Sabtu, 28 November 2020
18/11/2020 05:18 PM

KUANTAN, 18 Nov -- Kesemua lapan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS di Pahang bersetuju untuk memotong gaji mereka sebanyak 10 peratus bagi disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana Negeri selama tiga bulan, mulai bulan ini. 

ADUN Beserah Andansura Rabu berkata tindakan itu diambil bagi membantu meringankan beban rakyat yang terkesan oleh pandemik COVID-19 dan juga sebagai penghargaan kepada pasukan petugas hadapan di negeri tersebut. 

"Diharapkan bantuan kecil kami dapat membantu mereka yang diuji bencana. Kami juga berterima kasih kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus bertugas memastikan penularan wabak COVID-19 di Pahang terkawal. 

"Pahang antara negeri yang tidak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Tindakan pasukan ini dengan kepimpinan kerajaan negeri membolehkan tiada kes baharu direkodkan selama 15 hari berturut-turut setakat semalam," katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan 2021) di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini. 

Langkah itu diambil berikutan pengumuman Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail Isnin lepas, bahawa semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang bersetuju memotong gaji 10 peratus mulai November, untuk disumbangkan ke akaun tersebut dan berharap semua ADUN membuat tindakan sama. 

Andansura juga mencadangkan supaya tindakan proaktif dan semangat membanteras penularan wabak COVID-19 diterapkan dalam usaha membasmi penyakit denggi yang menyebabkan lapan kematian di Pahang setakat ini tahun ini. 

Sementara itu, ADUN Peramu Jaya Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali memohon supaya kerajaan negeri dapat mempercepatkan pelan pembangunan Tanjung Agas di Pekan sebagai taman perindustrian, minyak dan gas serta maritim yang masih dinantikan rakyat setempat. 

"Saya difahamkan ada beberapa syarikat telah menunjukkan minat untuk melabur yang akan mewujudkan antara 2,000 dan 3,000 peluang pekerjaan. Sudah 10 tahun penduduk Pekan menunggu (tetapi) masih belum nampak tanda industri didirikan. 

"Kemakmuran negeri akan tercapai jika rakyat mempunyai peluang bekerja dan mempunyai pendapatan. Saya mencadangkan supaya kerajaan negeri melalui Lembaga Kemajuan Negeri Pahang dapat berusaha mempercepatkan projek itu menjadi realiti," katanya.   

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang berterima kasih kepada DUN Pahang yang memberikan ‘tepukan sanjungan’ kepada pasukan COVID-19 negeri pada persidangan hari ini. 

Persidangan bersambung esok. 

-- BERNAMA 

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan