Isnin, 10 Ogos 2020
POLITIK
02/08/2020 06:59 PM

KULIM, 2 Ogos -- Tindakan Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali cuba mengejar dan mendapatkan Tun Dr Mahathir Mohamad di Masjid Putra, Putrajaya kelmarin hanya sebagai ingin menunjukkan rasa hormat beliau kepada bekas perdana menteri itu dan tidak harus dipolitikkan.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata ia bukan berkaitan politik sebaliknya sekadar bertanya khabar dan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada Dr Mahathir.

"Kita ini orang Islam dan orang Melayu serta rakyat Malaysia, kita bukan bersengketa atau bermusuhan sehingga dendam antara satu sama lain. Saya orang muda perlu tunjuk hormat kepada insan yang lebih tua.

"Mungkin kita ada pandangan yang berbeza tetapi apabila di dalam masjid dan apa lagi pada Hari Raya Aidiladha, sudah tentu saya sebagai seorang yang jauh lebih muda daripada Tun Dr Mahathir, saya bertanggungjawab untuk bertemu dengan beliau mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha dan bertanya khabar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Korban Perdana Penggerak Komuniti Negara peringkat negeri Kedah di Padang Serai dekat sini hari ini. Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Mohamed Azmin berkata tindakannya itu tidak harus dipolitikkan meskipun pandangan beliau dengan Dr Mahathir berbeza pada masa ini memandangkan bekas perdana menteri berkenaan seorang tokoh negarawan yang perlu dihormati.

Kelmarin, tular video pendek Mohamed Azmin mengejar Dr Mahathir dan ia menimbulkan pelbagai persepsi masyarakat dan pihak tertentu.

Bagaimanapun, di laman twitternya, beliau tidak meletakkan video itu tetapi hanya memuat naik gambar yang menunjukkan beliau berjalan beriringan bersama Dr Mahathir.

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan