukan Kerajaan Negeri Sabah pimpinan Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Malah ia juga akan memberikan manfaat besar kepada pembangunan serta kebajikan rakyat di Parlimen dan DUN (Dewan Undangan Negeri) yang beliau (Mohamaddin) wakili," kata Hamzah menerusi satu kenyataan malam ini.

Pada 30 Okt lepas, Mohamaddin mengumumkan keluar Parti Warisan Sabah kerana ingin memberi tumpuan untuk memaju dan membangunkan Parlimen Lahad Datu serta DUN Segama.

Menurutnya lagi, dalam mesyuarat itu, parti itu memutuskan akan mengadakan Persidangan Agung Tahunan (PAT) Bersatu Kelima  pada 18 dan 19 Dis ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya yang bakal dihadiri 1,600 perwakilan seluruh negara secara fizikal.

"Justeru, selamat bersidang diucapkan kepada semua perwakilan Mesyuarat Agung Bahagian di seluruh negara yang akan bermula 26 hingga 28 Nov ini," katanya.

Mengenai perkembangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Hamzah berkata Bersatu akan mengadakan perbincangan lanjut bersama parti komponen Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menentukan strategi dan persiapan menghadapi pilihan raya negeri berkenaan pada 18 Dis ini.

Berhubung PRN Melaka yang diadakan 20 Nov lepas, Hamzah berkata Bersatu beranggapan keputusan pada pilihan raya negeri berkenaan membuktikan PN adalah parti yang mempunyai pengaruh serta sokongan  kukuh dalam kalangan pengundi negeri itu.

"Bersatu merakamkan ucapan terima kasih kepada pengundi PRN Melaka yang telah mengundi dan memberi sokongan kepada calon-calon daripada Bersatu dan parti komponen PN yang lain iaitu PAS dan Gerakan.

Sokongan ini adalah manifestasi penerimaan baik rakyat terhadap PN dan parti komponennya. Susulan itu, Bersatu telah mengenal pasti kelemahan semasa PRN Melaka lalu dan akan mengambil langkah penambahbaikan dengan segera," katanya.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan